MY FOLLOWERS

Tuesday, June 24, 2014

Artikel - Jenayah Semakin Menjadi-jadi

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

 


Jenayah berlaku dengan pelbagai sebab dan punca, adakalanya memang tidak masuk akal. Tidak kira siapa atau bagaimana latar belakang si pelaku. Adakalanya yang menjadi penjenayah ini bukannya dari golongan yang sebarangan, bukanlah semestinya dari golongan buta huruf atau bodoh malah ada yang jauh lebih pandai, punya kelulusan tinggi dan sangat berkemahiran dalam bidang diceburi. Ada yang menjadi penjenayah ini atas desakan hidup, keterpaksaan dan tekanan. Dalam hidup, ada tanggungan. Perut jangan dibiar kelaparan. 

Dendam, sakit hati? Boleh jadi juga. Tengoklah apa peristiwa yang dilalui itu. Lain orang lain ceritanya. Yang mengalami mungkin rasa ia sesuatu yang besar dan membebankan, yang lain mungkin rasa ia hanya picisan. Bermacam sebab, berebutkan perempuan, berebutkan alat kawalan tv, tersilap dalam masakan, perangai kawan yang macam setan, apa sahaja! Sesama adik beradik pun ada yang macam celaka. Hilang sabar, meletup rasa marah sebab tidak tahan, sampai akhirnya pisau naik ke tengkuk! Boleh buat yang menahan amarah itu jadi menggila! Hilang sekejap waras akalnya. Nauzubillah.. 




Dalam versi moden hari ini, duit menjadi satu punca yang besar. Orang sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkannya, tidak kira cara baik atau cara kotor. Bila sudah terdesak, yang selama ini takut dibuat itu menjadi boleh buat. Semua perasaan takut, segan, tidak berani, akan hilang entah ke mana. Bab agama, lagilah ditolak tepi! Yang penting, dapat apa yang dimahukan. Kalau baca dalam akhbar sebelum ini pun, sudah banyak kali dipaparkan kes-kes seperti ditetak sebab tidak mahu beri duit, dibelasah dan sebagainya. Ada pula yang sanggup menjadi pelacur separuh masa dengan alasan kononnya tidak cukup duit belanja, seperti yang didedahkan dalam akhbar baru-baru ini. Mahu cari untung cara mudah juga antara sebabnya, contohnya dalam kes seludup minyak guna kapal dan melanun. Habis bergelen-gelen minyak disedutnya. 

Yang melakukan jenayah atas darat pun sudah semakin berani. Memiliki senjata api membuatkan mereka rasa seperti semakin berkuasa. Lagi berkuasa daripada penguatkuasa undang-undang pula lagaknya. Sudah sampai ke tahap ada pegawai yang hilang nyawa dalam usaha membanteras golongan tidak makan saman ini. 




Dalam bab senjata, jangan kata senjata api atau pedang samurai, zaman semakin moden ini lagi banyak benda boleh menjadi senjata untuk buat jenayah. Yang pandai, guna komputer, guna akal, guna macam-macam ilmu. Tidak perlu pun susah-susah belajar tembak sana tembak sini. Kelulusan atau bidang pekerjaan sedia ada itu sudah cukup sebagai akses untuk melakukannya. Yang mahir dengan kimia ikut caranya, yang mahir dalam bab-bab duit lain caranya. Silap hari bulan, satu klik sahaja, habis licin duit mangsa disapu dari akaunnya. Tidakkah putih mata dibuatnya? Kerja macam nak gila, sudahnya licin begitu sahaja. 

Pengaruh kawan untuk dapat duit cara mudah? Teruk juga. Jangan kata jadi penjenayah terlibat jual DVD haram, yang tidak menjadi penjenayah pun boleh terpengaruh juga. Tengok sahajalah dengan kemunculan skim-skim cepat kaya dengan pelbagai pelan pemasaran. Ada pula yang berselindung di sebalik nama MLM. Ini pun bukannya cerita baru, sudah lebih 10 tahun dahulu lagi dan penipuannya masih berakar umbi. Cerita lama, taktik baru, mangsa baru, putar belit pun yang baru-baru. Buka syarikat, tunjuk pelan pemasarannya lain, buatnya pelan lain. Barang dijual sekadar mengelabui mata kononnya ia perniagaan yang sah. Yang terpengaruh pula keluarkan duit untuk labur, sudahnya lebur. Yang dapat duit terus lari, yang tertipu terus ternganga. Terlopong dengan taktik penipuan yang memakannya tanpa belas kasihan. Bab yang ini pun ramai yang kena tipu! Hahahaha...



Yang menjadi kepala yang paling atas itu bolehlah dicop penyangaknya. Bagaimana pula dengan isu pengangguran? Pendapat penulis, boleh jadi juga. Puas minta kerja sana sini, berhabis duit hadiri temuduga, ketiadaan suntikan modal untuk mula berniaga sendiri tetapi hasilnya hampehh. Asalkan ada iklan mencari kerja atau mengisi jawatan kosong, maka berduyunlah manusia datang berkerumun dengan resume di tangan mengharapkan mereka akan diambil bekerja. Ada pula yang mempunyai lebih daripada satu ijazah luar negara seperti yang didedahkan dalam majalah Mastika sebelum ini. Pun tidak dapat kerja! Namun apa pula perasaan semua yang memohon bila dapat tahu iklan itu sekadar 'camouflage' sahaja dan pihak mereka yang berkaitan menjadi orang dalam atau kabel dan sudah ambil calon? Kecewa! Huhh! Belum tentu lagi calon diambil itu layak, jangan-jangan habuk pun dia tidak tahu mengenai tugasnya nanti. Boleh jadi berduyun yang mereka tidak ambil itu ada yang jauh lebih layak dari itu. Terasa mahu sahaja dicekik-cekik golongan kabel ini. Sudahlah buang masa semua orang yang datang, tetapi seorang pun susah mahu ambil. Tidak adil. Tiada siapa yang kenaa!! Ibarat adegan baling 'dadu nombor dua' dalam filem Ali Baba Bujang Lapok pula. Letak pertaruhannya lain, jawabnya lain. Habis yang bertaruh semua rugi.

Sesetengah orang akan menghadapi keadaan tertekan disebabkan hal ini sehingga akan sanggup melakukan jenayah. Semakin tinggi tahap kepandaian dan latar belakang pendidikan, semakin pandai pula mereka ini bila menjadi penjenayah. Bermacam helah akan direkanya. Lihat sahaja contoh di luar negara, sudah berapa ramai golongan cerdik pandai mereka menjadi penggodam dan pakar IT yang boleh merosakkan sistem komputer sehingga pihak lain tanggung rugi berjuta-juta? Yang didedahkan dalam media itu cuma sebilangan yang berjaya ditangkap. Yang masih berkeliaran masih bersepah-sepah. Bukan setakat penjenayah tegar, yang berselindung di sebalik bermacam nama kerjaya itu pun lagi bersepah.



Bagi yang sudah ada jalan keluar yang baik, teruskanlah. Ramai lagi yang di luar sana yang boleh membantu untuk ada kerja sendiri, tidak perlu sangat terikat dengan pelbagai kerenah birokrasi sana sini. Penipuan sudah menjadi permainan. Anggaplah itu sebagai cabaran. Baik bisnes sendiri, duit sendiri, untung rugi pun boleh makan sendiri-sendiri. Asalkan ikut cara yang baik dan atas landasan agama. Pernah disiarkan di akhbar, graduan dengan lulusan diploma atau ijazah balik menoreh getah sebagai kerja sendiri dan dapat pendapatan sekitar RM2000 sebulan. Tidak kisah pun dengan kelulusan itu. Berapa ramai yang boleh menjadi seperti ini? Jalan keluar sentiasa ada. Mahu ikut jalan mana? Ikut sini atau ikut sana? Ikut sini masuk syurga, ikut sana masuk neraka...


Kes berkaitan dengan isu politik dan dendam antara yang menjadi tajuk berita dalam Yahoo News ketika ini.



Teringat pula pada satu 'falsampah' dalam majalah keluaran Produksi Gila-gila dahulu. Katanya lebih kurang begini: kalau lama tidak berjumpa, panjanglah cerita. Lama tidak makan, panjanglah tangan. 

No comments: