MY FOLLOWERS

Wednesday, February 14, 2018

Thursday, February 1, 2018

Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter V

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....


Di sini tiada kelas tetap untuk ajar ilmu-ilmu taijutsu. Jadi, kami gunakan waktu ketika kelas karate untuk selitkan ilmu taijutsu ini. Ketika di kelas di sekolah menengah di sini pun macam itu juga. Guna sebahagian waktu di kelas karate untuk berlatih sedikit taijutsu. Bukan apa, apa yang dipelajari dahulu pun kena berlatih juga. Tidak sempat untuk berlatih lebih sangat sebab semua budak mahu balik dan sudah ada ibu bapa yang tunggu untuk ambil anak mereka balik ke rumah dan solat. Adakalanya selepas karate, memang tidak sempat pun. Sibuk mahu pergi solat dan makan sebelum balik rumah.





Setelah memulakannya menerusi kelas di universiti dan sekolah menengah di sini, ia mula menarik minat beberapa guru di sekolah ini untuk turut serta mempelajarinya. Daripada apa yang diceritakan kepada saya selaku ahli oleh guru berkenaan, mereka juga sedang mencari beberapa guru lagi untuk turut serta sebab ilmu ini perlukan pasangan/partner untuk melakukannya. Kalau ada lebih daripada 10 orang yang berminat, maka bolehlah dibuat latihan dalam kumpulan kecil-kecilan dan diadakan pada sebelah malam atau waktu lain yang sesuai.

Bagi ahli yang sudah dapat melakukan ukemi / jatuhan dengan baik, mereka perlu dipisahkan daripada kumpulan untuk belajar 5 torite yang asas sebelum diteruskan dengan henka. Ini kerana ukemi diperlukan sebagai salah satu cara melepaskan diri (freeing the body) daripada kuncian. Mana-mana ahli yang belum berjaya melakukan ukemi dengan baik, perlu teruskan berlatih sehingga boleh. Saya sendiri yang ketika itu baru 'tali pinggang putih' setakat ini sudah pun ingat 5 teknik toritte ini (alhamdulillah) selain tehodoki, mushadori, musodori, takeori, uzumaki dan beberapa lagi. Untuk ahli-ahli lain, sanshin no kata belum diajar setakat ini untuk mengelakkan ia memberikan kesan buruk kepada pengajaran karate. Begitu juga dengan ken-kudaki dan keri-kudaki. 5 teknik yang asas ini boleh digunakan bersama teknik kumite dalam karate sebagai teknik lawan jalanan (street fight).






Bagi ahli yang baru menyertai kelas karate, kelas selama 2 jam memang tidak sempat untuk tumpukan pada banyak tajuk. Kalau ikutkan, sebenarnya kena ajar oi zuki, gyaku zuki, zenkutsu dachi dan beberapa uke/blocking sebab itu asas dalam karate. Dalam taijutsu, saya cuma ajar mengenai bahagian yang 'kecil-kecil' iaitu kyusho atau mengenali bahagian-bahagian yang menyakitkan bila dipicit :-D Bahagian-bahagian seperti pada kuku, urat, sambungan/joints, ligamen, ditekan sedikit untuk menyakitkan lawan. Kalau pada hujung kuku sama ada pada tangan tangan atau kaki, hanya tekan menggunakan kuku sahaja, kalau pada urat atau sambungan pada lengan dan ketiak, gunakan shako ken untuk berikan lebih perisa :-) Walaupun ditekan hanya sedikit, tetapi sakitnya, hmmmm!! Ada yang seperti kena renjatan elektrik atau kena tazer, siap ada yang terduduk lagi..

Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter IV

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

Sebelum 1st Dan...

Pada hari itu, sekitar 2011, saya melayari internet mencari laman berkaitan karate untuk mendapatkan maklumat kalau ada kelab karate lain di sini. Sebabnya kelab yang sebelum ini disertai sudah tidak aktif secara tiba-tiba. Mungkin sebab berpindah, itu wallahualam kerana ada beberapa kali sensei dihubungi tetapi tiada sebarang jawapan. SMS pun tidak berbalas. Hasil pencarian, memang ada dan nombor untuk diletakkan di laman berkenaan boleh dihubungi. Pada hujung minggu tersebut, saya ke dewan latihan seperti dimaklumkan untuk menyertai latihan di sini. Alhamdulillah, dapat juga merasa berlatih kembali. Bukan setakat berlatih, ada waktu bersembang juga. Daripada apa yang dibualkan, rupanya sensei di sini memang kenal dengan sensei sewaktu saya di Negeri Sembilan dahulu. Penting untuk tahu dalam hal ini bagi membolehkan saya teruskan latihan daripada tahap tali pinggang terakhir saya dahulu. Selepas beberapa kali latihan, datang seorang lagi sensei, dari universiti di sini. Katanya dari aliran Shito-ryu yang saya langsung tidak tahu menahu mengenai intipati kandungannya dan saya pernah katakannya 'ajaran sesat'. Sampai sekarang pun, kalau diungkit dan tersebut sahaja ungkapan 'ajaran sesat', terasa macam ada yang akan kena bambu.. hahahahaha...

Muka buat-buat tak bersalah yang macam nak kena pukul..hahaha





Jadi, untuk buktikan kepada saya bahawa apa yang dia ada itu bukannya ajaran sesat, kami pun berkenalan untuk bolehkan saya tahu lebih lanjut mengenai alirannya. Bukan setakat itu, dalam perihal pekerjaannya pun saya kena tahu. Katanya dia dari kalangan 'orang research' yang biasa buat kajian ilmiah, jadi banyak yang boleh didapati dan tahu bezanya mana yang betul dan mana yang 'sesat' selain tahu banyak rujukan. Jaringan dalam FB yang ditambah membolehkan saya turut mendapat banyak input yang berguna bukan sahaja berkaitan karate, tetapi juga isu semasa bahkan juga berkaitan agama. Hmm..baru tahu bukan sesat rupanya :-P

Selain berlatih di dewan pada sebelah petang hujung minggu, kini sudah boleh tambah pula pada sebelah malam di universiti tempat dia mengajar. Waktu itu, ahli masih ramai. Jadi, terasa seronok sebab dapat tambah lagi ilmu dan pengalaman terutama dalam kumite sebab perlu juga mempersiapkan diri sebelum ujian/grading untuk 1st Dan. Persediaan untuk kata - Bassai Dai dan Enpi. Kata Kanku Dai dan Kanku Sho, saya berlatih sendiri. Sewaktu ujian, rupanya tidaklah susah sangat, banyak yang dikira asas macam budak sekolah sahaja. Pada masa itu, belum tahu mengenai masalah silibus yang agak ketinggalan zaman dalam aliran disertai di sini. Tidak seperti ketika di Negeri Sembilan dahulu, ujiannya agak susah dengan kombinasi asas dan teknik yang banyak. Semakin tinggi tahap kyu, semakin susahlah ujian. Walaupun lulus, dalam hati ada juga rasa kecewa sebab tidak seperti diharapkan.




Selepas ujian, saya teruskan latihan seperti biasa. Namun saya mula berdepan keadaan yang tidak begitu menyenangkan dengan latihan di dewan. Setiap kali latihan, asyik-asyik benda yang sama sahaja ditunjuk. (Niiiiiiiiiiiiii.........) Ahlinya budak-budak sekolah yang disifatkan senseinya sendiri macam langau. Pantang tengok ke lain barang sekejap, mulalah bising dan tidak terkawal. Teknik asas yang sama membuatkan sesiapa pun yang dewasa akan terasa bosan dengan pengajarannya. Pasti akan tertanya "Takde mende lain ke nak ajar? Tunjuk la mende baru, boring la". Sudahnya kalau datang ke dewan pun, saya akan berlatih sendiri di belakang sementara budak-budak menghabiskan masanya menjerit sambil berlatih sebelum habis masa latihan. Ada masanya, kalau sensei ada hal lain dan perlu saya untuk ambil alih, dalam hati mulalah timbul rasa kurang senang sebab sudah tahu memang budak-budak ini tiada disiplin dan tidak boleh dikawal.

Setiap kali ini berlaku, saya akan pastikan habis latihan awal daripada biasa sebab bosan dan muak dengan perangai budak-budak ini. Lagi teruk, bila mereka tahu sensei tiada pada hari berkenaan ramailah yang berpakat sesama sendiri kata 'tiada latihan' sebab sensei tiada walaupun saya bersusah payah datang menggantikannya. Pernah juga beberapa kali saya datang dan terpaksa tunggu lama tahap gaban! SMS pada ibu bapa ahli sudah dihantar menyatakan ada latihan. Yang dibalas 'Ok', ingatkan adalah yang akan turun berlatih, malangnya bila waktu latihan, seorang pun tidak turun ke dewan! Melangutlah sampai sejam dua menunggu budak-budak yang entah ke mana. Yang teruknya (dan lagi tak guna), bila mereka nampak saya dari tingkat atas flat kediaman, mereka akan laung bertanyakan ada latihan atau tidak, dan sambil mereka menyorok macam sniper! Geram betul! Bukannya mahu turun dan berlatih walaupun kita kata 'ada'. Bila saya adukan keadaan ini, saya diajak ke universiti untuk sertai latihan mereka pada sebelah malam. Terubat sedikit rasa kecewa. Tidak kisahlah walaupun kelab di sini ahlinya semakin kurang sebab ada yang sudah tamat pengajian atau berpindah kelab atau atas alasan lain, yang penting tiada langau yang bising-bising, yang ada di sini budak universiti yang sudah dewasa dan reti bahasa. Bila diajar, boleh diikut. Kerana kecewa dengan apa yang berlaku di dewan latihan flat, pernah timbul rasa ingin bersara daripada karate... 30 tahun lagi.. Hahahahaha!





Kejohanan - pengurusan yang teruk dan sungguh memalukan!

Acara City Night Games berlangsung pada setiap bulan. Untuk acara bulan Mac dan Jun 2012, karate termasuk dalam senarainya. Untuk acara City Night Games pada Mac 2012, penulis berkesempatan bersama ahli di sini daripada mula persiapan acaranya sehingga selesai acara hari pertandingan. Dari mesyuarat, kerja teknikal, penyediaan hadiah kepada pemenang, semuanya boleh dikatakan berjalan dengan baik. Tidak seperti acaranya pada Jun 2012 sebab ada perkara yang dilihat seperti ambil lebih kurang. Penulis tidak dapat turut serta sepenuhnya pada hari itu sebab ada urusan lain. Hadiah tidak disediakan dalam bentuk hamper (hampeh!!) sebab kata AJKnya tidak sempat, jadi mereka sediakannya hanya dalam bentuk wang tunai diberikan dalam sampul surat. Untuk bulan Mei, karate tidak dimasukkan dalam City Night Games memandangkan akan diadakan Terengganu Shotoshinkai Karate Open 2012. Isu berkaitan kejohanan besar ini penulis ada coretkan dalam entri sebelum ini apabila seorang sensei yang menguruskan baju AJK teknikal dimarahi kononnya sebab dituduh menipu hal-hal bayaran berkaitan dan dimaki hamun, tidak hantar ahli untuk tolong buat persiapan selain dilempar bermacam tohmahan oleh orang yang kononnya sensei tetapi bukan sensei pun! Perkara yang sepatutnya diberi perhatian iaitu buku kejohanan langsung diabaikan, tetapi mug yang tidak penting itu pula yang disibukkan. Yang lebih menyakitkan hati bila selepas kejohanan berakhir, ada sensei naik angin sebab katanya semua orang lari dan tidak mahu tolong kemaskan barang-barang disediakan MSN. Walhal mereka ada AJK teknikal sekitar 20 orang. Mana pergi semuanya? Mangkuk betul! Ingat lagi katanya, "Teruk betul la diorang ni. Abis jer tournament buat macam ni, asal abis jer semua cabut lari bukan nak tolong angkut semua barang-barang ni. Ni yang aku malas dah nak buat kejohanan ni." Kawan yang seorang ini, katanya balik awal sebab isterinya hampir pengsan sebab belum makan dari pagi. Waktu itu, hari sudah senja. Semua orang pun bergegas mahu balik. Yang hilang telefon bimbit pun satu hal, lagi buatkan yang lain naik angin.





Changing track: taijutsu - the beginning

Pada masa itu, ahli di kelab universiti masih ramai sampaikan pernah satu sesi, saya dan ahli lain pernah berlatih di gelanggang bola keranjang sebab ramai sangat yang datang. Untuk menjadikan latihan lebih menarik, saya dan ahli lain diperkenalkan dengan teknik-teknik lain yang tidak termasuk dalam kumite yang melibatkan pulasan seperti omote gyaku, ura gyaku, oni kudaki, mushadori dan ganseki nage. Semua orang kena cuba, cuma pada masa itu taijutsu belum diperkenalkan untuk elak kekeliruan. Hanya pada satu sesi latihan, barulah penulis diperkenalkan teknik ini bukan bersumberkan dari karate, tetapi dari taijutsu.

Selepas diperkenalkan dan dijelaskan, barulah faham bezanya dengan karate. Antara yang mula-mula diterangkan, ia tidaklah bersifat 'rigid' seperti karate dan 5 teknik ini hanyalah asas dan semua orang yang pelajarinya wajib tahu sebelum teruskan belajar bahagian yang lain. Seterusnya, diperkenalkan ukemi, kamae dan sanshin no kata yang menggunakan pergerakan elemen seperti tanah/chi, sui/air, ka/api dan fu/angin. Nampak sedikit tetapi bila digunakan bersama kihon happo dan lain-lain, banyak pula henka-nya. Penulis sendiri pernah luahkan bagaimana pahlawan samurai Jepun dahulu sudah boleh fikirkan ilmu ini dengan begitu sistematik sehinggakan kita yang pelajarinya hari ini berasa pelajarannya begitu tersusun dan boleh difahami. Juga diterangkan ilmu ini turut mengajar ahlinya bergerak secara lebih natural dan tidak terlalu terikat. Untuk menambah kefahaman, penulis dijelaskan mengenai sejarahnya dan bagaimana ilmu ini bermula, apa yang diajar tetapi tiada dalam karate selain disarankan mencari bahan bacaan mengenainya. Saya mula belajar sedikit demi sedikit tentang teknik-teknik dan henka secara tangan kosong, dengan pedang, hanbo dan tanto. Selain itu, pergerakan elemen dengan sanshin no kata seperti ichimonji, jumonji, kosei dan doko no kamae. Seigan no kamae pula diajar bila menggunakan pedang. Sesungguhnya pada masa ini habuk pun tak pahamm!

Susah untuk fahaminya sehinggalah diterangkan ia bukan perlu 'rigid' tetapi perlu faham mekanik pergerakannya. Contohnya, genggaman fudoken seperti dalam gerakan elemen tanah/chi bukanlah bermaksud penumbuk tetapi genggaman itu secara longgar atau loose sahaja. Ia boleh mewakili apa sahaja, pegang penyucuk, pegang kunci kereta, kayu, gunting, pembaris, pedang atau apa sahaja. Begitu juga shutoken dalam asas sui/air, ka/api atau fu/angin. Bukanlah ia bermaksud rigid sebegitu. Perlu dalaminya lagi untuk lebih lanjut. Seperkara lagi, kalau karate mengajar tenaga itu dari pinggang, dalam taijutsu mengajar menggunakan berat badan. Kalau dalam karate perlu gunakan 'kime' atau nafas (sss! sss! ssss!! setiap kali melepaskan pukulan), tetapi ia tidak diperlukan dalam taijutsu. Saya ada tuliskan dalam beberapa entri sebelum ini mengenai hal ini.

Kalau dalam karate ada kaedah kime tetapi tiada kaedah berlawan secara atas lantai/ground fighting. Ini kerana dalam karate sangat menekankan supaya sentiasa memastikan diri anda tidak dijatuhkan. Apa yang terjadi di luar adalah di luar kawalan. Jadi seseorang itu tidak akan tahu kalau-kalau akan dijatuhkan dan menjadi lauk kepada pihak lawan. Jadi, di sini taijutsu 'menampung' kekurangan ini kerana turut mengajar bagaimana kaedahnya berlawan dalam keadaan demikian dan bagaimana kesudahannya kalau dijatuhkan.






Sedari awal mempelajarinya, mula timbul satu perasaan lain yang sebelum itu tidak pernah ada selepas berlatih karate. Kalau setiap kali habis latihan karate, tidak akan terasa apa-apa kecuali berpeluh dan penat. Jauh sekali sampai terbawa ke dalam mimpi. Dengan taijutsu, walaupun selepas pulang, terasa ada satu 'sensation' yang lain. Mungkin sebab pendekatannya yang lebih natural. Habis latihan, penulis pernah dinasihatkan bahawa apa yang diajar dalam taijutsu ini banyak yang tiada dalam karate. Antara lain, karate tidak ajar sehingga perlunya hati si pengamal seni itu bersih tidak sebagaimana taijutsu. Sebabnya dalam taijutsu, katanya kalau dalam hati si pengamal itu ada niat tidak baik, taijutsu itu sendiri tidak dapat digunakan dengan baik. Itu seperti yang dijelaskan oleh orang lama yang beragama lain yang amalkan taijutsu. Bagi kita yang beragama Islam, lebih baik lagi kerana dalam Islam juga ada menyebutkan segalanya bermula dari hati itu sendiri, yang bersih. Selain itu, dalam seni beladiri lain posisi berdiri berlawan itu ditunjuk, tetapi dalam taijutsu mengajar supaya hanya letakkan posisi berkenaan (ichimonji, jumonji, dll) dalam kepala/ingatan sedangkan dari luar sekadar berdiri shizentai/natural posture sahaja sudah memadai.



Pada awalnya, kami belajar menggunakan kihon happo dengan sanshin no kata. Itu pun hanya asas sebab awalnya terasa agak kekok dengan fleksibiliti taijutsu. Saya sendiri perlukan masa untuk biasakan diri dengannya. Selain itu, kami juga belajar asas takeori dan kyusho pertama iaitu oya goroshi dan ko goroshi. Mak uihhh...tekniknya sedikit sahaja, namun sakitnya tak terkata! Walaupun selepas tamat latihan, oleh kerana tangan sudah merasa nikmatnya belajar taijutsu ini, timbul satu lagi 'tabiat' iaitu jemari tangan terasa seperti  mahu genggam atau tangkap sesuatu.

Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter III

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




Going away and back again....


Berbanding latihan di kelab sebelum ini, selain daripada buat latihan asas/kihon, kata dan kumite. Setiap kali kelas pagi Sabtu, kami turut selitkan latihan dengan permainan/game. Antaranya larian, lompatan, adakala campur dengan kihon, atau pun kena lawan seperti sumo. Siapa jatuh dia kalah.

Apa punya kes! Kadang-kadang ada juga sensei tidak begitu puas hati dengan latihan. Biasanya disuruh buat lain, tetapi lain pula dibuatnya. Saya sendiri pun tidak terlepas daripada hukuman walaupun bukan hukuman mati :-) Bukannya apa, sekadar membetulkan apa-apa yang mungkin tersilap. Lagi teruk kalau sekelas kena! Ada sekali, kami semua disuruh untuk pusing/mawatte sahaja dari zenkutsu dachi gedan barai (forward stances, downward block). Ingat lagi, waktu itu kami berlatih di gelanggang tenis. Bila setiap kali pusing, kaki pun akan beralih. Sedar-sedar semua sudah teranjak ke tepi pagar! Sudahlah panas, terhimpit pula. Pernah juga pada satu hari latihan, ramai yang tidak datang. Yang ada cuma saya dan 2 orang kawan sahaja. Namun sensei teruskan juga latihan hari itu. Tiada latihan asas/kihon, terus sahaja disuruh buat kata dan kumite. Kumite pun sama sendiri sahaja. Mungkin sebab mood pun agak baik, kawan yang seorang lagi jadi lauk ketika kumite. Terus meneruslah kena beduk! Sampai senak si kawan mahu bernafas! Di hari lain, masing-masing macam mengungkit semula setiap insiden setiap kali kumite, ada yang tersangkut kaki sebab kena tangkap dan macam-macam lagi. Oleh sebab suka duduk sekelompok, sudahnya jadi macam main kutu. Setiap kali ada kumite, masing-masing tunjuk ke kawan, siapa belum lawan dengan siapa, dan seterusnya. Ketika itu, kami masih gunakan sarung tangan putih tidak seperti sekarang yang gunakan warna merah (aka) dan biru (ao). Sistem tali pinggang kumite juga lain, menggunakan shiro (putih) dan aka (merah).

Kejohanan karate 1999. Selesai SPM, walaupun dalam keadaan masih lemau sebab lama sangat berhenti bagi memberi laluan kepada SPM, latihan disambung juga. Dalam pada itu, saya menanti bagaimana keputusannya pada hujung bulan Mac 1999. Kejohanan pula akan berlangsung pada kurang dari sebulan.

Kalau tidak silap, berlangsung pada awal April 1999 di dewan Kolej Mara Seremban. Tengokkan pada saingan, ramailah juga. Penulis waktu itu sudah lepas umur 18 tahun. (Ingatkan lepas SPM boleh dapatkan kerja sambilan macam kawan-kawan yang lain, mak bapak pulak yang tak bagi! Kununnya kalau sudah pegang duit, nanti tak mahu sambung belajar. Apahal mak ayah aku nie?) Oleh sebab itu, saya pun ikuti kursus untuk buat laman web dan internet di pusat komputer berhampiran untuk isi masa kosong yang banyak.






Kejohanan karate itu berlangsung sehari. Penulis masuk kategori 18 tahun. Yang ingat, masa itu ada seorang pesaing sama taraf tali pinggang, dari tempat lain. Dengar ceritanya pernah main di Sukma. Ye ke?? Itu cuma cerita orang. Oleh sebab bilangan pun tidak ramai, maka perlawanan kami ditunda ke petang. Sementara itu, buat apa? Ahh, melangut la! Bosan tahap gabanlah menunggunya. Perlawanan anak-anak buah berjalan seperti biasa. Ada masanya keluar dari dewan sebentar untuk hilangkan rasa bosan ini. Selepas Asar dan sesudah selesai banyak perlawanan lain barulah tiba giliran penulis untuk kumite. Masuk! Masuk! Masuk lagi! Bengang ni! Asyik-asyik dia yang dapat skor! Perlawanan berkesudahan 0-3. Hampehh tul! (Walaupun dapat pingat perak) 

Selesai perlawanan, saya terus dipanggil oleh pegawai perubatan bertugas untuk diperiksa sebab pukulan tadi nampak teruk dan menyakitkan. Tumbukan terus ke abdomen menyebabkan kulit dada menjadi merah dan seperti kesan terbakar. Bila sapu ubat dan dituam dengan ais, mak uiihhh...sakitnya bukan main! Pesan pegawai berkenaan, saya akan alami gangguan tidur dan kesukaran bernafas mulai malam ini sebab kecederaan ini. Disarankan supaya jangan tidur meniarap. Rupanya sakit bukan sehari dua, tetapi berlarutan sehingga 3 bulan. Bayangkan, dua bulan pertama masih di rumah dan sebulan seterusnya dilalui bila sudah masuk ke UiTM. Setiap hari itulah terasa perit, ketika makan atau sekadar pergi berjalan, beriadah atau setakat duduk melepak pun sakit. Errrkk...

Pun begitu bukan saya seorang yang alami kecederaan. Salah seorang anak buah, rahangnya lari sebab kena tumbuk (jaw dislocation). Bukan menyayat hati pun, menyakitkan hati adalah.  **siggh**






Time to let go...


Menjelang Mei 1999, keputusan UPU diterima. Dapat pilihan kedua iaitu Kejuruteraan Elektrik. Penulis akan menyambung pengajian di Pulau Pinang sebagaimana dinyatakan dalam surat tawaran yang diterima. Nampaknya latihan karate bakal berkubur. Pada masa itu, keadaan tidaklah seperti sekarang. Kedatangan teknologi internet dan perkembangan kafe siber pun baru bermula. Mana ada bising-bising mahu muat turun atau muat naik itu ini, mana ada lagi Youtube, Instagram, Twitter jauh sekali blog atau Facebook. Kalau mahu cari bahan rujukan untuk tugasan pun masih terhad. Cuma yang sedang rancak ketika itu ialah chatting MIRC. Guna ruang chat untuk bersembang dengan entah siapa-siapa. Tajuk pun merapu sahaja. Lagi malang kalau guna ruang ini untuk cari makwe. Yang baiknya, dapat seorang adik angkat. Hahahaha...

Pada Disember 1999, selesai semester pertama pengajian di Pulau Pinang dan kami sekeluarga mendapat berita akan berpindah dari Negeri Sembilan ke Terengganu. Menurut bapa yang ketika itu masih belum pencen, dia dapat tukar ke MRSM Kuala Berang, dan permohonan untuk tukar ini berjaya setelah 7 kali dimohon. Sedih bukan setakat tinggalkan latihan karate di sini, tetapi juga sebab terpaksa tinggalkan kawan-kawan yang sudah bersama sejak kecil. Yang tinggal buat masa ini, kawan-kawan yang ada di tempat pengajian. Itu pun berjumpa bila di semester pengajian. Bila balik cuti, semua sunyi dan senyap.



Ohhh..kesunyian seketika....

Latihan karate masih berkubur dari 1999 hinggalah 2005 setelah saya tamat pengajian diploma selama 3 tahun dan ijazah selama 2 1/2 tahun lagi.

Hanya pada 2006, sebelum mengikuti satu program latihan multimedia di sini, ketika itu sedang berjalan-jalan sekitar pantai Batu Buruk, penulis ternampak satu pasukan karate di bawah seliaan pegawai polis sedang membuat latihan dan terus tanyakan lebih lanjut mengenai latihannya. Memang pada mulanya tidak tahu menahu ada tempat latihan karate di sini, walaupun tidaklah sebesar yang ada ketika di Negeri Sembilan. Saya pun segera minta nombor telefon manalah tahu akan hubunginya nanti. Selain itu saya juga berkesempatan menemui pasukan ini sekali lagi ketika mereka mengadakan demonstrasi di stadium pada satu acara sebelah malam.







Pun begitu, hanya pada penghujung 2008 barulah berpeluang menyertai sesi latihan baru ini. Tidak kisah walaupun bilangan ahlinya yang kecil. Saya sendiri berlatih di kelab ini pun tidak lama sebelum bertemu 2 orang jurulatih lain yang turut mengajar karate di sebuah dewan latihan di sebuah kawasan perumahan flat polis di sini. Latihan pun selang seminggu sahaja boleh datang sebab pada masa itu bekerja secara syif yang bertukar seminggu sekali. Minggu ini syif siang, minggu depan syif malam, dan seterusnya sehingga dapat kerja lain. Saya turut dijemput mengikuti latihan di universiti di sini pada sebelah malam dengan jurulatih yang seorang lagi. Menyertai latihan di sini telah membuka satu lagi tirai kepada ilmu seni beladiri yang baru yang selama ini tiada di negeri ini. Jauh daripada sukan, lebih dekat dengan kehidupan. Membawa kembali diri ini daripada seni beladiri sukan kepada tradisional. Jauh dalam diri ini, memang inilah sebenarnya yang dicari - sesuatu yang dekat dengan kehidupan dan lebih realiti, bukannya sukan yang hanya boleh guna di gelanggang, tetapi tidak atas jalan. Combat!



Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter II

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....





Pada tahun 1996, sekitar pertengahan tahun, masih ingat lagi ketika itu pelbagai program di bawah label Rakan Muda sedang giat diusahakan di seluruh negara. MRSM kami juga tidak ketinggalan menyertainya menerusi Rakan Wajadiri peringkat daerah Jelebu. Pada sesi latihan itu, sensei mewarwarkan mereka memerlukan ramai penyertaan daripada para pelajar yang bukan ahli yang berminat untuk menyertai. Dapat baju percuma dan macam-macam benda lagi, ahh itu semua tarikan. Makan minum peserta semuanya disediakan. Maka berduyunlah kawan-kawan yang datang mendaftar. Latihan setiap petang awalnya dibuat di kawasan latihan kami sahaja. Latihan untuk demonstrasi kelab karate juga tidak ketinggalan diadakan untuk program ini. Kiranya saya ada dua macam latihan untuk hari program berkenaan. Banyak lagi kelab seni beladiri datang untuk demonstrasi hari berkenaan.


Pada hari acara, program ini diadakan di satu kawasan padang dalam pekan Jelebu ketika itu. Ramainya manusia yang datang dari pelbagai ceruk. Seluruh warga MRSM kami juga datang pada hari itu. Habis sahaja demonstrasi Rakan Wajadiri, kami ahli kelab karate bergegas menukar baju Gi untuk demonstrasi karate pula.


Seterusnya, kami yang masih junior ketika ini diminta duduk. Giliran senior pula mengambil tempat untuk demonstrasi kata menggunakan nunchaku. Akhir sekali giliran sensei dari kelab di Kompleks Sukan Paroi pula melakukan demonstrasi memecahkan blok ais setebal 4 keping. Bamm! Habis semuanya.. selesai..........


Sebelum berakhirnya pembelajaran di MRSM dan selepas PMR, penulis sempat bertanyakan pada sensei tempat lain untuk latihan karate. Penulis dicadangkan untuk sertai latihan di Kompleks Sukan Paroi, tempat kami hadiri kejohanan dahulu sebab di situ kelasnya pada pagi Sabtu dan Ahad, dan jurulatihnya adik sensei sendiri.







Changing lanes....


Permulaan baru. Selepas mendapat keputusan PMR (begitu 'jayanya'), penulis memutuskan untuk sambung pelajaran di sekolah teknik berdekatan rumah ketika itu dan tidak perlu duduk di asrama. Lagi bagus sebab berpeluang juga ke kelas karate baru pada hujung minggu. Penulis bulatkan tekad untuk datang sendiri ke kompleks berkenaan pada minggu kedua cuti hujung tahun 1996. Pagi itu, saya hanya berjalan kaki dari rumah ke kompleks sukan ini untuk sertai latihan. Baju Gi dan kad ahli dibawa sekali. Bila jumpa dengan sensei di sini, mulanya dia terkejut juga kenapa boleh datang dari Jelebu untuk latihan pagi itu. Setelah dijelaskan dan ditunjukkan kad ahli, barulah saya jadi ahli di kelab baru di sini. Dapat juga kenal kawan baru dari tempat lain. Latihan sedikit berbeza sebab adakala kawasan dewan kompleks digunakan oleh pihak lain, jadi kami akan gunakan sama ada di gelanggang tenis, gelanggang bola tampar, atau kawasan luar untuk berlatih.


Kejohanan lagi! Kali ini dan bersama pasukan baru, kami dimaklumkan oleh sensei akan ada kejohanan pada hujung Februari 1997 dan dimaklumkan juga MRSM Kuala klawang antara pasukan yang akan datang. Habis semua ahli di sini tengok penulis! Sebab pasukan mereka kali ini diketuai oleh junior saya  yang telah mengambil alih jawatan Presiden kelab tersebut selepas PMR yang lalu. Seperti tahun lepas, kejohanan kali ini juga diadakan bermula pada malam hari pertama dengan ujian/grading. Selebihnya berlangsung keesokannya. Memang, dan sebagaimana dijangka, ketika kejohanan itu pasukan mereka telah bertemu dengan pasukan baru bersama saya dan ia adalah satu kejutan!


Malam ujian/grading. Saya ambil ujian kali ini untuk naik dari ungu ke brown-4. Ujian kali ini lebih susah tetapi dapat lulus. Selesai ujian, saya duduk melepak bersama ahli senior lain sementara menanti kawan lain selesai juga. Ujian berakhir sekitar 11.00 malam. Esoknya, kami semua beramai ramai menyertai acara kumite. Seronoknya kali ini sebab perlawanan saya dapat habis awal. Bolehlah bersorak, melepak sambil minum-minum sambil menonton perlawanan macam dekat stadium. Kawan dari persatuan silat juga datang menonton. Selesai semua acara, kami bukan terus balik ke rumah tetapi melencong ke pasar malam untuk beli minuman.


Tahun 1997 dan 1998 ialah tahun untuk tumpukan perhatian pada SPM. Walaupun latihan di kompleks berjalan seperti biasa, tetapi tidak dapat hadir selalu sehinggalah selesai SPM. Cuma sekali sekala sahaja datang menjenguk ke dewan latihan. Sepanjang berlatih karate di sini, bermula daripada lulus ujian/grading pada 1997, banyak lagi asas dipelajari selain kata baru iaitu Bassai Dai dan Bassai Sho, Tekki Nidan dan Tekki Sandan dan Kanku Sho.

Sekadar Luahan - My Karate Story: Then and Now: Chapter I

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

Perjalanan setakat ini ..........




3 tahun pertama...

Perjalanan penulis dalam dunia seni karate bermula pada 1994 ketika menyambung pelajaran di MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, sistem pendidikan sedikit berbeza daripada sekarang kerana sesi persekolahan baru akan bermula pada Disember tahun sebelum itu. Sistem ini digunakan selama beberapa tahun sebelum itu. Hanya pada tahun 1996 (kalau tidak silap) baru sistem ini dianjakkan ke bulan Januari dan digunakan sehingga kini. Ingat lagi, semua sekolah seluruh negara diberikan cuti dua minggu untuk proses anjakan sistem ini. Begitu juga MRSM, cuma kami 'tolak' cuti ini ke cuti Aidilfitri menjadikan jumlah hari cuti Aidilfitri kami lebih lama.

Berbalik kepada cerita karate. Pada sesi pendaftaran kelab dan persatuan pada 1994, penulis mula daftarkan diri. Asal niatnya hanyalah masuk sebab minat. Itu sahaja.

Pada hari pertama latihan, penulis datang. Senior pada waktu itu tegas dengan muka yang bekeng (bahasa Terengganu untuk 'garang'). Sudahlah badan sekeping macam papan lapis, kecut pula perut. Latihan diteruskan juga. Mula-mula sekali kami belajar oi zuki, uke, zenkutsu dan kiba dachi. Pada waktu itu sensei banyak guna istilah dalam bahasa Inggeris. Begitulah istilah digunakan selama beberapa tahun seterusnya sehingga menjadi kebiasaan waktu itu. Latihan asas seperti biasa. Saya pun ikut sahaja, langsung tidak tahu kalau pada masa itu ada sebarang silibus. Sapu sahaja!

Pernah juga ada hari latihan ketika menunggu sensei tiba, senior akan ajar apa-apa yang patut. Paling ingat, bila diajar 'turning kick'. Susah tetapi seronok sebab sebelum itu selalu tengok hanya dalam filem di tv sahaja. Kata yang kami mula-mula sekali pelajari ialah taikyoku shodan, taikyoku sandan dan heian shodan. Sekitar pertengahan tahun, kami ambil ujian/grading yang pertama. Takut sedikit sebab ada pemeriksa dari luar (walhal orang tu la jadi sensei aku lepas tu..hahaha). Pada masa itu, banyak kriteria yang diuji. Dalam asas/basic sahaja pun ada tingkatnya - lower, middle dan higher basic. Kemudian ada one-step sparring dan kata. Tiada jiyu kumite lagi sebab baru tali pinggang putih. Alhamdulillah, lulus juga. Dapatlah naik ke tali pinggang hijau.


Minggu ko-kurikulum...

Kami diminta untuk tunjukkan demonstrasi. Sensei pada masa itu sudah sediakan papan untuk dipecahkan. Yang kelakarnya, sewaktu persediaan di belakang pentas, sudah ada seorang ahli kami tersilap pecahkan sekeping. Asalnya untuk 'rehearsal' sahaja, entah macam mana boleh terpecah. Walaubagaimana pun, demonstrasi itu masih berjalan lancar.

Minggu berikutnya, masing-masing sudah mula pakai tali pinggang baru. Kami pun mula didedahkan dengan kumite. Oleh kerana petang itu hujan, maka kami gunakan kelas yang kosong untuk latihan. Tidak banyak ruang diperlukan, cukup untuk membolehkan sensei jalankan kelas dan terangkan bagaimana kaedah untuk dapatkan mata untuk kumite dan sedikit demo. Kelas berikutnya, barulah kumite di dataran tempat berlatih. Pada masa itu, takutnya bukan main. Mana tidaknya, tidak pernah sekalipun bergaduh di luar, inikan pula dalam gelanggang. Dengan memakai headgear khas yang menyesakkan nafas macam Darth Vader, dengan panasnya, rasa kumite ini sungguh teruk. Lagi tertekan bila ada pula penonton dari tingkat atas bangunan yang menonton perlawanan di dataran. Dengan segala kekurangannya, kalah jugalah keputusannya. Lagi menambahkan tekanan bila ada pula yang mengajuk dan mengejek-ejek laungan 'kiai' macam gagak tercekik udang. Sudahlah panas dan kalah, marah memang tidak terucap! Sabar! Sepanjang 3 tahun pengajian di situ, setiap kali latihan akan adalah kedengaran bunyi ejekan yang sama. Pun begitu, menghala ke akhir tahun, kumite lebih baik sedikit walapun masih kedengaran bunyi ejekan yang sama. Terasa macam ada yang mahu kena pukul? Mahu pukul orang? Huhh! Jangan cakaplah! Memang ada! Menjelang ke akhir tahun, super senior akan ambil PMR dan sudah letak semua jawatan persatuan dan kelab. Maka kelab karate kami pun sama. Kami adakan mesyuarat dan senior ambil alih jawatan untuk tahun berikutnya.

Akhir tahun. Kami diberitahu akan ada satu kejohanan karate di suatu tempat dan sesiapa yang dapat pergi dipersilakan untuk buat latihan berasingan. Bukan setakat itu sahaja, di kejohanan itu nanti, akan ada satu lagi ujian/grading diadakan. Malangnya penulis dan beberapa ahli tidak dapat turut serta. Jadi kami terpaksalah berlatih dengan seorang sensei lain ketika itu. Tengok logo kelabnya pun lain, katanya dari Indonesia! Wahh..bisa ngajarin karate dongg! RASAINN!! :-D Daripada latihan bersama sensei ini, dua perkara yang penulis masih bawa ketika dalam latihan sehingga kini iaitu kaedah menumbuk dengan mengeluarkan tenaga dari pinggang dan kaedah memakai tali pinggang.

Tahun 1995. Kelas karate berjalan seperti biasa. Super senior lama sudah meninggalkan kami, ke MRSM cawangan lain. Kami pula naik sebagai senior Tingkatan 2, yang dahulunya Tingkatan 2 sudah jadi super senior Tingkatan 3 dan ada ahli junior baru. Cuma kali ini, di kalangan kami ada yang sudah berbeza tahap tali pinggang sebab ada yang sudah lulus ujian/grading selepas kejohanan pada hujung tahun lalu. Kami yang lain masih dengan hijau, mereka sudah naik tali pinggang biru. Pada awal latihan, kami yang senior ini ditugaskan oleh sensei untuk ajar yang junior serba sedikit asas dan kata. Kali ini, sensei banyak tumpukan pada kata berbanding kumite. Rasanya boleh kira dengan jari berapa kali dia datang bawa peralatan kumite. Selebihnya one-step sparring, kata dan latihan asas. Teknik tumbukan/zuki, tahan/uke dan tendangan/keri juga banyak yang ditunjukkan, cuma mungkin sebab kami masih budak lagi, jadi tiada istilah diperkenalkan.






Di satu pagi Sabtu, kami adakan latihan. Kali ini disertai seorang juara kejohanan karate kalau tidak silap, dari Singapura. Pada masa itu, kami sedang belajar kata Heian Nidan. Masih ingat lagi, ketika itu suasana dataran agak bising sebab pelajar lain yang baru sudah selesai prep pagi keluar kelas dan jadi penonton. Di pagi Sabtu yang lain, semua pelajar yang sepatutnya hadir prep pagi dengan suka-suka hatinya dipanggil oleh pengajar kawad untuk turun kawad di kawasan parkir kenderaan depan pejabat. Sudahlah garang tak kenal tempat, panggil ikut suka sahaja bila dia mahu kawadkan budak. Kami pula sepakat dengan semua ahli kelab, kata ada latihan di padang. Maka terlepaslah kami semua daripada seksaan dan dendaan yang menyeksakan. Bukan sekali tetapi adalah beberapa kali kami buat demikian, kadang-kadang kata ada perjumpaanlah, mesyuaratlah, dan setiap kali itulah terlepas! Hehehehe... Bila di padang, sebenarnya bukan berlatih apa sangat. Kata Taikyoku Shodan, Taikyoku Sandan dan Heian Shodan. Itu sahaja. Selepas itu, bermain dan melepak sambil menunggu yang lain selesai kawad. Yang lagi seronoknya berkenaan pengajar kawad ini, tahun berikutnya dengar ceritanya sudah dibuang kerja kerana menampar seorang guru lain. Yang menggantikannya selepas itu lebih baik. Semua orang pun boleh ikut tanpa perlu risau ditengking atau kena marah kalau tersilap langkah..Hooraayy!!

Minggu ko-kurikulum datang lagi. Kali ini, sensei tidak dapat memberikan bahan untuk demonstrasi, maka kami terpaksalah buat latihan dan lakonan sendiri. Berbezanya idea kami ini sebab tiada kayu dipecahkan. Sekadar demo yang enjoy :-P Bila sesi latihan seterusnya, sensei tanya macam mana? Semua kata 'ok..ok..ok.' Hehehe.. Seterusnya, ujian/grading datang lagi. Berbanding tahun lalu, kali ini sesi kumite lebih baik sebab tidak kedengaran gelak tawa dan ejekan daripada penonton-penonton gila dari kelas di tingkat atas. Walaupun begitu, oleh kerana kumite kami tiba-tiba menjadi agak agresif, maka sensei tampil memberikan amaran. Giliran ahli seterusnya terpaksa pakai pelindung badan/body pad. Habis semua ahli tengok kami semacam! Alhamdulillah, sekali lagi lulus. Kali ini dari hijau naik pula ke tali pinggang biru. Sesi latihan seterusnya, kami diajar kata Heian Sandan dan Heian Yondan. Bagi yang lain yang di tali pinggang biru, mereka kini sudah naik ke tali pinggang ungu. Mereka diajar kata yang selangkah lebih tinggi - Heian Godan. Kali ini sensei bawa dua orang anak lelakinya untuk demo kumite.






Akhir tahun... 

Senior sudah melepaskan jawatan mereka dalam semua kelab yang dipegang untuk menumpukan pada PMR. Kami bermesyuarat sekali lagi. Entah apalah idea tak guna kawan-kawan, penulis pula dilantik untuk jadi Presiden untuk tahun seterusnya. Kecoh satu sekolah. Sebab masing-masing pilih bulu! Mahu yang jadi ketua ke, presiden ke, daripada jenis yang macam itu dan macam ini. Siap ada yang datang maki penulis kata 'mabuk! lagi. Sekadar mengungkit, nasib baiklah tidak jadi macam seorang kawan sekelas penulis, kalau tertekan dia akan kena penyakit yang kami panggil 'stress' sampai jatuh macam kena sawan dan sedikit meracau-racau. Insiden itu sudah beberapa kali berlaku sebelum itu, selalunya atas pelbagai sebab antaranya kena buli dan diperli, orang tidak ikut cakap, mulut suka mengata dan sebagainya. Setiap kali lepas insiden, biasanya dia akan dihantar ke hospital daerah yang berdekatan (sebab tiada klinik sekitar pekan ketika itu) dan tidak datang kelas dalam 2 atau 3 hari. Untuk hujung tahun kedua pengajian di sini, penulis dan ahli kelab berpeluang hadir ke kejohanan karate buat pertama kali di Rembau. Kejohanan selama sehari ini bermula awal pagi hingga ke petang. Acara dipertandingkan ialah kata individu dan berkumpulan 3 orang, kumite individu dan berkumpulan. Dalam banyak acara disertai, kelab kami hanya bawa balik satu kemenangan sahaja menerusi kata berkumpulan. Selebihnya tewas di separuh akhir.

Tahun berikutnya, 1996. Tahun ke-3 penulis dan kami naik sebagai super senior. Kami sekali lagi menyertai kejohanan yang diadakan, kali ini di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan. Kejohanan ini diadakan selama 2 hari. Hari pertama bermula pada sebelah petang dan malam dengan ujian/grading selaras. Diadakan untuk semua peserta daripada semua kelab di bawah logo persatuan karate negeri ini. Malam itu peserta sungguh ramai dan penontonnya.. woww! lagi ramai dan lagi gila daripada penonton di balkoni bangunan di tempat belajar. Penulis ambil kesempatan ini untuk naik ke tali pinggang ungu. Esoknya kejohanan sebenar bermula. Dimulai dengan acara kata berpasukan dan individu, sebelum disusuli dengan acara kumite berpasukan dan individu.

Sepanjang acara. Kali ini ramai juga senior dan karateka yang turun, maka saingan agak sengit. Untuk acara kumite sahaja sudah ramai dan penulis kalah pada perlawanan disertai. Ada antara anak buah yang masuk bertanding ada yang sampai diarahkan tukar seluar sebab koyak pada lutut. Untuk tidak membuang masa, kami sepasukan beratur sebagai 'benteng' bagi memudahkan dua ahli kami menukar seluar sebelum perlawanan bermula. Insiden lain sempat dilalui bila ada ahli yang perempuan sampai tertanggal tudung bila tanggalkan headgear selepas senak terkena pukulan di perut. Ramailah ahli perempuan yang lain turun jadi benteng pula. Yang lebih menjadikan kami semua pasukan perhatian sebab pasukan kami satu-satunya yang memakai windbreaker berwarna hijau. Jadi, disiplin pasukan kami juga diperhatikan dan penulislah orang yang kena bertanggungjawab untuk semua yang berlaku kepada pasukan. Untuk kali ini, alhamdulillah kerana kami menang besar juga. Selesai penyampaian pingat, kami dapati pasukan kami adalah naib juara keseluruhan berdasarkan kutipan pingat. Selain itu kami juga dinobatkan sebagai pasukan disiplin terbaik. Minggu selepasnya, sewaktu sesi perhimpunan, semua ahli pasukan kami diberikan sijil penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Pengetua kami selain diumumkan naib juara keseluruhan. Ahh, bangganya bila menerima tepukan gemuruh. Seterusnya latihan kami berjalan kembali seperti biasa tetapi kepada kami yang super senior, sudah tidak selancar dahulu lagi sebab sudah banyak kelas tambahan perlu dihadiri sebagai persediaan menghadapi PMR.

Ketika latihan, kami sempat belajar kata Tekki Shodan, Heian Godan dan Bassai Dai selain mengulangkaji Heian Sandan dan Heian Yondan. Kami juga sudah jarang kumite. Tidak tahu apa sebabnya sensei lebih banyak tumpukan pada aspek kata dan bukan kumite. Kami ikutkan sahaja walaupun pada masa itu belum tahu yang kata adalah 'jantung' pada karate. Kini semakin menjelang PMR, walaupun hari latihan berjalan seperti biasa, kali ini yang turun berlatih adalah ahli-ahli junior. Ingat lagi, sewaktu mereka berlatih, penulis sedang dalam kelas tambahan Geografi di tingkat 2 bangunan akademik bersama Timbalan Pengetua. Nampaklah juga mereka sedang belajar Bassai Sho dengan sensei. Hmm.. kempunan jerr :-( Hanya pada sebelah malamnya, penulis ke bilik junior dan tanyakan terus mengenainya. Rakan sebilik yang juga ahli turut tidak ketinggalan ambil kesempatan bersama penulis untuk berlatih kata ini.

Minggu aktiviti. Minggu tanpa kelas. Jadual sepanjang minggu? Sukan, riadah, majlis. Ada satu malam diadakan majlis dinamakan Malam Penghargaan. Kalau pada tahun lalu, penulis dan beberapa kawan lain tidak dapat apa-apa. Hanya sekadar melihat dari jauh dan kempunan kerana tidak dijemput sebab tiada pencapaian. Sekadar duduk telan air liur bersama beberapa kawan di surau sambil dengar bising lagu-lagu dari pembesar suara selain beberapa tepukan gemuruh di bangunan akademik tempat majlis ala VIP itu diadakan. Bila semua kawan-kawan balik ke asrama selepas selesai majlis, lagilah terasa seperti ketinggalan sebab tidak dapat turut serta.

Kali ini, mungkin ada sedikit makna sebab dapat juga merasa bukan setakat makan dan duduk di tempat ala VIP dengan pakai kemeja dan tali leher, juga menerima sijil penghargaan disampaikan sendiri oleh tuan Pengetua atas pencapaian kelab karate pada tahun 1996 itu. Pelajar lain juga menerima sijil penghargaan atas pencapaian masing-masing.

Kelas akademik seterusnya berjalan seperti biasa hinggalah PMR. Hujung tahun dan sebelum majlis konvokesyen dan penutup, seluruh rakan seangkatan ke perkhemahan di Sungai Congkak selama 3 hari 2 malam. Seronok!