MY FOLLOWERS

Friday, December 18, 2015

Kesihatan - Perlu Ke Budak-budak Tidur Lewat Ketika Cuti Sekolah?

Kredit kepada: Yahoo Lego Featured
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....

 


Kalau hari-hari persekolahan, malam sebelum itu memang akan tidur awal. Yang masih segar pun kena dipaksa untuk tidur awal juga sebab takut akan terlewat untuk sesi keesokan paginya. Lain cerita pula kalau yang bersekolah sesi petang. Tidur awal atau lewat sama sahaja, tiada apa yang istimewa pun kecuali kalau ada kelas mengaji pada sebelah pagi.

Teringat pula sewaktu di sekolah berasrama dahulu. Kalau keesokan itu hari cuti umum sehari atau hujung minggu, maka pada malam hari berkenaan tidak adalah ke kelas 'prep' atau singkatan untuk preparation. Kelas bebas tetapi wajib hadiri untuk buat ulangkaji sendiri atau siapkan semua kerja-kerja sekolah yang cikgu sudah berikan sebelum itu. Bila tiada kelas 'prep', bolehlah buat aktiviti sendiri, mahu tonton tv, basuh baju, kemas bilik, borak kosong di kantin atau di bilik, keluar ke pekan membeli barang, atau kepada yang terlebih rajin, buat kelas ulangkaji sendiri dengan kawan-kawan. Seperkara yang masih sama dengan hari-hari biasa, pukul 11.15 malam, loceng akan berbunyi suruh tutup lampu dan masuk tidur.   

Kalau yang tidak tinggal di asrama, jadual masa itu atur sendiri. Mahu tidur pukul berapa, tidak kisah. Asalkan jangan lewat sangat atau tidak tidur langsung. Bagi yang bersekolah sesi pagi, balik rumah selepas tengahari, selain ulangkaji dan siapkan kerja rumah,  boleh sahaja pergi minum airlah, tidurlah, bermain permainan video, apa sahaja. Ikut masa sendiri. Sebelah malam, pergi ke masjid untuk solat Maghrib terus sehingga Isyak, pun tiada halangan. Lagipun, mana ada kelas 'prep'. Hahaha... Balik rumah, selesai ulangkaji, solat, selesaikan apa yang patut, kemudian tidur. Yang seronoknya, tidak perlu ikut peraturan macam di asrama. Tidak perlu risau bunyi loceng suruh tutup lampu. Hehehe... Kalau waktu cuti sekolah, lagi seronok. Teramatlah banyak yang boleh disenaraikan berbanding dengan yang tinggal di asrama.   

Bila masuk universiti, jadual langsung berbeza. Sekejap jadualnya ada kelas pagi, petang, malam pun ada. Yang kena batal pun ada. Lebih banyak kebebasan. Boleh tentukan sendiri mahu masuk tidur awal atau lewat.

Mungkin ada yang fikir elok juga kalau diberikan ruang untuk buat apa yang disukai sehingga tidur lewat sedikit daripada biasa. Mungkin ada yang fikir selepas melalui tahun peperiksaan penuh dengan tekanan, kerja rumah berpanjangan dan bangun awal untuk ke kelas, elok juga meluangkan masa sekali-sekala tidur lewat sambil tonton tv tidak akan menjejaskan apa-apa. 

Dari satu sudut, waktu tidur yang tidak konsisten akan menyebabkan seseorang itu kurang produktif. Tidak kira pelajar ataupun yang bekerja, lebih-lebih lagi yang bekerja syif tidak menentu. Bagi mereka yang bersekolah atau di IPT, cabarannya adalah waktu transisi dari cuti ke waktu kelas keesokannya. Biasa juga dengar keluhan "Malasnya nak bangun." atau "Syoknya tidur, kan bagus kalau cuti lagi." sampai ada yang tarik semula selimut. Itupun masih terpaksa bangun juga.

Lebih penting, waktu tidur yang tidak konsisten boleh memberi kesan kepada perkembangan tingkah laku dan kognitif anak-anak.
 



Pentingnya waktu tidur yang konsisten

Setiap kanak-kanak perlukan waktu tidur yang cukup; 11 hingga 13 jam untuk prasekolah, 9 hingga 11 jam untuk berumur 6 hingga 13 tahun. Kajian terbaru menjurus kepada pentingnya rutin tidur harian yang konsisten begitu juga dengan kualiti dan kuantiti tidur itu.

Satu kajian daripada Kolej Universiti London menunjukkan kanak-kanak dengan jadual tidur yang tidak teratur berdepan masalah gangguan ritma tubuh semulajadi dan hilang jumlah masa tidurnya. Ini bakal memberi kesan kematangan otak dan keupayaan mereka untuk berkelakuan dengan baik. Jika tidur secara tidak teratur ini berlarutan bertahun-tahun, ia boleh membawa kepada masalah lain seperti hiperaktif, bertindak luar jangkaan dan menyisihkan diri.  


Saintis di institut kajian SRI International berpengkalan di California, menemui kanak-kanak yang mempunyai jumlah tidur yang cukup mempunyai prestasi lebih baik di sekolah. Kajian mereka terhadap 8000 kanak-kanak berusia 4 tahun menunjukkan waktu tidur mereka secara tetap menghasilkan perkembangan positif terutama dalam aspek bahasa, celik huruf dan kemahiran matematik.  

Oleh itu, adalah penting untuk membiasakan tidur yang cukup sebagai rutin bermula sejak dari kanak-kanak untuk mendapatkan perkembangan otak dan tubuh mereka yang optimum. Jelaskan pada mereka pentingnya tidur awal dan mereka akan dapat tenaga yang cukup untuk bangun pagi esok.


Membiasakan diri untuk tidur secara konsisten pada hujung minggu atau ketika cuti sedikit mencabar terutama kalau ada senarai aktiviti keluarga yang dirancang, tetapi kalau rutin itu diteruskan juga, ia membantu membiasakan tubuh dan menjadikan mereka bersedia untuk sesi pagi di masa-masa akan datang.     


Berikut ada beberapa cara boleh dicuba untuk biasakan diri tidur awal:
  1. Tetapkan waktu tidur dan bangun pagi untuk dibiasakan. Biasakan untuk setiap hari sama ada bersekolah atau cuti. Kalau hari cuti, tetapkan had supaya jangan tidur lewat sangat. Kalau lewat daripada biasa sekali pun, pastikan bangun juga pada waktu ditetapkan seperti biasa. Ini untuk pastikan kebiasaan tidur tidak dianjakkan.  
  2. Galakkan untuk bangun awal daripada tidur lewat. Galakkan mereka untuk bermain dengan kawan-kawan dan bersarapan. Pendedahan pada sinaran mentari pagi membantu mengawal jam dalam tubuh.
  3. Reka satu rutin tidur dan biasakan begitu. Elakkan daripada menggunakan telefon, komputer, tablet dan apa sahaja kerana ia boleh merangsang minda berbanding membantu mereka untuk tidur.  
  4. Bila sudah ada atas katil, pastikan mereka tidur. Kalau mahu minum air, memberus gigi atau ke tandas, pastikan ia diselesaikan awal-awal lagi.


Untuk membuatkan anak-anak ikut rutin tidur yang baik akan memastikan mereka menghargai dan mengutamakan tabiat tidur yang baik selain mengelakkan daripada masalah gangguan tidur di masa akan datang. Rutin akan berubah apabila mereka meningkat dewasa tetapi yang asasnya tetap sama. Yang penting, dapatkan satu rutin yang berkesan untuk diri sendiri dan anak-anak. 



Sumber tak tidur lewat sangat:  SINI  |   



No comments: