MY FOLLOWERS

Friday, December 18, 2015

Artikel - 7 Perkara Yang Ibu Bapa Zaman 1970an dan 80an Tidak Perlu Risau

Kredit kepada: Yahoo Lego Featured
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

 


Ketika di era 1970an hingga 90an, kemajuan negara kita belum lagi semaju sekarang ini. Dari segi teknologi untuk keperluan seperti elektrik, sistem bekalan air dan telefon memanglah ada cuma keadaannya tidaklah seperti sekarang. Kalau internet, ketika itu belum ada di negara ini tetapi di negara maju seperti Amerika Syarikat memang sudah digunakan. Jauh sekali ada laman web sosial. Kalau mahu cari kenalan baru, kenalah beli majalah dan pilih di ruang kenalan, mahu kenal dengan siapa, kemudian hantar surat. Kalau ada rezeki, dapatlah surat balas. Kalau tidak, melepas. Hehehehe....


Telefon awam pula digunakan secara meluas, maka adalah biasa kalau tengok orang bergayut sembang bukan main lama dengan pasangan di telefon awam. Yang paling tidak seronok kalau ketika itu ada kecemasan, terasa juga macam hendak mengamuk dan pecahkan sahaja telefon itu sebab ada yang berkeras tidak mahu letakkan telefon macam tiada lagi esok untuk sambung bersembang. Gila betul! Telefon bimbit pula ketika itu digunakan oleh golongan sangat berada. Saiznya sama tinggi dengan botol air yang menjadi bekal dibawa ke sekolah. Bila ada panggilan, kena tarik pula antenanya biar panjang supaya kedengaran lebih jelas.

Fesyen pakaian pula tidaklah sekreatif dan sepelik hari ini sampai kena viral sebab macam buah nangkalah, terlebih dedahlah, macam kartunlah, dan sebagainya. Hiburan pada era itu juga tidaklah semudah hari ini yang banyaknya di hujung jari. Boleh tengok terus di Youtube, boleh muat turun dari laman web, malah boleh akses terus dari telefon pintar.


Bila zaman semakin ke depan, daripada pita VCR mula bertukar ke bentuk VCD dan DVD. Zaman sekarang, semuanya boleh dimuat turun sahaja di internet. Kalau di kafe siber, hanya bajet dalam RM3 sejam. Sekitar 2 jam, sudah selesai muat turun dan boleh tonton sepuasnya bila di rumah. Jauh lebih jimat daripada sewa dari kedai. Kalau yang ada akses sendiri, lagi mudah untuk dapatkan semua yang dikehendaki.

Walaubagaimanapun, semua itu ada pro dan kontranya. Pandai-pandailah bawa diri. Banyak sangat pilihan, harapnya jangan sampai memudaratkan diri. Bila difikirkan semula, ada baiknya juga bila kurangnya teknologi maju ketika di zaman dahulu. Lagi banyak perkara kena dibuat menggunakan tulang empat kerat. Bukannya banyak melangut lagi di depan komputer.


Ya, teknologi maju itu perlu tetapi kalau ia terlalu ke depan dan memudaratkan, maka lebih baik ditiadakan sahaja. Bimbang kalau di suatu masa nanti, anak-anak akan menjadi lebih rosak. Mungkin ada yang terfikir "Kan baik kalau macam zaman dahulu..." atau seumpamanya.  




Antara perkara yang ibu bapa pada era 70an hingga 90an tidak perlu bimbang:

1. Anak-anak yang menjadi ketagih dengan tablet dan telefon bimbit   
Anak-anak zaman dahulu, keadaan sosial mereka lebih 'real' kerana bertemu bersemuka dengan kawan-kawan di alam nyata, bukan di alam maya. Mereka seronok bermain di padang dan taman permainan. Kalau malas bermain di luar, boleh bermain papan permainan seperti catur, kad, Saidina, Monopoly dan Sahibba. Kalau suka membaca, boleh beli atau pinjam majalah atau komik daripada kawan-kawan.


2. Anak-anak mencari kawan baru di media sosial  
Kalau lihat di mana-mana laman sosial sekarang, entah apa-apa jenis manusia, semua yang pelik-pelik pun ada. Jenis begitukah yang mahu diambil sebagai kawan? Itu belum kenal lagi hati orangnya. Di laman sosial bolehlah tulis apa sahaja biar nampak macam baik. Zaman sekarang lagi banyak penipuannya. Kalau zaman dahulu, internet dan laman sosial pun tiada, yang ada komputer di rumah pun boleh dikira dengan jari. Kalau mahu cari kawan baru, kena keluar berjumpa orang. Boleh berkenalan di majlis-majlis, di sekolah, di masjid, di acara sukan, atau boleh sahaja cari di majalah-majalah. Sehinggakan dapat sahabat pena dari luar negara pun ada. Mahu kenal pun perlu korban masa dan tenaga serta kesabaran melalui pengalaman sebegitu. Dari satu sudut, ia lebih peribadi sehingga boleh dirahsiakan daripada kawan terdekat sekalipun. Di zaman internet, hanya hantarkan email tanpa risau surat tidak sampai. Kalau di laman sosial, kalau tiada tetapan 'private' digunakan, ramai orang boleh tengok apa yang dipaparkan.


3. Simpan terlalu banyak foto dan video dalam pemacu (hard disk
Kalau dahulu, kamera adalah satu-satunya alat untuk mengambil foto dan negatif gambar atau kodak adalah fotonya sebelum dicetak di atas kertas foto. Bila segulung negatif sudah diguna baru boleh dicuci di kedai foto yang akan mengambil masa beberapa hari untuk lihat hasilnya. Negatif pula sangat terhad, maka kenalah dapatkan dahulu 'timing' yang betul baru klik. Kalau tidak, ia jadi membazir. Setiap keping negatif adalah bernilai. Mahu buat banyak salinan pun susah. Kalau mahu rakam video, kena ada perakam lain pula. Tidak seperti zaman sekarang, kamera jenis DSLR menggunakan kad memori menggantikan negatif, boleh klik pada bila-bila masa dan simpan. Kalau tidak menjadi, hanya klik 'delete' sudah boleh dipadam terus tanpa membazir. Bukan setakat itu, kini kamera dan video turut menjadi salah satu aplikasi penting dalam telefon bimbit termasuk boleh merakam video. Lagi banyak momen dapat dirakam dan adakalanya tersangat peribadi dan tidak sepatutnya. Ibu bapa hari ini pula bimbang apabila tidak cukup ruang dalam pemacu untuk simpan kesemua foto dan video yang dirakam. 


4. Saluran televisyen kabel, DVD dan YouTube
Kalau era dahulu, pemain video adalah jenis VHS dengan pita video VCR. Kalau ada filem baru, berpusu-pusu ke panggung wayang. Kalau terlepas, boleh sewa video VCR dari kedai video. Itu pun kalau pita video masih elok. Yang bagusnya, filem-filem terlajak ganas atau lucah sangat sukar didapati. Patut pun anak-anak zaman 70an hingga 90an sedikit bilangan yang rosak akhlaknya tidaklah seperti keadaan sekarang ini. Hari ini, DVD atau Bluray menjadi antara format rakaman dalam bentuk maya, boleh muat turun sahaja di laman web filem. Laman Youtube juga apa kurangnya. Semuanya sedia diakses untuk dapat pelbagai info dan hiburan. Ini membuatkan timbulnya satu bentuk mentaliti baru yang membuatkan sekeluarga melekat depan tv untuk menonton rancangan hiburan digemari. 


5. Telekomunikasi
Sekitar tahun 80an, telekomunikasi bergantung kepada telefon talian tetap, faksimili, pager, dan telefon awam. Hari ini, teknologi telekomunikasi begitu pesat membangun sehingga ada ibu bapa terganggu dengan mesej yang segera menerusi telefon bimbit. 


6. Makanan organik
Di era 80an, mana ada semua ini! Ini kerana pada masa itu bukan semua benda diproses. Hari ini makanan diproses dan dicampur dengan pengawet dan bahan-bahan kimia lain untuk membolehkannya tahan lama sebelum dimakan. Lihat sahaja pelbagai jenama produk keluaran pelbagai syarikat. 


7. Prasekolah dan tadika
Di negara ini, pada era 80an yang kita tahu banyak tadika kendalian kerajaan manakala yang swasta tidaklah sebanyak yang ada hari ini. Mula tadika pun pada usia 5 dan 6 tahun. Sekarang ini yang berumur 4 tahun pun sudah boleh ke tadika. Majlis graduasi pada masa itu sangatlah ringkas, sekarang ini pula siap dengan sambutan besar-besaran. Bayaran bagi tadika kendalian kerajaan murah sahaja manakala bagi tadika swasta, kosnya agak tinggi. Terpulang kepada ibu bapa untuk memilih.


Kebimbangan ibu bapa juga berubah selari dengan peredaran zaman. Namun ia masih tidak hilang, lain zaman lain pula masalahnya. Mungkin kebimbangan akan anak-anak itu sendiri atau bimbang tentang keputusan yang diambil untuk mereka. 




Sumber imbau kembali zaman dahulu:  SINI  |  

No comments: