Kredit kepada: Laman DrMaza.com
Gambar ihsan: Google Images
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu
subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh
minit sebelum subuh adalah tidak tepat.
Hadis Zaid bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti
kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang
dilihat oleh Zaid.
Buktinya, Aisyah r.a menyebut:
أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
“Sesungguh Bilal
azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka
Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi
Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu
fajar (subuh)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi
waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam
terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia
dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w
yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi
s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga
azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: "Makan dan minumlah kamu sehingga
ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian
sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang
sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam
riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat
yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya
waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum
masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan
sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
No comments:
Post a Comment