MY FOLLOWERS

Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Saturday, July 8, 2017

Sekadar Luahan - Catatan Perjalanan: Terengganu - Melaka (21.6.2017)

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner

 

Assalamualaikum.....


Setiap kali mahu balik beraya, biasanya akan beraya di Terengganu sahaja. Kali ini kami buat perubahan dengan beraya di Melaka. Perancangannya adalah akan ke sana pada 21.6.2017 jam 8 pagi. Memandangkan ada sedikit hal perlu diselesaikan dahulu pada pagi itu, jadi kami bertolak lewat 2 jam.

Persiapan seperti memeriksa kenderaan termasuk minyak silinder dan air sudah dibuat, cuma ada seperkara yang merunsingkan sejak ke Bachok sebelum itu iaitu masalah penghawa dingin yang sekejap ada sekejap panas. Masalah yang pada masa itu memang tidak tahu apa masalahnya. Minyak kereta sudah diisi RM40 pada malam sebelum bertolak. Makanan juga disiapkan, meskipun berpuasa tetapi manalah tahu seandainya perlu berbuka.

Memulakan perjalanan, kami lalui kawasan sebelah pantai menghala ke Chendering, Marang dan menghala ke Dungun. Hanya bila melalui Dungun barulah penghawa dingin mula buat hal. Yang duduk dalam kereta mula merungut minta dibuka tingkap. Bila penghawa dingin baik sekejap, terasa sekejap sejuknya. Adakalanya hati pun jadi panas juga sebab tidak tahu apa puncanya.

Setelah melalui kawasan Ayer Hitam sebelum menghala ke Kemaman, kami melencong masuk ke simpang untuk masuk ke Lebuhraya Pantai Timur. Ketika ini memang sudah langsung tidak gunakan penghawa dingin. Sebelum itu, sudah sedia di tangan isian Touch N Go. Hanya menggunakan cip pada kad pengenalan dan semuanya baik sahaja. Tiada lagi menggunakan duit tunai. Satu lagi cabaran bila mula masuk ke lebuhraya ini ialah tiada stesen minyak! Dan lebih merisaukan bila memecut, suhu enjin cepat memuncak dan panas.

Setibanya di satu kawasan kalau tidak silap selepas Bukit Besi ada satu hentian rehat dengan stesen isian kecil Petron. Ingatkan boleh sahaja untuk tambah minyak, malangnya pam rosak pula. Disebabkan bimbang, kita pun berdoalah sebanyaknya memohon supaya isian yang ketika itu tinggal 1 bar boleh bertahan sekurang-kurangnya 50 km lagi.




Agak membosankan terutama bagi budak-budak sebab sepanjang perjalanan di lebuhraya ini, di kiri dan kanan hanya kelihatan ladang kelapa sawit dan gunung-ganang. Pejam celik beberapa kali pun, suasana masih sama. 

Untuk sampai ke Melaka, kali ini kami gunakan laluan Gambang-Pekan-Muadzam Shah-Segamat dahulu. 





Alhamdulillah, selepas keluar dari lebuhraya dan masuk ke kawasan Gambang, baru jumpa stesen minyak BHP. Kami terus tambah isian minyak RM40 lagi. Sempat kali tanya pada pekerja di stesen minyak mengenai laluan mana perlu diambil kalau mahu masuk menerusi Segamat.

Kami teruskan perjalanan hingga tiba di persimpangan lampu isyarat bawah jambatan untuk laluan ke Kuala Lumpur, Gambang dan Lapangan Terbang Kuantan. Kami kemudian masuk ke simpang sebelah kanan untuk teruskan perjalanan. Ketika itu jam sudah tunjukkan waktu sekitar 1.30 tengahari dan budak-budak mula berasa lapar. Hilanglah sudah rasa bosan tadi sebab sudah dapat lihat kawasan bandar dan rumah-rumah.



Santai jer... tengok apa agaknya ye....


Bila masuk sahaja kawasan ini, dapatlah saya selaku pemandu mengecam beberapa landmark yang sebelum ini pernah dilalui. Antaranya persimpangan yang ada tempat rehat berdekatan stesen minyak di situ. Kawasan ini memang sudah menjadi tempat kami sekeluarga berehat sebelum meneruskan perjalanan sewaktu tinggal di Negeri Sembilan dahulu. Bezanya dahulu masih budak, cuma jadi penumpang sahaja. Kali ini bawa satu keluarga.  :-)

Sekitar jam 3 petang, kami sampai di stesen minyak Petronas Muadzam Shah. Waktu ini, saya buka semula penutup enjin untuk lihat sendiri kenapa enjin tunjukkan suhu yang panas. Hairan, sebab air pun tidak kering. Saya tidak periksa minyak silinder sebab sebelum ini keadaannya masih baik.

Selepas berehat seketika dan tunaikan solat, kami teruskan perjalanan sehingga ke Rompin dan seterusnya melalui kawasan Gemas-Bahau yang menghala ke Negeri Sembilan. Jangkaan kami kalau tiada apa-apa masalah atau tersalah jalan, bolehlah sampai di destinasi sebelum berbuka. Simpang ini juga satu lagi landmark penting sebelum ke Negeri Sembilan, yang biasa dilalui dahulu. Bezanya kali ini kami tidak masuk ke simpang ini dan teruskan sahaja hingga masuk ke Segamat. Pada waktu ini, kedua-dua telefon bimbit sudah kehabisan bekalan kuasa.

Dari Segamat, kami mula mencari mana-mana papan tanda yang bertulis Melaka atau mana-mana kawasan negeri itu untuk mudahkan perjalanan kami. Maklumat yang kami terima ketika di Segamat, perlu masuk melalui Tangkak dan ke Muar dahulu. Ketika itu melalui kawasan Balai Polis Segamat dan ada ternampak papan tanda untuk tuju ke Muar. Jalan yang banyak selekoh dan belum jumpa papan tanda yang dicari membuatkan saya penat dan tertekan.

Ketika sampai di Tangkak, hari sudah senja. Jam sudah melepasi pukul 7 malam. Pada ketika itu, barulah nampak papan tanda bertulis MELAKA. Minyak ditambah sebanyak RM30 lagi. Kami teruskan perjalanan untuk masuk ke Muar, tetapi sebab sudah penat jadi saya lupakan sahaja niat masuk melalui Muar setelah ternampak papan tanda menuju ke Jasin. Jadi kami pilih laluan ini untuk menuju ke Ayer Keroh.

Jam 7.25 malam, kami sampai di stesen minyak di Jasin untuk membeli makanan untuk berbuka. Waktu berbuka ketika itu 7.20 malam, di Jasin. Dalam perjalanan, kami sudah telefon tuan rumah dan diminta tunggu di sebuah kedai makan Lemang Cikgu di Bukit Katil. 


Alhamdulillah, akhirnya sampai juga di Ayer Keroh sekitar 9 malam.



Sunday, June 26, 2016

Ramadhan 2016 - Rahsia Surah al-Kautsar


Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images




Assalamualaikum....






Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat dan diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Berbagai khasiat terkandung di dalam surah ini boleh diamalkan, antaranya:-
  • Baca surah ini ketika hujan turun dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. memakbulkan doa kita.
  • Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosokkan di leher, insya Allah hilang dahaga
  • Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata. 
  • Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x muda-mudahan Allah s.w.t berikan ilham kepada kita di mana letaknya sihir itu.
  • Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah
  • Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat
  • Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi


Sunday, July 26, 2015

Berita - Bojeng Raya di UKOM 15.7.2015

Kredit kepada: UKOM
Gambar ihsan: Owner


Assalamualaikum.....



Satu acara kecil selama sehari dipanggil Mari Singgoh Bojeng Raye telah diadakan di perkarangan pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. Ia terbuka kepada orang awam yang ingin memperelokkan atau gunting rambut sempena sambutan Aidilfitri pada 17.7.2015. Acara kecil ini adalah dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan disambung semula jam 10 malam hingga 12 malam. Guntingan adalah percuma dan terbuka kepada kanak-kanak hingga dewasa. Tukang gunting adalah dijemput oleh pihak UKOM sendiri. Turut hadir ialah pemberita untuk liputan dari Astro Awani.








Bojeng - memperelokkan rambut / gunting rambut lelaki  

Sunday, July 12, 2015

Berita - Bengkel Memanah Tradisional Siri Ramadhan TAC di Gong Badak 11.7.2015

Kredit kepada: TAC, Sabasun
Gambar ihsan: Owner


Assalamualaikum.....

Satu Bengkel Memanah Tradisional Siri Ramadhan Anjuran Terengganu Archery Center (TAC) dengan kerjasama pihak Sabasun Hyperuncit Gong Badak telah diadakan di Terengganu Archery Center (TAC) berhampiran parkir kenderaan Sabasun Hyperuncit pada 11.7.2015. Bengkel bermula jam 9.00 pagi dan dihadiri peserta seramai 15 orang. Bengkel ini dipengerusikan oleh Ustaz Muhamad Rizuwan bersama dua lagi tenaga pengajar lain.

Untuk peserta, yuran penyertaan adalah sebanyak RM60.00 seorang dan tajaan diberikan kepada penyertaan terawal.


Back quiver



Peserta ditunjukkan cara memasang tali (string)



Cara tarik panah


Sebelum memulakan acara memanah, peserta diberikan taklimat mengenai jenis-jenis busur dan panah, jenis-jenis quiver/tarkas (bekas simpan panah) serta diterangkan juga tentang sejarah berkaitan dengan jenis yang digunakan. Antaranya yang digunakan ketika kerajaan Turki Uthmaniyyah. Bagi busur jenis tradisional, panah diletakkan atas ibu jari (tangan yang pegang busur atau bow hand) sebelum dilepaskan dan tidak mempunyai bahagian yang dipanggil arrow rest atau launcher seperti versi moden. Manakala kaedah tangan pada string (string hand) juga berbeza antara versi umat Islam dan kaedah Inggeris. Turut diterangkan ialah perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika memegang panah. Terdapat juga hadis berkaitan yang menjelaskan mengenai memanah ini.

Di kesempatan ini juga diadakan promosi sempena Ramadhan untuk busur dan panah untuk dijual kepada sesiapa yang berminat. (Harga lain selepas Ramadhan, perlu rujuk pihak TAC untuk info lanjut)

Busur Jati tunggal (25-28 pound drawlength) = RM159.00 (+3 panah RM199.00)
Busur anak Awan (45-55 pound) = RM399.00
Set busur dan panah untuk kanak-kanak = RM60.00



Peserta mencuba sendiri memasang tali sebelum memanah


Sedia!


Peserta ditunjukkan cara meletakkan panah, memegang dan tarik sebelum melepaskan panah


Memanah cara berdiri


Memanah cara duduk 


Memanah cara pusing ke belakang



Sepatah dua kata bagi mengakhiri bengkel kali ini


Ustaz Rizuwan menyampaikan hadiah kepada pemenang


Selain itu, peserta diterangkan tentang bahagian-bahagian pada busur dan panah, antaranya limb, string dan handle. Peserta kemudian dibawa ke lapang sasaran untuk belajar cara memasang string pada busur, meletakkan panah pada string dan cara-cara memanah. Dalam bengkel ini, peserta didedahkan 5 cara memanah iaitu berdiri tegak (depan), secara duduk, berdiri (pusing ke belakang), sambil berjalan/berkuda).

Bagi memeriahkan bengkel ini, pertandingan memanah belon diadakan dan hadiah disediakan oleh pihak Sabasun Hyperuncit.


Sijil penyertaan dan baju disediakan oleh TAC kepada semua peserta yang terlibat dalam bengkel pada kali ini. Bengkel ini selesai jam 12.30 tengahari.


Pada hari-hari biasa, pengunjung yang berminat boleh datang dan mencuba panahan dengan bayaran RM5 untuk 10 panah.

Sunday, July 5, 2015

Jalan-jalan Cari Makan - Majlis Berbuka Puasa PruBSN 3.7.15

Kredit kepada: PruBSN KT
Gambar ihsan: Owner

 

Assalamualaikum.....

Majlis Berbuka Puasa PrudentialBSN diadakan di tingkat 1 di pejabatnya sekitar jam 6.00 petang. Dimulakan dengan tazkirah sementara menanti masuk waktu berbuka puasa. Untuk kali ini, hidangan kuih disediakan dahulu untuk berbuka. Antaranya keropok lekor, lepat pisang, kuih cara, puteri mandi, murtabak, pulut panggang, karipap, koleh kacang, dan puding. Hidangan nasi beserta lauk ayam goreng disediakan selepas selesai solat Maghrib. Solat Isyak diadakan sebanyak 8 rakaat.

 




Makan dalam talam...




Puding disediakan sebagai moreh


Hidangan moreh disediakan dan majlis selesai jam 10.00 malam.

Jalan-jalan Cari Makan - Majlis Berbuka Puasa PruBSN MAMBS 2.7.15

Kredit kepada: PruBSN KT, PBTB, MAMBS
Gambar ihsan: Owner

 

Assalamualaikum.....


Sekitar Majlis Berbuka Puasa PrudentialBSN di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu pada 2.7.2015. Majlis bermula jam 6.00 petang di ruang legar masjid. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh CEO PruBSN dan Imam Besar. Para hadirin terdiri daripada para ejen sepenuh masa dan separuh masa antaranya dari kumpulan Al-Isra', Muqmeen dan Fitrah serta beberapa kakitangan lain. Turut hadir ialah kakitangan dari Prudential BSN Takaful Berhad (PBTB).

 


Wakil dari MAMBS memberikan sepatah dua kata






Daging kambing habis dahulu...





Untuk menu, nasi dihidangkan beserta lauk daging ayam goreng, kambing panggang, kuih serta kurma.


Majlis bersurai jam 10.00 malam selepas selesai solat Isyak dan moreh.

Artikel - Bila Isu Aurat Diremehkan

Kredit kepada: Malaysiakini
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum........

Isu ini sebenarnya sudah lama. Kali terakhir ia menjadi panas pada tahun 2013, apabila seorang peserta ratu cantik mempersoalkan fatwa majlis agama yang dikatakan lapuk. Walhal dalam Islam, segala hukum-hakam sebagaimana diketahui telah tersusun kemas dan jelas sejak 1400 tahun yang lalu. 




Menurut satu kenyataan, peraturan pertandingan itu dipinda dengan membenarkan peserta berpakaian sopan untuk memberi kesesuaian kepada peserta beragama Islam. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, keputusan majlis fatwa tidak boleh disemak semula dan mana-mana individu yang mahu menyangkal keputusan tersebut boleh didakwa atas tuduhan menghina fatwa. 

"Kalau sangkal senang sahaja, kita ada undang-undang dan peruntukan, (hukumannya) tak berat sangat, (cuma) dua tahun (penjara) dan denda RM3,000," kata Jamil. 

Pindalah peraturannya macam mana sekali pun, peraturan pertandingan itu masih buatan manusia. Peraturan dalam agama Islam masih tidak dapat diubah kerana ia telah ditetapkan begitu sejak dahulu. Segala yang halal adalah jelas dan kekal halal manakala yang haram juga jelas dan akan kekal sebagai haram. Yang perlu dijauhi jika ada unsur syubhat (tidak jelas halal haramnya).



Sumber rujukan:  SINI  |  SINI  |  





Saturday, June 27, 2015

Jalan-jalan Cari Makan - Resipi Ayam ala KFC

Kredit kepada: The Pena
Gambar ihsan: The Pena



Assalamualaikum.....




Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam (ikut suka kalo nak banyak buat banyak)
  • 1 biji telur
  • 2 sudu minyak bijan
  • 2 sudu serbuk lada putih
  • 1 kotak tepung goreng kentucky
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara
  1. Ayam dipotong ikut suka. Kemudian dibersihkan.
  2. Di dalam satu mangkuk, masukkan ayam, telur, minyak bijan dan serbuk lada putih. Gaulkan sehingga rata.
  3. Perapkan lebih kurang 30 minit.
  4. Ambil ayam yang diperap dengan bahan-bahan tadi kemudian digolek-golekkan dengan tepung kentucky.
  5. Panaskan minyak. Goreng ayam hingga masak dan keperangan. Ulang hingga habis ayam yang diperap tadi.

Sedia untuk dimakan. Sedap dimakan ketika panas. Selamat mencuba!



Sumber ayam tepung: SINI  | 






Artikel - Waktu Sahur

Kredit kepada: Laman DrMaza.com
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. 

Buktinya, Aisyah r.a menyebut: 

أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.


Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda: 

لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.


Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.


Wednesday, July 23, 2014

Ramadhan 2014 - Nak Gi Rayaaa!! Nak Gi Rayaaaaaa!!!

Kredit kepada: Family
Gambar ihsan: Family



Assalamualaikum....


Huuuhuhuhuhu!!


Perisitiwa ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Suasana pagi tidak berapa cerah kerana cuaca kerap kali hujan setiap kali menjelang Syawal. Meskipun begitu, keceriaan dan kegembiraan tetap terasa. 

Ramai orang sudah berpusu-pusu ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Penulis bersama adik-beradik turut tidak ketinggalan. Memandangkan ramai jemaah di tingkat bawah, maka terpaksalah kami adik-beradik bersolat di tingkat atas. 

Seperti biasa, kami solat sehingga ke rakaat terakhir. Sedang menunggu imam memberikan salam, terdengarlah suara anak siapa entah, menjerit-jerit seperti menggelupur di tingkat bawah,

"Waaaaaaaaaaarrrgggggghhhh!! Naaaaakkkk gggiiiii rrraaaaayyyyyyyaaaaaaa!!! Naaaaakkkk gggiiiii rrraaaaayyyyyyyaaaaaaa!!! Naaaaakkkk gggiiiii rrraaaaayyyyyyyaaaaaaa!!!..." berulang kali sehingga semua selesai memberi salam.

Sesudah selesai khutbah, kami pun berjalan pulang. Masing-masing sudah tidak dapat tahan gelak dan masa itu, barulah salah seorang adik bersuara, "Anak sape entah bising nak gi beraya tadi... Boleh pulak dia meragam time macam ni? Hampeh betul! Hilang khusyukk!"

Ramadhan 2014 - Kes Nenek Hilang

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....

Perkara ini sebenarnya sudah berlarutan sejak sekian lama, sejak dari sebelum bulan puasa dan dari tahun lepas lagi. Ringkasnya, beginilah keadaannya apabila hidup sekeluarga dengan nenek yang mempunyai masalah ingatan walaupun belum berusia 60 tahun ketika ini. Sebelum itu lagi penulis sudah diingatkan seandainya ada mana-mana ahli keluarga yang bermasalah alzheimer, ingatannya akan terjejas dan cabaran bagi ahli keluarga yang hidup bersamanya ialah tidak sekali-kali tinggalkannya berseorangan. Dalam beberapa pengalaman sebelum ini ada antaranya penulis rasakan agak menakutkan walaupun tidak begitu serius. Antaranya ialah bila ahli keluarga berurusan di pejabat dengan si nenek dan cucunya yang sedang tidur dalam kereta di luar pejabat. Si nenek kemudian keluar untuk mencari telefon sebab dia jadi cepat gelisah. Dengan keadaan akalnya yang semacam itu, anak ditinggalkan dalam kereta berisiko boleh hilang! Nauzubillah. 

Nasib baik kita dimaklumkan. Apa lagi, teruklah si orang rumah kena marah. Terus kena amaran. Pengalaman kali kedua pun hampir sama, cuma kali ini penulis turut bersama mereka naik sekereta. Kami kemudian ke kedai barangan sukan dan si nenek dan cucu yang tidur sekali lagi ditinggalkan dalam kereta di luar kedai. Penulis yang kerap menjenguk ketika itu memang sempatlah nampak si nenek tiba-tiba keluar dari kereta sementara yang lain sibuk melihat-lihat barangan dalam kedai. Terus sekali lagi kena amaran. Si anak terus dikejut dan diajak sama masuk dalam kedai.



Ingat lagi ketika itu baru lagi pencen. Asalnya mahu lanjutkan had umur pencen sebagaimana ditawarkan oleh sektor kerajaan ketika itu. Namun disebabkan keadaannya yang semakin kurang terurus ditambah lagi kesan selepas berubat atau membuang 'yang halus' menerusi kaedah perubatan Islam, maka kami selaku ahli keluarga memutuskan untuk bertemu sendiri pegawai di pejabatnya dan memohon supaya dia bersara lebih awal. Nasib baik juga pegawai yang bertugas memahami keadaannya.  

Selepas bersara, barulah bermula cabaran lainnya, antaranya dua insiden yang disebutkan di awal tadi. Dalam pengalaman lain, ketika baru pencen, dia masih boleh memandu walaupun bersendirian, tetapi yang menjadi susahnya apabila dia tidak membawa telefon bimbit. Bawa kereta pun bak kata orang, 'ikut dan' sahaja. Dari rumah tiba-tiba sahaja sudah hilang, senyap tanpa sebarang pemberitahuan, cari ke ceruk mana pun tidak jumpa. Sedar-sedar sahaja bila sudah malam baru sampai di rumah. Seolah-olah dia melepaskan giannya memandu sampai puas. Bukan sekali tetapi beberapa kali.  




Pernah satu hari, ketika sedang menanti lampu isyarat bertukar hijau, ternampaklah kelibatnya memandu kereta Kancilnya di lorong sebelah berseorangan dan dengan lajunya! Teruslah penulis hubungi keluarga di rumah. Punyalah terkejut. Mahu cari? Terpaksalah tunggu dia balik sendiri. Di waktu lain, ketika baru mengambil ipar dan sebelum sampai di simpang dekat rumah, tiba-tiba keretanya meluncur dengan laju dan sekali lagi dia berseorangan. "Eh, tu bukan Ma ke?!" "Cepatlah kejar, nanti terlepas kita susah lagi!" Apa lagi, tangguhlah dahulu pulang ke rumah. Terus dikejar si nenek dari belakang. Yang terasa 'horror' ialah bila dia pandu melulu sampai lampu merah pun dilanggar juga! Kelajuannya bila tengok pada papan meter, agak menakutkan. Bila ikut sahaja, masing-masing tertanya ke mana dia mahu pergi? Satu hala tuju pun tiada, cuma pemanduan kosong. Bila ikut lagi, sampai ke bandar dia masuk! Keretanya diperlahankan bila dia masuk ke satu simpang berdekatan dengan bank. Barulah dia perasan dari cermin sisi kami mengikutinya. Ipar pun turun dan masuk ke dalam keretanya dan mengajaknya balik. Kali ini berulah betul-betul sampai di rumah. 

Di bulan puasa pun keadaannya sama juga. Lagi haru sebab pada masa itu dia tahu ada bazar Ramadhan. Sedar-sedar sahaja dia hilang, tiba-tiba balik ketika orang sudah berbuka dengan kuih yang berbondong-bondong di tangan. Habis semua merungut, siapalah yang mahu makan sebanyak itu sebab yang sudah terhidang walaupun tidak sebanyak mana pun akan berbaki. Sudah beberapa kali dipesan supaya tidak perlu beli lagi, pun tidak jalan! Oleh sebab itu, bila selepas waktu Asar masing-masing mula memerhatikannya supaya tidak pergi ke bazar. Ada beberapa kali juga terlepas, hilang sahaja, terus pergi cari. Ke mana lagi kalau bukan ke bazar. Dapat sahaja menangkapnya, terus dibawa balik. Itu pun kami terpaksa berkeras untuk sekatnya. 




Satu pengalaman ini yang betul-betul buatkan hati panas. Pun kes pergi bazar Ramadhan beberapa hari kemudian. Si nenek tiba-tiba menghilang. Tahu sahaja, terus penulis kejar dan dapatlah tangkapnya di bazar Ramadhan, cuma silapnya ketika itu sebab datang berseorangan, bukan macam kes kejarnya sampai di bank yang sebelum itu. Terus sahaja diajak balik, maka dia pun ikutlah. Kereta penulis ikut di belakangnya untuk pastikan dia pusing ke rumah. Malangnya bila sampai di simpang rumah, dipecutnya pula dan terus hilang melepaskan diri. Ingatkan sudah sampai di rumah tetapi tiada. Si anak pula tiba-tiba muncul depan pintu rumah bertanya, "Papa, nenek mana?" Penulis diam. Panasnya dalam hati, Allah sahaja yang tahu! Sekali lagi, si nenek balik ketika waktu berbuka dengan hasil berbondong-bondong. Beli pun ikut suka dia.  

Insiden di Melaka. Ketika itu ahli keluarga membawa si nenek melawat ke rumah salah seorang ipar. Penulis tidak ikut serta sebab ada urusan lain. Yang jadi ceritanya, ketika di sana pun dia menghilangkan diri secara senyap-senyap. Terkejut semua orang! Sehinggalah salah seorang anaknya mencarinya di stesen bas. Mungkin dia terfikir nenek mahu balik ke Terengganu. Tekaannya betul, memang jumpa dia di sana dan terus dibawa balik. Insiden di hospital pun lebih kurang sama. Ketika itu menguruskan si cucunya yang tidak sihat dan nenek turut serta. Sedang berurusan, tiba-tiba dia hilang lagi! Puas dicari ke sana sini, sehinggalah seorang makcik menghubungi kami bertanya, "Eh, apahal Ma tiba-tiba sampai sini ni? Tumpang ambulans pulak sorang-sorang!" PULAK DAHH! Panasnya dalam hati hampir sahaja mahu meletup! Selesai urusan di hospital, kami terus ke rumah makcik dan mengambilnya pulang.




Semenjak kebelakangan ini, keadaannya seperti agak merosot. Baru masuk hari pertama puasa pun sudah resah mahu ke kedai makan sebab semua orang tidak memasak. Puaslah kami berdepan helahnya mahu ke kedai makan sedangkan semuanya tutup. Walaupun berjaya tahannya daripada keluar, tetapi tidak mampu menyekat kemaraannya mendapatkan makanan. Sudahnya, kami biarkan sahaja. Kami sudah mula musykil sama ada sekarang ini adakah dia masih wajib puasa atau sebaliknya, sebab dalam Islam dinyatakan 3 syarat asas menjadikan seseorang itu wajib solat, puasa, atau haji atau ibadah lainnya iaitu beragama Islam, baligh dan berakal. Semakin tidak boleh ditinggalkan berseorangan dan semakin cepat resah mahu balik rumah walaupun belum sampai 5 minit ke kedai atau rumah orang. Mahu bawa ke rumah saudara yang jauh pun susah. Sepanjang perjalanan pun bising suruh pusing balik. Bermacamlah helah yang keluar, mahu ke tandaslah, minumlah, berjalanlah. Semuanya sudah dilalui. Kalau panggil pun masuk kiri keluar kanan sahaja. Macam berjalan ikut suka kaki sahaja dan dengan lajunya. Selagi tidak ditarik tangan, akan lagi jauh dia terlepas. Kita juga yang akan susah.

Semenjak dari itu dan daripada pengalaman sebelum itu dan berdasarkan keadaannya, kami putuskan untuk tidak lagi memberikan kunci kereta dan beg duitnya serta tidak lagi membiarkannya ke mana-mana berseorangan. Sentiasa kena berteman dan paling penting, tidak ikut sangat cakapnya sebab sudah lali dengan helahnya. Terpaksa!

Pengajaran
Yang mahu ditekan di sini ialah apa yang ahli keluarga yang cukup syaratnya dalam Islam yakni Islam, baligh dan berakal boleh buat untuk memastikan keselamatan seluruh ahli keluarga terutama yang bermasalah ingatan sebegini dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Kalau bersamanya di rumah, kuncikan semua pintu, gril dan tingkap dan sembunyikan kunci di tempat yang tidak boleh ditemuinya. Kalau ada anak kecil, jangan sekali-kali tinggalkannya bersama orang yang ada masalah sebegini, dikhuatiri akan timbul masalah lebih besar. Relakanlah untuk membawa si kecil dengan si empunya badan sekali dalam urusan anda demi keselamatan bersama. Tolak tepi perihal cuaca panas atau hujan, yang penting ialah keselamatannya. Sekiranya menemui cara merawat dan ubat yang sesuai tidak kiralah menerusi kaedah perubatan moden atau perubatan Islam untuk menangani masalah seperti ini, usahakannya.    





Artikel - Felixia Yeap Yang Jadi Tumpuan

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum......

Kini Raissyah Rania Yeap



Banyak kisah yang dipaparkan sebelum ini menjadikannya tumpuan dengan tajuk-tajuk artikel di media yang agak sensasi, lebih-lebih lagi bila dia mengenakan pakaian muslimah walaupun belum memeluk Islam ketika itu. Kemunculannya di majlis anugerah industri hiburan turut menarik perhatian. Masakan tidak, sedang yang lain asyik melaram seseksi mungkin dengan pelbagai fesyen buka-bukaan dan yang pelik-pelik, dia tampil anggun dengan pakaian menutup aurat. 

Dia telah secara rasmi memeluk Islam pada 3 Julai 2014 jam 6.30 petang atau 5 Ramadhan di lokasi yang dirahsiakan. Meskipun ada di kalangan rakan-rakannya yang menjauhkan diri, dia masih bersyukur kerana mempunyai sahabat yang lain yang memberikan sokongan dan ibunya yang memberikan restu atas pengislamannya. Luahnya lagi, dia turut kesal dengan sikap segelintir pihak yang memberikan tumpuan kepada foto lamanya serta menulis komen-komen lucah dan berharap supaya pihak-pihak berkenaan berhenti berbuat demikian kerana ia sedikit sebanyak mengganggu emosinya. 

Banyak lagi yang diluahkannya mengenai kisah hidupnya dalam blog miliknya. Anda juga boleh membaca selebihnya artikel berkaitan dengannya di laman Beautiful Nara (KLIK SINI) atau di My News Hub (KLIK SINI). Di pautan di My News Hub, anda boleh lihat juga paparan video yang disediakan.

Thursday, July 17, 2014

Ramadhan 2014 - Kenangan Bulan Ramadhan II

Kredit kepada: Family
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum....

Bulan Syawal belum melabuhkan tirai lagi. Jadi, saya masih berpeluang berceloteh mengenai pengalaman berpuasa sejak di zaman remaja dan persekolahan.


Berita baik di bulan Ramadhan

Kalau tidak silap, pada Disember 1995 ada diumumkan bahawa sesi persekolahan akan bermula pada bulan Januari mulai tahun berikutnya. Jadi kerajaan memberikan cuti persekolahan selama 2 minggu pada bulan Disember tahun itu (1995). Sebelum itu, semua sesi persekolahan baru bermula setiap bulan Disember. Maknanya cuti persekolahan akhir tahun adalah pada sepanjang bulan November.

Sememangnya ini adalah berita gembira buat kami, tapi kami terpaksa melalui sesi persekolahan seperti biasa. Ya, kawan-kawan di sekolah lain sedang bercuti dan itu agak mengecewakan. Kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan MRSM bukannya cuti itu tidak diambil tetapi dianjak ke cuti Aidilfitri yang ketika itu jatuh sekitar bulan Februari. Agak hampir dengan cuti Tahun Baru Cina. Lagilah bagus, kerana cuti perayaan itu pun sudah seminggu lebih ditambah pula 2 minggu yang dianjak menjadikan kami seakan bercuti lama. Kami juga tidak kalut untuk berebut bas bersama pelajar-pelajar sekolah lain. Seronok bukan main!

Malam sebelum pulang bercuti ke rumah di Seremban, pihak asrama dengan berbesar hati mengajak semua penghuni asrama meraikannya dengan bunga api dan mercun di halaman asrama.


Balik beraya awal

Sejurus pulang dan menemui rakan-rakan lama di masjid, ramai juga yang terkejut kerana balik beraya agak awal. Pada masa itu, manalah tahu yang cuti begitu boleh dianjak-anjak atau ditolak ke sana sini. Seronok bila tiba waktu berbuka. Dapatlah melepaskan rindu berbuka di masjid bersama kawan-kawan lagi. Bila waktu pagi sehinggalah sebelum berbuka sedikit membosankan kerana kawan-kawan lain pula bersekolah seperti biasa sebelum bercuti Hari Raya dan Tahun Baru Cina.

Seperti biasa, bila melepak bersama kawan-kawan, ada juga bertanya khabar dan bagaimana dengan pembelajaran di sekolah. Soalan yang kerap ditanya, "Periksa dapat nombor berapa?" dan saya akan kata "Tak ada nombor..." Kawan semua tidak faham, hanya terdiam. yelah, mereka di sekolah biasa mestilah tidak faham sistem pemarkahan MRSM. Ditanya lagi, "Kenapa kau cuti awal?" Saya membalas, "Cuti bulan 12 hari tu dibawa ke sini. Jadi aku cuti lama la." Memang terasa seperti hujung tahun pun ada.


Duit raya

Balik kampung ke pantai timur semenanjung menjadi kemestian. Adat orang di negeri bukan pantai timur, beraya sebulan. Maka selepas pulang dari beraya di kampung, masih ramai yang beraya sakan dengan rumah terbuka di sana sini. Buat seketika, kesempatan hujung minggu digunakan untuk beraya di rumah jiran-jiran dan kawan-kawan. Pemberian duit raya pula bukan sedikit, tapi ada kawan-kawan yang mendapatnya sehingga ratusan ringgit. Saya kehairanan, mengapa begitu? Kerana saya sendiri tidak pernah sekali pun mendapat melebihi RM20. Itupun dikira-kira. Bagaimana mereka boleh dapat sebanyak itu? Adakah beraya ke semua rumah di taman perumahan ini yang berjumlah beratus-ratus rumah? Mana mungkin..Hairan..

Saya tidak pernah mendapat jawapannya. Saya sentiasa kecewa bila ada yang tanya berapa banyak duit raya saya dapat. Dengan jumlah yang dapat hanya sebanyak itu, apa pun tak boleh beli. Simpan dalam tabung sahajalah jawabnya. Kawan-kawan pula, dengan duit sebanyak itu barangkali sudah digunakan membeli kasut, baju, katrij permainan video, macam-macam lagi. Saya hanya memerhati, diam tidak terkata, kempunan juga. Adakalanya mahu menangis, cemburu kerana tidak dapat merasa dan mendapat apa yang mereka dapat.


Akhirnya dapat juga merasa dapat banyak duit raya .....

Pada tahun 2009 alhamdulillah, dapat juga merasa duit raya dalam jumlah yang besar buat pertama kali. Rezeki anak la katakan. Berusia belum sampai sebulan waktu itu, ramailah yang datang menghulur. Bila dikira, hanya sedikit sahaja lagi untuk mendapat duit raya empat angka! Bersyukur juga, kerana dalam keadaan ekonomi dan kerja yang tidak menentu ini masih ada lagi yang sudi membantu. Setidak-tidaknya meringankan sedikit bebanan untuk membeli barang-barang yang diperlukan.