MY FOLLOWERS

Showing posts with label petua. Show all posts
Showing posts with label petua. Show all posts

Monday, April 17, 2017

Petua - Buatkan Sayur Kekal Segar

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....





Bagaimana untuk buatkan sayur yang anda simpan kekal segar?

Caranya:
Satukan semua sayur dalam satu bekas yang besar dan rendam bersama air tambah sedikit garam selama 10 minit.
Toskan selama beberapa minit.
Rendamkan balik sayur dalam air sahaja tanpa garam selama 5 minit sahaja.
Toskan lagi sampai air menghilang dari sayur. Kemudian, masukkan sayur ke dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti ais.




Pemilik resepi : Pn Nurul Aima
Group : GeNg SuKa mAsaK & MaKAn SEdAp (SuKmA).




Thursday, March 2, 2017

Artikel - 5 Perkara Yang Tidak Patut Dibuat Ketika Temuduga

Kredit kepada: Cheatsheet.com
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Mike Smith, pengasas Sales Coaching 1, berkata ada satu perkara yang tidak betul yang biasa dibuat oleh sebahagian calon sebelum temuduga dan itu akan memberi kesan kepada kerjayanya. Kebanyakannya suka betul datang lewat ke tempat temuduga. Di sini ada beberapa lagi perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh calon:


1. Terlebih yakin

Anda bertuah kalau dipanggil ke temuduga tetapi itu bukan bermakna anda mendapat kerja yang diminta itu. Sekali pun kalau anda bersedia dengan temuduga susulan, janganlah berlagak macam andalah calon teratas atau pilihan sehingga surat tawaran yang sudah ditandatangani ada dalam tangan anda.

Mark Jones, pemangku presiden di Alexander Mann Solutions, berkata jangan anggap anda sudah dapat kerja itu kalau belum mendapat apa-apa surat lagi terutama kalau ada lagi beberapa langkah untuk dilalui. Mungkin anda diberitahu anda layak dan perlu ke temuduga seterusnya tetapi itu sekadar formaliti sahaja. Sekali pun kalau penemuduga maksudkannya, ia masih boleh terjejas kalau anda terlalu yakin.



2. Makan makanan berbau

Kalau anda jenis yang suka makanan pedas atau beberapa jam tidak merokok, mungkin anda perlu ubah tabiat itu sehari atau pada hari temuduga. Bau yang tidak enak akan menjejaskan keadaan ketika temuduga. Jangan merokok, makan makanan berbau sebelum temuduga. Berus gigi atau gunakan pembersih mulut atau yang berpudina untuk segarkan mulut anda.




3. Mengabaikan kepentingan guna tandas sebelum temuduga

Bila berada dalam bilik temuduga, sila berada di situ. Jangan ke mana-mana sehingga selesai. Walaupun bangun sekejap ke tandas, itu akan menyebabkan penemuduga hilang fokus pada anda. dan kalau anda abaikan keinginan ke tandas pun, itu akan menyebabkan anda pula hilang fokus ketika temuduga sebab fikiran hanya tertumpu untuk melepaskan hajat.


Anastasia Button, penulis #NewJobNewLife: The Millennial’s Take-Charge Plan for Success, berkata calon perlu selesaikan keinginan ke tandas sebelum datang ke temuduga sebagai jalan selamat daripada menyesal kemudian hari. Setidaknya 15 minit sebelum temuduga. Adakalanya akan ambil masa lebih lama daripada disangka dan boleh dapat kerja ketika itu juga. Adalah susah kalau pundi takungan menjerit di waktu yang salah  :-)  



4. Tiba terlalu awal

Semestinya teruja tetapi bukan bermakna anda perlu sampai terlalu awal dan berborak dengan penyambut tetamu. Calon perlu tunjukkan rasa hormat pada semua orang dengan tiba pada waktu yang munasabah. Keadaan itu akan membuatkan kumpulan temuduga berada dalam situasi pelik, itu akan membuatkan mereka terpaksa datang lebih awal atau tinggalkan anda tertunggu-tunggu lebih lama. Untuk selamat, pergilah dahulu ke mana-mana dan masuklah ketika 5 atau 10 minit sebelum temuduga.




5. Tidak bersedia dengan soalan

Ada beberapa perkara boleh diramal dalam proses temuduga tetapi ada perkara boleh dipertimbangkan kalau anda ada soalan untuk ditanya. Kena bersedia kerana itu akan berlaku.

"Salah satu cara paling berkesan untuk menonjol ialah bersedia dengan beberapa soalan yang berkesan. Tanya soalan selain 'siapa pesaing anda?' Soalan begini kurang menarik dan tidak perlu sebarang kajian, berbanding soalan yang tunjukkan pemahaman mendalam tentang produk, industri atau tugas itu sendiri. Biar perasaan ingin tahu terus menonjol tetapi tanya soalan dengan keinginan untuk lebih memahami peluang kerjaya itu." kata Jordan Wan, pengasas dan CEO bagi CloserIQ.

Tidak bersedia dengan soalan menunjukkan kurangnya inisiatif. Kesilapan paling teruk ialah tidak bertanya soalan di akhir temuduga. "Betul ke? Kita sudah tanya bermacam soalan tetapi tiada soalan daripada calon? Tidak berminat dengan tugasan sehari-hari? Bagaimana dengan orang sekeliling yang akan bekerja dengan anda? Bagaimana dengan alat dan teknologi yang diguna dalam syarikat? Jenis orang yang tidak bertanya soalan menunjukkan mereka ini hanya mahu bekerja 8 jam sehari, dapat gaji dan pergi begitu sahaja. Mereka hanya mahu ada kerja, bukan KERJA INI. Saya mahu orang yang prihatin dengan tugas, kerja dan syarikat. Kalau ada hanya satu soalan pun, biarlah ia soalan yang bernas." kata Pierre Tremblay, pengarah di jabatan sumber manusia di Dupray.



Tak pernah kantoi masa temuduga:  SINI  |



Sunday, January 22, 2017

Artikel - Sedikit Tips Untuk Menjadi Kaya

Kredit kepada: Yahoo Finance
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

Niat untuk menjadi kaya itu tidak salah dan tiada siapa pun yang kata ia salah. Yang salahnya kalau cara untuk mencapai niat itu tidak betul. Bermacam cara yang baik boleh dibuat untuk menjadi kaya. Ramai orang di luar sana yang boleh beri tunjuk ajar, jadi ketepikan semua cara yang anda rasa mengarut.





Semuanya ada kaitan dengan duit, simpanan dan cara anda uruskannya. Katakanlah anda dapat hasil RM50,000 setahun dan ada dua orang anak, maka sebanyak mana agaknya anda boleh simpan?

Kalau anda memang serius mahu menjadi kaya, anda perlu fokuskan minda anda pada pendapatan anda. Tingkatkan pendapatan anda dan anda boleh menyimpan sebanyak mana yang anda mahu.


Di sini ada 5 tips untuk anda:

1. Buat pelaburan untuk diri sendiri

Mereka yang berjaya bukan sahaja melabur dari segi duit, tetapi juga tenaga dan masa. Tolong diri sendiri dahulu supaya anda boleh bantu orang lain pula di kemudian hari. Maknanya anda kena bantu diri sendiri untuk menjadi lebih baik dalam sesuatu bidang yang diceburi itu. Kalau dalam bisnes, kenalah belajar dan praktikkan ilmu bisnes itu.  


2. Cari kerja dalam bidang yang betul

Golongan kaya biasanya boleh masuk dalam sesebuah syarikat yang betul apabila mereka dapati ada peluang untuk berkembang. Ramai orang sekadar mencari kerja untuk dapatkan duit. Memang semua orang perlukan kerja tetapi anda perlukan juga mekanisma atau kenderaan yang betul untuk bantu anda bergerak memajukan diri dan kembangkan potensi diri anda.

Bekerjalah dalam bidang yang memberikan komisyen berbanding gaji seperti bahagian pemasaran atau berniaga sendiri, dan anda akan belajar mengawal berapa banyak pendapatan yang anda mahu.


3. Jadilah hebat dalam apa yang anda buat


Beri komitmen dalam kerja yang anda buat, jadilah orang yang hebat dan ke depan, bukannya yang biasa-biasa. Apa sahaja industri yang diceburi boleh menjadi profesion yang sangat menyakitkan bagi golongan pertengahan dan bawahan, sebaliknya menjadi ganjaran besar bagi mereka yang hebat. Mereka yang 'makan' profesion mereka dan obses, mampu menjadi hebat.


4. Gandakan pendapatan, pastikan ia mengalir

Gandakan pendapatan dengan mempelbagaikan sumber hasil anda. Selama mana tidak terlibat dengan yang haram, boleh sahaja. Mulakan dengan yang anda sudah sedia dapat sekarang ini kemudian tambah lagi dan kembangkan.

Cari jalan lain yang boleh bantu anda tambah pendapatan anda kepada yang sedia ada. Ramai orang pergi dari satu aliran ke aliran lain yang tiada kaitan, aliran duit anda sepatutnya ada kaitan dengan anda.





5. Dapat duit, ambil sebahagian dan labur selebihnya

Buktikan pada diri sendiri yang anda memang boleh buat kerja dan buat duit. Tetapkan pada satu matlamat, contohnya dapat RM100,000. Kalau hanya dapat simpan RM10,000, keutamaan hanyalah untuk tingkatkan pendapatan supaya boleh tambahkan simpanan. Simpan RM100,000 membuktikan anda memang boleh buat duit dan simpan. Kebanyakan orang tidak dapat melakukan mana-mana satu pun. Bila sudah dapat dan simpan, barulah anda boleh mula membina kekayaan.



Rajin simpan duit sampai jadi banyak:  SINI  | 

Tuesday, August 9, 2016

Artikel - 3 Cara Boleh Bantu Tingkatkan Karier

Kredit kepada: Yahoo Finance
Gambar ihsan: Google Images
 

Assalamualaikum.....



Kalau kerjaya anda dan duit adalah satu-satunya yang anda ada dalam hidup, maka anda perlu keluar dari pejabat untuk dapatkan sesuatu yang boleh melonjakkan kembali karier anda. Kalau anda biasa luangkan masa selepas waktu kerja dengan hanya menonton drama yang membosankan atau melayari internet, maka lebih baik ikuti cadangan ini yang boleh memberi impak secara tidak alngsung kepada karier anda.

 


Keluar berjumpa dengan kawan atau sesiapa


Ada sesetengah orang, apabila habis zaman belajar dan masuk kerja, mereka langsung tidak kisah dengan dunia sosial. Bila ada kawan yang mengajak keluar untuk makan atau melepak, mereka lebih suka berikan alasan sama ada perlu kerja lewat, penat atau halangan keluarga. Malangnya, kehidupan sebegini akan hanya menyempitkan lagi peluang kerja dan bisnes yang datang dalam lingkungan sosial anda dan kalau berlaku hilang pekerjaan di masa akan datang, ketika itulah baru sedar anda tiada jaringan yang boleh membantu bila kesusahan.

Oleh itu, bila ada masa terluang, berhubunglah dengan kawan-kawan dan orang sekeliling. Bila diajak keluar untuk minum, ikutlah sama. Ini boleh membantu membuka lebih banyak peluang dan membentuk jaringan baru. Janganlah asyik sangat terperap di pejabat dengan kerja ataupun di rumah tanpa buat apa-apa. Keseorangan boleh pendekkan umur.

 


Buat sesuatu yang anda rasa seronok dan mahu pertingkatkannya lagi

Hanya kerana sudah dewasa, itu tidak bermakna perkara yang ingin dipertingkatkan itu hanya bersabit dengan kerja sahaja. Jangan sempitkan fikiran kerana kerja itu, banyak lagi perkara yang boleh dipertingkatkan. Zaman sekarang ialah zaman multi-tasking. Belum terlambat lagi untuk menjadi bagus dalam sesuatu kemahiran atau kerja, manalah tahu kalau ia boleh menjadi kerjaya kedua suatu hari nanti, atau bisnes sampingan. Itu bukan bermakna anda boleh membuang masa menulis komen di Facebook.

Katakanlah anda mahu belajar bahasa Jepun. Hadiri kelas dan bergaullah dengan mereka yang lancar berbahasa itu atau mereka yang datang dari Jepun. Mungkin ia boleh membuka peluang kerja atau bisnes suatu hari nanti, kalau tidak pun, ia membantu memanfaatkan masa yang ada.   





Pertingkatkan diri anda!

Daripada membuang masa selepas kerja dengan merungut tentang orang lain di internet, lebih baik cari jalan untuk perbaiki diri dan kehidupan. Mulakan dengan diri sendiri. Tidak gembira sebab tiada tenaga? Itu akan jadi kalau anda hanya melekat depan komputer atau telfon pintar sepanjang masa. Mereka yang tidak sihat akan lemah sepanjang masa, walaupun tidak buat apa-apa. Lebih baik buat senaman supaya lebih sihat dan kembali bertenaga.


Orang yang gembira sebab cuba menjadi yang terbaik adalah jenis yang disukai untuk diambil bekerja atau mendapatkan kerjasama untuk menjalankan tugas, dan menjadi orang yang dicari kalau ada sebarang peluang kerja. Jadilah orang sebegitu daripada menyalahkan diri sendiri atas kegagalan untuk mencuba.




Sumber penuh peningkatan:  SINI  |    


Hidupan Liar - Peringatan! Jaga-jaga Dengan Lipan

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner

 

Assalamualaikum.....




Dalam entri sebelum ini, saya pernah catatkan beberapa perkara yang semua orang mesti tahu tentang lipan. Beberapa pautan berkaitan juga saya telah sertakan:


Sumber rujukan:   SINI  |  SINI  |  SINI  |    

Kalau seekor anak lipan yang badannya kurus pun sengatnya memang sudah menyakitkan, apatah lagi kalau yang lebih besar. Huuiiihhh... ngeri beb..

Memanglah bukan selalu rumah dimasukkan haiwan penyengat ini, tetapi itu bukan bermakna kita boleh terlupa. Sekali terleka, dia boleh sahaja masuk entah dari mana celah dan menyengat. Boleh jadi ia masuk dari selah dinding, bawah pintu atau mungkin dari lubang lantai dalam tandas atau dapur.

Terutama bagi mereka yang suka berbaring atau tidur di lantai, golongan ini lebih baik lupakan terus tabiat ini bagi mengelakkan disengat. Kalau ada anak-anak kecil, eloklah tidur atas katil dalam bilik.


Pengalaman kali ini, sempatlah ternampak ada seekor yang agak besar masuk merayar senyap-senyap sampailah dia duduk diam berdekatan dengan pintu depan rumah. Apa lagi, paniklah sekejap yang ada di rumah waktu itu. Maka dengan senyap-senyap juga saya ambil batu lesung dan ketuk sekuat hati beberapa kali. Terpaksa ketuk berkali-kali sebab ini lipan dewasa dan kulitnya agak keras.



Friday, January 29, 2016

Artikel - Beberapa Tips Daripada Pakar Seni Beladiri

Kredit kepada: Blackbeltmag.com
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.........




Sebenarnya banyak tips daripada ramai jurulatih seni beladiri, yang ini hanyalah beberapa tips sahaja. Anda boleh klik pada pautan disediakan untuk membaca selebihnya. Antara yang penting dalam mempelajari seni beladiri

MMA bagi pertandingan dan untuk mempertahankan diri ialah dua perkara berbeza. Untuk pertandingan, pemain berdepan situasi satu lawan satu dalam persekitaran statik manakala di dunia sebenar, situasi lebih besar. Anda kena lihat sekeliling dan berjaga-jaga sebab mungkin ada lebih daripada seorang musuh. Antara yang kena diperhatikan di mana letaknya perabot dan macam mana mahu keluar. Situasinya tidaklah seberat dalam gelanggang. Yang penting, anda kena tahu teknik mana yang sesuai mengikut situasi.

Greg Jackson; jurulatih MMA kepada Holly Holm, Georges St-Pierre, Jon Jones dan lain-lain, ada dalam  MMA Core Curriculum online course


Ini mungkin jelas, ada juga ahli berlatih seni beladiri dengan cara yang langsung jauh daripada matlamatnya. Mereka kata belajar seni beladiri tetapi jurulatihnya tekankan perkara yang tidak mencerminkan realiti perlawanan. Anda kena tahu kenapa anda berlatih. Adakah untuk pengalaman kembara? Adakah untuk perlindungan diri? Adakah sebab seronok masuk pertandingan atau sahut cabaran? Atau untuk memberi inspirasi pada orang lain?  Kalau sudah jelas dengan sebabnya, anda akan dapat mencari guru dan pelajaran terbaik.







Seni beladiri bukannya berbentuk rekreasi tetapi satu cara hidup. Selepas berlatih sebulan atau lebih, janganlah harap dapat kuasai dunia. Rancanglah untuk kekal dengan cara anda untuk tempoh yang lama.

Bila melalui proses ujian yang ada dalam seni beladiri itu, anda juga belajar untuk merendah diri. Kekalahan akan lebih mengajar anda dan ia sepatutnya menggalakkan anda untuk berlatih lebih gigih supaya anda menjadi lebih baik. Jangan tunduk pada kekalahan tetapi belajarlah daripadanya.    

—Lisa King, muay Thai



Kalau anda tidak faham realiti, ia akan menentang anda. Walaupun setiap orang ada pandangan masing-masing, hanya ada satu realiti dan ia tidak terbuka kepada interpretasi atau pilihan peribadi. Orang boleh percaya yang dia boleh terbang dan bercakap tentangnya sepanjang hari, boleh beritahu pelbagai teori bagaimana dia boleh terbang hinggalah realiti 'memukul'nya. Rintangan memisahkan yang realiti dan fantasi. Realiti akan menguji anda sebelum anda boleh memahaminya. 

Richard Ryan, Dynamic Combat


Hanya sedikit kebaikan diperoleh bila belajar teknik pertahanan untuk atasi gerakan lawan yang belum dilancarkan. Penting untuk tahu serangan jenayah, serangan orang gila, serangan pengganas, dan sebagainya. Dapatkan dahulu maklumat daripada mereka yang berpengalaman berdepan keadaan itu.   




Jadikan kebiasaan dengan keadaan kena serang. Biasakan dengan latihan, serang dengan makiwara dan berlatih serangan melibatkan pelbagai tendangan, tumbukan dan pergelutan.  



Kemahiran terpenting yang semua orang perlu ada ialah kebolehan untuk mengelakkan diri daripada ditumbuk ketika berlawan.     



Sebenarnya banyak lagi. Rasanya pembaca boleh layari sendiri pautannya.


Jangan sampai kena belasah:    SINI   |      




Monday, January 25, 2016

Petua - Ubati Demam Anak Secara Semulajadi

Kredit kepada: Oh Bulan
Gambar ihsan: Google Images

Assalamualaikum.....

Cara untuk mengubati anak terutamanya bayi demam dengan cara semulajadi.




Apabila anak demam atau badan sudah terasa dedar perkara berikut boleh dilakukan:
  1. Mandikan bayi anda dengan air suam bercampur dengan hirisan lemon yang telah diramas. Biarkan anak berendam dalam tab.
  2. Biarkan bayi anda dalam pakaian yang nipis. Bayi apabila demam, tidak digalakkan untuk dipakaikan pakaian tebal. Sesekali basahkan kepala bayi dengan air hirisan lemon.
  3. Air mandian dan hirisan lemon boleh ditambah dengan Epsom Salt yang boleh dibeli di farmasi. Epsom Salt ni terlalu banyak sangat kebaikan dia. Murah. Tidak rugi membeli.
  4. Bila bayi anda tidur, boleh pakaikan anak dengan lemon socks yang mana stokin tersebut direndam dengan air lemon dan dimasukkan sedikit hirisan lemon di dalam stokin tersebut untuk diletakkan di tapak kaki dan tumit. Bila stokin kering, basahkan lagi dan pakai pada kaki bayi.
  5. Jangan lupa letakkan hirisan bawang merah dalam bekas kecil dan letakkan jauh sedikit dari bayi. Bawang merah adalah sangat bagus digunakan ketika bayi demam/batuk/selsema kerana fungsinya yang bertindak sebagai penyerap virus di udara.


P/s:
Jerlumlah kepala bayi anda sekerap mungkin untuk hilangkan panas badannya. Nampak renyah tapi itu lebih baik dari bergantung kepada ubat doktor utk bayi yg masih kecil.






Wednesday, September 16, 2015

Artikel - Tips Beladiri Dari Evolve MMA

Kredit kepada: Evolve MMA
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....






Berapa ramai antara kita yang tahu ilmu seni beladiri? Berapa ramai agaknya yang masih aktif sehingga kini? Sebahagiannya mungkin sudah tinggalkan alam seni beladiri ini atas sebab komitmen, kesihatan dan bermacam lagi. 

Ilmu ini semua orang kena tahu dan belajar biarpun sedikit. Berdepan tindakan kasar dan ganas tanpa disedari merupakan sesuatu yang malang dalam dunia realiti. Bak kata orang, malang tidak berbau. Jadi kena sediakan payung sebelum hujan. Memanglah kalau pada hari-hari biasa ia tidak berlaku setiap hari kepada diri kita tetapi kejadian tidak diingini berlaku setiap hari di mana-mana. Disebabkan itu ramai juga berfikiran seperti ia tidak mungkin berlaku kepada diri mereka. Habis, takkanlah bila sudah berlaku baru hendak fikir?

Ada pengetahuan asas dan teknik seni beladiri boleh memberi makna berbeza antara hidup dan mati.

Berikut ialah 7 panduan mempertahankan diri dari Evolve MMA




Berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling setiap masa

Tidak kira secara bersendirian atau dengan kumpulan, kena berjaga-jaga dengan sekeliling pada setiap masa. Kena latih naluri, mata dan telinga supaya sentiasa peka. Dalam kelas seni beladiri boleh belajar perkara ini. Jika terasa ada orang tidak dikenali seperti sedang memerhatikan anda, mungkin betul. Tindakan terbaik adalah elakkan berjalan berseorangan dan bergerak bersama-sama dalam kumpulan, jika pergi ke tempat yang kurang biasa atau mungkin ada bahaya. 




Berjalan dengan yakin dan elakkan bertentangan mata

Jika anda berjalan di kawasan berisiko atau bandar yang berbahaya, anda perlu berjalan dengan yakin dan elakkan bertentangan mata dengan orang yang tidak dikenali. Penyerang biasanya mencari mangsa yang dirasakan lemah dan mempunyai bahasa tubuh yang menunjukkan sebegitu. Jika anda bergerak dengan rasa takut, anda lebih berpeluang menjadi mangsa. Berjalan dengan postur tegak, mata yang fokus tetapi dalam masa yang sama kekal peka dengan sekeliling.



Elakkan konfrontasi

Jika anda rasa akan menjadi sasaran serangan, cuba berbincang dahulu. Cara paling selamat untuk mengelakkan konfrontasi ialah dengan mengelakkan persentuhan fizikal. Ketepikan ego dan buat yang terbaik untuk elakkan diri daripada penyerang. Bincang, merayu, menjerit, larikan diri, dapatkan bantuan dan buat apa sahaja asalkan dapat elakkan daripada konfrontasi. Pertahanan fizikal adalah pilihan terakhir. 




Jalan terakhir - SERANG DULU!

Jika anda memang tiada pilihan dan yakin 100% akan diserang, jadi lebih baik serang dahulu. Jika nyawa sudah berada dalam bahaya disebabkan penyerang, anda ada hak yang sah di sisi undang-undang untuk pertahankan diri. Yang asas dalam seni mempertahankan diri ialah siapa serang dahulu akan menang. Ini kerana kebanyakan orang tidak dapat menerima tumbukan ke muka dan ia masih begitu sehingga kini. Jika anda kena tumbuk di muka atau paling teruk, kena tikam di dada, anda mungkin akan tidak sedarkan diri atau terkejut, melainkan anda betul-betul terlatih dalam seni beladiri. Nyawa anda akan berada dalam bahaya jika anda diserang berterusan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ingat, serang dahulu jika anda 100% yakin akan diserang dan tiada jalan untuk melarikan diri. 


Kalau serang dahulu, teruskan serangan berterusan bertubi-tubi

Seperkara lagi tentang menyerang dahulu. Jika anda menyerang dahulu dan mempertahankan diri secara fizikal menjadi pilihan terakhir, serang dahulu dan secara berterusan. Jangan berhenti serangan hingga dia kalah atau mengalah, hingga membolehkan anda larikan diri atau dapatkan bantuan. Biasanya 99% orang yang tidak tahu seni beladiri akan menyerang hanya sekali dan tunggu reaksi penyerang. Waktu menunggu itu walaupun sesaat amatlah berbahaya, kerana penyerang akan jadi semakin marah dan agresif. Biasanya penyerang akan serang balas dengan lebih marah dan bengang. Bila ini berlaku, peluang untuk anda selamat atau tidak, adalah 50/50. Maknanya bila serang berterusan, anda kenalah serang dengan penuh kejutan, penuh keyakinan dan penuh kuasa.



Dalam istilah Muay Thai, ada kenalah menyerangnya bertubi-tubi dengan minimum 5 serangan dalam kelajuan kuasa 100%. Jangan berhenti sehingga anda dapat lihat si penyerang hampir atau tidak sedar terus (totally knockout!). Dalam istilah Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) pula, anda kuncikan penyerang dengan teknik yang memaksanya menyerah (submission) sehingga anda patahkan bahagian tubuhnya yang dikunci itu atau sebarang teknik cekikan yang melemaskannya. Ingat, anda kena jerit sekuat hati bile menyerang. Bila penyerang sudah lemah, sama ada anda lari atau dapatkan bantuan. Beredar sejauh mungkin dari tempat kejadian dan jangan tunggu penyerang sedar semula. 






3 zon serangan kritikal - mata, tekak, kelangkang

Ada 3 tempat di tubuh manusia yang boleh jadi sasaran serangan untuk lepaskan diri. Walaupun berat badan cuma 45kg dan lawan 100kg pun, anda masih boleh atasinya jika anda dilatih dalam seni beladiri. Serang pada bahagian kritikal dengan sekuat hati.  Jika bahagian ini diserang 5 kali bertubi-tubi dengan sepenuh tenaga, lawan tetap jadi tidak berupaya walau sekuat atau sebesar mana pun dia.




Jerit minta tolong

Sewaktu dapat melepaskan diri, jerit sekuat hati. Cari tempat yang ada ramai orang seperti di tengah bandar dan jerit sekuat hati. Jika ada telefon, hubungi polis. Buat apa sahaja untuk dapatkan perhatian orang ramai untuk membantu anda.


Kesimpulan

Betul seperti yang difikirkan, belajar seni beladiri ini ibarat melabur dalam perlindungan insurans. Mungkin anda akan melalui kehidupan hingga umur 75 tahun tanpa terlibat dalam pergaduhan. Jika ada sesiapa beritahu anda boleh terus hidup 100% dalam semua situasi, silalah ke tempat lain. 

Walaubagaimanapun, masih ada banyak lagi faktor yang perlu dipertimbangkan seperti ramai penyerang (multiple attackers), serangan dengan bersenjata dan jenis senjata yang digunakan ketika itu, serangan di rumah, serangan di kawasan tertutup (contoh: dalam lif), dan banyak lagi. Untuk fahami seni beladiri dengan lebih lanjut, anda kenalah terus berlatih dan ambil masa bertahun-tahun untuk mahir dalam pelbagai teknik dan situasi.






Jangan sampai jadi mangsa:  SINI  |    



Monday, August 31, 2015

Artikel - Aurat Wanita Ketika Bersalin

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




Ringkasan dari "AURAT KETIKA BERSALIN" Semanis Kurma TV9 (siaran 21.11.2013) untuk yang bergelar dan bakal bergelar Ibu Bapa: 
1. Suami WAJIB pelihara aurat dan maruah isteri dalam apa jua keadaan.
2. Dari awal disahkan hamil, pemeriksaan PERLU dijaga dalam hal aurat.
3. WAJIB mendahulukan doktor perempuan.
4. MENTAATI Allah dengan sebaiknya dan meninggalkan segala yang terlarang.
5. JANGAN ambil mudah dalam soal proses kelahiran.


Dalam keadaan isteri dah SAKIT sangat, hilang punca, dan tidak boleh berfikir maka: 
1. PERANAN SUAMI sangat penting. Suami yang kena buat keputusan untuk aurat dan maruah isteri. Jika suami sendiri tidak mampu untuk bertegas untuk buat pilihan, ia amat mgecewakan (merujuk kepada dalam keadaan yang tidak darurat serta masih ada pilihan).
2. Suami WAJIB jaga dan pelihara aurat isteri ketika dalam wad. Jangan apabila sudah masuk wad semua terbang (tudung tak pakai, kain terselak sana-sini, baju lengan pendek sahaja, dan sebagainya) sebab kena ingat kadang-kadang ada juga staff lelaki, petugas makanan yang lelaki yang keluar masuk wad.
3. WAJIB untuk MAHRAM temankan ketika datangnya darurat yang mengizinkan aurat terbuka. Pertama SUAMI, kedua SAUDARA PEREMPUAN, ketiga JURURAWAT PEREMPUAN dan seterusnya.


Keutamaan adalah SUAMI. Ini TITIPAN sayang buat semua WANITA: 
1. NIAT - Niat dari AWAL walaupun sebelum disahkan hamil, ingin bersalin dengan disambut oleh doktor perempuan atau bidan wanita.
2. DOA - ISTIQAMAH dari remaja juga boleh. Doa moga Allah pelihara aurat dan maruah kita sekalipun dalam keadaan darurat khususnya kita wanita ketika saat kelahiran bayi.
3. AMALAN - Selarikan dengan niat dan doa. Pemeriksaan ibu mengandung, imbasan bayi dan sebagainya WAJIB dilakukan dengan doktor perempuan dan bukan doktor lelaki. Malah jaga aurat dalam berpakaian juga selama mana bergelar muslim. Apa sekalipun berusaha dengan kudrat kita. Allah akan hitung tindakan kita.
4. YAKIN - Insyaallah bila mana kita telah KUAT berusaha seperti di atas PASTInya DIA bantu kita, pelihara aurat dan maruah kita maruah suami.


P/S:
Moga Allah terus pelihara AURAT dan MARUAH kita semua untuk proses kelahiran yang akan datang. Untuk yang telah berlalu dalam keadaan tidak mampu BERTEGAS, TIDAK cukup bersedia dan sebagainya, maka bartaubat dan muhasabah diri. Insyaallah DIA murah dengan keampunan.


Saturday, June 27, 2015

Petua - Melegakan Angin Dalam Badan

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....


Pilihan 1: Campurkan air perahan bawang merah setengah cawan dengan halba rebus setengah cawan. Kemudian, campurkan sedikit madu asli dan kacau sehingga sebati dan minum. Amalkan setiap hari.

Pilihan 2: Kupas seulas bawang putih yang sederhana besarnya dan makan mentah-mentah. Badan akan menjadi hangat dan angin akan keluar. Rasa mual dan pening akan berakhir.

Pilihan 3: Ambil 5 ulas bawang putih dan bakar tetapi jangan sampai hangus. Kemudian, makanlah bawang tersebut. Hasilnya, angin dalam badan akan keluar.

Pilihan 4: Rebus buah mata kucing bersama halia dan gula melaka. Minum air tersebut setelah suam. Lebih elok diamalkan selepas memakan nasi.


Berikut adalah makanan yang menyebabkan angin dalam badan:
• Kacang
• Sayuran seperti brokoli
• Kobis
• Taugeh
• Bawang
• Asparagus
• Buah-buahan seperti pear, epel dan peach
• Bijirin seperti roti gandum
• Minuman ringan dan jus buah
• Susu dan produk daripada susu dan keju
• Makanan dalam peket yang mempunyai laktus di dalamnya seperti roti, bijirin dan sos salad.

Monday, June 1, 2015

Kesihatan - Bila Si Kecil Tersedak Susu

Kredit kepada: Jom Hamil
Gambar ihsan: Jom Hamil


Assalamualaikum..... 






Kes tersedak susu atau tercekik makanan sering berlaku sekarang hingga boleh membawa kepada kematian.

Ambil langkah-langkah berikut jika anak anda tersedak atau tercekik:
  1. Jangan panik!
  2. Tunggu sehingga mangsa batuk.
  3. Minta bantuan.
  4. Buka mulut anak anda perlahan-lahan - keluarkan objek jika jelas kelihatan.
  5. Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.


Cara:
  1. Terbalikkan bayi anda dengan memusingkan mukanya ke bawah dan letakkan bayi anda pada bahagian lengan anda, seperti gambarajah di bawah.
  2. Dengan menggunakan hujung tapak tangan, tampar dengan sederhana kuat di belakang bayi anda berkali-kali. Jika tiada tindak balas juga, anda boleh melakukan CPR pada bayi anda.

Bagaimana Caranya Melakukan CPR?

Letakkan dua jari anda pada tulang dadanya dan satu jari anda di bawah paras puting bayi. Tekan sebanyak empat kali berturut-turut sehingga satu setengah inci secepat yang mungkin pada bahagian dada bayi anda.






Artikel - Bagaimana Mencuci dan Menanam Uri Cara Islam

Kredit kepada: Blog nissaonisaa
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum...

Antara tanggungjawab penting suami perlu tahu dan pelajari ialah menanam uri.



MENANAM URI ANAK

Uri atau dikenali sebagai placenta, dan juga disebut tembuni. Uri jangan dibuang atau ditinggalkan di hospital. Uri adalah teman rapat/kembar bayi semasa didalam kandungan dan uri amat penting kepada bayi. Uri perlu ditanam dengan segera bagi mengelakkan uri busuk. Jangan disimpan uri hingga dua tiga hari baru dibasuh. Orang tua kata tidak elok. Kalau boleh, cepat-cepat basuh. Contohnya, kalau dapat uri pagi, petang dah tanam. Simpan di peti ais beku jika tak sempat basuh uri tersebut pada hari yang sama/segera. Uri perlu diuruskan dengan baik. Jangan mengikut kepercayaan karut-marut masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun. Semoga, kita dapat menghindarkan diri daripada amalan khurafat ini, yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah kita tanpa sedar. 


Cara menguruskan uri

  1. Mulakan dengan baca Bismillahirahmannirrahim.
  2. Cuci bersih-bersih hilangkan darah-darah. Jangan guna sabun/shampoo.
  3. Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan doa yang baik-baik (Untuk pastikan uri tersebut bersih dan suci)
  4. Cuci uri dengan garam. Lumurkan garam dan cuci bersih-bersih.
  5. Cuci uri dengan asam jawa. Lumurkan asam jawa dan cuci bersih-bersih. (Untuk hilangkan bau hanyir darah)
  6. Perahkan 4 biji limau ke atas uri hingga naik bau limau dan untuk harumkan uri.
  7. Letakkan dalam plastik/bekas mudah reput seperti plastic tesco/kotak mudah reput, letak garam kasar dan asam keping. Ikat seperti sup bunjut.
  8. Letak dalam kain putih dan ikat kemas-kemas seperti sup bunjut.
  9. Gali tanah sedalam mungkin, agak-agak tidak dibau/dikesan dan dikorek anjing atau binatang –binatang lain.
  10. Baca Bismillahirahmannirrahim dan selawat semasa letakkan uri dalam dalam dan timbus.
  11. Tanam di tempat yang bersih dan selamat. Contohnya perkarangan surau/masjid.
  12. Letak batu sebagai tanda bagi memastikan tidak digali oleh anjing dan haiwan lain.
  13. Jangan di letak lilin dan barangan sebagainya yang boleh mendatangkan syirik dan khurafat.

 

Hukum menanam uri adalah HARUS. (JAKIM)
  • Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
  • Uri orang-orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri-uri itu untuk ditanam di tempat masing-masing
  • Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku, pensil dan sebagainya adalah amalan khurafat.

 

KLIK SINI untuk ke sumber.


Saturday, May 16, 2015

Petua - Chicken Pox: Guna Air Kelapa

Kredit kepada: Petua Lamaku
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....




Selain daripada itu, anak yang kena demam campak juga boleh diberi minum air kelapa dan kemudian mandikan dengan air kelapa itu (boleh dicampur dengan air). Insya-Allah demam campak akan beransur hilang.



Sumber rujukan: SINI  | 



Wednesday, May 13, 2015

Hidupan Liar - Bahaya Lipan (Sila Ambil Perhatian!!)

Kredit kepada: Laman Cahaya Cinta, Petua Sejagat, Petua Orang Tua, Wikipedia
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum......



Sehingga artikel ini dikemaskini, sudah ada beberapa kali rumah saya dimasuki haiwan berbisa ini. Baru-baru ini ada satu pengalaman. Tertidur sambil duduk di kerusi di ruang tamu. Tiba-tiba ada terasa sengat yang agak menyakitkan pada tengkuk berhampiran tulang selangka. Saya terus ramas sekasar mungkin, terus bangun dan tanggalkan baju. Kemudian saya terus kebas-kebaskan baju dan bila tengok cermin ada kesan calar merah yang agak panjang dan terasa pedih pada bahagian tengkuk! Bila diteliti, saya ada temui mungkin anaknya yang baru sebesar semut. Sakitnya, makk uiihh... tak ingat!

Sebelum ini ada juga temui anaknya yang bersaiz seperti semut ini dekat meja komputer. Kalau sebesar itu bolehlah lagi kalau mahu hempuk terus sampai penyet. Kalau yang sebesar macam dalam foto ini atau seumpamanya? Mungkin kena guna buku yang lebih keras atau hentak dengan benda-benda keras untuk penyelesaian segera.

Subhanallah.. bahaya betul. Lebih-lebih lagi bila memikirkan kesannya jika ia menyengat anak kecil yang ketika itu masih berusia 2 tahun! Sebelum ini perkara sebegini tidak pernah terjadi. Mungkin kerana cuaca hujan kerana suasana sejuk dan agak dingin yang sesuai sebagai sebahagian daripada ekosistem haiwan ini. Mungkin juga kerana kawasan berhampiran rumah saya ini agak bersemak dan ada kawasan yang agak lembap dan berbatu. Lebih memburukkan lagi, ada sebatang pokok tumbang yang belum dialihkan di belakang rumah akibat hujan baru-baru ini. Bahaya sehingga mampu mengundang nyamuk dan ular...

Oleh kerana perkara ini sudah terjadi sehingga menyebabkan saya takut, susah hati dan tidak dapat tidur, jadi saya meluangkan masa ini mencari beberapa maklumat yang penting mengenai haiwan ini dan juga mengenai keadaan di rumah kami, bagaimana untuk mengelakkan daripada perkara ini berulang lagi. Bukan setakat memikirkan keselamatan kepada anak kecil tetapi juga kepada isi rumah yang lain.


Lipan yang saya temui itu rupanya jenis lipan bara. Kali pertama masuk ke rumah kami, saiznya lebih kurang 5 inci panjang dan 1/2 inci lebar. Sewaktu dapat menangkapnya dalam bekas lutsinar, kami dapat melihat pergerakannya laju dan agresif. Fitrah haiwan sebegini jika terasa diancam. Kali kedua pula saiznya agak pendek sedikit. Maaf, terpaksa membunuhnya kali ini kerana anak kecil dan isteri sudah tidur. Bimbang akan keselamatannya....


Apa yang saya cari?

Saya membaca sedikit maklumat mengenainya DI SINI 

Diterangkan bahawa di seluruh dunia, dianggarkan terdapat 8000 spesis lipan dan 3000 daripadanya telah ditemui. Umumnya, haiwan ini boleh ditemui di habitat dari hutan tropika sehinggalah sejauh padang pasir. Biasanya ia tinggal di habitat mikro yang lembap seperti kawasan tanah, timbunan daun, di bawah batuan atau dalam bahagian batang pokok.

Seperti juga kelawar, kebanyakan lipan adalah nokturnal. Kajian makmal mendapati bahawa lipan mampu memakan apa sahaja asalkan mangsanya berbadan lembut dan saiznya mampu untuk dimakan. Semua jenis lipan berpotensi sebagai intraguild predators atau pemangsa yang mampu membunuh dan memakan pesaingnya.

Pun begitu, haiwan ini bukanlah kebal kerana ia masih menjadi mangsa haiwan vertebrata dan invertebrata yang lain, yang terlibat dalam rantai makanan seperti cerpelai, tikus, salamander, ular dan kumbang.



Bahaya lipan kepada manusia

Lipan ialah haiwan dengan gigitan berbisa. Sengatnya sangat menyakitkan dan apabila terkena akan menyebabkan bengkak, kesejukan, demam, lemah tubuh namun kebiasaannya tidak membawa maut. Sengatnya sangat berbahaya kepada anak kecil dan juga mereka-mereka yang alah kepada sengatan lebah.

Sekiranya disengat lipan yang bersaiz lebih besar, akan menyebabkan anaphylactic shock  bagi sesetengah orang. Sengat lipan yang bersaiz kecil mungkin tidak menembusi kulit.

Simptom

Antara simptom yang muncul setelah disengat:
  • Kesakitan yang amat sangat, setara dengan saiz lipan yang menyengat.
  • Bengkak dan kemerahan (redness) 
  • Sakit dan bengkak di kawasan yang disengat
  • Sakit kepala 
  • Berdebar-debar
  • Rasa loya, mual, muntah-muntah
  • Keresahan
  • Kegatalan dan rasa panas (burning sensation)



Rawatan jika disengat

Selain apa yang diterangkan DI SINI , berikut antara yang dicadangkan di beberapa sumber:

Kaedah 1 (SUMBER)

Menggunakan biji asam jawa. Kaedah ini juga sesuai untuk merawat gigitan lebah.

Bahan-bahan:

    Biji asam jawa.

Cara-caranya:
  1. Pastikan bijinya di bersihkan jika ada sedikit sisa asam jawa yang terlekat tidak mengapa.
  2. Tumbuk biji asam jawa tersebut sehingga halus, kemudian pupukkan ia pada bahagian yang terkena sengat.

..Insyallah dalam beberapa saat, rasa sakit itu akan mula surut.



Kaedah 2 (KLIK SINI)

Cara-caranya:
  1. Mula-mula, anda ambil segelas air putih dan campurkannya dengan sebuku garam jantan (garam kasar).
  2. Kemudian, bacakan Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali.
  3. Akhir sekali, berilah mangsa yang terkena gigitan binatang berbisa tu minum air garam tadi.

Jika diizinkan-Nya, bisa tersebut akan hilang dan sembuh.




Kaedah 3 (KLIK SINI)

Ambil beberapa biji lada putih. Kemudian tumbuk halus dan campurkan sedikit minyak masak. Gaulkan sebati dan sapukan pada bekas gigitan lipan. InsyaAllah bisa gigitan lipan semakin berkurang.


P/s:

Mulai dari entri ini, saya akan buka label baru - Petua. Nantikan petua-petua lain lagi selepas ini.

Tuesday, May 12, 2015

Petua - Chicken Pox: Guna Daun Semambu

Kredit kepada: Laman Petua Lamaku
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.........

Anda boleh mandikan anak dengan daun semambu. Caranya ramas daun semambu dalam sebaldi air dan mandikan seperti biasa. Daun semambu juga boleh digunakan untuk melapik tilam anak yang terkena demam campak dan juga boleh ditumbuk halus dan disapu ke seluruh badan. Biasanya kaum India yang banyak tanam pokok semambu di rumah dan juga di kuil mereka. Daun semambu juga dikenali dengan nama daun Neem.




Sumber rujukan: SINI  |



Petua 1

 Boleh mandikan anak dengan daun semambu. Caranya ramas daun ni dalam sebaldi air dan mandikan seperti biasa. Daun semambu juga boleh digunakan untuk melapik tilam anak yang terkena demam campak dan juga boleh di tumbuk halus dan disapu ke seluruh badan. Biasanya kaum India yang banyak tanam pokok semambu ni kat rumah dan juga di kuil mereka. Daun semambu juga dikenali dengan nama daun Neem.

Petua 2 

Selain daripada itu, anak yang kena demam campak juga boleh diberi minum air kelapa dan kemudian mandikan dengan air kelapa itu (boleh dicampur dengan air). Insya-Allah demam campak akan beransur hilang.

Petua 3

 Mula-mula berikan anak anda yang mengidap demam campak atau chicken pox dengan segelas air kelapa hijau (mawar) yang dibubuh secamca besar madu dan dibacakan selawat tiga kali. Apabila bintik-bintik merah campak habis keluar, sapukan pupur yang dibuat daripada beras direndak semalaman, ditumbuk atau dikisah halus bersama-sama daun cermai dan kunyit basah. Sapukan rata-rata di seluruh badan anak anda dan biarkan kering. Sapukan sekurng-kurangnya tiga kali. Insya Allah kesan campai berbintik hitam) akan hilang dan demam akan sembuh sepenuhnya).

Petua 4

Ambil beberapa helai daun pokok semambu yang segar dan tumbuk dengan sedikit beras sehingga lumat. Ambil daun yang telah lumat itu dan sapukan ke seluruh badan sehingga rasa miang berkurangan. (Ulang jika tidak cukup. Boleh dicampurkan sedikit air jika terlalu kering). Selamat mencuba!

**Elakkan mereka yang kena chicken pox dari terkena hujan sebab takut parutnya jadi berlekuk dan hitam. - See more at: http://azfar9897.blogspot.com/2014/04/petua-dan-tips-anak-kena-chicken-pox.html#sthash.qchr0NcS.dpuf

Monday, April 20, 2015

Petua - Halau Nyamuk

Kredit kepada: FB Muhammad Nasim Mansor
Gambar ihsan: FB



Assalamualaikum.....

Terima kasih kepada yang berkongsi.






Monday, March 16, 2015

Artikel - Hukum Beramal Dengan Petua dan Pantang Larang Melayu

Kredit kepada: Ilmu dan Ulamak, Malaysia Ria
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....






Soalan

Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?



Jawapan

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui Rasul-Nya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. 

Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran mahupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa sama ada besar atau kecil, wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.  

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.




KLIK SINI dan SINI untuk ke pautan berkaitan.




Tuesday, February 3, 2015

Artikel - 7 Zikir Pembuka Pintu Rezeki

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




1. Memperbanyak membaca – la hawla wala quwwata illa billah
Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan – la hawla wala quwwata illa billah (Hadis Riwayat  At- Tabrani)

2. Membaca – la ilaha illallahul malikul haqqul mubin
Barangsiapa setiap hari membaca la ilaha illallahul malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut dalam kubur (Hadis Riwayat  Abu Nu’aim dan Ad Dailami).

3. Membaca – subhanallah wabihamdihi subhanallahil adziim
Dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu. (Hadis Riwayat  Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)

4. Membaca surat Al-Ikhlas:
Barangsiapa membaca surat Al-Ikhlas ketika masuk rumah maka berkah bacaan menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangganya (Hadis Riwayat  Attabrani)

5. Membaca surat Al-Waqiah:
Barangsiapa membaca surat Al-Waqiah setiap malam. Maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup” (Hadis Riwayat  Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)

6. Memperbanyak selawat ke atas nabi :
Dari Umar bin Khathab dari Nabi s.a.w. bersabda bersabda: Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali selawat maka Allah akan membalas sepuluh kali selawat dan mengangkatnya sepuluh darjat.
(Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Ibnu Abu Syaibah…Al-bazzar….Ibnu Syahiin dan Al-Ismaili dengan sanad ma’lul)

7. Melazimkan beristighafar :
Barangsiapa melazimkan beristighfar nescaya Allah akan mengeluarkan dia dari segala kesusahan dan memberikan rezeki dari arah yang tidak diduga-duga” (Hadis Riwayat  Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah)