MY FOLLOWERS

Showing posts with label tahukah anda?. Show all posts
Showing posts with label tahukah anda?. Show all posts

Sunday, July 21, 2019

Kesihatan - Sindrom Savant

Kredit kepada: Wiki
Gambar ihsan: Google



Sindrom Savant ialah satu keadaan seseorang dengan ketidakupayaan mental yang signifikan yang menunjukkan sesetengah kebolehan yang jauh lebih tinggi daripada kebiasaan. Kemahiran tertentu si empunya badan yang cemerlang biasanya dikaitkan dengan memori. Ini termasuk pengiraan pantas, kebolehan artistik, pemetaan atau kebolehan muzikal. Biasanya satu kemahiran istimewa yang menonjol. 






Mereka yang hadapi sindrom ini umumnya mempunyai gangguan perkembangan neuro seperti autism spectrum disorder (ASD) atau yang pernah alami kecederaan otak. Hampir separuh kes dikaitkan dengan autism dan mungkin dikenali sebagai "autistic savants". Biasanya keadaan menjadi jelas ketika kanak-kanak tetapi ada juga kes berkembang kemudian ketika dewasa. Ia tidak dikenali sebagai gangguan mental dalam DSM-5.   

Keadaan ini sangat jarang. Satu jangkaan ialah ia menjejaskan satu dalam sejuta orang. Kes penghidap savant kurang di kalangan perempuan berbanding lelaki. Penemuan hal ini secara perubatan kali pertama ialah pada 1783. Antara penghidap autism, ada 1 dalam 10 ke 200 penghidapnya ada sindrom savant pada tahap tertentu. Dijangka kurang daripada ratusan penghidap savant mempunyai kemahiran luar biasa yang masih hidup. 


Petanda dan simptom

Kemahiran savant biasanya dijumpai dalam satu atau lebih dalam 5 bidang besar ini - seni, memori, aritmetik, kemahiran muzikal dan ruang. Jenis yang paling biasa ialah 'kalendar manusia' (calendrical savants) yang boleh mengira hari dalam seminggu pada tarikh tertentu dengan laju dan tepat atau ingat semula memori peribadi dari tarikh tertentu. Memori lebih tinggi adalah kunci seperti 'superpower' dalam kemahiran savant. 


Dianggarkan separuh daripada penghidap savant adalah autistik dan separuh lagi selalunya ada corak kecederaan sistem saraf pusat atau penyakit tertentu. Dianggarkan 10% daripada penghidap autism mempunyai sebahagian corak kemahiran savant.







Kalendar manusia


'Kalendar manusia' (calendrical/calendar savants) ialah seseorang yang walaupun ada kekurangan intelektual boleh namakan hari dalam seminggu pada tarikh itu atau sebaliknya dalam masa beberapa saat. Savant jenis ini kebanyakannya autistik. Jarangnya ada jenis ini kemungkinan disebabkan motivasi untuk kembangkan kemahiran ini dalam populasi umumnya. Sebaliknya, tidak mudah untuk masuk dalam kemahiran melibatkan sosial.


Mekanisma


Psikologikal

Satu teori menjelaskan bahawa savant ialah kombinasi bakat dan defisit. Dicadangkan individu dengan autism cenderung ke arah memproses secara terperinci dan cara kognitif ini mempengaruhi individu sama ada dengan atau tanpa autism kepada bakat savant. 

Hipotesis lain menyatakan savant ialah bersistem hiper, dengan itu memberikan tanggapan pada bakatnya. Bersistem hiper ialah keadaan ekstrim yang mengkelaskan orang berdasarkan pada kemahiran mereka dalam berasa empati terhadap orang lain melawan mensistemkan fakta tentang dunia luar. Perhatian kepada perincian dalam savant sebagai kesan kepada persepsi yang bercambah atau hipersensitiviti deria dalam diri individu unik ini. Ia juga disahkan bahawa sesetengah savant boleh beroperasi dengan cara masuk terus ke maklumat di paras rendah dan kurang diproses yang wujud dalam otak manusia yang biasanya tidak ada pada kesedaran penting.






Neurologikal

Dalam sesetengah kes, sindrom savant boleh berlaku disebabkan kecederaan kepala yang teruk di bahagian kiri pada lobus temporal anterior. Sindrom savant ini pernah dibuat replika secara artifisial menggunakan stimulasi magnetik transkranial kepada bahagian otak ini yang hilang upaya sementara. 



Sesetengah kebolehan yang jauh lebih tinggi:  SINI  |  






Monday, January 14, 2019

Hidupan Liar - Ular Sawa Tikus Depan Rumah

Kredit kepada: owner, links
Gambar ihsan: owner
Video: Youtube


Baru-baru ini, saya pulang ke rumah selepas satu urusan. Baru sahaja parkir kereta di depan rumah dan sebelum keluar dari kereta, saya ternampak seperti ada yang merayap di depan kaki pintu. Bila diperhatikan, rupa-rupanya seekor ular cuma tidak pasti ia spesis berbisa atau tidak.

Perlahan-lahan saya perhatikan ia merayap dan diam di tepi kasut (lihat foto) dan saya pun mengambil gambar. Tidak lama kemudian ia merayap semula dan melengkungkan badan. Khuatir kalau ia berbisa dan akan menyerang, saya terus angkat kaki sampai terlanggar ampaian baju (hahahaha..) 

Kemudian ia pun melepaskan diri dan tidak nampak pula ke mana ia menghilang.





Seperkara yang tidak hilang ialah foto dan kemudahan untuk mencari sedikit maklumat mengenainya...

Baru tahu rupa-rupanya inilah yang dipanggil ular sawa tikus.


Ular sawa tikus ini ialah salah satu jenis ular yang biasa ditemui dalam hutan, kawasan lapang, berbatu, berbukit dan sawah padi. 

Ular sawa jenis ini merupakan spesis bertaburan yang terbanyak di antara semua jenis ular sawa di Asia. Peminat ular mengatakan spesis ini sebagai antara yang paling menarik. 

Ia dibezakan dengan spesis lain melalui warna pada kepalanya yang keperangan atau warna tembaga dan ada tiga jalur. Warna badannya pula seakan kelabu atau kuning-coklat dengan 4 jalur hitam pada badan. 

Ular sawa tikus boleh membesar sehingga 230 cm panjang dan mampu menetaskan antara 5 ke 12 biji telur setahun dengan anaknya sepanjang 25-30 cm. 

Kepalanya jenis petak dan tidak berbisa. 

Ular ini akan mempertahankan diri bila terasa diancam. Ia akan meluruskan lehernya, meratakan tekaknya dan menyerang lawannya untuk mempertahankan diri. Ular dewasa berupaya memanjangkan dirinya bergantung kepada jarak serangannya. Walaubagaimanapun, seperti juga spesis lain, ia biasanya lebih suka melepaskan diri berbanding berlawan. 

Bila berlawan menjadi mustahil baginya, ular ini akan 'berlakon' mati atau lemah, membalikkan badan dan membuka sebahagian mulutnya untuk memanjangkan lidahnya.



Sedikit maklumat:

Nama saintifik: Coelognathus (formerly Elaphe) radiatus
Nama lain: Copperhead Ratsnake, Copper-headed Trinket Snake, Copperhead Racer
Jenis toksik: Bukan berbisa
Lokasi: Semenanjung Malaysia
Panjang: 1.6-1.7 m
Sifat lain: Gementar dan boleh menggigit tetapi tidak berbisa. Ia akan terus menyerang sehingga letih. Bila tidak dapat melepaskan diri, ia akan 'berlakon' seolah-olah mati.


Beberapa pautan berkaitan:

KLIK SINI  |   KLIK SINI   |   KLIK SINI
KLIK SINI  |   KLIK SINI   |   KLIK SINI
KLIK SINI  |   KLIK SINI   |   KLIK SINI  (video)



Thursday, October 11, 2018

Artikel - Penemuan Keris di Sungai Towy

Kredit kepada: Daily Mail UK
Gambar ihsan: Daily Mail UK



Dasar sungai Welsh mungkin menjadi tempat terakhir yang anda akan jangka untuk menggali artifak bersejarah dari Asia. 

Seorang nelayan di Sungai Towy terkejut bila dia menemui sebilah keris abad ke-18 ketika menarik jaringnya. Oleh itu, satu siasatan dilakukan untuk melihat bagaimana artifak itu sampai ke kawasan itu dan sudah berapa lama ia berada di situ. 


En. Andrew Davies, seorang pembuat bot dari Carmathen menemui keris itu ketika menarik jaringnya. 

Dia juga merupakan pengerusi Carmarthen Coracle and Netsman Association, memberitahu kepada Wales Online, "Saya keluar pada satu malam dalam bot saya dan jaring sudah ditebarkan, dan bila saya menariknya kembali, ada keris terlekat bersamanya. Saya agak terkejut sebab ia bukan tangkapan yang biasa. Saya berada antara dua jambatan bila bot memancing berada di situ." 

"Saya terus membawa barang itu ke muzium keraba saya rasa lebih baik ia diperiksa dan dapatkan maklumat mengenainya. Ia sangat menarik. Saya suka mengetahui bagaimana ia boleh sampai ke sini." katanya lagi.



Gavin Evans, kurator di muzium Carmarthenshire berkata dia telah menghantar foto bilah keris ini yang sudah berkarat ini ke muzium di London tetapi tiada maklum balas. 

"Saya belum dapat apa-apa respon daripada pihak muzium tetapi keris ini asalnya dari Asia Tenggara iaitu Malaysia." katanya.   

"Awalnya saya sangka ia berasal dari Rom tetapi ia mempunyai kisah jauh lebih eksotik. Ia adalah keris dan mempunyai bilah berhias. Hulunya daripada kayu dengan rekaan burung berhias diperbuat daripada tulang dan ada sebahagiannya daripada tembaga.

Saya sangka ia berada di bawah lumpur sebelum diangkat naik dan itulah sebab ia tidak berlalu berkarat, tetapi sekarang ia akan mula cepat berkarat.

Banyak kemungkinan bagaimana ia boleh sampai ke sungai ini. Carmathen dikenali sebagai pelabuhan dan ia mungkin terjatuh ketika belayar." katanya. 










Warisan sejarah di tempat jauh:  KLIK SINI 





Wednesday, September 5, 2018

Kesihatan - Saintis Dedahkan DNA Boleh Kesan Risiko Sakit Jantung

Kredit kepada: Yahoo News
Gambar ihsan: Yahoo News, Google Images


Assalamualaikum....


Saintis berjaya mendedahkan rantaian DNA yang mampu mengesan jika seseorang berkemungkinan menghidap sakit jantung.





Lebih daripada 5 juta warga Britain berisiko 3 kali menghidap sakit jantung berbanding rakan sebaya mereka. 

Itulah satu maklumat terbaru diperolehi daripada kajian yang dijalankan oleh saintis, yang boleh menyelamatkan banyak nyawa. 

Saintis Amerika mengenalpasti varian genetik dalam DNA pesakit yang meningkatkan risiko lima jenis gangguan yang biasa, menggunakan maklumat daripada pengkalan data UK Biobank. Pengumpulan sampel DNA yang unik beserta maklumat perubatan diperolehi daripada lebih 400,000 penderma. 

Hasil kajian ini membantu mereka menghasilkan 'skor risiko' yang menunjukkan sejauh mana kemungkinan pesakit bakal menghidap mana-mana satu penyakit. Kajian juga meliputi penyakit arteri koronari, fibrilasi atrial gangguan ritma jantung secara tidak normal, diabetes tahap 2, penyakit keradangan usus dan kanser payudara.

Sekitar 8% didapati berisiko lebih 3 kali ganda menghidap penyakit arteri koronari manakala yang lain adalah berdasarkan varian genetik masing-masing walapun pesakit tidak selalunya menunjukkan simptom-simptom amaran yang jelas seperti tekanan darah tinggi atau kolesterol.






Kata pengkaji, di masa hadapan, pendekatan serupa boleh digunakan bagi mengenalpasti pesakit berisiko ketika lahir.  

Seorang ahli kardiologi, Dr Ami Khera, dari Massachusetts General Hospital mengatakan, "Individu-individu berkenaan yang berisiko beberapa kali berbanding normal untuk menghidap sakit jantung, hanya kerana ada kesan aditif dalam pelbagai variasi. "

Komputer diprogram untuk mengimbas lebih daripada 6 juta lokasi dalam kod genetik yang lengkap, atau genom seseorang pesakit; telah mengesan ramai orang yang berisiko tanpa simptom yang tipikal. 

"Bagi serangan jantung, saya melihat setiap pesakit berpeluang mengetahui nombor risiko poligenik di masa akan datang, serupa dengan nombor kolesterol mereka." kata saintis Dr Sekar Kathiresan. 

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature Genetics.



Jangan sampai tak tahu sakit apa:   KLIK SINI  |   



Thursday, December 14, 2017

Artikel - Tukar Tayar Bila Lepas Tamat Tempoh

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....


Tayar adalah salah satu bahagian yang paling perlu diambil berat ketika melakukan perjalanan. Setiap tayar depan dan belakang ada had kilometer yang perlu diberi perhatian. Bagi tayar depan, ia perlu ditukar setiap 40,000 km dan tayar belakang pula pada setiap 80,000 km. Perkara ini pernah saya tuliskan dalam artikel yang terdahulu.


Boleh rujuk SINI dan SINI untuk selanjutnya.





Hadiah promosi dari Goodyear - Tukar 4 empat dan dapat satu bekas air percuma  :-)


Yang terbaru, penulis tukarkan kesemua tayar setelah didapati semua bunga tayarnya 'botak' dan ada yang sudah hampir terkeluar benangnya.

Sedikit tips, kalau mahu keadaannya seimbang, setiap 10,000km perlu buat 'crossing' iaitu pindahkan tayar depan dan belakang. 


Friday, November 3, 2017

7 Tips Menulis Kandungan Yang Bernas Untuk Dapat Pendedahan dan Kejayaan

Kredit kepada: Yahoo News, e27
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Kandungan yang padat dan bernas bukan sahaja dapat menarik pembaca dan membuatkan laman web anda kelihatan bagus, ia juga dapat meningkatkan posisi laman anda di enjin carian. 


Membina kandungan yang padat dan mudah difahami ialah tanggungjawab penulis itu sendiri. Maka terpulang kepada penulis dan bagaimana menghabiskan tugasan menulis sebelum dihantar. Jika anda menulis kandungan yang lemah, itu menjadikan anda seorang penulis yang lemah. Ingat, menulis kandungan yang bagus bukanlah kerja ringkas dan jalan mudah tidak akan membawa anda ke mana, kesannya ia akan membuang masa, tenaga dan sumber.  


Laluan untuk penulis kandungan sangat jelas kerana setiap penulis kandungan yang bagus tahu untuk menaikkan lagi posisi SEO dan trafik yang tinggi, maka penulis perlu menghasilkan kandungan itu yang unik dan berkualiti baik secara konsisten, bukannya kandungan berkualiti rendah dan lemah.

Bila anda menulis sesebuah kandungan, pastikan ia yang asli sehingga ke terasnya, kerana enjin carian akan membantu kandungan anda mendapat lebih pendedahan jika ia unik. Kandungan yang padat bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pembaca dan menjadikan laman anda kelihatan bagus malah ia juga dapat meningkatkan posisi laman anda di enjin carian. Ia semestinya memberikan tanggapan kepada pelawat dan membantu meningkatkan prestasi bisnes anda. 


Sama ada anda terlibat dalam bisnes atau sekadar menulis blog, anda perlu menghasilkan kandungan yang bagus setiap kali menulis. Bagi mencapai tahap ini, anda perlu faham apa yang boleh membuatkan kandungan itu bagus dan lakukannya dengan betul.


Artikel ini menerangkan aspek terpenting yang perlu diingati dalam menulis kandungan yang baik. 



1)  Pilih subjek anda

Pada suatu masa, inilah bahagian yang paling susah kerana idea untuk menulis itu tidak datang melayang terus dalam kepala. Sebelum menulis, anda perlu ada persediaan asas yang kukuh iaitu memilih topik yang sesuai untuk ditulis. Cuba kekalkan rekod bagi kandungan topik itu. Ini cara mudah untuk membentuk idea-idea baru dan topik, kerana jika anda ada beribu-ribu idea pun, anda sudah mampu untuk bermain dengan perkataan yang banyak yang membantu menghasilkan topik-topik baru selepas itu. Perahlah otak dalam melihat idea yang berbeza dan lihat jika ada sesuatu yang menarik dapat diambil.



2)  Buat kajian

Bila sudah ada topik, maka anda perlu tulis kandungannya. Kebanyakan penulis akan tulis kandungan bila topik sudah diberitahu dan hasilnya menjadi tidak munasabah. Adalah hampir mustahil seseorang penulis dapat menulis 3 atau 4 muka surat hanya dengan sekadar diberi topik tanpa sebarang pengetahuan mengenai topik itu. Sebagai penulis kandungan yang baik, anda seharusnya mula meulis dengan membuat kajian dahulu tentang sesuatu topik untuk mendapatkan pengetahuan asas mengenainya. Ada banyak bahan menarik boleh dirujuk di laman-laman lain yang boleh memberikan anda idea yang segar dan hebat tentang bagaimana anda boleh mula menulis kandungan untuk artikel anda. 



3)  Kandungan asli tak pernah kalah

Kandungan yang asli sangat membantu anda dalam jangka masa panjang. Jika anda tidak dapat keluarkan idea yang asli, mungkin anda bukan berada dalam bidang penulisan ini. Plagiat atau penciplakan hanya akan memalukan diri anda dan dikenakan penalti oleh Google. Maka adalah penting untuk memahami orang akan melihat kandungan tulisan anda kerana ia membantu mereka dengan sesuatu, dan jika mereka terpaksa membaca perkara yang sama dan berterusan, mereka akan bosan kerana mungkin sudah membacanya di laman lain. Oleh itu kekalkan keaslian kandungan anda kerana ia mencerahkan perjalanan anda dalam dunia penulisan untuk jangka masa panjang.  




4)  Menulis semula

Menulis semula adalah perkara yang sangat penting bagi penulis. Anda tidak akan dapat kandungan yang padat jika menahan diri daripada menulis semula kerana tiada siapa pun dapat menulis kandungan berkualiti dalam draf pertama. Setiap hasil kerja perlukan pembetulan dan penambahbaikan di beberapa bahagian. Kalau tidak berpuas hati dengan draf pertama, buat draf kedua dan seterusnya. Cubalah tukar kandungan yang asli yang boleh merangsang dan mengkagumkan pembaca anda. Menulis kandungan yang bagus termasuk juga menulis semula sebagai peraturan asasnya.




5)  Kandungan yang tepat dan mudah difahami

Ramai orang tidak suka untuk membaca artikel yang panjang meleret-leret, seolah-olah tanpa ada bahagian berhenti. Mereka biasanya akan mudah hilang fokus pada apa yang ingin disampaikan dalam artikel itu ketika asyik membacanya. Untuk menjimatkan masa dan memastikan pembaca tidak letih membacanya, kekalkan momentum pada isi yang ingin disampaikan, ringkas dan padat. Jangan alihkan pembaca keluar daripada topik yang disampaikan. Cuba sasarkan pada kualiti dan isi kandungan yang ingin disampaikan lebih daripada memberi penekanan pad jumlah perkataan. Ini kerana semakin panjang sesuatu artikel, bukan semestinya ia semakin berkualiti. Tiada apa yang lebih menarik kepada pembaca daripada sebuah kandungan yang ringkas, tepat dan mudah difahami.


6)  Pusingan terakhir

Selepas ada topik, buat kajian, menulis artikel dan draf beberapa kali untuk menyempurnakannya, penulis yang baik akan dapat bezakan antara kandungan yang baik dan yang lemah. Maka inilah masa untuk buat semakan terakhir untuk pastikan ia sudah ditulis dengan sebaiknya. Jika perlukan pembetulan format atau peningkatan kualiti, berikannya sentuhan terakhir dan artikel anda sudah sedia untuk diterbitkan.



7)  Buat promosi

Bila artikel anda sudah ditulis dan sudah sedia untuk diterbitkan, anda perlu buat beberapa perkara dahulu sebelum langkah terakhir. Dapatkan platform untuk terbitkan artikel anda adalah sangat penting. Jika belum ada, jangan ragu-ragu untuk terbitkannya di laman sosial kerana ia boleh membantu anda mendapatkan pembaca yang ramai. Buat kajian anda secara berhati-hati dan pilihlah platform terbaik anda dan karya terbaik anda.



Sumber penulisan penuh kehebatan:  SINI  |    


Thursday, August 10, 2017

Kesihatan - Jangan Ambil Mudah Tentang Mini Strok

Kredit kepada: Laman LelakiSihat.com, Wikipedia.org
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....

 


Satu episod kegagalan fungsi neurologi yang dipanggil sebagai 'transient ischemic attack (TIA)' disebabkan oleh kehilangan aliran darah sama ada bahagian fokus di otak, tulang belakang atau retina tanpa pelanggaran akut (kematian tisu). TIA mempunyai sebab yang sama seperti strok - gangguan pada aliran darah dan sering dirujuk sebagai strok mini atau strok mega.

Simptom TIA akan hilang selepas 24 jam atau kurang daripada itu. TIA pada asalnya ditakrifkan secara klinikal berdasarkan sifat sementaranya yang berkait dengan simptom neurologinya yang kurang dari 24 jam. American Heart Association dan American Stroke Association (AHA/ASA) mentakrifkan TIA sebagai episod sementara kegagalan neurologi disebabkan oleh bahagian fokus di otak, tulang belakang atau retina tanpa pelanggaran akut (kematian tisu). TIA menyebabkan simptom yang sama yang dikaitkan dengan strok seperti kelumpuhan kontralateral (bahagian tubuh yang bertentangan daripada hemisfera otak yang terjejas) atau lemah secara tiba-tiba atau rasa kebas.

TIA juga boleh menyebabkan kekaburan secara tiba-tiba atau hilang penglihatan (amaurosis fugax), aphasia, pertuturan tidak jelas (dysarthria) dan kekeliruan mental. Tidak seperti strok, simptom TIA boleh hilang hanya dalam masa beberapa minit atau dalam masa 24 jam. Kecederaan otak masih boleh berlaku pada TIA untuk selama beberapa minit. Berlakunya TIA boleh menjadi faktor berlakunya strok atau strok senyap.

Strok senyap atau silent cerebral infarct (SCI) berbeza daripada TIA kerana tiada simptom yang dapat dilihat dengan segera. SCI masih boleh menyebabkan kegagalan fungsi neurologi berpanjangan yang menjejaskan angin, personaliti dan kognisi seseorang. SCI sering berlaku sebelum atau selepas TIA atau strok major.

Infact serebrum otak yang berpanjangan melebihi 24 jam dan kurang 72 jam dipanggil reversible ischemic neurologic deficit (RIND).



Simptom dan tanda-tanda

Simptom boleh jadi pelbagai dan mengikut bahagian otak. Yang paling kerap berlaku ialah hilang penglihatan, kesukaran bertutur, lemah sebahagian tubuh (hemiparesis); rasa kebas atau berdenyut-denyut, biasa pada sebelah tubuh. Hilang kesedaran adalah jarang. Ada juga kes kelumpuhan sementara dan separa yang menjejaskan muka dan lidah si pesakit. Sesetengah individu mungkin ada rasa pelik berlaku pada tubuh mereka. Rasa pening, kurang kordinasi atau hilang keseimbangan, juga boleh menjadi simptom berkaitan dengan TIA. Simptom berbeza mengikut keadaannya. 



Punca

Punca paling biasa bagi TIA ialah embolus yang menyekat arteri dalam otak. Ini biasa berlaku bila plak atherosclerotic yang teralih dalam salah satu arteri karotid atau dari arteri basilar-vertebra. Sebab lain ialah daripada thrombus (darah beku) yang berasal dari atrium jantung biasanya sebelah kiri, disebabkan fibrilasi atrium. Dalm kes TIA, tempoh sekatan adalah singkat, maka tiada kerosakan kekal. Pembentukan kolesterol adalah beransur-ansur dan biasanya menyempit lumen. Dengan masa, aliran darah ke bahagian otak tersebut akan berkurang dan akan menyebabkan strok. Dalam kes lain, partikel kolesterol daripada plak atherosclerotic boleh secara tiba-tiba pecah dan masuk ke otak. Pada sesetengah orang, pecahan-pecahan ini keluar dari jantung dan pergi ke otak. Ini sering berlaku ketika serangan jantung atau jangkitan pada injap jantung.


Sebab lain termasuk penyempitan berlebihan bagi saluran darah yang besar disebabkan plak atherosclerotic dan peningkatan kelikatan darah berpunca daripada sesetengah penyakit darah. TIA juga dikaitkan dengan keadaan perubatan lain seperti hipertensi, sakit jantung terutama fibrilasi atrium, migrain, hiperkolesterolemia dan diabetes mellitus.

 

Faktor risiko

Sejarah keturunan yang ada strok atau TIA
Berumur 55 tahun ke atas
Lelaki ada risiko lebih tinggi untuk terkena TIA berbanding wanita
Tekanan darah tinggi (hipertensi primer atau sekunder)
Diabetes mellitus
Merokok
Sakit kepala



Pencegahan

TIA boleh dicegah dengan mengubah cara hidup, yang dipercayai pakar perubatan sebegitu. Ia termasuk:

Berhenti merokok
Kurangkan makanan berlemak, bagi membantu pembinaan plak dalam tubuh
Makan diet sihat termasuk banyakkan makan buah-buahan dan sayuran
Kurangkan pengambilan sodium dalam diet, bagi mengurangkan tekanan darah
Kerapkan senaman
Kurangkan ambil alkohol, bahan stimulan, dll.
Kekalkan berat badan yang sihat/ideal
Kawal tekanan darah dan gula dalam darah



Hidup sihat tanpa strok:  SINI  | SINI  |

Artikel - Masalah Matematik Boleh Selesai Dengan Mudah Jerrrr....

Kredit kepada: Yahoo News, Hello Giggles
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....

 


Tiada apa yang menyebabkan sesuatu masalah matematik itu menjadi viral melainkan ia sangat memerah otak dan orang asyik mendapat jawapan yang salah bila menjawabnya. 

Bagi sesetengah orang, mereka akan rasa sedikit menyesal bila tidak tumpukan perhatian dalam kelas ketika subjek ini dahulu... hahaha

 
Soalannya     9 – 3 ÷ 1/3 + 1 = ? 


Soalan semudah ini menjadi kecoh di Jepun sebelum ini bila ramai yang asyik mendapat jawapan yang salah. Berdasarkan kepada PopSugar, hanya 60% sahaja yang mendapat jawapan yang betul. 


Pengguna YouTube, MindYourDecisions memberikan jawapannya dengan membawa Presh Talwalkar, orang yang di sebalik soalan ini untuk menerangkannya ..


Helahnya mudah. Ingat PEMDAS, susunan bagi operasi formula iaitu Parentheses, Exponents, Multiplication, Division, Addition, Subtraction. Talwalkar menjelaskan, perlu selesaikan dahulu bahagian 3 ÷ 1/3 .. 


3 ÷ 1/3 = 9

 
Kemudian selesaikan masalah ini dari kiri ke kanan untuk dapatkan jawapan yang betul. 

Jawapan yang salah biasanya berakhir sama ada 3, 7 atau 9.

Itu kalau sesiapa terlupa untuk menggunakan PEMDAS dan jalan kerja dari kiri ke kanan.

Mungkin disebabkan kita semakin moden, maka kita lebih banyak bergantung kepada internet dan kalkulator saintifik untuk selesaikan masalah matematik. Kalau dilihat sekitar tahun 1990an dahulu, perlu bergantung bukan sahaja pada kalkulator biasa, tetapi juga dengan bantuan buku sifir dan formula asas yang perlu diingati. 


Sumber kiraan senang giler:  SINI  |   



Tuesday, July 25, 2017

Artikel - Baju Melayu Orang Dulu-dulu.....

Kredit kepada: FB Jack Musa
Gambar ihsan: FB Jack Musa


Assalamualaikum.....






Baju Melayu dulu dulu pesak nya besar. Supaya selesa dipakai ke masjid atau semasa berpencak.

Juga sebagai penutup badan supaya tidak terbonjol segala otot dada dan lengan.

Orang dulu-dulu bukan tak sado. Cumanya mereka tak cukup bodo.




Saturday, July 8, 2017

Artikel - Betul Ke Air Alkali Menyembuhkan Kanser?

Kredit kepada: FB Root of Science
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....




Asid dalam badan menyebabkan kanser. Manakala, air alkali menyembuhkan kanser. Adakah perkara ini betul?

Ramai daripada penjual air alkali mengatakan bahawa meminum air yang beralkali adalah baik untuk penyembuhan kanser.

Bahkan mereka mengatakan sifat asid di dalam badan merupakan punca kepada kanser.

Di samping itu, penjual air alkali selalu mengambil kata-kata daripada seorang ahli biologi bernama Otto Heinrich Warburg iaitu seorang penerima anugerah Nobel pada tahun 1931

Ini merupakan kata-kata yang kononnya di ambil daripada Doktor Otto Warburg:

"All forms of cancer have two basic conditions: Acidosis and hypoxia(lack of oxygen). Cancerous tissues are acidic whereas healthy tissues are alkaline"

Saya tidak pasti adakah ini betul atau tidak kata-kata daripada Warburg. Tetapi ia tidak menjelaskan adakah benar air alkali membantu untuk membunuh ataupun mengelakkan badan kita daripada terkena kanser.

Kami telah membaca balik berkenaan kajian-kajian yang ditulis oleh Dr Otto sendiri berkenaan perkara ini. Di dalam kajiannya pada tahun 1956, dia ada menyatakan bahawa penyebab kanser adalah MITOCHONDRIAL DYSFUNCTION.


Apa itu Mitochondria?

Mitochondria merupakan salah satu ‘organ’ di dalam sel yang berfungsi untuk menghasilkan tenaga. Di dalam sel manusia, mitochondria akan menggunakan oksigen dan juga glukosa (gula) untuk menghasilkan tenaga.

Selain daripada itu, penghasilan tenaga daripada glukosa juga akan menghasilkan air dan karbon dioksida.

Dalam keadaan kekurangan oksigen, mitochondria masih boleh menghasilkan tenaga tetapi ia menggunakan proses lain yang dikenali sebagai ‘anaerobic metabolism’.

Dalam proses tersebut ia menghasilkan jumlah tenaga yang sedikit dan juga ASID LAKTIK.


Apa yang berlaku dalam sel kanser?

Di dalam sel kanser, fungsi mitochondria menjadi kacau bilau. Mitochondria yang selalunya menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga tidak menggunakan oksigen lagi.

Sebaliknya mitochondria itu akan terus menggunakan ‘anaerobic metabolism’ untuk menghasilkan tenaga sama seperti sel yang kekurangan oksigen.

Hasilnya sel-sel kanser ini akan menghasilkan jumlah asid laktik yang sangat banyak dan menyebabkan ruang di dalam sel kanser iaitu cytoplasm bersifat asid.

Apabila cytoplasm bersifat asid, sel tersebut akan mati dan mengeluarkan asid laktik dan menyebabkan kawasan sekeliling sel kanser pun menjadi sedikit berasid.

Untuk kefahaman di sini bahawa, keasidan itu terjadi sebab sel tersebut yang menghasilkan asid. Bukan asid yang menyebabkan kanser berlaku.


Kajian sekarang berkenaan punca kanser

Pada waktu dahulu, Dr Otto Warburg mengatakan punca kanser adalah disebabkan masalah metabolisma yang berlaku pada sel dan dikenali sebagai ‘Mitochondrial Dysfunction’.

Kini dengan adanya teknologi sains yang terbaru, perkara tersebut telah diperbetulkan balik iaitu punca kanser adalah kerosakkan pada genetik sesuatu sel.

Ini menyebabkan fungsi organelles di dalam sel seperti fungsi mitochondria terjejas. Ia bukan disebabkan ‘mitochondrial dysfunction’.


Adakah minum air alkali membantu dalam sel kanser?

Tidak. Air alkali tidak membantu. Ini disebabkan air alkali itu sendiri akan dineutralkan apabila masuk ke dalam perut yang bersifat asid. Dan masalah sebenar kanser bukan disebabkan sifat asid itu, tetapi genetik di dalam sel itu yang membuatkan sel tidak berfungsi dengan betul.


Apa yang menjadi mitos di sini adalah:
1) Dr Otto Warburg tidak pernah menyatakan bahawa penyebab kanser adalah keadaan asid di dalam badan. Bahkan kanser itu sendiri menyebabkan keadaan dalam sel menjadi asid

2) Air alkali tidak membantu dalam penyembuhan kanser sebab ia tidak menyelesaikan masalah sebenar kanser itu sendiri. Lagipun, kealkalian air tersebut akan dineutralkan oleh asid di dalam perut yang bersifat asid

Harap maklumat ini bermanfaat

Tuesday, March 28, 2017

Kesihatan - Apa Jadi Pada Tubuh Bila Selalu Angkat Beban Yang Sama?

Kredit kepada: Menshealth.com
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....

Bila membuat senaman yang melibatkan angkatan berat, biasanya kita akan gunakan jumlah beban yang sama setiap kali. Memang bagus untuk pilih beban yang sesuai dengan tahap anda bila di gimnasium, tetapi anda mungkin tidak akan dapat merasa kepelbagaian berat untuk diangkat bila berpeluh di rumah.

Pihak pakar berkata, jika tidak mengubah saiz beban untuk diangkat bermakna anda akan terlepas untuk merasa kebaikan yang ditawarkan. 





"Bila anda berlatih dengan beban yang sama setiap kali untuk jangka masa yang lama, badan anda akan terbiasa dengan rintangan pada tahap itu dan anda tidak dapat lihat pertambahan kekuatan otot dan saiznya." kata Jacque Crockford, pakar berkaitan kekuatan dan kondisi dan ahli fisiologi senaman di  American Council on Exercise. 

Boleh cuba bandingkan dengan berlari pada satu jarak atas pengisar injakan atau treadmill,  pada satu tahap, anda tidak akan lihat peningkatan lagi sebab anda tidak lagi mencabar tubuh anda. 

Bahagian penting untuk diberi perhatian - daya tahan otot

Daya tahan otot ialah keupayaan otot anda untuk menghasilkan daya pada satu tempoh dan ia penting untuk senaman dengan tempoh lama dan intensif, seperti marathon. Otot dengan daya tahan yang tinggi boleh membantu seseorang melalui kehidupan yang sibuk dengan penuh bertenaga, postur lebih baik dan mengurangkan risiko kecederaan.   


Jika ingin tahu sejauh mana daya tahan otot anda, contohnya kalau anda biasa membuat senaman shoulder press sebanyak 12 kali kemudian selepas satu tempoh, anda sudah boleh buat sehingga 20 kali, maka itu satu peningkatan. Tingkatkan jumlah rintangan adalah cara terbaik untuk pantau kemajuan anda.   

Meningkatkan rintangan sekitar 5% selepas satu tempoh adalah kadar yang sesuai. Jika jumlah itu masih terasa begitu banyak, boleh sahaja buat secara sedikit demi sedikit. 



Nak otot lebih sado:  SINI  |  


Friday, March 17, 2017

Hidupan Liar - Bentuk Hidupan Laut Dalam Yang Pelik-pelik....

Kredit kepada: Dailymail.com
Gambar ihsan: Dailymail.com

 
Assalamualaikum.....


Sebelum ini rancangan National Geographic dan beberapa lagi laman web lain pernah memaparkan bentuk hidupan yang pelik-pelik seperti ini untuk pengetahuan penonton. Memang, semakin dalam semakin banyak yang pelik diketahui. 

Kewujudan ekosistem yang penuh misteri di dasar laut memang sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Banyak bentuk hidupan ada di sana.

Satu laman Twitter milik seorang nelayan Rusia menjadi tumpuan apabila memaparkan banyak penemuan aneh yang tidak dikenali. Nelayan ini bekerja di sebuah pelabuhan di barat laut Rusia dan dia mula kongsikan penemuannya bermula awal tahun ini sebagaimana dilaporkan oleh Moscow Times.

Nelayan ini, Fedortsov juga berkongsi penemuan ini di Flickr.  Antara yang dikongsi ialah jerung dengan gigi pelik, jerung hantu, labah-labah laut, haiwan seakan lintah, serta yang seperti tapak sulaiman.







Labah-labah laut, satu spesis antropod marin dengan 8 kaki yang panjang



Dengan mata buntang berwarna merah dan bibir merah, hanya dikenali sebagai spesis grenadier atau rattail. Boleh ditemui di dasar Artik ke Antartika.





Di kalangan nelayan, mereka masih tertanya-tanya ini spesis apa. 
Dengan rahang yang besar dan gigi tajam, boleh jadi ia ikan naga (dragonfish) dari kelompok Malacosteus






Jerung dengan gigi berlapis. Dikatakan sebagai relik hidup disebabkan ciri primitif dimilikinya


Spesis jerung laut dalam




Ikan dengan gigi besar hanya dikenali sebagai ikan sarung hitam (black scabbard fish)


Nelayan juga ada memaparkan foto spesis chimaera, satu spesis yang dikenali sebagai jerung hantu. Matanya akan menyinar bila terkena cahaya.



Membongkar misteri laut dalam:   SINI   |   


Sunday, January 22, 2017

Artikel - Sedikit Tips Untuk Menjadi Kaya

Kredit kepada: Yahoo Finance
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....

Niat untuk menjadi kaya itu tidak salah dan tiada siapa pun yang kata ia salah. Yang salahnya kalau cara untuk mencapai niat itu tidak betul. Bermacam cara yang baik boleh dibuat untuk menjadi kaya. Ramai orang di luar sana yang boleh beri tunjuk ajar, jadi ketepikan semua cara yang anda rasa mengarut.





Semuanya ada kaitan dengan duit, simpanan dan cara anda uruskannya. Katakanlah anda dapat hasil RM50,000 setahun dan ada dua orang anak, maka sebanyak mana agaknya anda boleh simpan?

Kalau anda memang serius mahu menjadi kaya, anda perlu fokuskan minda anda pada pendapatan anda. Tingkatkan pendapatan anda dan anda boleh menyimpan sebanyak mana yang anda mahu.


Di sini ada 5 tips untuk anda:

1. Buat pelaburan untuk diri sendiri

Mereka yang berjaya bukan sahaja melabur dari segi duit, tetapi juga tenaga dan masa. Tolong diri sendiri dahulu supaya anda boleh bantu orang lain pula di kemudian hari. Maknanya anda kena bantu diri sendiri untuk menjadi lebih baik dalam sesuatu bidang yang diceburi itu. Kalau dalam bisnes, kenalah belajar dan praktikkan ilmu bisnes itu.  


2. Cari kerja dalam bidang yang betul

Golongan kaya biasanya boleh masuk dalam sesebuah syarikat yang betul apabila mereka dapati ada peluang untuk berkembang. Ramai orang sekadar mencari kerja untuk dapatkan duit. Memang semua orang perlukan kerja tetapi anda perlukan juga mekanisma atau kenderaan yang betul untuk bantu anda bergerak memajukan diri dan kembangkan potensi diri anda.

Bekerjalah dalam bidang yang memberikan komisyen berbanding gaji seperti bahagian pemasaran atau berniaga sendiri, dan anda akan belajar mengawal berapa banyak pendapatan yang anda mahu.


3. Jadilah hebat dalam apa yang anda buat


Beri komitmen dalam kerja yang anda buat, jadilah orang yang hebat dan ke depan, bukannya yang biasa-biasa. Apa sahaja industri yang diceburi boleh menjadi profesion yang sangat menyakitkan bagi golongan pertengahan dan bawahan, sebaliknya menjadi ganjaran besar bagi mereka yang hebat. Mereka yang 'makan' profesion mereka dan obses, mampu menjadi hebat.


4. Gandakan pendapatan, pastikan ia mengalir

Gandakan pendapatan dengan mempelbagaikan sumber hasil anda. Selama mana tidak terlibat dengan yang haram, boleh sahaja. Mulakan dengan yang anda sudah sedia dapat sekarang ini kemudian tambah lagi dan kembangkan.

Cari jalan lain yang boleh bantu anda tambah pendapatan anda kepada yang sedia ada. Ramai orang pergi dari satu aliran ke aliran lain yang tiada kaitan, aliran duit anda sepatutnya ada kaitan dengan anda.





5. Dapat duit, ambil sebahagian dan labur selebihnya

Buktikan pada diri sendiri yang anda memang boleh buat kerja dan buat duit. Tetapkan pada satu matlamat, contohnya dapat RM100,000. Kalau hanya dapat simpan RM10,000, keutamaan hanyalah untuk tingkatkan pendapatan supaya boleh tambahkan simpanan. Simpan RM100,000 membuktikan anda memang boleh buat duit dan simpan. Kebanyakan orang tidak dapat melakukan mana-mana satu pun. Bila sudah dapat dan simpan, barulah anda boleh mula membina kekayaan.



Rajin simpan duit sampai jadi banyak:  SINI  | 

Saturday, January 7, 2017

Kesihatan - Autism Dikaitkan Dengan Kekurangan Vitamin D Ketika Hamil

Kredit kepada: TAC, RST
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




Satu kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal Molecular Psychiatry menyatakan bahawa wanita hamil yang mempunyai tahap vitamin D yang rendah ketika tempoh kehamilan 20 minggu berisiko mempunyai anak yang akan menghidap autism ketika berusia 6 tahun. Dalam kajian itu, pengkaji telah menganalisa lebih kurang 4200 sampel darah daripada wanita hamil dan anak mereka di Netherlands.  


Vitamin D penting untuk pembentukan tulang yang sihat dan orang ramai biasa mendapatnya ketika terdedah kepada sinaran matahari. Walau bagaimanapun, boleh juga mendapat vitamin daripada sumber lain seperti makanan dan vitamin tambahan.


Autism dan gangguan spektrum autism (autism spectrum disorder (ASD)) ialah istilah yang digunakan bagi satu kumpulan gangguan perkembangan otak, berdasarkan maklumat daripada organisasi kesedaran autism, Autism Speaks. Gangguan ini dikelaskan oleh kesukaran interaksi sosial, komunikasi lisan dan bukan lisan, dan tingkahlaku berulang. ASD juga dikaitkan dengan ketidakupayaan intelektual, kesukaran koordinasi motor, perhatian, dan isu kesihatan fizikal seperti tidur dan gastrousus.


Menurut Centers for Disease Control and Prevention, 1 dalam 68 orang kanak-kanak menghidap gangguan ini dan 4.5 kali lebih kepada anak lelaki berbanding perempuan. Menurut seorang pakar kesihatan wanita, Jennifer Wider, malangnya kekurangan vitamin D biasa di kalangan wanita hamil. Antara 40 ke 60 peratus populasi di Amerika daripada mereka kekurangan vitamin D dan itu termasuk wanita hamil. Selepas kajian ini dan sepertinya, doktor akan mencadangkan pengambilan vitamin tambahan.


Kajian lain turut menunjukkan pentingnya vitamin D dalam perkembangan otak dan sistem saraf. Kurangnya vitamin D mungkin berkaitan dengan gangguan perkembangan neuro seperti autism.


Sesetengah makanan seperti telur, ikan salmon dan sardin mengandungi vitamin D. Cendawan adalah alah satu daripadanya dan ia menyumbang hanya sedikit. Kebanyakannya diperoleh daripada sumber diperkuat seperti susu. Seorang pakar, Wider, menjangkakan ramai lagi doktor akan mencadangkan tambahan vitamin D kepada wanita hamil hasil daripada kajian ini. Jika mereka prihatin tentang diri dan anak dalam kandungan, mereka boleh rujuk kepada doktor.



Sumber cukup segala zat:  SINI  |


Saturday, December 24, 2016

Kesihatan - Udara Bersih Tapi Masih Bertoksin Kesan Asap Rokok

Kredit kepada: Yahoo News
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....



Udara dalam rumah berasa seperti sudah bersih walaupun selepas perokok berhenti merokok, tetapi toksin dalam tembakau masih akan kekal dalam udara selama sebulan, sebagaimana dilaporkan pengkaji dalam jurnal Tobacco Control.


 



"Kita dapat lihat asap dalam udara kemudian ia hilang dari pandangan." kata Georg Matt dari Universiti San Diego kepada New York Times. Oleh sebab ia masih meninggalkan kesan kompaun kimia karsinogenik dalam debu dan permukaan dari karpet hinggalah ke kertas dinding dan jubin pada siling, maka pendedahan kepada kesan tembakau masih tidak selamat.  


Pengkaji menguji rumah ramai bekas perokok yang baru berhenti merokok dan mendapati penghuninya masih terdedah kepada bahan cemar dari perokok ketiga yang ada dalam debu dan permukaan walaupun selepas 6 bulan. Walaupun tahap toksin sudah berkurang secara signifikan apabila mereka sudah berhenti, ia masih boleh dikesan dalam urin, di akhir ujian yang dijalankan.

Banyak lagi kajian perlu dibuat tentang bagaimana untuk membuang kesan bahan cemar ini lebih cepat.


Kajian dibuat selepas laporan Reuters menyatakan 24 juta kanak-kanak tidak merokok terdedah kepada perokok kedua di Amerika disebabkan ibu bapa mereka, terdiri daripada 4 dalam 10 kanak-kanak yang bersekolah. American Heart Association melaporkan pendedahan kepada mereka ketika masa kanak-kanak boleh membawa kepada masalah kesihatan berpanjangan dan memendekkan jangka hayat, dan ia sesuatu yang tidak boleh di pandang remeh. Ini kerana sesetengah kompaun kimia dalam perokok ketiga adalah antara karsinogen paling kuat.



Sedut udara bukan sedut asap:   SINI  |  SINI  |    


Thursday, December 15, 2016

Kesihatan - Tubuh Anda Berasid atau Beralkali??

Kredit kepada: Simple Capacity
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....




Dr. Otto H Warburg, juga pemenang hadiah Nobel yang menemui punca sebenar kanser, mendapati bahawa punca asas terjadinya kanser ialah kerana kekurangan oksigen. Ini membawa kepada keadaan berasid dalam tubuh. Dr. Warburg juga mendapati sel-sel kanser bersifat anerobik iaitu tidak menggunakan oksigen dan ia tidak mampu hidup dalam keadaan adanya paras oksigen yang tinggi dalam tubuh, sebagaimana didapati dalam keadaan beralkali.


Semua sel normal ada keperluan penuh untuk oksigen tetapi sel-sel kanser boleh hidup tanpa oksigen dan ia adalah tanpa pengecualian. Kurangkan paras oksigen dalam selnya sehingga 35% selama 48 jam dan ia akan berubah menjadi sel kanser.


Satu diet yang penting ialah dengan mengekalkan paras pH yang normal dalam tubuh. PH tubuh akan seimbang apabila paras alkali dan asid dalam semua sel tubuh berada dalam keadaan seimbang. Tubuh mesti seimbangkan paras pH dalam darah dengan sedikit beralkali pada paras 7.365 untuk terus hidup. pH tubuh yang tidak seimbang akan mengganggu aktiviti sel dan fungsinya. pH tubuh yang terlalu berasid akan membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes, osteoporosis dan pedih hulu hati.


Jika tubuh dibiarkan berada dalam keadaan berasid terlalu lama, ia akan mempercepatkan proses penuaan. Kebanyakan masalah kesihatan berpunca daripada keadaan tubuh berasid. Ini kerana parasit, bakteria, virus, berkembang dalam persekitaran berasid. Persekitaran beralkali akan meneutralkan bakteria dan patogen-patogen yang lain.  


Oleh itu, mengekalkan keseimbangan pH tubuh menjadi satu daripada perkara penting bagi mengoptimumkan kesihatan tubuh.


Ubat keasidan tubuh

Bahan-bahan: 1/3 sudu teh soda penaik, 2 sudu teh jus lemon segar, atau cuka epal cider.

Caranya:
Campurkan semua bahan. Kombinasi berasid akan menyebabkannya berdesis. Campurkan lagi serbuk penaik hingga hilang semua bunyi berdesis, kemudian isi gelas dengan 8 auns air. Minum semua sekali. Campuran ini akan meneutralkan pH dan mencipta persekitaran beralkali dalam tubuh. Ia membantu mengurangkan keasidan dan masalah asid perut.



Sumber perut penuh asid:   SINI   |  



Sunday, November 20, 2016

Artikel - Antara Adat Melayu Yang Bertentangan Islam Tetapi Masih Diteruskan Hingga Kini

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.........

Kadang-kadang kita seolah main ikut sahaja apa yang orang tua atau generasi lama buat, tanpa banyak soal. Sebaiknya dalam hal-hal yang berkaitan akidah, kena sensitif juga untuk elak daripada terpesong atau tersilap langkah. Kena sensitif dengan bertanya, belajar dan mengkaji. Belajarlah dengan guru yang betul. Bila sudah dapat yang betul, barulah ikut. 






1. Mendengar berita kematian
Melayu: Al-Fatihah
Islam: Innalillahi wa inna ilaihi rojiun


2. Usung jenazah
Melayu:
Baca al-fatihah sambil usung jenazah. Jenazah akan ditanam di tempat seperti yang diminta oleh keluarga si mati. Contohnya, si mati meninggal dunia di Sarawak, tetapi disebabkan keluarga di Selangor, maka jenazah akan dibawa pulang ke Selangor untuk dikebumikan.

Islam:
Usung seperti biasa tanpa ada sebarang bacaan dan percepatkan hantar jenazah ke kuburan bukan perlambatkan dengan bacaan tertentu. Jenazah ditanam di tempat perkuburan yang paling hampir dengan jenazah yang meninggal dunia.


3. Menanam jenazah
Melayu:
Menjirus air dengan jag yang diikat kain putih, tabur bunga dan tabur batu

Islam:
Tiada sebarang jirusan air. Jika jirus air atas alasan untuk melembapkan tanah, tidak mengapa, namun jika air dijirus agar mayat sejuk, maka ini kepercayaan yang merosakkan aqidah.


4. Kubur jenazah
Melayu:
Kubur dihias bagai pengantin, ada bangunan/binaan; siap ada nama, tarikh lahir dan tarikh meninggal dunia; ada pakej upah baca al-Quran
ada 2 batu nisan (kepala dan kaki)
kubur dijadikan masjid tempat beribadah dan meminta
beri wang kepada orang yang buat solat jenazah dan penggali kubur, paling tidak dalam RM1,000 

Islam:
Kubur tidak ditinggikan malah diratakan, tiada hiasan atau binaan; tiada sebarang tarikh dan nama; tiada upah membaca al-Quran di kuburan.
Hanya ada 1 batu nisan
Tempat beribadah di masjid bukan di kuburan
Tiada wang diperlukan kerana tugas uruskan jenazah FARDHU KIFAYAH bagi umat islam.


5. Kenduri arwah
Melayu:
Keluarga si mati buat upacara kenduri bagi arwah dengan bacaan tertentu, doa tertentu, surah Yasin sambil dihadiri tekong tahlilan arwah bagi mengisi perut tetamu dengan juadah makanan walau keadaan susah dan terpaksa. Bersedekah tidak salah dengan meluruskan niat.
Dilakukan selama 3 hari, 7 hari, 40 hari dan 100 hari atas kepercayaan agar mayat tidak diseksa dan tidak disoal di dalam kubur.
Ritual seperti ini adalah milik agama Hindu, bukan Islam!

Islam:
Tiada kenduri buat jenazah. Yang ada ialah mendoakan jenazah di mana saja berada.
Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wa’fuanhu (jenazah lelaki)   
Allahummafirlahawarhamha waafihi wa’fuanha (jenazah wanita)

Jiran terdekat memberikan makanan kepada keluarga si mati kerana mereka sedang berada di dalam kesusahan dan kesedihan. Ini yang sebetulnya dibuat.


6. Talqin
Melayu:
Talqin akan dibaca di atas kubur oleh imam yang diupah. Imam akan berikan jawapan bocor kepada si mati untuk jawab soalan kubur. Imam dan makmum duduk di atas kubur sambil imam membaca talqin dengan menyebut nama fulan / fulanah binti ibu.  

Islam:
Tidak ada sebarang talqin bocorkan jawapan kepada jenazah, kerana jenazah sudah membawa amalannya sendiri untuk menjawab soalan di kubur. Luruskan niat jika talqin sebagai dakwah untuk saling mengingati hari kematian akan tiba kepada yang menziarahi si mati di kuburan itu tidak mejadi kesalahan, kerana Allah ingin kita saling mengingati tentang hari kematian.



Berlapang dada, renungkankah. Melayu sekadar bangsa dan Islam itu akidah kita.
Jadikan pesan Nabi s.a.w. dlm hadis sebagai panduan:-
“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak”
(HR. Bukhari no. 2697 dan Muslim no. 1718)


Ini baru dari satu sudut. Dalam masyarakat Melayu kita, banyak lagi yang kena diperbetulkan bila ada perkara yang menyentuh akidah. Tajuk lain, nanti bolehlah disiarkan dalam entri yang lain.