MY FOLLOWERS

Showing posts with label ibadah. Show all posts
Showing posts with label ibadah. Show all posts

Sunday, March 3, 2019

Artikel - Karnival Jelajah Lambaian Kaabah, Masjid Jamek Pengadang Baru 15-16.2.2019

Kredit kepada: Andalusia Travel & Tours, Sanrie Sport Ventures
Gambar ihsan: Andalusia Travel & Tours, Sanrie Sport Ventures



Karnival Jelajah Lambaian Kaabah telah diadakan di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru pada 15-16.2.2019 baru-baru ini. 

Karnival ini anjuran Andalusia Travel & Tours. 

Sepanjang program karnival ini berlansung, pihak Andalusia mengadakan promosi bagi pakej Umrah bagi bulan Mac hingga Disember 2019 dengan harga deposit tempahan serendah RM50. 

Pakej pelancongan juga menawarkan peluang untuk ke banyak destinasi menarik seperti Tokyo, Turki, Korea, Beijing, Maghribi, Sepanyol, Portugal dan banyak lagi. 

Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang dua hari karnival itu. Antaranya dibuka gerai jualan, serta aktiviti seperti sukaneka, pertandingan azan dan iqamah, pertandingan memanah, pertandingan mewarna, pertandingan hiasan dan gubahan, pemeriksaan kesihatan percuma, kursus umrah dan juga forum perdana. 


Poster karnival yang turut mewarwarkan beberapa panel jemputan 









Pertandingan memanah diadakan pada hari kedua karnival, serentak dengan beberapa pertandingan lain termasuk sukaneka.  


Bersama badut jemputan pada petang hari kedua karnival.


Karnival ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari pertama dan dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari kedua.


Untuk maklumat lanjut berkaitan Andalusia Travel & Tours, anda boleh KLIK SINI


Monday, October 26, 2015

Artikel - Soal Jawab: Hukum Menghadiri Majlis Qasidah dan Nyanyian Nasyid

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images, Quran.com


Assalamualaikum.....


Dijawab oleh: Syaikh Dr. Amin Al-Sa’di, Pensyarah di Jabatan Akidah, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi.

Diterjemah oleh: Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (Disalin daripada rakaman sesi soal jawab Seminar Sejarah Sufi, 07.06.2013, Shah Alam)




Soalan:

Apa hukum menghadiri majlis habib-habib yang dibacakan di dalam majlis-majlis ini qasidah-qasidah dan nasyid-nasyid, walaupun dalam masa yang sama qasidah-qasidah ini adalah suatu benda yang baru?


Jawapan:

Seperti mana yang para ikhwah sedia maklum, bahawa manhaj salaf adalah manhaj yang cukup jelas. Dan sudah sedia maklum bahawa para Salaf Al-Soleh daripada kalangan para Sahabat, Tabi’in, dan Tabi’ Al-Tabi’in, mereka tidak pernah menghadiri majlis-majlis yang menyalahi sunnah Nabi. Kecuali untuk memberi nasihat dan menegakkan hujjah sahaja.Adapun untuk seseorang itu menghadiri majlis seperti ini dan mendengar nasyid-nasyid atau qasidah-qasidah ini, hal ini jelas akan meramaikan majlis-majlis yang menyimpang seperti ini, ia akan menjadi fitnah (tipudaya dan kekeliruan) bagi orang-orang awam di kalangan kaum Muslimin, dan memberi sokongan dan semangat kepada orang-orang yang menyimpang ini.

Allah Azza wa Jalla berfirman,




"Padahal kemuliaan itu hanyalah milik Allah, milik RasulNya dan milik orang-orang yang beriman, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengerti." (Surah Al-Munafiqun: ayat 8)

Maka orang yang bijaksana adalah mereka yang tidak menghadiri majlis-majlis seperti ini kecuali untuk menasihati mereka, atau membantah kebatilan mereka, dan untuk menegakkan hujah ke atas mereka. Sama sekali dia tidak akan menghadiri majlis-majlis seperti ini untuk mengambil hati sesiapa dan meramaikan hadirin, wal ‘iyyadzu billah, ini menyalahi manhaj Nabi ‘alaihissolatu wassalam.

Dan Alhamdulillah, cara dan pintu dakwah itu cukup banyak, dan seseorang itu hendaklah mengambil cara yang hikmah, dan barangkali tidak perlu menyebutkan nama-nama orang yang terlibat, sebaliknya terus memberikan nasihat serta dalil-dalil kebenaran. Wallahu a’lam.


Disalin dari rakaman sesi soal jawab Seminar Sejarah Sufi, 07.06.2013, Shah Alam


Monday, October 12, 2015

Artikel - Bentuk Ziarah Kubur Yang Bidaah

Kredit kepada:Youtube, Syok.org, 1manhajsalaf
Gambar ihsan:Google Images


Assalamualaikum......




Ziarah bid'ah yang dihukumi bid'ah sahaja

Ertinya tidak sampai kepada kesyirikan, seperti ziarah kubur untuk berdoa kepada Allah di sana dengan menyakini adanya keberkahan kubur tersebut. Atau untuk mengelilinginya dan meminta kepada Allah di sana. Atau untuk membaca al-Quran yang pahalanya disampaikan kepada mayat. Ini termasuk bid'ah yang terkadang menjadi dosa besar. Pelakunya dikhuatiri akan terjerumus kepada kesyirikan. [Kerana syaitan sangat ingin dan selalu berusaha untuk menyesatkan manusia].


Ziarah bid'ah yang mengandungi kesyirikan

Yakni ziarah kubur untuk berdoa kepada penghuni kubur tersebut (berdoa kepada selain Allah). Atau untuk istighasah (memohon pertolongan), meminta bantuan, keselamatan, kesembuhan dari penyakit, dilapangkan dari penderitaan, dan lain-lain. Ini tidak disyariatkan berdasarkan kesepakatan kaum Muslimin. Ziarah seperti ini diambil daripada penyembahan kepada berhala [kerana mereka mempertuhankan penghuni kubur].


Sebahagian bentuk ziarah yang bid'ah:
  • Menentukan waktu tertentu untuk ziarah kubur, seperti di setiap dua hari raya atau pada setiap bulan, minggu, atau seperti mereka yang berziarah di setiap hari Jumaat sahaja. Dan mereka menentukan waktu-waktu itu sahaja, tanpa melakukannya di waktu-waktu yang lain. 
  • Berdiri di depan kuburan sambil meletakkan tangannya seperti orang yang sedang solat.
  • Membawa msuhaf ke kuburan dengan niat mengambil berkah atau untuk membacanya atas mayat.
  • Membaca surah al-Fatihah atau surah Yaasiin untuk arwah para penghuni kubur.
  • Bermaksud untuk berdoa di kuburan dengan mengharapkan dikabulkannya doa tersebut.
  • Meletakkan bunga atau pepohonan di atas kuburan.


Ziarah Syirik

Mengadakan sekutu bagi Allah. Sekutu ertinya yang masuk dan bercampur dengan yang lain dalam urusan apa pun. Termasuk ke dalam makna ini adalah syirkah (persekutuan) antara dia orang atau lebih dalam segala perkara.  

Sedangkan syirik menurut istilah adalah menjadikan sekutu bagi Allah Ta'ala dalam rububiyyah atau uluhiyyah-Nya. Pada umumnya kesyirikan terjadi pada tauhid uluhiyyah, yakni dalam berbagai peribadatan, seperti menyembelih, bernazar, takut dan mengharap kepada selain Allah, dan lain-lain.


Sebahagian bentuk ziarah yang syirik
  • Menziarahi kuburan para Nabi, wali atau orang yang soleh dengan sangkaan bahawa dengan keberkahannya para penziarah akan mendapatkan rezeki atau pertolongan.
  • Berziarah kepada kuburan para Nabi, wali atau orang yang soleh, lalu mereka meminta pertolongan anak dan lain-lain.

Tuntutan praktis Ta'ziyah dan Ziarah Kubur, oleh: Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah.



Sumber rujukan:  SINI  |  SINI  |  SINI  |  





Sunday, October 4, 2015

Berita - Cabaran Memanah Qurban TAC 3.10.2015 di Sabasun 2, Gong Badak

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner



Assalamualaikum.....




Cabaran Memanah Qurban anjuran Terengganu Archery Center (TAC) diadakan pada 3.10.2015 bertempat di kawasan lapang sebelah parkir kenderaan di Sabasun 2, Gong Badak, Kuala Terengganu bermula sekitar jam 10 pagi. Cabaran ini adalah memanah tradisional dan tidak menggunakan busur jenis recurve atau compound. Tujuannya adalah untuk melatih kemahiran memanah cara Islam dan sebagai satu cara menghidupkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. 

Acara kali ini dihadiri lebih ramai peserta dari Kuala Terengganu, Setiu serta dari Kelantan dan Johor. Acara kali ini diadakan dengan kategori dewasa, kanak-kanak, individu dan berkumpulan dengan bayaran serendah RM10 seorang. Jarak sasaran adalah 25 meter, 35 meter dan 45 meter. Busur dan panah adalah dibawa sendiri dengan setiap satu dilabelkan mengikut kod peserta yang telah diberikan oleh penganjur bagi memudahkan catatan markah selepas panahan selesai. Durasi pertandingan adalah selama 1 minit bagi setiap sesi saringan. Para peserta dengan kutipan markah tinggi akan dipanggil mengikut kod masing-masing bagi memasuki setiap saringan. 



Peserta mengutip kembali anak panah dan hakim bertugas mengira markah


Banner penganjur di kanopi. Peserta yang bertanding juga menunggu di sini.


Juri dan hakim di kanopi


Ustaz Nazrin dengan side quiver lengkap dengan busur dan anak panah



Sasaran bergerak untuk sesi sebelah petang



Hadiah kepada yang memenangi pertandingan hari ini



Persediaan sebelum memanah - sembang apa la agaknya :-)


Bagi kategori sasaran bergerak, acara bermula sekitar jam 2 petang. Makan minum adalah disediakan oleh pihak penganjur. Hadiah disediakan kepada pemenang, adalah seunit busur jenis Anak Awan dan Jati Tunggal.



Monday, September 28, 2015

Artikel - Ibadah Korban: Kaedah Sembelihan Mengikut Islam

Kredit kepada: Um-Fabulous
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....







Kaedah sembelihan cara Islam


Zakkaytum ialah perkataan diambil dari kata akar Zakaah (menyucikan). Kaedah sembelihan memerlukan perkara berikut untuk diikuti: 

Haiwan sembelihan mesti disembelih menggunakan objek tajam (pisau) dan dengan cara yang cepat supaya sakit sembelihan itu dapat dikurangkan.  

Memotong salur pernafasan, tekak dan salur darah - Zabiha ialah perkataan Arab bermaksud 'sembelih'.  Dengan memotong salur darah, tekak dan salur pernafasan pada leher haiwan itu menyebabkan ia mati tanpa memotong saraf tunjang. 
 
Darah mesti dikeluarkan - Darah mesti dikeluarkan sebelum kepalanya dipisahkan. Tujuannya bagi mengeluarkan kebanyakan darah yang menjadi medium baik pembiakan
kuman, bakteria, toksin, dan lain-lain. Saraf tunjang tidak perlu dipotong kerana fiber sarafnya ke jantung boleh menjadi rosak ketika proses sembelihan menyebabkan ia mati lemas (cardiac arrest) dan tidak masuk ke saluran darah.  Oleh itu, kaedah sembelihan cara Islam adalah lebih bersih kerana darah yang boleh membawa penyakit sudah dikeluarkan. 

Daging kekal segar untuk tempoh lebih lama kerana kurangnya darah dalam daging sembelihan. 

Haiwan sembelihan tidak berasa sakit - potongan yang cepat ke saluran pernafasan akan memutuskan aliran darah ke saraf ke otak yang mengawal rasa sakit. Maka haiwan itu tidak berasa sakit. Ketika hampir mati selepas disembelih, haiwan akan menggelupur, menggeliat, bergoncang dan menendang-nendang, bukan kerana sakit tetapi disebabkan pengecutan dan pengenduran otot-otot yang kurang darah dan darah yang keluar dari badannya.
 
 
 

Boleh juga KLIK SINI untuk rujukan lanjut. 






Saturday, September 26, 2015

Friday, September 4, 2015

Artikel - Kekeliruan Dalam Isu Aurat Wanita

Kredit kepada: FB, Warga Prihatin
Gambar ihsan: FB



Assalamualaikum.....

Apabila umat sudah berada terlalu jauh dari sumber petunjuk, maka masyarakat jadi huru hara. Pelbagai bentuk bencana dan gejala sosial bertimpa-timpa melanda kita. Maka hari ini kita lihat sudah ada keinginan untuk kembali kepada cara hidup Islam untuk mencari sejahtera semula.

Isu menutup aurat wanita menjadi salah satu dari isu utamanya. Agak malang pula bila kebanyakan kita cuba melakukan perubahan secara ikut-ikut, tanpa bekalan ilmu dan kefahaman yang tepat. Akibatnya timbul berbagai-bagi fesyen dan gaya yang penuh dengan kecelaruan. Ironinya kejahilan itu sampai ke tahap berani terang-terangan menolak ancaman neraka Allah terhadap mereka yang ingkar perintahnya.










"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya." - Surah al-Isra' ayat 36

 
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." - Surah Yunus ayat 36

Amalan HIJAB dalam usaha menutup aurat kita hanya berkisar kepada lahiriah sahaja. Itupun masih belum betul-betul tepat. Ia masih bercampur baur dengan pelbagai fesyen dan gaya yang ada kalanya semakin menarik aura kelelakian.

Kita lupa bahawa komponen utama hijab itu turut meliputi soal batiniah. Kajian tauhid dan hakikat tentang hijab dengan berbagai kelemahan ini mendapati ia turut menjadi penghalang hati untuk menuju Allah apabila ia tidak dilakukan dengan ikhlas dan kaffah.

Baru-baru ini ada kami keluarkan rencana ringkas tentang keikhlasan berhijab. Ramai yang meminta kami kongsikan hasil kajian tentang hijab dan aurat. Ramai juga yang bertanya bagaimana kami boleh menetapkannya dengan berkesan terhadap anak-anak nisak dan murobbi di kalangan Warga Prihatin.



Anak-anak kami mudah mengikut ketetapan soal aurat dan bahagian dari hudud ini kerana setiap dari mereka wajib ulang baca terjemahan quran sekurang-kurangnya 3 kali. Kami hanya tunjukkan sahaja perintah itu datang dari ayat mana dan itulah yang meyakinkan mereka.

Kali ini ingin kami cuba kongsikan dengan agak mendasar tentang HIJAB dan kaitannya dengan AURAT, tudung, niqab, jilbab dan sebagainya.


HIJAB

Sudah menjadi lumrah masyarakat meletakkan hijab itu sebagai gantinama bagi ‘tudung’. Sebenarnya itu tidak tepat kerana tudung hanya sebahagian kecil dari bahagian hijab.

Menurut bahasa, Hijab bererti tirai atau pemisah (saatir atau faasil). Kata kerja (fi'il)nya adalah hajaba, yang diterjemahkan dengan perbuatan seperti: "menutup, menyembunyikan, memasang tirai, membentuk pemisah, memisah diri atau menghadang, memakai topeng atau niqab dan sebagainya."

Mencegah diri kita dari dilihat orang lain dengan mengadakan sesuatu bagi menghalangi antara kedua belah pihak adalah juga menghijab. Contohnya, ketika ada dua orang sedang berbicara, tetapi di tengah-tengah mereka terdapat penghadang agar kedua orang tersebut tidak melihat satu sama lain.

Dalam Al-Quran disebutkan tentang definisi al-Hijab itu sendiri, sehingga ayat ini diberi nama dengan “Ayat Hijab”.



"..Jika kamu meminta sesuatu kepada mereka, maka mintalah dari balik hijab/tabir. Cara ini lebih mensucikan hatimu dan hati mereka..." - Surah al-Ahzab ayat 53

Hijab dalam ayat ini merujuk kepada penutup yang ada di rumah Nabi s.a.w., yang berfungsi sebagai penghalang atau pemisah antara lelaki dan perempuan, agar mereka tidak saling memandang.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. diriwayatkan pernah memerintahkan agar isteri dan anaknya pergi di balik tabir bila ada tetamu lelaki datang ke rumah, walaupun lelaki buta sekalipun. Alasan yang diberikan ialah walaupun lelaki itu tidak melihat, namun mereka masih boleh melihat lelaki itu. Begitu rapinya Rasulullah s.a.w. menjaga disiplin aurat melalui hijab.

Sementara itu, hijab juga dibuat untuk memisahkan ruang antara lelaki dan perempuan dalam kegiatan seminar, syura, pengajian, dan sebagainya. Ini bertujuan menjaga agar tidak terjadi campur baur (ikhtilath) antara lelaki dan perempuan yang boleh menimbulkan pelbagai fitnah.

Dalam quran, hijab turut terpakai bagi menjelaskan hadangan atau pemisahan antara hati si kufur dengan Allah. Ini bermakna Allah akan sentiasa menjauhkan diri (MENGHIJAB) dari hamba yang ingkar dengan perintahnya. Menurut quran, hijab juga merujuk pengasingan antara orang beriman dengan orang kafir.


JILBAB DAN KECACATAN AMALANNYA

Ini juga banyak berlaku kekeliruan. Ramai yang juga mengatasnamakan ‘tudung’ dengan ‘jilbab’. Padahal ia sebenarnya merujuk kepada PAKAIAN LUAR muslimah yang biasanya dipanggil jubah. Allah s.w.t. telah dengan tegas memberikan aturan kepada para muslimah dalam berbusana seperti berikut,




“Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan JILBABnya ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah al-Ahzab ayat 59

Sila rujuk kepada foto yang memaparkan imej HARFIAH JILBAB. Ia bermaksud ‘sehelai baju panjang’ yang menutupi secara terus seluruh tubuh. Bukan pakaian yang terputus antara bahagian atas dengan yang bawah pun. Ia biasa dipanggil JUBAH.

ISBAL adalah satu kecacatan Jilbab wanita. Ia merujuk kepada panjang baju di bahagian bawah. Jika laki-laki diharamkan isbal, nisak pula diwajibkan untuknya. Untuk mengatasi masalah ini muslimah sebaiknya pakai sarung kaki yang tebal dan menutupi aura kaki, bukan yang tipis dan berwarna kulit.
Ibnu Umar berkata, Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa menghela pakaiannya lantaran angkuh, maka Allah tidak akan sudi melihatnya pada hari kiamat. Lantas Ummu Salamah bertanya:”Lalu, bagaimana yang mesti dilakukan oleh kaum wanita dengan bahagian hujung pakaiannya? Baginda menjawab: hendaklah mereka menurunkan satu jengkal! Ummu Salamah berkata: Kalau begitu telapak kaki mereka terbuka jadinya. Lalu Nabi bersabda lagi:Kalau begitu hendaklah mereka menurunkan satu hasta dan jangan lebih dari itu!”
(HR.Tirmidzi (III/47) At-Tirmidzi berkata hadits ini Shahih)


KHUMUR, TUDUNG dan KECACATANNYA

Tudung adalah bahagian pakaian khas untuk penutup kepala dan leher. Tanpa perlu banyak perdebatan, Allah juga telah menjelaskan dalam firman-Nya,




“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak daripadanya. dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga menutupi dadanya...” - Surah an-Nuur ayat 31

Tudung yang menutupi dada ini seharusnya ada beberapa lapis mengikut jenis kain dan harus juga meliputi pangkal lengan. Banyak juga yang kononnya telah menutupi dada, namun ia mendedahkan lengan dan ketiak sehingga bulatan buah dadanya masih kelihatan dari sisi. Ada pula tudung yang terlalu tipis dan dengan jelas menampakkan susuk buah dada, tambahan pula apabila ditekan oleh angin. Ini ditambah dengan jenis kain yang lembut dan ukuran JILBAB yang ketat.

Dewasa ini pelbagai busana Muslimah berlumba-lumba mereka fesyen tudung sehingga menjadi satu perlumbaan fesyen. Ini telah menjadikan AURA rambut yang ditutupi tadi diganti dengan aura tudung yang berbagai gaya dan warna. Ini menyebabkan matlamat berHIJAB itu gagal dan kita masih mengundang zina melalui AURA FESYEN dan WARNA pelbagai hiasan yang terpesong itu.

TASYABBUH (menyamai pakaian orang kafir). Antara gejala yang serius ialah fesyen tudung yang menyerupai TUDUNG BIARAWATI KRISTIAN yang melilit lehar sehingga nampak jinjang lehernya. Ini bukan sahaja berdosa kerana tidak menutupi aurat dengan sempurna mengikut kehendak Allah, malah ia haram kerana sudah meniru pakaian agama lain.

Dari Abdullah bin Amru bin Ash berkata:
“Rasulullah melihat saya mengenakan dua buah kain yang dicelup dengan warna ushfur, maka beliau bersabda: Sungguh ini merupakan pakaian orang-orang kafir maka jangan kamu memakainya”  (HR.Muslim,6/144, hadits Shahih)

SANGGUL UNTA adalah satu lagi gejala yang sudah dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Ini dikaitkan dengan tarikan mata yang menjadikan aurat rambut itu diganti dengan aura sanggul unta. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda,

“Pada akhir ummatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang. Di atas kepala mereka seperti terdapat punuk unta. KUTUKLAH mereka karena sebenarnya mereka adalah kaum yang terkutuk” (HR. Ahmad 2/223.Menurut Al-Haitsami rijal Ahmad adalah rijal shahih)


NIQAB

Niqab adalah penutup muka. Terdapat perselisihan terhadap kewajipan memakainya. Setengah ulamak mengatakan ia wajib berdasarkan hadis yang menunjukkan kepada perintah isteri dan anak Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam Hijab walaupun di dalam rumah sendiri dan tetamu lelaki yang datang juga seorang yang buta. Ia juga merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53

Yang tidak mewajibkannya mengambil nas yang mana muka dan pergelangan tangan tidak dikira sebagai aurat. Ini merujuk kepada aurat dalam solat dan perintah Nabi s.a.w. yang diriwayatkan tidak mahu memandang tetamu wanita yang berpakaian nipis. Baginda lalu menegur dengan meminta wanita itu menutup seluruh tubuh kecuali ini dan ini (menunjukkan muka dan tapak tangan). Ada banyak juga hadis sohih yang merujuk kepada batasan ini.

Kami di RPWP mengambil jalan tengah. Kami hududkan (batasi atau hadkan) interaksi dan pergaulan antara lelaki dengan wanita kecuali dengan kondisi darurat bagi mengelakkan fitnah. Oleh itu, kami tetapkan untuk tidak menutup muka dan tapak tangan lalu tidak mewajibkan niqab kepada warga nisak kami buat masa ini.


AURAT WANITA

Aurat wanita meliputi segala bentuk perhiasan dan daya tarikan yang menjadi AURA dari seorang wanita yang menarik perhatian seorang lelaki. Ini termasuk perhiasan yang wujud dari bentuk tubuh badan seperti bentuk betis, kaki, peha, celah kelengkang, pinggul, buah dada, leher, rambut, mata, bibir dan sebagainya.
Aurat juga meliputi perhiasan yang diada-adakan seperti kosmetik dan solekan, bau-bauan, nada suara dan kata-kata, memek muka dan bibir, jelingan mata, bahasa jari, lenggok badan bahkan olahan sanggul sekalipun.

“Siapapun perempuan yang memakai wewangian, lalu ia melewati kaum laki-laki agar mereka mendapatkan baunya, maka ia adalah penzina” (HR.An-Nasai II:38, Abu dawud II:92, At-Tirmidzi IV:17, At-Tirmidzi menyatakan hasan shahih)


KESIMPULAN

HIJAB adalah satu istilah yang digunapakai untuk menyembunyikan segala bentuk aurat wanita. Ini termasuklah cara pengasingan kedudukan diri di sebalik tabir, cara mengenakan pakaian muslimah, solekan dan juga gerak badan.

Dari segi pakaian, apa sahaja pemilihan fesyen atau jenis kain yang dipakai sekadar MEMBUNGKUS tubuh tidak dikira MENUTUP aurat. Contohnya kain yang tipis dan tembus pandang, fesyen yang ketat melekat seperti legging atau memilih kain dengan warna kulit adalah dikira tidak menutupi aurat. Apatah lagi jika sengaja digayakan seolah-olah kita tidak pakai seluar lalu mengenakan pula skirt pendek untuk MENJOLOK mata lelaki.

Tuntutan menghijab aurat wanita boleh dipenuhi dengan pakaian dalam, pakaian luar yang menutupi seluruh tubuh (jilbab/jubah) dan tudung labuh yang menutupi dada. Ini yang Allah wajibkan tanpa pilihan. Jika mahu, hijab juga boleh disempurnakan dengan memakai niqab (ada pilihan berdasarkan kerelaan dan kondisi).

'Pakaian dalam' yang dimaksudkan bukan seluar dalam dan baju dalam. Itu adalah pakaian dalam untuk bilik tidur. Ia bermaksud 'pakaian dalam' yang sopan untuk dipakai dalam rumah sendiri. Contohnya baju kurung, t-shirt lengan panjang dan seluar longgar yang sopan. JILBAB adalah jubah, atau 'pakaian luar' yang sopan, bersais longgar dan tidak ketat. Ia dipakai bersama tudung labuh menutupi dada apabila mahu keluar rumah atau bila didatangi tetamu lelaki yang diizinkan.

Walaupun sudah berhijab dengan tudung, jilbab, niqab dan berada di balik tabir sekalipun, HIJAB tidak akan sempurna jika komponen aurat dari lenggok tubuh yang lain seperti yang dihuraikan di atas masih tidak dihijab (sembunyikan).

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. - Surah al-Baqarah ayat 208

Kami hanya kongsikan apa yang kami rasakan efektif, menepati ketetapan Allah dari rujukan quran dan hadis serta tidak keterlaluan dalam soal menutup aurat ini. Jika kita ikhlas, lakukanlah perintah itu setepat dan sepenuh mungkin. Jika kita berkira-kira untuk menghijab diri dalam soal menutup aurat seperti yang diperintahkan Allah, maka Allah juga menyediakan HIJAB untuk merahmati kita. Bermakna kita akan dihijab dan dipinggirkan oleh Allah.

Ambillah pelajaran dari kebinasaan yang telah berlaku akibat kifarah terhadap mereka yang terang-terang menolak hukum dan perintah Allah. Allah telah firmankan jasad Firaun tidak akan diterima bumi dan ia memang berlaku. Semua pengikut Firauan yang mengikut tabiat syaitan seperti Kamal Attarturk juga tidak diterima bumi. Demikian juga para paderi dan sami.

Allah turunkan kitab untuk kita berhukum dengannya. Jangan mudah-mudah mengatakan kita tidak boleh menghukum manusia. Tutup sahaja mahkamah jika itu pendirian kita. Jangan samakan pelacur yang menerima keampunan kerana Islam mungkin belum tiba ketika dia melacur. Jangan tunggu umur 40 atau lebih kerana kononnya nabi mula solat seumur itu. Islam belum sempurna ketika itu. Ingatlah nabi perintah kita ajar anak dari buaian lagi, ajar solat bermula umur 7 tahun, dan perintah rotan jika enggan ketika 10 tahun.



WARGA PRIHATIN


Thursday, August 6, 2015

Artikel - Sememangnya Al-Quran Itu Sentiasa Terpelihara

Kredit kepada: FB Dr. Bilal Philips
Gambar ihsan: FB Dr. Bilal Philips


Assalamualaikum......

Sesungguhnya sebagaimana janji Allah s.w.t. untuk memelihara keaslian al-Quran, maka telah ditunjukkan kepada manusia inilah buktinya..







Pada 25 Julai lalu, salah satu teks al-Quran teruta di dunia telah ditemui di Cadbury Research Library di Universiti Birmingham. Analisis radiokarbon menyatakan teks itu datang dari waktu antara 568 SM dan 645 SM iaitu sesuai dengan waktu ketika Rasulullah s.a.w. dipercayai masih hidup, dengan ketepatan 95.4%. Manuskrip tersebut ditulis dengan tulisan Hijazi, teks Arab yang terawal dan mengandungi bahagian dari surah 18 - 20 yang menyamai dengan versi al-Quran yang kita ada pada hari ini. 

Tulisannya ditulis dengan cantik dan masih mengkagumkan sesiapa yang boleh membaca tulisan Arab dan membantu meningkatkan kembali keyakinan jutaan Muslim di seluruh dunia bahawa Allah akan sentiasa memelihara kesucian al-Quran daripada sebarang bentuk kerosakan. 

Wednesday, July 8, 2015

Artikel - Qada Puasa, Fidyah, Kaffarah

Kredit kepada: Halaqah.net
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum....

Petikan daripada laman forum Halaqah.net 



MENINGGALKAN PUASA RAMADAN   (Bilangan 89 Bahagian Kedua)

Bilakah diwajibkan qada, fidyah dan kaffarah
 
ORANG perempuan yang dalam keadaan haid dan nifas tidak wajib dan tidak sah menunaikan puasa Ramadan. Walau bagaimanapun adalah wajib ke atas mereka qada puasa yang tertinggal itu apabila perempuan tersebut suci daripada haid dan nifas. Hal ini berdasarkan riwayat Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:

"Kami diperintahkan mengqada puasa dan tidak diperintahkan mengqada sembahyang.’’ 
(Hadis riwayat Muslim).

Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur syar’i adalah wajib ke atasnya mengqada puasa yang ditinggalkan itu dan dikira sebagai menderhaka kepada Allah swt kerana meninggalkannya dan pemerintah berhak menghukum (ta’zir) ke atas mereka. Perbuatan meninggalkan puasa Ramadan itu sangat merugikan dirinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda yang maksudnya:
 
"Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan dengan tiada keuzuran dan tidak sakit, dia tidak akan dapat menggantikannya dengan puasa sepanjang tahun.’’ (Hadis riwayat Bukhari).

Para ulama berselisih pendapat tentang fidyah terhadap orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur. Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama-ulama Syafi’e orang sedemikian wajib ke atasnya fidyah. Mereka beralasan jika orang yang mempunyai keuzuran seperti perempuan yang menyusukan anak diwajibkan ke atasnya fidyah, bagaimana pula tidak wajib bagi orang yang sengaja meninggalkannya tanpa uzur?

Wanita hamil atau wanita yang menyusukan anak juga diharuskan berbuka puasa. Jika dia takut akan mudarat ke atas dirinya maka wajib ke atasnya qada puasa yang ditinggalkannya itu. Jika dia takut akan mudarat kepada diri dan kandungannya maka hukumnya sama juga sebagaimana dikenakan ke atas orang yang sakit dan musafir.   



Sumber rujukan:    SINI   |  

Sunday, July 5, 2015

Artikel - Bila Isu Aurat Diremehkan

Kredit kepada: Malaysiakini
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum........

Isu ini sebenarnya sudah lama. Kali terakhir ia menjadi panas pada tahun 2013, apabila seorang peserta ratu cantik mempersoalkan fatwa majlis agama yang dikatakan lapuk. Walhal dalam Islam, segala hukum-hakam sebagaimana diketahui telah tersusun kemas dan jelas sejak 1400 tahun yang lalu. 




Menurut satu kenyataan, peraturan pertandingan itu dipinda dengan membenarkan peserta berpakaian sopan untuk memberi kesesuaian kepada peserta beragama Islam. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, keputusan majlis fatwa tidak boleh disemak semula dan mana-mana individu yang mahu menyangkal keputusan tersebut boleh didakwa atas tuduhan menghina fatwa. 

"Kalau sangkal senang sahaja, kita ada undang-undang dan peruntukan, (hukumannya) tak berat sangat, (cuma) dua tahun (penjara) dan denda RM3,000," kata Jamil. 

Pindalah peraturannya macam mana sekali pun, peraturan pertandingan itu masih buatan manusia. Peraturan dalam agama Islam masih tidak dapat diubah kerana ia telah ditetapkan begitu sejak dahulu. Segala yang halal adalah jelas dan kekal halal manakala yang haram juga jelas dan akan kekal sebagai haram. Yang perlu dijauhi jika ada unsur syubhat (tidak jelas halal haramnya).



Sumber rujukan:  SINI  |  SINI  |  





Saturday, June 27, 2015

Artikel - Waktu Sahur

Kredit kepada: Laman DrMaza.com
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....



Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. 

Buktinya, Aisyah r.a menyebut: 

أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.


Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam" (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda: 

لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.


Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.


Monday, June 8, 2015

Artikel - Bacaan Sujud Sajadah

Kredit kepada: The Vocket
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum.....


 .

1.  Ayat-ayat Sajadah

Di dalam Al-Quran terdapat 15 ayat-ayat sujud sajadah iaitu:
1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-‘Alaq) Ayat 19

Nota:
Perlu dinyatakan bahawa bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 menurut madzhab Syafi’iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah. Bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 pula menurut Syafi’iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk ‘Sujud Syukur’.
 .
.

2.  Syarat Sujud Tilawah

      1. Suci badan, pakaian dan tempat sujud.
      2. Menutup aurat.
      3. Menghadap kiblat.
      4. Sujud setelah selesai membaca ayat Sajadah.
      5. Dalam solat berjamaah, makmum wajib mengikuti Imam bersujud Tilawah. Gugur keahlian solat berjamaah, jika tidak ikut bersujud.
 .
.

3.  Rukun Sujud

     1.  Niat Sujud Tilawah
 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
     2.  Bertakbir
     3.  Sujud
     4.  Salam.

 

4.  Bacaan Sujud Tilawah (Sajadah)

Dalam Sujud Tilawah dianjurkan membaca:
Sa-ja-da  waj-Hi-ya  lil-la-dziy  kho-la-qo-hu  wa-shaw-wa-ra-Hu  wa-syaq-qo  sam-‘a-Hu  wa-ba-sho-ro-Hu  bi-hau-li-hi  wa-quw-wa-ti-Hi  fa-ta-baa-ro-kaL  Laa-Hu  ah-san-ul  khoo-li-qiyn .
“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”
 .
.

5.  Zikir-Zikir Lain 

Bacaan zikir-zikir yang lain ketika Sujud Tilawah. Sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)
.
Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
“Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana.”
.
Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud solat.
.
Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ.

“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)
.
.

6.  Dua Jenis Sujud Tilawah

Sujud Tilawah ini disunatkan dilakukan baik dalam solat atau di luar solat.
 .
1.   Dalam Solat
  1. Ketika tiba pada ayat-ayat Sajadah, disunatkan berniat sujud untuk Tilawah, mengucapkan Takbir lalu terus sujud sekali dan membaca tasbihnya, kemudian berdiri semula tanpa perlu mengangkat tangan dan menyambung baki bacaan ayat tersebut serta teruskan solat seperti biasa sehingga salam.
  2. Terbatal solat jika melakukan sujud bersendirian pada ketika Imam tidak melakukannya. Sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.


2.   Di Luar Solat
Sujud Tilawah sunat dilakukan di luar solat iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam solat.
.
Berniat dalam hati, di samping itu disunatkan juga melafazkan niatnya :

 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
.
  1. Ketika membaca Al-Quran dan apabila bertemu ‘tanda sujud’, maka hendaklah bertakbiratul-ihram sambil berniat ‘Sujud Tilawah’ untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya.
  2. Takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah.
  3. Tidak perlu berdiri atau membaca Fatihah dan rukuk. Terus saja bersujud dan membaca ‘Tasbih Tilawah’.
  4. Adalah sunat memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga diletakkan dahi ke tempat sujud.
  5. Begitu juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula. kemudian kembali duduk dan memberi salam.
  6. Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar solat ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud. (At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
  7. Jika tidak bersujud, kerana tidak memenuhi syarat atau berhalangan, maka sebagai gantinya bacalah ayat:
   
Sub-haa-naL-Lah  wal-ham-du-lil-lah  wa-laa  i-laa-ha  il-laL-Laa-hu  waL-La-hu  ak-bar,  wa-laa  haw-la  wa-laa  quu-wa-ta  il-laa  biL-Laa-hil   ‘A-liy-yil  ‘A-ziym.
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar; Tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
.
.
3.  Boleh Tangguh Sujud Tilawah
Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang dalam perjalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.
.
.

Sumber rujukan sujud sajadah dan senarai ayat dengan sujud sajadah    |   



Monday, June 1, 2015

Artikel - Bagaimana Mencuci dan Menanam Uri Cara Islam

Kredit kepada: Blog nissaonisaa
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum...

Antara tanggungjawab penting suami perlu tahu dan pelajari ialah menanam uri.



MENANAM URI ANAK

Uri atau dikenali sebagai placenta, dan juga disebut tembuni. Uri jangan dibuang atau ditinggalkan di hospital. Uri adalah teman rapat/kembar bayi semasa didalam kandungan dan uri amat penting kepada bayi. Uri perlu ditanam dengan segera bagi mengelakkan uri busuk. Jangan disimpan uri hingga dua tiga hari baru dibasuh. Orang tua kata tidak elok. Kalau boleh, cepat-cepat basuh. Contohnya, kalau dapat uri pagi, petang dah tanam. Simpan di peti ais beku jika tak sempat basuh uri tersebut pada hari yang sama/segera. Uri perlu diuruskan dengan baik. Jangan mengikut kepercayaan karut-marut masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun. Semoga, kita dapat menghindarkan diri daripada amalan khurafat ini, yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah kita tanpa sedar. 


Cara menguruskan uri

  1. Mulakan dengan baca Bismillahirahmannirrahim.
  2. Cuci bersih-bersih hilangkan darah-darah. Jangan guna sabun/shampoo.
  3. Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan doa yang baik-baik (Untuk pastikan uri tersebut bersih dan suci)
  4. Cuci uri dengan garam. Lumurkan garam dan cuci bersih-bersih.
  5. Cuci uri dengan asam jawa. Lumurkan asam jawa dan cuci bersih-bersih. (Untuk hilangkan bau hanyir darah)
  6. Perahkan 4 biji limau ke atas uri hingga naik bau limau dan untuk harumkan uri.
  7. Letakkan dalam plastik/bekas mudah reput seperti plastic tesco/kotak mudah reput, letak garam kasar dan asam keping. Ikat seperti sup bunjut.
  8. Letak dalam kain putih dan ikat kemas-kemas seperti sup bunjut.
  9. Gali tanah sedalam mungkin, agak-agak tidak dibau/dikesan dan dikorek anjing atau binatang –binatang lain.
  10. Baca Bismillahirahmannirrahim dan selawat semasa letakkan uri dalam dalam dan timbus.
  11. Tanam di tempat yang bersih dan selamat. Contohnya perkarangan surau/masjid.
  12. Letak batu sebagai tanda bagi memastikan tidak digali oleh anjing dan haiwan lain.
  13. Jangan di letak lilin dan barangan sebagainya yang boleh mendatangkan syirik dan khurafat.

 

Hukum menanam uri adalah HARUS. (JAKIM)
  • Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
  • Uri orang-orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri-uri itu untuk ditanam di tempat masing-masing
  • Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku, pensil dan sebagainya adalah amalan khurafat.

 

KLIK SINI untuk ke sumber.


Monday, March 16, 2015

Artikel - Hukum Beramal Dengan Petua dan Pantang Larang Melayu

Kredit kepada: Ilmu dan Ulamak, Malaysia Ria
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....






Soalan

Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?



Jawapan

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui Rasul-Nya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. 

Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran mahupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa sama ada besar atau kecil, wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.  

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.




KLIK SINI dan SINI untuk ke pautan berkaitan.