Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya,
apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang
dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua
mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti
rezeki akan "disapu keluar".
Apakah kesan mempercayai kesan
seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk
membenarkan atau menyangkal perkara ini?
Soalan tambahan saya,
bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu
dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah
dan amalan yang mana harus dielakkan?
Jawapan
Semua
jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan
jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah,
antaranya;
1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan
karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang
diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui Rasul-Nya di dalam
as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di
langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”.
(an-Naml: 65)
2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan
bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari
ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang
mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah
(bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi
diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki
Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku
akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah
dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya
pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang
beriman”. (al-A’raf: 188)
3. Tidak membawa kepada pengamalan
yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan
amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan
petua atau pantang larang.
4. Tidak membawa kepada mengubah hukum
Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau
menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau
haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.
5.
Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan
sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam
Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa
yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu)
menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka
sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani
dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no.
8701)
6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang
oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang
tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka
sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada
Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)
Oleh demikian, supaya
petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan
agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama
ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau
pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami
(atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni
al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya.
Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44
hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.
Perkara
pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama
nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan
pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus
berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan.
Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia
juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu.
Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan
kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia
bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran mahupun as-Sunnah
mengesahkannya.
Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam
soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri
rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran
atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya.
Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh
demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana
dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan
karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan
terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu
menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu
dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut
kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan
kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita
mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana
kita telah melanggar pantang larang tersebut.
Petua dan
pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan
as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah
yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada
rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik
yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh
murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia
menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa sama
ada besar atau kecil, wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa
kepada Allah.
Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam
budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan
secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam
ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum
mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.
No comments:
Post a Comment