Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Hadith
ini adalah di antara hadith yang popular dan sering digunakan oleh
sebahagian masyarakat kita terutama dalam bidang perniagaan. Seperti
yang telah kita sedia maklum - atau belum - , kesahihan atau kedhaifan
sesuatu hadith tidak hanya diukur dengan popularitinya semata. Memang
ada hadith yang sahih dan popular...tetapi dalam masa yang sama juga
terdapat hadith-hadith dhaif malah palsu tetapi ia popular dan sering
digunakan di mana-mana.
Apabila kita mengetahui hakikat bahawa populariti tidak menjamin kesahihan,
(kaedah ini juga diakui dalam kajian lain) maka menjadi tanggungjawab
kita untuk menyelidiki kesahihan sesuatu hadith dan tidak hanya
bergantung kepada kemasyhuran atau popularitinya sahaja.
Maka
dari manakah asal datangnya hadith ini? Di antara disiplin dalam
menyebutkan hadith -sebagaimana diketahui dalam kajian hadith- ialah menyatakan sumber atau asal sesebuah hadith. Ia membantu dalam proses seterusnya iaitu menilai sama ada ia sahih atau tidak.
SUMBER ASAL HADITH '9/10 REZEKI'
Berdasarkan
pencarian dan dibantu oleh kajian-kajian terdahulu, hadith ini
disebutkan dalam beberapa lafaz berbeza tetapi membawa maksud yang sama
iaitu 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Didapati hadith ini disebut
oleh Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam bukunya yang terkenal iaitu
Ihya' Ulumiddin. Menurut cetakan yang ada pada saya iaitu cetakan Darul
Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, tahun 2001, ia disebut dalam jilid 2, muka
surat 59 dalam Kitab Aadaab al-Kasb wa al-Ma'asy, Bab pertama 'Fadhl
al-Kasb wa al-Hatth 'Alaih (Kitab adab-adab mencari rezeki dan
pendapatan, bab kelebihan mencari rezeki dan galakkan ke atasnya).
Tetapi ini tidak bermaksud Imam al-Ghazali 'meriwayatkannya' kerana beliau tidak menyebutkan sanad (rantaian periwayat) terhadap hadith ini. Maka yang lebih tepat ialah Imam al-Ghazali 'menyebutkannya' di dalam buku Ihya' Ulumiddin. (saya
menasihatkan sahabat-sahabat yang menulis tentang hadith agar
berhati-hati dengan perbezaan antara 'menyebutkan' da 'meriwayatkan'
atau 'mengeluarkan' - ذكره, رواه, أخرجه )
Bagi yang
pernah membaca buku Ihya' Ulumiddin, mereka pasti akan tahu bahawa
terdapat seorang ahli hadith yang digelar al-Iraqi (wafat 806H) yang
telah menyemak dan memberikan ulasan terhadap hadith-hadith yang ada di
dalam buku Ihya' Ulumiddin. Apa yang beliau lakukan ialah atas
permintaan pencinta ilmu untuk mengetahui kedudukan dan sumber asal
hadith-hadith di dalam buku tersebut. Malah kebanyakan cetakan Ihya'
Ulumiddin dimuatkan bersama komentar dan ulasan al-Iraqi ini dalam
bentuk nota kaki di bawah teks asal Ihya' Ulumiddin.
KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'
Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith
ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib
al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya
thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga
imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan
bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang
tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah
s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.
Maksud
al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan
oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan
beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau
merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan
sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum
dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana
buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang
diistilahkan sebagai 'mursal'.
KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI
Apa
yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat
yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan
muka surat yang telah disebut di atas - ialah:
Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi. Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w. Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian. Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i. Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia
diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa
hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih'. Ia
perlukan banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya
ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan
ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan
sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal'
pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud
kedhaifan.
SUMBER LAIN
Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :
a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net
(fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku
tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya
yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari
riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.
b)
Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah
al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang
bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.
c)
Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini,
hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita
dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita
dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith
tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali
kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam
ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.
d) Buku
Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H)
(cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun 2003) - di dalam jilid pertama,
muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan
didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.
KESIMPULAN PENTING
- Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di
dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim,
buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di
antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.
- Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan
hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting -
berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama
tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.
- Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang
menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama
menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana
ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia
merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga
didapati menilainya sebagai dhaif.
- Untuk menyatakan
bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai
dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan
hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun,
hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para
sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup
menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith
yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh
mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah
s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri.
- Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau
kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.
- Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan
maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith
seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan
agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau
dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat
sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah
hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.
- Pandangan ini hanyalah sekadar kemampuan saya dan artikel ringkas ini diharapkan dapat dinilai dan diterima dengan adil. Jika berlaku kesilapan dan kekurangan, harap dapat diberi maklum balas secepat mungkin kepada penulis - sama ada dengan pm kepada nickname alitantawi di laman web al-ahkam.net atau dengan alamat e mail pemudaiman@yahoo.com
DIAMBIL DARI AL-AHKAM.NET
No comments:
Post a Comment