MY FOLLOWERS

Wednesday, March 4, 2015

Artikel - Perbandingan Content Industri Hiburan Malaysia VS Luar Negara

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....





Idea karya seni dalam industri hiburan tempatan (terutama Melayu) sehingga kini masih belum keluar daripada bawah tempurung. Tidak kiralah apa pun ceritanya dan tajuknya, isi kandungannya langsung tidak mempromosikan bidang kerjaya dan ilmu itu sendiri yang boleh membina minda masyarakat. Kalau tajuknya mengenai tentera, ingatkan kononnya menariklah untuk ditonton tetapi malangnya difokus pada cinta antara pegawai tentera, bukannya mengenai cabaran, tugas atau strategi berkaitan yang boleh memberi input berguna kepada minda penonton. Lihatlah contoh siri Last Resort di TV2 sebelum ini yang bercerita mengenai komplot, strategi, taktikal, serta kaitan politik dan perundangan berkaitan ketenteraan. Malangnya industri hiburan tempatan lebih berminat untuk membuat cerita yang akan memberikan pulangan keuntungan lebih cepat. Beginikah caranya untuk majukan industri hiburan negara sendiri? Dengan idea-idea sempit yang tidak membuka minda dan langsung tidak mempromosikan bidang ilmu? Hanya hiburan kosong semata-mata? Kemudian meraih pula bermacam anugerah hasil daripada lakonan yang adakalanya macam kayu dan entah apa lagi. Bila berjaya berlakon dalam produksi asing, dapat pula watak picisan dan sampingan, ohh bangga gila! Walhal tiada apa pun boleh dibanggakan kerana dengan gaya pemikiran penggiat industri tempatan sebegini yang masih tidak keluar daripada takuk lama. Mahu jalan pintas, datanglah pula dengan pakaian dan kisah kontroversi yang sebenarnya tidak perlu disiar pun di mana-mana media. Masakan akan dapat watak lebih besar kalau beginilah keadaannya......

Daripada peringkat penulis buku sehinggalah kepada penulis skrip semuanya asyik adaptasi karya dengan tema emosi dan cinta, tema yang sama sejak zaman-berzaman. Bukannya yang bertemakan apa-apa bidang ilmiah. Takkanlah mahu tengok hasil karya daripada segelintir produksi sahaja seperti KRU Motion Pictures atau Filmscape sahaja. Produksi lain, apa cerita? Bila mahu keluar daripada kotak dan ketengahkan idea-idea baru dengan jalan cerita yang lebih kreatif dan imaginatif? Adakah kalian takut berbelanja besar? Industri tempatan akan semakin tenat kalau asyik berada di takuk lama. Kalau sebelum ini formulanya mengenai cinta, pengkhianatan, godaan sahaja. Kononnya senang mahu dijual, masuk wayang, ramai orang datang tengok. Kali ini ada baiknya, formula sedia ada perlu ditukar dan dengan idea yang lebih maju ke depan. 



Sedikit nota tentang siri tv seperti "Love You Mr. Arrogant" dan "Playboy Itu Suami Aku" dan bagaimana drama tv dapat merevolusikan individu.

Kebelakangan ini (atau sebenarnya sejak sekian lama sebab perkataan kebelakangan ini diletak hanya sebagai penyedap, kakakaka!), drama-drama siri melayu berjaya mewujudkan komuniti peminatnya sendiri. Meskipun sebahagian besar plotnya diseragamkan kepada konflik percintaan, peminatnya tetap tidak jemu menagih cerita yang berakarkan emosi berlebihan.

Antaranya watak antagonis menggoda protagonis (unsur seks dan curang). Anak kepada hartawan atau tokoh korprat, makan di restoran eksklusif, memandu kereta mewah. Ini semua adalah apa yang yang sering kita lihat dalam drama melayu. Seakan tidak mencerminkan pendapatan perkapita negara dan fakta 78.6% pekerja bergaji di bawah RM3000.

Apa yang kita dapat belajar daripada semua ini? Ya, ada mesej kesetiaan dan kekeluargaan. Tapi semuanya dihidangkan berlebihan seperti menjadi hamba kepada hubungan barbarik.

Memandangkan premis artikel ini adalah untuk dijelaskan bagaimana drama tv dapat merevolusikan individu ke arah progresif seperti menjadi lebih produktif, maka perbandingan antara drama melayu dan drama dari Amerika perlu dijadikan sampel untuk meneliti lakaran seni yang berbeza dan sumbangannya kepada penonton.


Perbandingan Plot dan Idea Dari Kepelbagaian Disiplin

Perhatikan senarai drama-drama popular tempatan dan drama TV dari Amerika ini (dipilih secara rawak tanpa kronologi):

Tentang Dhia (cinta/cinta seorang isteri yang suci)
Setia Hujung Nyawa (cinta/kahwin segera)
Dejavu di Kinabalu (cinta/pertemuan tiba-tiba)
Adam dan Hawa (cinta/bertemu selepas berpisah)
Sehangat Asmara (cinta/pasangan suami/isteri bertemu kembali)
Cinta Jannah (cinta/kahwin segera)
Sebenarnya Saya Isteri Dia (cinta/kahwin segera)
Teduhan Kasih (Cinta/cemburu/kemelut perkahwinan)
Love You Mr. Arrogant (cinta/kahwin paksa)
Jodoh Itu Milik Kita (cinta/kahwin paksa)


Sementara itu drama TV Amerika pula:

House MD (perubatan/socratic method)
Breaking Bad (sains/guru kimia bertukar kerjaya menjadi raja dadah)
Lie to Me (penyiasatan/applied psychological, micro expression)
Under the Dome (sains fiksyen)
Elementary (penyiasatan/deductive reasoning)
Hostages (thriller/rancangan membunuh presiden)
The Big Bang Theory (sains/komedi sekumpulan saintis)
The Walking Dead (ikhtiar hidup/konflik kemanusiaan)
Suits (legal/case management strategy)
The Mentalist (penyiasatan/social engineering)
 



Barisan drama melayu popular seperti dijangka majoritinya berkonsepkan tema yang sama, melestarikan emosi. Sementara drama tv Amerika menampilkan ledakan kerjaya dan fokus kepada ikhtiar kehidupan dari segi ekonomi dan sosial. Skrip digarap kemas dan secara falsafahnya membuat komentar terhadap kehidupan.

Sementara skrip melayu seperti biasa terikat dengan emosi, emosi dan emosi.

Penonton drama TV Amerika terdedah kepada berbagai-bagai lapangan ilmu. Input berbentuk cerita mengenai sains, perubatan, psikologi, pemikiran saintifik dan ikhtiar hidup boleh menjadi sumber inspirasi kepada prestasi peribadi sama ada dalam bidang pendidikan dan kerjaya. Dalam hal ini, penulis drama tv Amerika seakan berjaya mempromosi ilmu pengetahuan sebagai sesuatu yang hebat untuk dikuasai.

Tun Dr. Mahathir sendiri sebelum ini yang pernah menghalang cerita seram semasa pentadbirannya berkata filem seram ini tidak mengalakkan masyarakat menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik. Sedangkan seorang Perdana Menteri pun sempat lagi meneliti kesan rancangan tv. Dalam kata yang lain, dia akan menyokong drama atau filem yang menyubur budaya saintifik.


Produktivi

Harvey Specter dalam cerita Suits tekun menaip di laptopnya sebaik sahaja masuk ke biliknya, begitu juga Mike Ross, dengan keupayaan memori fotografik, dia bekerja keras dalam menyelesaikan satu-satu kes. Dari timbunan fail dan dokumen, dia menganalisa sehingga menemui ‘peluru' untuk mengalahkan pihak lawan. Sherlock Holmes dalam versi New York dalam siri Elementary bukan sekadar duduk bersahaja sambil meneka. Di beberapa babaknya dia kelihatan meneliti berpuluh-puluh lembaran dokumen serentak dengan tekun.

TV Melayu sebaliknya berbeza, meskipun agak kerap diwacanakan watak-watak yang bekerjaya tinggi, babak kerjaya hanya sepintas lalu. Walau berada di pejabat tapi wataknya seakan terperangkap dengan isu-isu emosi. Duduk di pejabat tetapi fikiran ke arah lain. Dalam dunia sebenar, pekerja seperti ini kemungkinan besar akan menghadapi masalah untuk berdepan dengan performance appraisal.


Bahasa Inggeris

Beberapa tahun kebelakangan ini ada polemik tentang pengajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris, sehingga pejuang bahasa atau penentangnya duduk protes di jalanan.

Realitinya, isu ini bukan hendak membunuh Bahasa Melayu. Isu import Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang berterusan sehingga kinilah yang patut dikritik seperti perkataan koreksional dan destini.

Disebabkan polemik dan sikap komik yang tidak berkesudahan ini, kita terpaksa mengambil langkah sendiri untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris. Menonton drama tv berbahasa Inggeris adalah salah satu daripada cara yang kreatif untuk menambahkan kemahiran berbahasa Inggeris tanpa perlu mengharapkan kerajaan atau mana-mana ahli politik. Pendidikan adalah tanggungjawab peribadi dan cara untuk belajar sebenarnya bebas. Jadi, lebih banyak drama TV berbahasa Inggeris yang ditonton, lebih meluas pendedahan kepada Bahasa Inggeris. Malahan ada diantara skrip drama TV ini boleh digunakan ketika perbualan, semasa mesyuarat dan juga untuk diabstrakkan ke kertas kerja. 

Semasa artikel ini sedang ditulis, TV3 baru sahaja menyiarkan siri terbaru berjudul “Playboy Itu Suami Aku”. Ini adalah antara adaptasi dari novel-novel yang mana plot seirasnya bergelimpangan di kedai buku-buku. Habis apa selepas ini? “Isteriku Seorang MILF”?, “Suamiku Dulu Ganas Kini Manja”?

Entahlah. Saya hanya mampu menggeleng kepala. Terpulang kepada mereka sama ada mahu mengunakan hiburan dari drama TV sebagai hiburan berintelektual yang memberi semangat dan inspirasi, atau mahu terus horny dengan emosi.

Pilihlah sendiri.....


No comments: