MY FOLLOWERS

Saturday, July 8, 2017

Artikel - Betul Ke Air Alkali Menyembuhkan Kanser?

Kredit kepada: FB Root of Science
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....




Asid dalam badan menyebabkan kanser. Manakala, air alkali menyembuhkan kanser. Adakah perkara ini betul?

Ramai daripada penjual air alkali mengatakan bahawa meminum air yang beralkali adalah baik untuk penyembuhan kanser.

Bahkan mereka mengatakan sifat asid di dalam badan merupakan punca kepada kanser.

Di samping itu, penjual air alkali selalu mengambil kata-kata daripada seorang ahli biologi bernama Otto Heinrich Warburg iaitu seorang penerima anugerah Nobel pada tahun 1931

Ini merupakan kata-kata yang kononnya di ambil daripada Doktor Otto Warburg:

"All forms of cancer have two basic conditions: Acidosis and hypoxia(lack of oxygen). Cancerous tissues are acidic whereas healthy tissues are alkaline"

Saya tidak pasti adakah ini betul atau tidak kata-kata daripada Warburg. Tetapi ia tidak menjelaskan adakah benar air alkali membantu untuk membunuh ataupun mengelakkan badan kita daripada terkena kanser.

Kami telah membaca balik berkenaan kajian-kajian yang ditulis oleh Dr Otto sendiri berkenaan perkara ini. Di dalam kajiannya pada tahun 1956, dia ada menyatakan bahawa penyebab kanser adalah MITOCHONDRIAL DYSFUNCTION.


Apa itu Mitochondria?

Mitochondria merupakan salah satu ‘organ’ di dalam sel yang berfungsi untuk menghasilkan tenaga. Di dalam sel manusia, mitochondria akan menggunakan oksigen dan juga glukosa (gula) untuk menghasilkan tenaga.

Selain daripada itu, penghasilan tenaga daripada glukosa juga akan menghasilkan air dan karbon dioksida.

Dalam keadaan kekurangan oksigen, mitochondria masih boleh menghasilkan tenaga tetapi ia menggunakan proses lain yang dikenali sebagai ‘anaerobic metabolism’.

Dalam proses tersebut ia menghasilkan jumlah tenaga yang sedikit dan juga ASID LAKTIK.


Apa yang berlaku dalam sel kanser?

Di dalam sel kanser, fungsi mitochondria menjadi kacau bilau. Mitochondria yang selalunya menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga tidak menggunakan oksigen lagi.

Sebaliknya mitochondria itu akan terus menggunakan ‘anaerobic metabolism’ untuk menghasilkan tenaga sama seperti sel yang kekurangan oksigen.

Hasilnya sel-sel kanser ini akan menghasilkan jumlah asid laktik yang sangat banyak dan menyebabkan ruang di dalam sel kanser iaitu cytoplasm bersifat asid.

Apabila cytoplasm bersifat asid, sel tersebut akan mati dan mengeluarkan asid laktik dan menyebabkan kawasan sekeliling sel kanser pun menjadi sedikit berasid.

Untuk kefahaman di sini bahawa, keasidan itu terjadi sebab sel tersebut yang menghasilkan asid. Bukan asid yang menyebabkan kanser berlaku.


Kajian sekarang berkenaan punca kanser

Pada waktu dahulu, Dr Otto Warburg mengatakan punca kanser adalah disebabkan masalah metabolisma yang berlaku pada sel dan dikenali sebagai ‘Mitochondrial Dysfunction’.

Kini dengan adanya teknologi sains yang terbaru, perkara tersebut telah diperbetulkan balik iaitu punca kanser adalah kerosakkan pada genetik sesuatu sel.

Ini menyebabkan fungsi organelles di dalam sel seperti fungsi mitochondria terjejas. Ia bukan disebabkan ‘mitochondrial dysfunction’.


Adakah minum air alkali membantu dalam sel kanser?

Tidak. Air alkali tidak membantu. Ini disebabkan air alkali itu sendiri akan dineutralkan apabila masuk ke dalam perut yang bersifat asid. Dan masalah sebenar kanser bukan disebabkan sifat asid itu, tetapi genetik di dalam sel itu yang membuatkan sel tidak berfungsi dengan betul.


Apa yang menjadi mitos di sini adalah:
1) Dr Otto Warburg tidak pernah menyatakan bahawa penyebab kanser adalah keadaan asid di dalam badan. Bahkan kanser itu sendiri menyebabkan keadaan dalam sel menjadi asid

2) Air alkali tidak membantu dalam penyembuhan kanser sebab ia tidak menyelesaikan masalah sebenar kanser itu sendiri. Lagipun, kealkalian air tersebut akan dineutralkan oleh asid di dalam perut yang bersifat asid

Harap maklumat ini bermanfaat

No comments: