Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner
Gambar ihsan: Owner
Assalamualaikum.....
Kalau
ikutkan hati, memang bercadang untuk tinggal beberapa hari lagi di
Melaka sebab cuti perayaan yang masih berbaki beberapa hari tetapi sebab
ada keluarga di sini yang sudah mendapat surat lapor diri untuk
praktikal pada 28hb keesokannya, maka terpaksa juga balik ke Terengganu
pada 27hb.
Kali ini kami balik dengan dua kereta.
Kereta saya rupanya mengalami masalah bocor sedikit pada bahagian bawah
tangki minyak silinder membuatkan minyaknya kering ketika sampai di sini
tempohari. Untuk itu, saya tambahkan minyak ini untuk perjalanan ini.
Perjalanan kami bermula jam 11.30 pagi.
Keluar sahaja
dari rumah di Ayer Keroh, kami terus singgah di stesen minyak Petronas
untuk tambah minyak sebanyak RM20 lagi. Yang diisi RM30 sebelum ini
masih banyak bakinya sebab kurang memandu sepanjang hari perayaan.
Perjalanan
kami ditetapkan bukan lagi melalui Segamat ke Gambang, tetapi masuk
melalui Gemenchih dan Gemas seterusnya singgah di Felda Sebertak di
Bera, Pahang. Kami akan masuk ke Lebuhraya Pantai Timur selepas keluar
dari kawasan Bera.
Keadaan enjin pula sangat
merisaukan apabila suhu naik sedikit demi sedikit bila hampir keluar
dari Melaka. Yang paling membuatkan hati bengang bukan setakat tidak
tahu apa masalahnya, tetapi juga sebab terpaksa memandu dengan kelajuan
antara 60-70km/j sahaja semata-mata untuk kawal suhu enjin supaya tidak
naik panas mendadak.
Untuk sampai di destinasi di
Bera, kami masih lagi melalui kawasan-kawasan yang penuh dengan ladang
kelapa sawit. Sebab pergi dengan dua kereta, maka mudah sedikit sebab
kereta depan menggunakan panduan peta dari aplikasi Waze di telefon
bimbit.
Lebih kurang 40 minit sebelum sampai di
lokasi, kami berhenti sekejap di satu kawasan untuk rehat dan sejukkan
enjin. Saya ambil kesempatan kali ini untuk lihat semula keadaan enjin.
Alangkah terkejutnya, bila mendapati penutup bahagian atas tangki minyak
silinder hilang entah ke mana dan minyak menyembur membasahi permukaan
tangki dan bahagian dalam penutup enjin! Mungkinkah hilang ketika
perjalanan yang lalui jalan yang rosak dan bertampal-tampal tadi?
Wallahualam...
Maka dengan penuh tekanan dan kesabaran,
kami teruskan juga perjalanan untuk tiba di Felda Sebertak, Bera. Kami
tiba di sana sekitar jam 3 petang. Ada orang, mungkin boleh bantu kita
sebagai tetamu. Kami ambil peluang ini untuk berehat, makan dan solat.
Lauk dan kuih raya yang disediakan oleh tuan rumah membuatkan hati
terasa senang dan kurang sedikit tekanan sebab masalah kereta ini. Untuk
itu, ada keluarga sudah mengadukan masalah ini pada mereka. Maka
datanglah dua orang hamba Allah ini untuk lihat keadaannya. Untuk
elakkan lebih banyak minyak menghambur keluar, bahagian penutup minyak
silinder ditutup dengan menampal pita pelekat tahan panas. Maka
sekurang-kurangnya dapatlah nanti ia bertahan hingga tiba di Terengganu
nanti.Walaupun begitu saya masih tidak berpuas hati dengan keadaan
terpaksa memandu dengan kelajuan 60-70km/j hingga ke Terengganu dan
terpaksa bersabar sepanjang masa itu.
Kami bertolak keluar dari Bera sekitar 5 petang selepas Asar. Enjin pula kembali panas selepas sejam.
Kami
masuk ke Lebuhraya Pantai Timur sekitar 7 malam dan menambah isian
minyak di stesen Petronas di Kijal, satu-satunya stesen minyak di
sepanjang lebuhraya. Kali ini saya tambahkan RM50 pula untuk elakkan
sebarang masalah tidak cukup minyak. Berkenaan masalah enjin yang panas
ini, kami ambil keputusan untuk berhenti di setiap hentian rehat bagi
meredakan kepanasan enjin. Bayangkan memandu dengan kelajuan 60-70km/j
di lebuhraya dan cuba kawal kepanasan enjin untuk elak masalah. Teruk
betul! Kaki pun penat tekan minyak. Hanya sesekali saya pecut melebihi
80km/j itu pun untuk beberapa minit sahaja selepas suhunya turun bawah
separuh pada meter penunjuk di dashboard.
Sambil
memandu, kami ungkit masalah ini untuk cari solusinya. Kalaulah boleh
terus selesai, alangkah senangnya hati. Mungkin boleh terus pecut
sepuasnya hingga tiba di rumah. Habis satu-satu bahagian diungkit.
Minyak silinder, air, enjin dan baru disebut perihal kipas enjin.
Sebabnya pernah seorang saudara di kampung yang alami masalah kepanasan
enjin berpunca akibat kipas enjin yang rosak. Saya pun mula terfikir,
boleh jadi juga, tetapi itu terpaksa ditangguh ke esok sahaja sebab
tiada bengkel yang buka pada waktu malam, apatah lagi di tengah
lebuhraya dan hutan belantara ini.
Di sepanjang
perjalanan di lebuhraya ini juga, banyak papan tanda susur keluar ke
Bukit Besi, Chukai, Kemaman, Ajil, Kijal, Bukit Payong dan ke Kuala
Terengganu. Dengan isian minyak yang sedia ada, kurang sedikit
kerisauan. Cuma masih perlu kawal suhu enjin sahaja. Jadi saya pilih
untuk terus sahaja tuju ke Kuala Terengganu. Ketika ini semua yang lain
dalam kereta sudah tidur.
Setibanya di hujung Plaza Tol
Kuala Terengganu, kami keluar dari plaza tol ini di Tepoh. Dari sini
kami teruskan hingga masuk ke Tok Jiring dan masuk ke simpang ke rumah
kami di Gong Badak. Kami tiba di rumah sekitar jam 12.30 malam.
No comments:
Post a Comment