MY FOLLOWERS

Friday, November 9, 2012

Sekadar Luahan - Fitrah dan Fitnah Sebuah Cinta

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum....

  
Kiriman seorang sahabat penulis sewaktu di universiti dahulu.
 
Kepada semua sahabat sekalian, renunglah bersama apa yang ingin disampaikan. Harap kalian semua faham dan kembali ke landasan yang benar. 

Cinta remaja fitrah yang menjadi fitnah
 
Remaja dan cinta, dua perkara yang bagaikan sudah sebati. Kisah suka duka cinta remaja sering menjadi ilham para penyair, lirik dan melodi pencipta lagu dan  bait-bait puisi para penyair. Habis segala ciptaan tuhan dijadikan lakaran metafora dan analogi dalam percintaan. Embun, pelangi, salji, bulan dan bintang  semuanya dijadikan lambang bagi memuja kekasih.

Perubahan biologi dan psikologi menyebabkan mereka menjadi peneroka alam cinta  yang serba baru. Kekadang rasa cinta berputik lewat perkenalan dengan rakan  sekelas, teman sepejabat atau cinta pandang pertama sewaktu menunggu bas  ketika hujan renyai-renyai. Aduh, romantiknya. Bila disebut cinta, terbayang Romeo yang sanggup mati kerana Juliet, Cleopatra yang sanggup membunuh diri kerana Mark Anthony, Uda yang bersanding dengan Dara di pusara atau Qais yang sanggup menjadi Majnun (gila) kerana terpisah dengan Laila. Itulah deretan kisah cinta rekaan, namun realitinya tidak kurang hebatnya.Ramai remaja yang sanggup bertukar agama kerana cinta. Ah, manusia tanpa cinta agaknya seperti bumi tanpa mentari. Begitulah agaknya.

Rasa cinta bertandang di dalam jiwanya tanpa diundang. Keinginan itu tidak payah dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah sebaliknya. Walaupun kadangkala ia cuba dilawan, namun rasa yang ajaib itu datang juga. Tidak kuasa hati menolaknya. Apalagi kalau cinta itu disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya. Bila cinta mencengkam diri, makan tak kenyang tidur tak lena dibuatnya. Sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam a.s berasa kesunyian dan inginkan teman, lalu Allah ciptakan Siti Hawa dari tulang rusuknya. Dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa terpisah dan gelisah selagi tidak bersama dengan yang dicinta.

 

Rasa cinta tidak salah

Lalu hati remaja selalu berkata salahkah kami bercinta? Ya, cinta memang tidak salah, ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai adalah semulajadi. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh itu kerana cinta adalah fitrah maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta yang polos begitu sahaja. Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Merasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah selalunya remaja terjebak. Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta? Jawabnya kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta yang terlarang akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Suda banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Tuhan.

Cinta yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat apa yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak pelanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintai. Lupakan diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakanNya. Ah, bagaimanakah perasaan kita agaknya, jika seseorang begitu leka dengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

 

Pohon cinta terlarang

Tuhan kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta yang terlarang. HukumNya dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan lelaki dan wanita yang bukan mahram. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak yang berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai nama yang aneh–bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu, indahkah cinta?

Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat diatas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta. Ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Apakah peraturan dan kawalan. Apakah peraturan dalam hubungan cinta? Hendaklah cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan ilahi. Allah memberi kita fitrah itu lalu kita  niatkan dengan fitrah itu kita boleh menghampirkan diri kepada Allah. Cintailah sesiapapun, tetapi pastinya cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan kerana Allah. Soalnya bagaimana?

Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau perempuan menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Apabila seorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakan.”

Oleh itu usahlah bercinta untuk bersuka-suka. Lebih buruk janganlah ada niat-niat jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau pujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta itu sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya- Cinta Monyet.


Putus cinta

Hendaklah dipastikan semasa hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar. Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Maka, remaja seharusnya mengeluh, “Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, perbualan telefon marathon, surat cinta mendayu, sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman?!

Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta dan kecewa bercinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak putus tanpa sempat menempuh perkahwinan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi, segala peraturanNya dibuat dengan rasa cinta terhadap hamba-hambaNya. Cinta suci itu mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan olehNya, cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh untuk isteri yang solehah akan bercinta lagi di dalam syurga tempat pertama yang melahirkan cinta. Ketika itulah FITRAH AKAN MENJADI ANUGERAH.

 

No comments: