Kredit kepada: WebMD, Laman PJB, MyHealth KKM, Laman Heart Center, Laman Medline Plus, Laman babymed
Gambar ihsan: Google Images
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Berapa ramai ibu bapa yang berdepan dengan masalah ini pada bayi mereka?
Pada 16.6.2015 yang lalu, seorang isteri selamat bersalin, melahirkan anak ketiganya seberat 3.61kg. Untuk hari pertama kelahirannya melihat dunia, bolehlah dikatakan semuanya baik-baik sahaja. Sementara menunggu waktu untuk discaj dari hospital, sempatlah meluangkan sedikit masa mengusik, membelai dan menyusu bayi seperti dilalui para ibu yang lainnya dan seperti juga dua pengalamannya yang dahulu.
Selepas discaj, maka berangkatlah ibu dan bayi ke rumah keluarga suami yang kebetulan jaraknya dekat dengan hospital, senang sedikit kalau terjadi apa-apa. Pada sebelah malamnya, segalanya bermula. Bayi menyusu diselang-seli dengan menangis yang berulang-ulang. Seperti ada yang tidak kena, mungkinkah dia rasa tidak selesa. Puaslah dipujuk dan didodoi sebelum cuba menyambung menyusu dengan ibunya namun keadaan masih sama. Diamlah sekejap bila didodoi. Belum sampai pun 2 minit sudah kembali merengek dan sambung menangis. Setiap kali menyusu setiap kali itulah dia menangis. Apa masalahnya ketika itu, masing-masing tidak tahu. Akhir sekali giliran si ibu ambil alih, si ayahnya tidur keletihan sebab semalam sudah berjaga lama sewaktu menunggu kelahirannya.
Esoknya apa yang ditakuti berlaku.
Keesokannya 17.6.2015 jam 9 pagi, kelihatan si bayi tidur seperti tidak bergerak. Ditepuk-tepuk tetapi tiada reaksi terkejut. Macam sudah tidak sedar! Puas ditepuk diperiksa pula dahinya, degup jantungnya. Lagi terkejut si ayahnya bila ternampak ada kesan seperti lebam kebiruan pada telinga sehingga ke sebahagian dadanya. Dahinya pun terasa seperti sejuk-sejuk. Lalu episod menakutkan bermula. Terus dibawa ke bahagian kritikal di jabatan kecemasan. Pasukan doktor terus berusaha memberi bantuan pernafasan dan ubatan untuk membantunya kembali bernafas. Namun takdir Allah jua mengatasi segalanya. Lebih kurang jam 9.45 pagi, bayi comel ini kembali ke rahmatullah setelah 20 minit pasukan doktor cuba menyelamatkannya.
Selepas tengahari, laporan polis dibuat untuk mendapatkan permit perkuburan dan dalam masa yang sama, jenazah bayi ini dibawa ke bahagian forensik untuk bedah siasat. Selain laporan, kenyataan juga diambil untuk rekod polis bagi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau kemalangan dalam pengalaman ini. Hanya direkodkan sebagai kematian mengejut.
Selepas Asar, barulah selesai urusan bedah siasat. Pihak forensik menyatakan apa yang berlaku bukanlah disebabkan kemalangan tetapi berdasarkan bedah siasat yang dilakukan, mereka dapati kematian bayi ini disebabkan oleh masalah jantungnya berlubang dan dalam rekod mereka ditulis sebagai "CONGENITAL HEART ANOMALY". Terasa sedikit lega kerana ia bukanlah kerana sebarang kecuaian sebaliknya adalah kerana satu keadaan di luar kawalan. Si ibu redha....
Sekitar jam 6 petang, jenazahnya selamat dikebumikan.
**********
Masalah jantung kongential biasanya berlaku di kalangan si kecil. Bermula seawal bayi masih dalam kandungan. Banyak laman di internet menulis mengenai perkara ini. Punca penyakit ini masih belum diketahui. Namun terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan meningkatnya peluang untuk si kecil menghidapinya. Antaranya:
- Faktor genetik atau kromosom yang tidak normal pada bayi (contohnya: down syndrome)
- Pengambilan jenis-jenis ubatan tertentu, salah guna dadah atau mengambil alkohol ketika hamil.
- Jangkitan kuman seperti rubela, ketika trimester pertama kehamilan.
Jenis-jenis masalah jantung kongenital:
- Kecacatan injap jantung (heart valve defects)
- Kecacatan pada dinding antara atria dan ventrikel pada jantung (atrial and ventricular septal defects)
- Otot jantung yang tidak normal (heart muscle abnormalities) - boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Risiko untuk mendapat penyakit ini menjadi dua kali ganda jika terdapat ibu bapa atau adik-beradiknya yang turut mengalami penyakit yang sama. Dalam laman web lain dinyatakan jika ibu bapa ada masalah jantung ini, biasanya akan ada anak yang akan turut menghidapinya. Walaubagaimanapun, adalah sangat jarang berlaku lebih daripada seorang anak yang lahir dalam keluarga yang sama, akan menghidapinya.
Berdasarkan American Heart Association, hampir sepertiga bayi yang mati akibat kecacatan ketika kelahiran (birth defects) mempunyai kecacatan jantung. RUJUK SINI
Artikel itu juga menyatakan masalah kecacatan pada jantung ini boleh dikesan sejak dari dalam kandungan lagi. Menggunakan ujian dipanggil pulse oximetry (lebih bagus kalau doktor di Malaysia juga guna kaedah ini), ujian ini membolehkan doktor mengesan paras oksigen yang rendah dalam darah, satu keadaan signifikan untuk tahu masalah ini jika ia terdapat pada bayi anda.