Gambar ihsan: FB
Assalamualaikum.....
Apabila umat sudah berada terlalu jauh dari sumber petunjuk, maka masyarakat jadi huru hara.
Pelbagai bentuk bencana dan gejala sosial bertimpa-timpa melanda kita.
Maka hari ini kita lihat sudah ada keinginan untuk kembali kepada cara
hidup Islam untuk mencari sejahtera semula.
Isu menutup aurat wanita menjadi salah satu dari isu utamanya. Agak
malang pula bila kebanyakan kita cuba melakukan perubahan secara
ikut-ikut, tanpa bekalan ilmu dan kefahaman yang tepat. Akibatnya timbul
berbagai-bagi fesyen dan gaya yang penuh dengan kecelaruan. Ironinya
kejahilan itu sampai ke tahap berani terang-terangan menolak ancaman
neraka Allah terhadap mereka yang ingkar perintahnya.
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya." - Surah al-Isra' ayat 36
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." - Surah Yunus ayat 36
Amalan HIJAB dalam usaha menutup aurat kita hanya berkisar kepada lahiriah sahaja. Itupun masih belum betul-betul tepat. Ia masih bercampur baur dengan pelbagai fesyen dan gaya yang ada kalanya semakin menarik aura kelelakian.
Kita lupa bahawa komponen utama hijab itu turut meliputi soal batiniah. Kajian tauhid dan hakikat tentang hijab dengan berbagai kelemahan ini mendapati ia turut menjadi penghalang hati untuk menuju Allah apabila ia tidak dilakukan dengan ikhlas dan kaffah.
Baru-baru ini ada kami keluarkan rencana ringkas tentang keikhlasan berhijab. Ramai yang meminta kami kongsikan hasil kajian tentang hijab dan aurat. Ramai juga yang bertanya bagaimana kami boleh menetapkannya dengan berkesan terhadap anak-anak nisak dan murobbi di kalangan Warga Prihatin.
Anak-anak kami mudah mengikut ketetapan soal aurat dan bahagian dari hudud ini kerana setiap dari mereka wajib ulang baca terjemahan quran sekurang-kurangnya 3 kali. Kami hanya tunjukkan sahaja perintah itu datang dari ayat mana dan itulah yang meyakinkan mereka.
Kali ini ingin kami cuba kongsikan dengan agak mendasar tentang HIJAB dan kaitannya dengan AURAT, tudung, niqab, jilbab dan sebagainya.
HIJAB
Sudah menjadi lumrah masyarakat meletakkan hijab itu sebagai gantinama bagi ‘tudung’. Sebenarnya itu tidak tepat kerana tudung hanya sebahagian kecil dari bahagian hijab.
Menurut bahasa, Hijab bererti tirai atau pemisah (saatir atau faasil). Kata kerja (fi'il)nya adalah hajaba, yang diterjemahkan dengan perbuatan seperti: "menutup, menyembunyikan, memasang tirai, membentuk pemisah, memisah diri atau menghadang, memakai topeng atau niqab dan sebagainya."
Mencegah diri kita dari dilihat orang lain dengan mengadakan sesuatu bagi menghalangi antara kedua belah pihak adalah juga menghijab. Contohnya, ketika ada dua orang sedang berbicara, tetapi di tengah-tengah mereka terdapat penghadang agar kedua orang tersebut tidak melihat satu sama lain.
Dalam Al-Quran disebutkan tentang definisi al-Hijab itu sendiri, sehingga ayat ini diberi nama dengan “Ayat Hijab”.
"..Jika kamu meminta sesuatu kepada mereka, maka mintalah dari balik hijab/tabir. Cara ini lebih mensucikan hatimu dan hati mereka..." - Surah al-Ahzab ayat 53
Hijab dalam ayat ini merujuk kepada penutup yang ada di rumah Nabi s.a.w., yang berfungsi sebagai penghalang atau pemisah antara lelaki dan perempuan, agar mereka tidak saling memandang.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. diriwayatkan pernah memerintahkan agar isteri dan anaknya pergi di balik tabir bila ada tetamu lelaki datang ke rumah, walaupun lelaki buta sekalipun. Alasan yang diberikan ialah walaupun lelaki itu tidak melihat, namun mereka masih boleh melihat lelaki itu. Begitu rapinya Rasulullah s.a.w. menjaga disiplin aurat melalui hijab.
Sementara itu, hijab juga dibuat untuk memisahkan ruang antara lelaki dan perempuan dalam kegiatan seminar, syura, pengajian, dan sebagainya. Ini bertujuan menjaga agar tidak terjadi campur baur (ikhtilath) antara lelaki dan perempuan yang boleh menimbulkan pelbagai fitnah.
Dalam quran, hijab turut terpakai bagi menjelaskan hadangan atau pemisahan antara hati si kufur dengan Allah. Ini bermakna Allah akan sentiasa menjauhkan diri (MENGHIJAB) dari hamba yang ingkar dengan perintahnya. Menurut quran, hijab juga merujuk pengasingan antara orang beriman dengan orang kafir.
JILBAB DAN KECACATAN AMALANNYA
Ini juga banyak berlaku kekeliruan. Ramai yang juga mengatasnamakan ‘tudung’ dengan ‘jilbab’. Padahal ia sebenarnya merujuk kepada PAKAIAN LUAR muslimah yang biasanya dipanggil jubah. Allah s.w.t. telah dengan tegas memberikan aturan kepada para muslimah dalam berbusana seperti berikut,
“Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan JILBABnya ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah al-Ahzab ayat 59
Sila rujuk kepada foto yang memaparkan imej HARFIAH JILBAB. Ia bermaksud ‘sehelai baju panjang’ yang menutupi secara terus seluruh tubuh. Bukan pakaian yang terputus antara bahagian atas dengan yang bawah pun. Ia biasa dipanggil JUBAH.
ISBAL adalah satu kecacatan Jilbab wanita. Ia merujuk kepada panjang baju di bahagian bawah. Jika laki-laki diharamkan isbal, nisak pula diwajibkan untuknya. Untuk mengatasi masalah ini muslimah sebaiknya pakai sarung kaki yang tebal dan menutupi aura kaki, bukan yang tipis dan berwarna kulit.
Ibnu Umar berkata, Rasulullah saw bersabda,
“Barangsiapa menghela pakaiannya lantaran angkuh, maka Allah tidak akan sudi melihatnya pada hari kiamat. Lantas Ummu Salamah bertanya:”Lalu, bagaimana yang mesti dilakukan oleh kaum wanita dengan bahagian hujung pakaiannya? Baginda menjawab: hendaklah mereka menurunkan satu jengkal! Ummu Salamah berkata: Kalau begitu telapak kaki mereka terbuka jadinya. Lalu Nabi bersabda lagi:Kalau begitu hendaklah mereka menurunkan satu hasta dan jangan lebih dari itu!”
(HR.Tirmidzi (III/47) At-Tirmidzi berkata hadits ini Shahih)
KHUMUR, TUDUNG dan KECACATANNYA
Tudung adalah bahagian pakaian khas untuk penutup kepala dan leher. Tanpa perlu banyak perdebatan, Allah juga telah menjelaskan dalam firman-Nya,
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak daripadanya. dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hingga menutupi dadanya...” - Surah an-Nuur ayat 31
Tudung yang menutupi dada ini seharusnya ada beberapa lapis mengikut jenis kain dan harus juga meliputi pangkal lengan. Banyak juga yang kononnya telah menutupi dada, namun ia mendedahkan lengan dan ketiak sehingga bulatan buah dadanya masih kelihatan dari sisi. Ada pula tudung yang terlalu tipis dan dengan jelas menampakkan susuk buah dada, tambahan pula apabila ditekan oleh angin. Ini ditambah dengan jenis kain yang lembut dan ukuran JILBAB yang ketat.
Dewasa ini pelbagai busana Muslimah berlumba-lumba mereka fesyen tudung sehingga menjadi satu perlumbaan fesyen. Ini telah menjadikan AURA rambut yang ditutupi tadi diganti dengan aura tudung yang berbagai gaya dan warna. Ini menyebabkan matlamat berHIJAB itu gagal dan kita masih mengundang zina melalui AURA FESYEN dan WARNA pelbagai hiasan yang terpesong itu.
TASYABBUH (menyamai pakaian orang kafir). Antara gejala yang serius ialah fesyen tudung yang menyerupai TUDUNG BIARAWATI KRISTIAN yang melilit lehar sehingga nampak jinjang lehernya. Ini bukan sahaja berdosa kerana tidak menutupi aurat dengan sempurna mengikut kehendak Allah, malah ia haram kerana sudah meniru pakaian agama lain.
Dari Abdullah bin Amru bin Ash berkata:
“Rasulullah melihat saya mengenakan dua buah kain yang dicelup dengan warna ushfur, maka beliau bersabda: Sungguh ini merupakan pakaian orang-orang kafir maka jangan kamu memakainya” (HR.Muslim,6/144, hadits Shahih)
SANGGUL UNTA adalah satu lagi gejala yang sudah dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Ini dikaitkan dengan tarikan mata yang menjadikan aurat rambut itu diganti dengan aura sanggul unta. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda,
“Pada akhir ummatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang. Di atas kepala mereka seperti terdapat punuk unta. KUTUKLAH mereka karena sebenarnya mereka adalah kaum yang terkutuk” (HR. Ahmad 2/223.Menurut Al-Haitsami rijal Ahmad adalah rijal shahih)
NIQAB
Niqab adalah penutup muka. Terdapat perselisihan terhadap kewajipan memakainya. Setengah ulamak mengatakan ia wajib berdasarkan hadis yang menunjukkan kepada perintah isteri dan anak Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam Hijab walaupun di dalam rumah sendiri dan tetamu lelaki yang datang juga seorang yang buta. Ia juga merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 53
Yang tidak mewajibkannya mengambil nas yang mana muka dan pergelangan tangan tidak dikira sebagai aurat. Ini merujuk kepada aurat dalam solat dan perintah Nabi s.a.w. yang diriwayatkan tidak mahu memandang tetamu wanita yang berpakaian nipis. Baginda lalu menegur dengan meminta wanita itu menutup seluruh tubuh kecuali ini dan ini (menunjukkan muka dan tapak tangan). Ada banyak juga hadis sohih yang merujuk kepada batasan ini.
Kami di RPWP mengambil jalan tengah. Kami hududkan (batasi atau hadkan) interaksi dan pergaulan antara lelaki dengan wanita kecuali dengan kondisi darurat bagi mengelakkan fitnah. Oleh itu, kami tetapkan untuk tidak menutup muka dan tapak tangan lalu tidak mewajibkan niqab kepada warga nisak kami buat masa ini.
AURAT WANITA
Aurat wanita meliputi segala bentuk perhiasan dan daya tarikan yang menjadi AURA dari seorang wanita yang menarik perhatian seorang lelaki. Ini termasuk perhiasan yang wujud dari bentuk tubuh badan seperti bentuk betis, kaki, peha, celah kelengkang, pinggul, buah dada, leher, rambut, mata, bibir dan sebagainya.
Aurat juga meliputi perhiasan yang diada-adakan seperti kosmetik dan solekan, bau-bauan, nada suara dan kata-kata, memek muka dan bibir, jelingan mata, bahasa jari, lenggok badan bahkan olahan sanggul sekalipun.
“Siapapun perempuan yang memakai wewangian, lalu ia melewati kaum laki-laki agar mereka mendapatkan baunya, maka ia adalah penzina” (HR.An-Nasai II:38, Abu dawud II:92, At-Tirmidzi IV:17, At-Tirmidzi menyatakan hasan shahih)
KESIMPULAN
HIJAB adalah satu istilah yang digunapakai untuk menyembunyikan segala bentuk aurat wanita. Ini termasuklah cara pengasingan kedudukan diri di sebalik tabir, cara mengenakan pakaian muslimah, solekan dan juga gerak badan.
Dari segi pakaian, apa sahaja pemilihan fesyen atau jenis kain yang dipakai sekadar MEMBUNGKUS tubuh tidak dikira MENUTUP aurat. Contohnya kain yang tipis dan tembus pandang, fesyen yang ketat melekat seperti legging atau memilih kain dengan warna kulit adalah dikira tidak menutupi aurat. Apatah lagi jika sengaja digayakan seolah-olah kita tidak pakai seluar lalu mengenakan pula skirt pendek untuk MENJOLOK mata lelaki.
Tuntutan menghijab aurat wanita boleh dipenuhi dengan pakaian dalam, pakaian luar yang menutupi seluruh tubuh (jilbab/jubah) dan tudung labuh yang menutupi dada. Ini yang Allah wajibkan tanpa pilihan. Jika mahu, hijab juga boleh disempurnakan dengan memakai niqab (ada pilihan berdasarkan kerelaan dan kondisi).
'Pakaian dalam' yang dimaksudkan bukan seluar dalam dan baju dalam. Itu adalah pakaian dalam untuk bilik tidur. Ia bermaksud 'pakaian dalam' yang sopan untuk dipakai dalam rumah sendiri. Contohnya baju kurung, t-shirt lengan panjang dan seluar longgar yang sopan. JILBAB adalah jubah, atau 'pakaian luar' yang sopan, bersais longgar dan tidak ketat. Ia dipakai bersama tudung labuh menutupi dada apabila mahu keluar rumah atau bila didatangi tetamu lelaki yang diizinkan.
Walaupun sudah berhijab dengan tudung, jilbab, niqab dan berada di balik tabir sekalipun, HIJAB tidak akan sempurna jika komponen aurat dari lenggok tubuh yang lain seperti yang dihuraikan di atas masih tidak dihijab (sembunyikan).
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. - Surah al-Baqarah ayat 208
Kami hanya kongsikan apa yang kami rasakan efektif, menepati ketetapan Allah dari rujukan quran dan hadis serta tidak keterlaluan dalam soal menutup aurat ini. Jika kita ikhlas, lakukanlah perintah itu setepat dan sepenuh mungkin. Jika kita berkira-kira untuk menghijab diri dalam soal menutup aurat seperti yang diperintahkan Allah, maka Allah juga menyediakan HIJAB untuk merahmati kita. Bermakna kita akan dihijab dan dipinggirkan oleh Allah.
Ambillah pelajaran dari kebinasaan yang telah berlaku akibat kifarah terhadap mereka yang terang-terang menolak hukum dan perintah Allah. Allah telah firmankan jasad Firaun tidak akan diterima bumi dan ia memang berlaku. Semua pengikut Firauan yang mengikut tabiat syaitan seperti Kamal Attarturk juga tidak diterima bumi. Demikian juga para paderi dan sami.
Allah turunkan kitab untuk kita berhukum dengannya. Jangan mudah-mudah mengatakan kita tidak boleh menghukum manusia. Tutup sahaja mahkamah jika itu pendirian kita. Jangan samakan pelacur yang menerima keampunan kerana Islam mungkin belum tiba ketika dia melacur. Jangan tunggu umur 40 atau lebih kerana kononnya nabi mula solat seumur itu. Islam belum sempurna ketika itu. Ingatlah nabi perintah kita ajar anak dari buaian lagi, ajar solat bermula umur 7 tahun, dan perintah rotan jika enggan ketika 10 tahun.
WARGA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment