MY FOLLOWERS

Saturday, September 26, 2015

Kesihatan - Antibiotik Boleh Ubah Keadaan Dalam Tubuh

Kredit kepada: Yahoo News
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....




Antibiotik atau antibakteria ialah sejenis ubat antimikrobial yang digunakan dalam rawatan dan pencegahan jangkitan bakteria, sama ada ia membunuh atau menghalang perkembangan bakteria. (2) Perkataan Greek 'anti' bermakna bertentangan (against) dan 'bios' bermakna kehidupan. Antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan akibat bakteria. Bakteria ialah organisma mikroskopik dan sesetengahnya boleh menyebabkan penyakit. Penyakit seperti sifilis, tuberculosis, salmonella, dan sesetengah jenis meningitis adalah disebabkan oleh bakteria. Sebahagian jenis bakteria tidak berbahaya dan selainnya pula baik untuk manusia. (5)   

Sebelum bakteria boleh membiak dan menyebabkan simptom, sistem imun badan sebenarnya boleh memusnahkannya. Ini kerana dalam badan manusia ada sel darah putih yang boleh menyerang bakteria berbahaya. Walaupun ketika simptom penyakit sudah ada, sistem badan manusia boleh bertahan dan melawan jangkitan.     (5)

Alexander Fleming merupakan orang pertama yang menemui penisilin, antibiotik semulajadi pada 1928. Antibiotik berkait dengan penisilin ada beberapa jenis seperti ampisilin, amoksisilin, dan benzilpenisilin. Ia banyak digunakan bagi merawat pelbagai jangkitan sejak sekian lama.     (5)

Antibiotik berfungsi melalui dua cara iaitu membunuh bakteria dengan cara mengganggu proses hidupnya seperti menukar glukos kepada tenaga. Satu lagi dengan cara menghalang bakteria terhasil dan merebak; contohnya mengganggu prosesnya menghasilkan sel-sel baru, seperti menghasilkan protein baru. (4) Sesetengah jenis berkesan melawan fungus dan protozoa, manakala sesetengahnya menjadi toksik kepada manusia dan haiwan walaupun dalam dos terapi. Antibiotik tidak berkesan kepada virus influenza dan boleh jadi berbahaya jika tidak diambil dengan betul.    (2)  

Antibiotik ialah ubat yang digunakan bagi merawat dan dalam sebahagian kes menghalang jangkitan bakteria. Secara relatifnya, ia digunakan bagi merawat keadaan sakit yang ringan seperti akne atau pneumonia.   (4)

Antibiotik moden ada beberapa jenis dan ia hanya digunakan dengan preskripsi doktor yang merawat di kebanyakan negara. Penggunaan antibiotik secara berlebihan mendapat perhatian dunia kerana menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada bertambahnya bilangan jangkitan bakteria yang lebih tahan dengan ubat antibiotik.     (5) 

Walaubagaimanapun, ia tiada manfaat bagi banyak jenis jangkitan dan menggunakannya bila tidak perlu hanya akan meningkatkan lagi risiko penentangan terhadap antibiotik.     (4)


Antibiotik berkembang sekitar abad ke-20 sekaligus dengan vaksinasi membawa kepada hampir membasmi penyakit seperti tuberkulosis. Keberkesanannya membawa kepada terlebih guna, disalahguna terutama dalam daging jualan menyebabkan bakteria boleh menentang. Ia membawa kepada masalah lain yang dikatakan menjadi ancaman penentangan terhadap antibiotik.  (2)

Era kemoterapi antibakteria bermula dengan penghasilan arsfenamin, oleh Alfred Bertheim dan Paul Ehrlich pada tahun 1907, untuk melawan sifilis, diikuti dengan prontosil oleh Gerhard Domagk pada tahun 1933 yang mendapat Hadiah Nobel pada 1939. (2)

Adakalanya istilah 'antibiotik' merujuk kepada sebatian bagi melawan mikrob yang sinonim kepada antimikrobial.   (2)


Walaupun terdapat pelbagai jenis ubat antibiotik, namun ia masih berfungsi melalui 2 cara:
  • Antibiotik bakteria membunuh bakteria. Sama ada kehadirannya menghalang pembentukan dinding sel-sel bakterium atau kandungan selnya. Contoh: penisilin.
  • Jenis bakteriostatik yang menghentikan pembiakan bakteria.     (5)

Kegunaannya dari sudut perubatan:
  • Rawatan - jangkitan bakteria
  • Jangkitan protozoa: metronidazole dan Bactrim
  • tetracycline: berkesan melawan inflamasi
  • dapson: melawan penyakit autoimun
  • Pencegahan jangkitan - luka perubatan, antibiotik pergigian prophylaxis, keadaan neutropenia yang berkaitan dengan kanser.    (2)

Antibiotik dicipta dengan bersebab, ada tujuannya. Sejak penisilin diperkenalkan pada 1940an dan munculnya antibiotik yang lainnya selepas ia berkembang pesat, jumlah penyakit dan kematian disebabkan jangkitan turun dengan mendadaknya. Dengan berkembangnya penggunaan antibiotik ini, bakteria yang memusnahkan juga berubah dan menyesuaikan diri sehingga menjadikannya kebal kepada beberapa jenis.   (1)





Kebimbangan berkaitan penentangan terhadap antibiotik ini adalah benar. Jika bakteria kebal terhadap ubat kerana anda makannya secara tidak perlu, iaitu bila anda tiada jangkitan bakteria atau bila anda makan daging lembu yang dibesarkan dengan suntikan antibiotik; maka ia mungkin menjadi tidak berkesan ketika ia sangat diperlukan untuk melawan penyakit berbahaya.   (1)

Menurut kajian lapangan yang dijalankan, bagi kanak-kanak, tentangan terhadap antibiotik bukanlah satu-satunya masalah yang perlu dibimbangkan. Dalam satu kajian, pengkaji dari New York University Langone Medical Center menyatakan mereka mahu melihat kesan apabila antibiotik kanak-kanak diberikan kepada tikus makmal iaitu jenis amoksisillin atau tilosin, dengan dos yang sama yang diberikan kepada kanak-kanak. Hasilnya, tikus yang diberikan antibiotik itu bertambah beratnya, tulangnya menjadi lebih besar dan mempunyai lebih banyak masalah gangguan perut (bakteria dalam sistem gastrosus), berbanding yang tidak diberikan dos. Tilosin mempunyai kesan lebih kuat daripada amoksisillin dalam menyusun mikrobiom. Maka pengkaji mencadangkan antibiotik ini mempunyai kesan lebih besar ke atas sistem pencernaan dan perut.   (1)

Maka tidak hairanlah tikus yang diberikan dos itu mengalami perubahan dalam mikrobiom mereka kerana antibiotik yang diberikan itu berkesan membunuh atau menghalang bakteria dalam sistemnya.   (1)


Antibiotik hanya boleh diambil dengan mengikut arahan yang diberikan doktor seperti yang tertulis pada paketnya atau pada risalah untuk pesakit yang didatangkan bersama ubat tersebut atau seperti yang diarahkan oleh ahli farmasi.    (4)

Dos antibiotik diberikan menerusi beberapa cara:
  • Secara oral - tablet, pil, kapsul atau cecair yang diminum untuk merawat jangkitan yang ringan.
  • Secara sapu atau sembur - krim, losyen, semubran atau titis (biasanya untuk jangkitan kulit)
  • Secara suntikan - disuntik atau dimasukkan melalui drip ke dalam salur darah atau otot, selalunya untuk jangkitan yang serius.     (4)




Kebanyakan antibiotik menunjukkan kesan terhadap jangkitan selepas beberapa jam ia diambil. Adalah perlu untuk menghabiskan pengambilan ubat ini bagi menghalang jangkitan daripada muncul semula. Jika hanya separuh jalan, maka ada risiko bakteria menjadi semakin tahan kepada antibiotik untuk rawatan seterusnya. Ini kerana bakteria yang masih berbaki itu sudah ada pendedahan kepada antibiotik dan akibatnya, ia membentuk tentangan. Walaupun sudah semakin pulih, anda masih perlu habiskannya.      (5)

Ada sesetengah antibiotik tidak boleh diambil bersama sesetengah jenis makanan, ada yang tidak boleh diambil dengan ada jenis makanan tertentu dalam perut. Jenis antibiotik ini biasanya perlu diambil sejam sebelum makan, atau 2 jam selepas makan. Adalah sangat penting untuk mengikut arahan dengan betul jika mahu ubat itu bertindak secara efektif. Jika mengambil metronidazole, maka kena elakkan mengambil alkohol. Elakkan mengambil produk tenusu jika makan ubat tetrasaiklin, kerana ia mengganggu penyerapan ubat berkenaan.      (5)

Jika terlupa ambil dos, ambil seawal mungkin dan teruskan seperti biasa. Jika hampir waktu untuk dos setersunya, lupakan sahaja sesi yang tertinggal itu dan teruskan dengan waktu yang seterusnya itu. Jika ambil dua dos dalam selang waktu yang terdekat, anda mungkin berdepan dengan kesan sampingan. Jika tidak sengaja terambil lebih dos, tidak mungkin menyebabkan anda mengalami gejala serius. Walaubagaimanapun, anda mungkin berdepan kesan sampingan seperti sakit perut, cirit birit atau saklt. Jika anda risau atau berdepan kesan yang teruk, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera.    (4)


Terdapat beratus jenis, kebanyakannya dikelaskan kepada 6 kumpulan:
  • Penisilin - digunakan secara meluas bagi pelbagai jangkitan termasuk kulit, dada dan saluran urinari
  • Sefalosporin - digunakan untuk pelbagai jangkitan, juga efektif untuk jangkitan serius seperti septicaemia dan meningitis.
  • Aminoglikosid - digunakan untuk jangkitan serius seperti septicaemia yang boleh memberi kesan sampingan seperti hilang pendengaran dan kerosakan ginjal. Ia mudah larut dalam sistem pencernaan, jadi ia dimasukkan secara suntikan. Untuk jangkitan telinga dan mata, ia diberi secara titisan.
  • Tetrasaiklin - digunakan secara meluas. Biasanya untuk jangkitan akne sederhana hingga teruk, keadaan rosacea, yang menyebabkan kemerahan dan bintik pada kulit.
  • Makrolid - khusus untuk masalah jangkitan peparu dan dada. Ia juga penyelesaian alternatif bagi mereka yang alah pada penisilin atau untuk merawat jangkitan bakteria yang tahan pada penisilin.
  • Floroquinolon - boleh digunakan untuk pelbagai jenis jangkitan.    (4)





Kesan sampingan

Seperti juga ubat lain, ia juga mempunyai kesan sampingan. Tiada kesan jika diambil dengan betul dan sangat jarang memberi kesan serius. Antara kesannya jika ada ialah sakit, kembung dan ketidakhadaman, cirit birit.    (4)

Biasanya, kalau ada pun yang mendapat reaksi alahan pada antibiotik, peluangnya hanya 1 daripada 15 orang. Itu pun terhadap penisilin dan sefalosporin. Dalam banyak kes, ini boleh membawa kepada reaksi alahan lebih serius (anaphylaxis), dan menjadi kes kecemasan.    (4)

 
Kesan lain:
  • Diarrhea - kajian dari Sekolah Perubatan di Universiti Stanford mendapati peningkatan gula dalam perut ekoran rawatan antibiotik membenarkan bakteria berbahaya bertapak dan menyebabkan jangkitan. Bakteria berbahaya bertindak balas dengan adanya gula.
  • Berasa sakit.
  • Jangkitan fungus pada mulut, saluran pencernaan dan vagina.      (5)

Kesan lain yang jarang berlaku:
  • Pembentukan batu karang pada buah pinggang (bila ambil sulphonamides).
  • Pembekuan darah tidak normal (bila ambil sesetengah jenis cephalosporins).
  • Sensitif pada cahaya matahari (bila ambil trimethoprim).
  • Hilang pendengaran (bila ambil erythromycin dan aminoglycosides).      (5)

Sesetengah pesakit yang berumur akan mengalami radang perut yang boleh membawa kepada cirit-birit yang teruk. Clindamycin, antibiotik bagi melawan jangkitan serius biasa mempunyai kesan ini. Walaubagaimanapun, penisilin, sefalosporin, dan erythromycin juga boleh mempunyai kesan sampingan yang sama.      (5)

Pada 2012, saintis dari Sekolah Perubatan NY mendapati bayi yang terdedah kepada antibiotik ada risiko lebih besar menjadi lebih gemuk atau obes bila menjadi kanak-kanak. Kajian ini diterbitkan dalam International Journal of Obesity.       (5)


Reaksi alahan kepada antibiotik

Ada sesetengah pesakit akan mengalami reaksi alahan terutama pada penisilin, seperti ruam, bengkak pada lidah dan muka, dan kesukaran bernafas. Alahan boleh muncul segera atau mengambil tempoh dahulu sebelum ia muncul. Jika muncul tanda alahan, segeralah berjumpa doktor dan/atau ahli farmasi. Alahan boleh menjadi serius sehingga boleh membawa maut. Ia dipanggil reaksi anafilaktik.      (5)

Sebelum mengambil antibiotik, maklumkan pada doktor yang merawat jika anda hamil, keadaan limpa atau buah pinggang yang merosot, atau menyusu badan.       (5)


Antibiotik boleh bertindak balas jika diambil bersama ubat lain.

Jika anda mengambil antibiotik, jangan ambil ubat lain atau ubatan herba tanpa memberitahu doktor anda. Ubat tidak dipreskripsi juga boleh bercanggah dengan antibiotik. Penisilin, sefalosporin, dan beberapa jenis antibiotik lain boleh menjejaskan keberkesanan kontraseptif oral. Jika antibiotik menyebabkan cirit-birit atau muntah, penyerapan tubuh terhadap ubat kontraseptif juga akan terjejas. Jika anda mengambil mana-mana ubat ini maka anda harus berjaga-jaga untuk mengambil ubat kontraseptif.      (5)


Pertimbangan

Ada sesetengah jenis tidak sesuai dengan keadaan perubatan pesakit atau untuk wanita yang hail atau menyusu badan. Pesakit hanya boleh mengambilnya seperti yang disarankan doktor sahaja, bukan antibiotik daripada kawan atau orang lain. Ada sesetengah jenis bertindak balas dengan ubat/bahan lain jika diambil, seperti alkohol atau pil kontraseptif yang dimakan. Jadi adalah penting untuk membaca maklumat pada risalah yang didtangkan bersama ubat yang diberikan itu. Antara yang perlu tahu ialah yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil antibiotik dan bagaimana ia bertindak balas dengan ubatan lain.    (4)


Rintangan antibiotik

Badan seperti NHS atau organisasi kesihatan di dunia cuba mengurangkan penggunaan antibiotik terutama dalam keadaan tidak serius. Ini juga antara usaha melawan rintangan antibiotik, keadaan bakteria tidak lagi bertindak balas terhadap rawatan dengan satu atau lebih antibiotik. Rintangan antibiotik boleh muncul dalam beberapa cara. Rantaian bakteria boleh bermutasi dan selepas satu masa, ia akan dapat bertahan daripada antibiotik. Ini boleh berlaku bila pesakit berhenti pengambilannya awal dan tidak menghabiskan antibiotik diberikan. Saki baki bakteria yang masih tinggal akan berubah dan menjadi lebih tahan antibiotik. Antibiotik juga boleh memusnahkan rantaian bakteria tidak berbahaya yang ada pada tubuh. Ini akan membuatkan bakteria yang lebih tahan itu membiak lebih cepat dan menggantikan bakteria tidak berbahaya itu.    (4)

Pengambilan berlebihan antibiotik selama beberapa tahun ini telah menunjukkan perubahan dalam rintangan melawan bakteria. Ini termasuk antibiotik bagi merawat sakit ringan yang sepatutnya boleh sembuh. Antara jenis bakteria tahan antibiotik yang muncul ialah:
  • meticillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA)
  • Clostridium difficile (C. diff)
  • bakteria penyebab kepada multi-drug-resistant tuberculosis (MDR-TB)
  • CPE (Carbapenemase-producing Enterobacteriaceae)   (4)

World Health Organization (WHO) pula menganggarkan 170,000 kematian disebabkan MDR-TB setiap tahun. Yang paling membimbangkan ialah kemunculan rantain bakteria baru yang tidak dapat dirawat dengan antibiotik sedia ada. CPE (Carbapenemase-producing Enterobacteriaceae) ialah satu bakteria dengan pelbagai jenis yang tersebar di banyak negara termasuk Eropah dan kemudian di UK.    (4)


Ringkasnya, antibiotik merupakan sejenis ubat yang kuat bagi melawan jangkitan bakteria. Jika ia digunakan sebaiknya, ia mampu menyelamatkan nyawa. Sama ada ia berfungsi untuk membunuh bakteria atau menghalangnya berkembang. Seterusnya, sistem pertahanan tubuh secara semulajadi akan menjalankan tugasnya. Antibiotik boleh melawan jangkitan bakteria tetapi bukan jangkitan disebabkan virus, seperti selsema, flu, kebanyakan batuk dan bronkitis, sakit tekak kecuali yang berpunca dari strep.   (3)

Jika virus menyebabkan seseorang sakit, mengambil antibiotik akan memburukkan lagi keadaan. Menggunakannya ketika tidak perlu atau menyalahgunakannya akan menambah lagi penentangan antibiotik. Ini berlaku kerana bakteria juga berubah dan menjadi tahan kepada kesan antibiotik itu. Ikut arahan yang diberikan apabila mengambil antibiotik. Penting untuk anda habiskan ubat. Jika berhenti ubat terlalu awal, mungkin ada bakteria yang masih berbaki terus hidup dan menjangkiti semula. Jangan simpan antibiotik untuk kemudian hari atau gunakan antibiotik orang lain.   (3)


 

Sumber rujukan perubatan:  (1)  SINI  |  (2)  SINI  |  (3)  SINI  |  (4)  SINI  |  (5)  SINI  |    





No comments: