MY FOLLOWERS

Wednesday, May 27, 2015

Artikel - Cahaya Dari Kubur Itu Milik Siapa?

Kredit kepada: Laman Kutukan Dewata
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....





Suatu kisah yang sangat mengharukan dan mampu menitis air mata.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Sama ada ia seorang waliyullah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.

Keesokannya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulama atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok di hujung kampung bersama isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung ke rumah si mati dan bertemu dengan isteri si mati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di perkuburan suaminya.

Anehnya isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru Quran. Malah suaminya tidak pandai membaca al-Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairanan kepada lelaki tersebut dan isteri si mati.

Akhirmya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya, setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wuduk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Qur’an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek al-Qur’an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta  Dia akan meraba-raba ayat-ayat al-Qur’an itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri si mati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimahmu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimahmu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahamimu. Tapi aku sangat mengasihimu. Aku sangat mencintaimu.“

“Wahai Kalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapan Tuhan diakhirat nanti”.

Cerita isteri si mati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani al-Qur’an buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat al-Qur’an kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas air mata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai air matanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh al-Qur’an. Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Marilah kita menghidupkan al-Qur’an di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang masa. Perkisahan ini ditulis dan disesuaikan semula untuk bacaan semua. -mediaislamik.



Sumber penuh keinsafan:  SINI  |  





No comments: