Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Dua jenis kesakitan yang dirasakan penulis sebagai agak mengganggu kerana ia akan menyerang empunya badan ini tidak kira masa dan memang tidak kena pada masa. Itulah namanya gastrik dan resdung. Kalau tidak sakit perut, sakitlah kepala, begitulah sebaliknya. Akan kena pada mana-mana satu. Kalau ikutkan sejarah perubatan diri ini sejak dari zaman budak hingusan (walaupun tidak berhingus) seawal 6 atau 7 tahun, memang bolehlah dikatakan sangat susah mahu jatuh sakit. Mahu dikira berapa kali demam pun susah. Boleh jadi setahun sekali pun susah hendak dikata.
Tidak kiralah ketika cuaca panas atau hujan, masih boleh dilalui seperti biasa tanpa batuk-batuk atau selsema teruk dalam hari terdekat, walaupun tidak kebal dengan apa-apa keadaan cuaca. Bersin pun jaranglah sangat. Sehinggalah pada satu tengahari, didatangi sakit perut yang bukan memulas-mulas tetapi perit pada tahap tidak boleh bangun. Apa lagi, tergoleklah seharian atas katil meraung-raung sambil menahan perut yang dirasakan seperti berlipat-lipat selama beberapa jam. Itulah dia sakit gastrik yang pertama. Bila sudah reda, barulah boleh perlahan-lahan bangun dan makan apa yang patut sebagai alas. Selama bertahun ketiadaannya, maka datanglah pula ia untuk kali kedua, ketika bulan Ramadhan. Ketika itu sedang buat persiapan untuk UPSR. Petang itu, serangannya datang ketika pulang dari tempat tusyen. Sakit datang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya tergolek lagi sekali atas katil dengan perut terasa berlipat-lipat, dengan berpeluh-peluh menahan kesakitan. Mahu ke tandas untuk buang air pun susah. Bila sudah tidak tahan lagi, walaupun baru masuk waktu Asar, maka berbuka jugalah jawabnya.
Kejadian ketiga, ketika di asrama. Kenapalah kali ini diserang pagi-pagi lagi? Baru sahaja bersiap untuk ke dewan makan dan kemudian ke kelas. Sakit punya pasal, masuk juga ke kelas dan terpaksa tunggu hingga 8.30 pagi untuk van sekolah datang dan bawa ke hospital berdekatan. Sesampai di hospital, selang berapa minit, bukan setakat semakin sakit, muka jadi pucat dan berpeluh, pening pun datang menambahkan lagi perisa! Apalagi, segeralah kaki berlari ke tandas sebelum termuntah. Belum sempat kembali ke tempat duduk, terdengar doktor memanggil. Terus diberi ubat minum. Ingat lagi, warna cecairnya putih macam antibiotik. Alhamdulillah, dapatlah semula kembali ke asrama dengan semua kepeningan sudah berlalu dan sedikit kelegaan datang menyapa.
Zaman menduduki SPM menjengah, tidak sekali pun penyakit ini muncul. Begitu juga ketika di zaman IPT ketika menyambung pengajian diploma. Legalah lagi selama beberapa tahun. Kemunculan kembali sakit ini ketika praktikal di pengajian peringkat ijazah. Hanya sempat habiskan separuh hari praktikal sebelum ke klinik untuk rawatan. Tahun 2007 boleh dikatakan antara pengalaman paling parah bila perut sudah tidak berperangai seperti dahulu lagi dan semakin sensitif. Terpaksalah beri lebih layanan dan aspek pemakanan semakin perlu dijaga.
Walaubagaimana sekali pun dijaga, masih tetap kena beringat ia akan datang pada bila-bila masa. Kena tetap kena. Kepada yang tidak punya sejarah perubatan keluarga dan tidak mengalaminya, tiada masalah. Insiden sekitar pertengahan tahun sewaktu hujung minggu. Petang itu hujan dan penulis keluar beli sedikit barang dan makanan. Ingat lagi petang itu, sambil perlahan-lahan memandu dalam jalan yang sesak, sambil itu mulut mengunyah roti ban berinti bluberi. Sesampai di rumah, perut sudah tunjuk perangai. Balik-balik ke tandas, kemudian terbaring sebelum perlahan-lahan disusuli pening dan loya. Semakin lama semakin teruk dengan kekerapan pening, loya dan muntah semakin banyak. Keadaan berlarutan sampailah pukul 2 pagi! Sewaktu pening dan sakit ini yang terakhir, habis termuntah keluar segala isi dari dasar perut ini semaksimumnya hinggakan tuan empunya badan hampir pengsan! Nasib baiklah ada emak yang tolong papahkan sampai ke katil.
Keesokannya, masuk pejabat pun lambat. Letih ekoran sakit dan kekurangan air dalam badan (dehydrated). Terasa lemah seluruh badan mahu berjalan ke sana sini buat sehari dua. Tahun lepas merupakan kali kedua serangan ini datang pada awal pagi. Pagi itu yang sepatutnya berada di kolej untuk persembahan Performance Day sebagai sebahagian markah untuk lulus, tidak dapat hadiri dan orang lain terpaksa ambil 'posisi' kita pada saat akhir. Panggilan telefon yang menjengah di saat sebelum giliran kumpulan. Habis semua ahli kumpulan menggelabah sebab kita tidak dapat hadir. Sedang semua orang lain pula sibuk ke sekolah, tinggallah seorang diri terjelepuk di lantai tergolek menahan kesakitan selama 5 jam! Nasib baiklah sesi latihan karate dibatalkan hari itu. Terasa teruk sebab sakitnya perlahan-lahan datang menyerang, teramat sakit, kemudian beransur hilang, sebelum berulang-ulang sepanjang 5 jam itu. Pedihnya jangan cakaplah. Terasa seperti akan putus tali perut! Sakitnya, Allah sahaja yang tahu bagaimana keadaannya!
Kemudian, barulah ahli keluarga yang baru sampai pagi tadi bangun dan segera tolong hantarkan ke klinik untuk rawatan. Kali ini bukan setakat kena minum ubat putih magnesium trisilicate (ubat sama seperti yang dulu) yang terasa macam pudina, suntikan pun kena. Kali ini keadaan berbeza sebab sakitnya masih berlarutan selama beberapa hari dan perlu ambil ubat dalam tempoh berkenaan.
Daripada semua pengalaman setakat ini, ada beberapa kunci penting perlu diberi perhatian: Aspek pemakanan (apa yang dimakan/minum, pedas, rempah, bersos atau cuka) tetap kena dijaga. Bluberi menjadi antara yang paling/tidak mahu dimakan atau dengan kata lainnya: taboo! Selepas ini, kalau sakit ini datang lagi, mungkin akan ambil masa lebih sehari untuk pulih.
Mungkinkah sebab peningkatan usia, maka sistem ketahanan badan juga semakin perlahan?
No comments:
Post a Comment