MY FOLLOWERS

Sunday, October 4, 2015

Sekadar Luahan - Catatan Pecutan Tganu-Kuantan-Tganu 1.10.2015

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner

 
 
Assalamualaikum.....




Asalnya semalam langsung tidak rancang untuk meronda sejauh ini. Bila jumpa dengan seorang kawan di sini yang mengajak ke Kuantan, mulanya susah juga mahu percaya. Katanya sempat kalau mahu balik semula ke rumah sejauh lebih kurang 210 km selepas selesai membeli apa yang patut. Maka bermulalah perjalanan dari sini sekitar petang selepas Zohor. Perjalanan melalui Bukit Payung memasuki lebuhraya Pantai Timur untuk ke destinasi. Pemanduan bukan santai, pedal minyak ditekan habis sehingga pecutan mencecah sekitar 160 km/j. Fuuhh! Sesekali kecut juga jantung. Namun dengan spesifikasi kenderaan yang mantap, dengan enjin mod senyap (silent operation), maka pemanduan masih terasa lancar seperti memandu 100 km/j menggunakan kenderaan biasa. Sedangkan kalau menggunakan kenderaan lain, bila kelajuan mencecah 100 km/j pun sudah terasa seperti kereta akan bergegar, inikan pula pada kelajuan 160 km/j.




Sepanjang perjalanan tidaklah terasa bosan sangat. Banyaklah juga isi perbualan yang keluar membuak-buak. Sekali-sekali terdengar juga panggilan telefon berdering. Ramailah pula klien yang memanggil untuk bermacam urusannya. Lebih kurang pukul 4 petang, sampai di pantai Teluk Cempedak untuk minum sebentar di KFC. Di sini, walaupun kedudukan antara kedai-kedai agak dekat seperti terhimpit tetapi pilihan agak banyak. Daripada restoran makanan biasa hinggalah makanan segera semuanya ada. Kedai 7-Eleven, KFC, McDonald's dan Starbucks hanya berjiran sebelah menyebelah sahaja. Sambil berjalan, sempatlah juga melihat pemandangan pantai yang agak menenangkan. Selesai minum, kami ke East Coast Mall. Susah sedikit sebab data tempat yang dituju tiada dalam sistem GPS. Jadi, guna cara biasa - tanya orang sekeliling.. hehehehe.. Sampai di East Coast Mall sekitar jam 6 petang.





Selepas meletakkan kereta, kami pun ke beberapa kedai menjual peralatan sukan. Banyak pilihan yang ada termasuk treadmill dan juga punching bag. Yang kawan saya beli bukan semua itu, cuma segulung yoga mat. Selepas itu kami masuk beberapa kedai menjual pakaian. Yang paling lama, bila tersangkut di kedai jenama Dockers sebelah kedai Levi's. Daripada seluar sampailah kemeja dan jaket, berjam-jam masa habis sebab dicubanya satu per satu. Akhirnya dibeli juga 2 helai seluar, sehelai kemeja dan sehelai jaket. Sementara memilih, bermacamlah ditanya kepada awek kedai berkenaan jenis fabrik sampailah kepada bab penjagaan. Gila punya teliti! Selesai membeli sekitar 9 malam.




Sebelum balik, kami singgah sebentar di resotran SatayZul tidak jauh selepas keluar dari East Coast Mall. Hidangan nasi lemak, sate dan neskafe O memang cukup untuk isi perut sebab belum makan sejak dari petang tadi dan segarkan semula mata. Sekitar jam 10 malam, kami bertolak pulang semula ke Kuala Terengganu melalui lebuhraya Pantai Timur sama seperti siang tadi. Jalan pun tidaklah sibuk dan tidak hujan seperti ketika datang ke Kuantan sebelum ini, cuma sesekali cuak juga sebab dipecut 160 km/j dalam suasana malam.

Sedar tak sedar, sekitar jam 12.30 malam, kami sudah masuk semula ke kawasan Bukit Payung selepas melalui perjalanan sejauh ini dalam waktu hanya sehari.

No comments: