Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Awang dan Ali ada sebuah periuk. Mereka sama-sama buat kerja dan mendapatkan upah nasi daripada orang-orang yang mereka temui. Mereka mengusahakannya selama lebih kurang dua tahun. Setiap cupak nasi yang mereka dapat, mereka akan masukkan ke dalam periuk itu untuk mereka makan nanti. Pada suatu hari, si Ali berhijrah kerana mencari rezeki di tempat lain. Maka tinggallah si Awang dan periuknya. Kali ini Awang bersendirian menggunakan periuk ini dan membuat kerja dan menggunakan periuknya itu untuk dapatkan beberapa cupak nasi sebagai bayaran kerja yang dibuatnya untuk orang kampung. Walaupun tidak seberapa, tetapi itu masih cukup untuk tampung keperluan si Awang seorang.
Setahun berlalu, maka pada suatu hari ketua daerah di situ didatangi seorang Pedagang yang ingin membeli periuk si Awang. Tidak tahulah apa yang istimewa sangat dengan periuk si Awang sehinggakan ketua daerah sanggup memeterai perjanjian dengan si pedagang untuk mendapatkan periuk si Awang itu. Bukanlah diperbuat daripada emas pun, cuma sebuah periuk buruk dibuat daripada besi dengan kesan lekuk sana sini, dan bekas jelaga hitam di bawahnya sebab sudah selalu digunakan untuk memasak nasi dan lauk dengannya.
Lalu, pergilah si Awang bertemu dengan ketua kampung untuk menjelaskannya. Ketua kampung berkata si Pedagang ini datangnya bersama dua rakannya dari negeri sebelah lain dengan kapal di pelabuhan. Manakala tuan Nakhoda kapal pula ialah orang dari negeri ini juga. Tuan Nakhoda ada perniagaan yang pelbagai dan berurusan dengan banyak orang seperti Awang di tempat-tempat lain. Kata ketua kampung lagi, Awang akan menjadi pembantu Pedagang dalam kerja yang mereka akan usahakan di kampung itu nanti. Nampak macam mudah tetapi itulah sebenarnya langkah pertama ketua daerah dan ketua kampung untuk menjerat si Awang dan mengenepikannya daripada khidmat bakti yang sudah diberikannya selama ini di kampung itu.
Sampai satu hari, si Pedagang bertemu juga dengan si Awang di satu acara di kampung itu. Selain mereka, ada juga pedagang dari Cina. Ramailah orang kampung datang. Si Pedagang mengajak orang ramai berdagang bersamanya. Ketua daerah tiada di situ ketika itu, hanya ketua kampung dan para ahli mesyuaratnya sahaja. Ketua kampung beritahu Awang bahawa mulai bulan depan, Pedagang akan berdagang di situ dan Awang akan bekerja sebagai pembantunya. Selesai pertunjukan di acara, ketua kampung pergi bertemu dengan si pedagang, Awang dan pedagang Cina untuk sama-sama minum di sebuah kedai makan.
Di situ, ketua kampung berbincang dengan pedagang apa yang dia mahu Pedagang usahakan di kampungnya. Hanya pihak mereka berdua banyak bicara. Awang dan pedagang Cina hanya banyak diam. Awang seperti sudah 'dikeluarkan' manakala pedagang Cina memang tiada kaitan, sekadar dijemput duduk dan minum bersama sahaja kerana diraikan sebagai tetamu. Pedagang kemudiannya menerima sedikit hadiah sebagai cenderahati kerana kedatangannya. Awang sedikit terasa hati kerana seperti dipinggirkan pula walaupun telah dijemput datang ke acara itu tetapi hanya akan pulang dengan tangan kosong.
Kemudian, ketua kampung mengajak Pedagang dan dua orang rakannya ke bilik mesyuarat di kampung itu. Awang dan pedagang Cina tidak dijemput masuk, hanya tunggu di luar. Seorang kawan Pedagang bertanyakan Awang bagaimana dia akan diupah selepas menjadi pembantu mereka nanti. Awang pun tidak pasti kerana belum diberitahu apa-apa mengenainya. Seketika kemudian, si pedagang keluar dari bilik mesyuarat itu dan berlalu bersama kawannya itu. Ketika itu, periuk masih ada bersama Awang. Oleh itu, Awang masih ada sedikit masa untuk terus menggunakan periuknya itu untuk mencari rezeki lagi.
Selang beberapa hari kemudian, Awang ke sebuah kampung lain untuk bertemu seorang pedagang lain yang juga seorang guru di kampung itu. Tujuannya ialah untuk membeli baju untuk orang yang mengupahnya. Sambil bertemu, Awang pun menceritakan kepadanya tentang kedatangan seorang pedagang dari luar bersama kawannya. Guru itu kata dia kenal dengan pedagang dari luar itu dan menyuruh Awang berhati-hati kerana dia pernah ada pengalaman dan tidak suka dengan cara pedagang itu yang disifatkannya seperti pencuri di belakang. Kalau ada usul baru dari pihak pedagang itu pun, dia sudah menolak awal-awal kerana tidak mahu terkena lagi.
Sebulan berlalu, maka pedagang itu mula berdagang di kampungnya. Seorang ahli mesyuarat memberitahu Awang mulai dari hari itu, Awang tidak perlu lagi buat kerja dan menggunakan periuknya untuk mendapatkan hasil, sebaliknya menggunakan khidmat si pedagang dan orang-orang kampung akan membayar barang yang dibeli terus melalui si pedagang dan hasilnya akan masuk ke dalam tabung si pedagang dan rakan-rakannya pula. Awang akan menjadi pembantunya sahaja. Lalu, bagaimana dengan rezeki dalam periuk Awang sendiri? Adakah apa-apa bahagian akan diperolehinya lagi selepas itu? Dengan bayaran lumayan yang diterima daripada Nakhoda, si Pedagang mudah sahaja bergerak untuk melaksanakan kerjanya.
Lama kelamaan, si pedagang mula menguasai perniagaan di kampung itu. Meskipun, periuk Awang tidaklah diambilnya, tetapi Awang tetap berasa sedih dan marah kerana mengetahui dia akan hilang mata pencariannya dengan periuknya itu. Periuknya itu tidak lagi dapat diisi dengan hasil daripada orang-orang kampung. Lalu mahu diisi dengan apa pula? Bukan setakat itu, kepercayaan orang kampung dan semua yang pernah bersama Awang juga akan 'dirompak' diambil daripada Awang. Adakah ini akan menjadi kenyataan atau sekadar bayangan sahaja dalam fikiran Awang? Harapnya ia hanya tinggal bayangan dan yang sebenarnya akan menjadi jauh lebih baik daripada yang dibayangkan itu.
Awang tahu perkara itu yang bermula dengan perjanjian antara ketua daerah di situ dengan si pedagang dan ketua daerah itu sendiri disifatkannya sebagai Penyamun kerana tindakannya itu. Seorang Penyamun yang akan merompaknya daripada mata pencariannya selama ini secara senyap-senyap! Selaku ketua daerah, dia paling berkuasa di tempatnya dan semua yang di bawahnya tidak dapat berbuat apa-apa mengenai keputusan yang diambilnya, termasuk Awang. Setakat itu, belum lagi muncul sesiapa yang akan menentang tindakan si Penyamun dan Pedagang itu yang akan mengaut keuntungan yang banyak daripada kampung itu. Awang bertekad, walau apa pun terjadi, dia tidak akan keluar semudah itu dari kampung itu. Ketua kampung ada juga bertanyakan Awang bagaimana nasibnya kelak dan berharap pihak Pedagang itu nanti membayarnya dengan setimpal.
Sementara itu, di waktu lain sebelum bermulanya perusahaan si Pedagang, Awang ke merata tempat berusaha mendapatkan ilmu untuk mengatasi si Pedagang. Antara yang ditemui ialah kumpulan Hulubalang dan seorang Pengembala kuda. Satu hari, si Pengembala mengajak Awang mengikutinya ke sebuah negeri menemaninya, dengan menaiki kapalnya. Perjalanan agak jauh, tetapi Pengembala meyakinkan Awang bahawa mereka masih boleh pulang paling tidak pun, menjelang tengah malam kerana esoknya Pengembala ada urusan lain perlu dilakukan. Lagipun pada hari itu, cuaca agak tenang. Tiada hujan atau langit mendung seperti ketika kedatangan Awang ke situ tidak berapa lama dahulu. Maka, pada petang itu, tibalah mereka di satu pasar. Pasar itu agak mewah dengan pelbagai barang dijual dan Pengembala membawa Awang masuk ke satu tempat untuk membeli keperluan untuk perdagangannya. Namun begitu, itu semua bukanlah penting buat masa itu. Selesai membeli, mereka pun sama-sama ke sebuah kedai makan untuk menjamu selera kemudian berangkat pulang. Dalam perjalanan, banyak perkara dan nasihat dikongsikan oleh Pengembala kepada si Awang terutama mengenai apa yang akan masuk ke dalam periuk nasi Awang nanti. Dia juga menawarkan Awang dengan peluang yang lebih besar dan membantunya berjumpa dengan ramai Orang-orang Besar selepas ini.
............
No comments:
Post a Comment