MY FOLLOWERS

Wednesday, September 17, 2014

Sekadar Luahan - Main Perang: Dulu vs Sekarang

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....




Singgah di kafe siber malam ini buatkan penulis teringat kembali permainan perang zaman budak-budak dahulu selepas terlihat budak lain bermain permainan perang di komputer. 

Sebelum itu, buat budak-budak lelaki yang berada di zaman persekolahan tahun 1980an hingga 1990an, ingatkah lagi anda semua suasana ketika bermain perang-perang dahulu?

Penulis ketika itu masih di Negeri Sembilan. Biasanya akan bermain ketika waktu pagi sebab bersekolah pada sesi petang. Berdekatan kawasan rumah ketika itu adalah bukit kecil yang belum diteroka, ada rimbunan pokok seperti hutan kecil dan di sebelah bukit sana ada kawasan perkampungan sebelum ke jalan besar. Bukanlah bermain sangat cuma seronok ikut kawan-kawan yang sama sekolah bermain. Atas kawasan bukit itu bolehlah dilalui dengan memanjatnya dan berjalan kaki melalui satu jalan tembus ke kawasan rumah kawan yang lain. Di situ ada sebuah pokok dan atasnya ada beberapa papan yang disusun menjadi pondok. Kawan-kawan kata itu pondok seorang abang entah dari mana. Di kawasan itu bolehlah main perang-perang. Ada kawasan boleh menyorok dan tembak-tembak musuh. 




Ingat lagi, senapang mainan pada masa itu bukanlah boleh dibeli di pasaraya macam zaman sekarang, sebaliknya buat sendiri dengan kayu dengan bentuk macam senapang betul tetapi bahagian atasnya diikat pengepit kain digunakan untuk kepit buah ceri putik untuk ditembak sebagai peluru. Getah digunakan untuk lancarkan buah ceri bila dilepaskan. Buah ceri pun cari sendiri. Main perang pun boleh rasa macam betul juga. Belum lagi tambah dengan macam-macam efek bunyi lagi. Bunyi tembak, bunyi bom, bersilih ganti. Ada yang akan menyorok dalam semak dan atas pokok. Bukanlah juga ketika itu tiada permainan video, semua pun sudah ada tetapi tidaklah secanggih yang ada hari ini. Ada masanya main di luar, ada masanya main permainan video. Permainan paint ball pun belum ada lagi.  

Zaman sekarang, dengan adanya internet dan pelantar permainan video yang lebih canggih, semuanya berubah. Tiada lagi permainan perang seperti zaman dahulu. Segala adventure yang kita rasakan real itu sudah tiada lagi. Generasi muda sekarang seperti sudah tidak lagi kenal itu semua. Bangun sahaja, sudah kenal PS1, PS2, PS3, XBox, permainan komputer. Permainan perang pun semua dalam komputer, perasaan adventure itu sudah tidak lagi dirasa dengan seluruh deria badan, semua main guna jari-jemari sahaja. Patutlah muncul ramai keyboard warrior sahaja.




Agak-agaknyalah, kalaulah golongan keyboard warrior ini diajak main perang macam kita di zaman dahulu, bolehkah mereka bertahan kalau sakit kena lastik dengan buah keras? Nasiblah kalau terkena dahi ke, hidung ke, lengan ke. Jangan kena mata, sudahlah. Bolehkah mereka tahan kalau diserang dengan tembakan buah ceri dari celah semak? Bolehkah tahan kotor macam dalam hutan atau kalau terpijak lopak air kotor? :-)  Paling penting, bolehkah tahan telinga kena leter teruk dengan emak selepas bergelumang sampai kotor? Hehehehe....

No comments: