MY FOLLOWERS

Wednesday, September 17, 2014

Sekadar Luahan - Penghijrahan

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
, m2farmers fotopages



Assalamualaikum.....


 
Teringat pula pada sekitar Disember 1999. Ketika itu baru habis semester pertama di IPT. Setelah berada di Negeri Sembilan selama 15 tahun, setelah tinggal di sini bermula pada Disember 1985, akhirnya permohonan keluarga untuk kembali ke Terengganu dimakbulkan. Maklumlah, pada kali ketujuh permohonan dikemukakan barulah berjaya. Pada masa itu terkejut juga. Kenapa tiba-tiba? Pada masa itu pun masih belasan tahun. Habis, kawan-kawan lama, macam mana? Kelab karate? Apa lagi, semuanya terpaksalah ditinggalkan. Ketika itu berdoa semoga kalau ada rezeki di masa depan, mungkin akan datang ke sini lagi. Ingat lagi waktu itu jiran-jiran pun ada yang datang bantu angkut barang naik atas lori. Sesudah itu, semuanya ucapkan selamat jalan pada kami sekeluarga. Bila di Terengganu, awalnya tinggal di rumah sewa dahulu sementara menanti rumah keluarga sendiri dibina atas tanah yang sudah dibeli keluarga.

Pindah di tempat baru, bukan terus dapat kawan baru. Kenalah ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri dahulu, walaupun sejak dari kecil memang lahirnya di sini, di negeri pantai timur ini. Kalau sepanjang tinggal di Negeri Sembilan dahulu, balik Terengganu sebagai balik kampung sahaja ketika cuti sekolah. Kali ini balik dan tinggal terus di sini. Maka terputuslah seketika hubungan dengan kawan-kawan dan jiran-jiran lama. Begitulah juga dengan kelab karate yang ada ramai lagi kawan. Kawan-kawan yang tinggal cuma yang ada di universiti, dapat jumpa pun ketika sesi akademik. Bila cuti, semua balik. Seterusnya, bila setiap kali balik cuti semester, bosannya jadi terlebih-lebih sebab tiada apa mahu dibuat. Terasa juga sesak kepala sebab balik-balik muka sama juga yang ditengok, semua yang ada dalam rumah waktu itu. Bila tengok internet pun bosannya sama juga. Bezanya dengan yang sekarang, dahulu manalah ada lagi laman bernama Facebook. Yang ada cuma Friendster. Jenguk profail orang sana sini, tidak banyak aktiviti pun. Kalau berpeluang dapatlah kenal seorang dua dan bersembang kosong macam di laman forum. Laman Syok dan Jiwang masih boleh jadi tempat lepak, sembang sambil muat turun lagu dan filem. Sekarang yang itu sudah tiada lagi. Bila keluar pandu kereta sana sini, ambil masa juga untuk kenal jalan. Setiap kali musim cuti semester, dari diploma sampailah habis ijazah pada Julai 2005, begitulah keadaannya. Bukanlah bermakna tidak bertemu jiran-jiran baru di sini, cuma kawasan di sini ketika itu tidaklah ramai sangat.




Pada Jun 2006, penulis terpilih menjadi salah seorang pelatih program tenaga mahir multimedia anjuran kerajaan negeri di sini. Penyertaan pertama sekitar 200 orang sudah cukup menjadi permulaan yang baik dalam membina rangkaian kawan-kawan yang baru. 6 bulan praktikal disusuli kontrak setahun. Terlibat dalam pelbagai projek yang disediakan oleh pihak syarikat yang terbabit. Sambil belajar, sambil memohon kerja, sambil itu juga dapat kawan-kawan baru. Alhamdulillah. Lebih daripada itu, ramai yang bertemu jodoh sesama sendiri sewaktu di program latihan itu termasuk penulis sendiri :-)  Kini tahun 2014, jaringannya semakin luas. Masing-masing sudah ada keluarga dan kerjaya sendiri. Dengan berkembangnya teknologi dan munculnya Facebook dan beberapa aplikasi lain, yang lama dapat dihubungi kembali selain menambah kenalan baru yang lain.  Mak pun ada berpesan, memanglah pada awalnya kita rasa sedikit sukar, bila sudah biasa semuanya akan baik-baik sahaja. Dunia ini masih begitu luas untuk diteroka. Seronok berada di suatu tempat bukanlah bermakna rezeki kita pun setakat di situ sahaja. Kalau perlu berhijrah, maka berhijrahlah.

Di sini lahirnya sebuah cinta.........







No comments: