Gambar ihsan: Owner
Assalamualaikum......
Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri satu bengkel mencetak baju yang dikendalikan oleh salah seorang pensyarah di sini. Bengkel bertujuan mendedahkan pelajar kepada satu lagi cabang perniagaan yang menguntungkan selain bidang fotografi seperti yang didedahkan menerusi seminar sebelum ini.
Banyak yang dipelajari dalam bengkel kali ini. Antaranya kaedah serta kos yang terlibat dalam menghasilkan karya bercetak pada baju, mug, payung dan sebagainya. Turut diberitahu DOs and DON'Ts dalam menghasilkannya. Mungkin kerana belum punya rekaan corak sendiri dan baru belajar, maka sampel pertama dihasilkan dengan mengambil foto daripada sumber sendiri atau internet.
Sebagai permulaan, pelajar diminta menghasilkan bahan yang akan dicetak dalam perisian Adobe Photoshop dengan tetapan saiz A4 (8' x 12') dengan kualiti maksimum (12). Foto yang diimport ke perisian ini adalah bersaiz melebihi 1000 x 1000 piksel. Ini kerana saiz yang lebih kecil daripada ini tidak akan memberikan hasil yang tajam dan keadaan piksel foto akan berpecah-pecah. Kemudian, ia disimpan dalam format JPEG. Foto JPEG ini kemudiannya dicetak di atas helaian pelekat khas bersaiz A4 (8' x 12'). Selesai dicetak, kami kemudian dibawa ke bengkel Work Art Shop terletak di tingkat bawah kolej, tempat bahan cetakan ini dihasilkan. Di sini setiap seorang diberikan sehelai baju-t kosong berwarna hitam untuk mencetak hasil. Bengkel Work Art Shop ini juga turut menerima tempahan daripada mana-mana individu juga pelajar untuk mencetak baju dan mug.
Proses mencetak pada sehelai baju hanya memakan masa kurang daripada 30 saat. Suhu untuk stamping baju adalah ditetapkan pada sekitar 177-178 darjah Celcius. Jika terkurang atau terlebih suhu, atau terkurang atau terlebih lama tempoh stamping, kesan cetakan pada baju mungkin tidak akan memuaskan, maka kawalan suhu yang tepat adalah sangat diperlukan.
Ini adalah kali pertama saya sertai bengkel sebegini. Inilah hasil saya yang pertama. Tidaklah terlalu cantik cuma cukup untuk membantu mempelajari perkara baru. Diharapkan di masa akan datang, saya berpeluang menghasilkan yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment