Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum....
Zaman persekolahan telah berlalu. Pada tahun 1999, bulan Ramadhan dilalui sedikit berbeza kerana kini tidak lagi berada di zaman persekolahan dan tidak juga sebagai pelajar universiti. Saya melaluinya sambil menunggu keputusan SPM yang akan diumumkan pada penghujung Mac 1999.
Berasa sedikit bebas kerana tidak perlu lagi memikirkan mengenai hal-hal di sekolah.
Sementara menantikan keputusan SPM dan masuk ke universiti, berbanding kawan-kawan yang memilih bekerja sementara, saya pula mengambil kursus jangka pendek selama 6 bulan. 3 bulan untuk kursus programming dan 3 bulan lagi untuk kursus membina laman web dan internet. Pada masa itu, internet masih baru dan tidak seperti sekarang. Berbagai perisian tersedia yang lebih memudahkan pengguna.
Tidak seperti di zaman persekolahan, suasana lepak di masjid juga terasa lain. Hanya budak-budak yang masih bersekolahan rendah yang kecoh dan bising bermain. Bunyi mercun sekali-sekala kedengaran. Saya dan kawan-kawan pula mula beralih melepak di tempat lain. Jika bukan di kedai runcit, kami akan berada di rumah kawan atau di kedai makan. Sambil duduk bersantai, kami akan menjamu selera. Adakalanya sambil membaca komik. Maklumlah, ketika itu adalah zaman komik seperti Dragon Ball, Dragon Quest, Yuyu Hakusho, Penyiasat Remaja Hajime Kindaichi dan banyak lagi sepertinya.
Biasanya kami akan duduk melepak sehingga orang pulang dari masjid. Kiranya jika pulang ke rumah, kelihatannya kami ini kononnya ke masjid juga seperti jemaah lain :-)
No comments:
Post a Comment