Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum....
Salam...Saban tahun apabila tiba bulan Ramadhan, usia juga turut meningkat remaja. Dari zaman kanak-kanak menganjak ke alam remaja. Di zaman kanak-kanak, saya dan kawan-kawan sekolah rendah berbuka puasa di masjid di taman perumahan kami di Negeri Sembilan. Apabila masuk ke sekolah menengah, ramai kawan sudah berpecah kerana masing-masing ke sekolah menengah yang berbeza. Semestinya setiap orang akan bertemu kawan-kawan baru dan melalui pengalaman baru.
Berpuasa di sekolah baru
Sekitar tahun 1994, tahun persekolahan bermula pada bulan Disember tahun sebelumnya. Maknanya sebulan sebelum masuk tahun baru. Seingat saya, bermula tahun 1997 tahun persekolahan bermula pada bulan Januari dan masih kekal begitu sehingga ke hari ini.
Saya memasuki Tingkatan 1 di MRSM pada tahun 1994. Asalnya bukanlah mahu ke sana, cuma sekadar ingin ke sekolah berasrama. Berikutan keputusan UPSR agak memuaskan, maka ayah saya pun menghantarkan permohonan ke MRSM kerana bekerja dengan MARA.
Jadual pembelajaran di sekolah berasrama tidaklah sama dengan sekolah biasa, begitu juga dengan kebebasan. Jadual agak teratur, sentiasa konsisten antara belajar dan bermain. Bezanya di bulan puasa kami tidak ke padang. Jam 5.00 hingga 6.30 petang dihabiskan dengan membasuh pakaian, membaca komik atau bersembang. Pada waktu itu, internet dan teknologi telefon bimbit belum ada lagi.
Di suatu petang Ramadhan, tatkala bersembang akhirnya terkeluarlah dari mulut kawan saya (baca: Syah) "Ada perempuan nama ..... kirim salam kat kau." Saya yang baru pertama kali mengalaminya cuma terpinga-pinga dan berasa 'blur' seketika. Adakah ini dinamakan suka atau cinta? Tidak tahulah saya bagaimana untuk menjelaskannya. Oleh kerana itu, sahabat saya ini menyuruh saya ke dewan makan awal sedikit daripada biasa untuk membolehkan saya melihat siapakah si empunya badan yang mengirim salam itu. Kami seluruh warga MRSM berkenaan berbuka puasa di dewan makan. Ketika turun ke dewan makan, baru beberapa orang pelajar yang ada, membantu menyediakan juadah di meja makan untuk homeroom masing-masing.
Sedang kami menyediakan juadah, datang beberapa orang pelajar perempuan membantu ahli homeroom masing-masing dan salah seorangnya membawa juadah ke meja bersebelahan dengan meja saya. Akhirnya dapatlah melihat wajah si empunya diri - comel, chinese look. Teg namanya menjelaskan segalanya :-) Dalam hati, hanya Allah yang tahu...
Meskipun di usia 13 tahun belum mengerti apa-apa mengenai topik 'suka' dan 'cinta', tetapi memadailah dengan pengalaman sebegini kerana ia membantu membuka sedikit minda agar membesar menjadi lebih dewasa.
No comments:
Post a Comment