MY FOLLOWERS

Friday, July 11, 2014

Ramadhan 2014 - Kesilapan Umat Islam di Bulan Ramadhan

Kredit kepada: Yahoo News
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum....




Beberapa kekurangan dan kesilapan yang dapat dilihat dalam amalan atau tindakan  umat Islam pada bulan Ramadan termasuklah:

1.    Tidak meneladani amalan umat Islam terdahulu dalam menyambut ketibaan Ramadan
Jika diamati, sambutan yang diberikan terhadap kedatangan Ramadan amat berbeza antara masyarakat Islam kini dengan umat Islam terdahulu.  Ibn Rajab al-Hanbali menyebut daripada Ma`la ibn al-Fadl, “Mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan supaya mereka ditemukan dengan Ramadan dan berdoa enam bulan lagi (selepas Ramadan) agar Allah menerima amalan mereka.” (Mohamad Noor Mohamad Endut, Ensiklopedia Ramadan, hlm. 82)

2.    Menyambut Ramadan tanpa memohon keampunan daripada Allah S.W.T.
Dr Mani` `Abdul Halim Mahmud mengatakan, “Terdapat tiga perkara penting yang mesti dilakukan oleh umat Islam sebagai persediaan penting sebelum kedatangan bulan penuh kemuliaan, iaitu Ramadan.

Pertama, taubat nasuha daripada sebarang dosa, kedua, berazam dan berjanji untuk tidak mengulangi dosa yang telah dilakukan itu, dan ketiga, berusaha untuk mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa agar dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Selain itu, usaha dilakukan bagi membersihkan diri dengan menggantikan akhlak buruk dengan akhlak terpuji dan mengukuhkan hubungan antara sesama umat Islam. Semua perkara ini memudahkan setiap Muslim mendekatkan diri kepada Allah dan menunaikan ibadah dengan penuh keikhlasan.” (Mohamad Noor Mohamad Endut, Ensiklopedia Ramadan, hlm. 88)

3.    Makan dan minum dengan bebas setelah puasa terbatal dengan sengaja
Sesiapa yang puasanya terbatal bukan disebabkan sebarang keuzuran yang diterima, iaitu melakukan sesuatu tindakan dengan sengaja misalnya makan dan minum, melakukan hubungan seksual, mengeluarkan air mani (al-istimna`), dan sebagainya, maka ia mesti menahan diri daripada  makan dan minum atau melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sepanjang hari berkenaan bagi menghormati bulan Ramadan.

Perkara ini disebut dalam Hadith yang berikut yang bermaksud, “Sesiapa yang telah makan hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu.” (Al-Bukhari)  Larangan tersebut merupakan denda terhadap individu tersebut kerana hukum bagi perbuatannya berbuka dengan sengaja ialah haram dan puasa yang terbatal dengan sengaja itu wajib diqada’ pada hari yang lain.

4.    Meninggalkan sama sekali amalan bersahur
Tindakan meninggalkan sahur adalah amat merugikan kerana amalan bersahur mempunyai banyak manfaat.  Antaranya termasuklah sahur dan makanan yang dimakan semasa bersahur dijamin keberkatannya oleh Allah s.w.t.

Perkara ini disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadith-hadith yang berikut yang bermaksud, “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan,” (al-Bukhari dan Muslim) dan “Hendaklah kamu bersahur, sesungguhnya sahur itu merupakan makanan yang diberkati.” (Al-Nasa’ie).  Hadith ini menegaskan bahawa makanan sahur memiliki keberkatan tersendiri yang hanya dapat dirasai oleh individu yang meyakininya dan sentiasa berusaha memelihara amalan bersahur kerana bertujuan menurut Sunnah Nabi S.A.W.

Keberkatan (barakah) merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana melaluinya kita akan memperoleh segala kebaikan.  Justeru, dalam apa juga perkara yang dilakukan dalam kehidupan, kita mesti berusaha mencari keberkatan.

Tiada gunanya kita memiliki sesuatu dalam kuantiti yang banyak, misalnya harta tetapi tiada keberkatannya. Sebaliknya, adalah lebih bermakna sekiranya harta yang dimiliki sedikit namun ada keberkatannya. Merujuk khusus kepada ibadah puasa, sahur menyalurkan keberkatan kepada ibadah yang dilaksanakan sepanjang hari dan juga dalam kehidupan secara umumnya.

Selain sumber untuk mendapatkan keberkatan, sahur juga berperanan menyediakan tenaga dan kekuatan fizikal kepada umat Islam. Kekuatan fizikal dan kecergasan amat diperlukan bagi melaksanakan ibadah puasa dan aktiviti seharian.

Hal ini penting khususnya bagi membuktikan bahawa umat Islam tidak menjadi lemah sehingga menimbulkan fitnah terhadap ibadah yang dilaksanakan. Bahkan sebaliknya mereka menjadi individu yang amat produktif dan aktif dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang dipikul.

Dalam sebuah Hadith, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu memohon bantuan dengan makanan sahur bagi (memberikan kekuatan untuk) berpuasa pada siang hari.” (Al-Hakim)

5.    Memilih untuk bersahur pada waktu tengah malam
Bersesuaian dengan maksud sahur (sahr) itu sendiri yang merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam, maka bersahur disunatkan pada waktu-waktu tersebut berbanding dengan waktu yang jauh lebih awal daripadanya.

Dengan kata-kata lain, bersahur terlalu awal bukan sesuatu yang digalakkan, apatah lagi disebabkan perasaan malas untuk bangun pada sepertiga atau akhir malam.  Tindakan ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. kerana Baginda sendiri melewatkan sahur Baginda sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuknya waktu subuh. Baginda berhenti bersahur dengan tujuan untuk bersiap sedia mendirikan Solat Subuh.

Sekiranya seseorang terlewat bangun dan waktu bersahur masih berbaki, ia masih boleh bersahur sehinggalah terbitnya fajar sadiq, iaitu waktu subuh.  Waktu imsak yang ditetapkan bukan menunjukkan tamatnya waktu bersahur tetapi sebagai peringatan bahawa waktu bersahur sudah hampir tamat.
 
6.    Tidak memanfaatkan waktu bersahur untuk beribadah dan beristighfar
Sebahagian besar umat Islam hanya bangun pada waktu sahur semata-mata untuk makan dan minum sahaja sedangkan waktu sepertiga akhir malam itu merupakan saat-saat terbaik untuk melaksanakan ibadah atau amal salih serta waktu mustajab untuk berdoa serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. memuji amalan mulia golongan bertaqwa melalui firman-Nya, “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”  (Surah al-Zariyat 51 : 18).  Perkara yang sama dinyatakan dalam ayat 17, Surah Ali `Imran.  Sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasai’e menyebut bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi (maksudnya), “Wahai Rasulullah, pada waktu bilakah doa paling didengari (Allah s.w.t.)?”  Nabi bersabda, “Pada penghujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.”

7.    Kurang berdoa ketika berpuasa dan berbuka
Sebagaimana yang dimaklumi, Allah s.w.t. amat mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa mempamerkan sifat kehambaan mereka, iaitu dengan berdoa dan memohon kepada-Nya.  Allah s.w.t. juga menegaskan bahawa Dia Maha Mendengar dan pasti memperkenan doa mereka (Surah al-Baqarah 2 : 186), iaitu sekiranya doa yang dipohon itu memenuhi syarat serta adab-adabnya.  Ramadan yang membawa limpahan rahmat kepada umat Islam seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memohon keampunan, kesejahteraan, kelapangan, dan apa juga yang dihajati kepada Allah s.w.t. Hal ini lebih-lebih lagi pada waktu-waktu yang mustajab, iaitu ketika hendak berbuka.  Perkara ini ditegaskan dalam sebuah Hadith yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa kelebihan bahawa doanya tidak akan ditolak ketika ia berbuka (atau hampir berbuka).” (Ibn Majah)

8.    Kurang memberi perhatian terhadap pemilihan makanan semasa berbuka dan bersahur
Kita umumnya menyedari tanggungjawab untuk memilih makanan yang halal dan baik atau berkhasiat, sama ada ketika berbuka mahupun bersahur
Hal berkenaan bertujuan memastikan ibadah yang dilaksanakan bukan sahaja diterima oleh Allah s.w.t. tetapi juga dapat memulihkan, mengekalkan, serta meningkatkan kesihatan.  Sebagaimana disyorkan oleh Nabi s.a.w. dan merupakan sunnah yang perlu diikuti, kurma perlu dijadikan makanan berbuka atau jika tiada, memadai dengan air kosong.

Sebagaimana sering diperkatakan, kandungan gula ringkas dalam kurma yang sangat tinggi membolehkan tenaga diserap dengan pantas oleh tubuh.  Selain itu, kurma juga mengandungi protein, serat, vitamin A dan C, serta zat mineral yang semuanya baik lagi berkhasiat untuk tubuh.  Berbuka dengan memilih makanan yang baik dan berkhasiat serta dalam kuantiti sederhana, penting bagi mendapatkan tenaga untuk beribadah dengan sempurna pada malam hari.

Demikian juga ketika bersahur.  Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik sahur orang Mu’min ialah tamar.” (Abu Daud, Ibn Hibban, dan al-Baihaqi).  Di samping kurma, kita juga digalakkan supaya mengambil makanan yang lambat dihadam pada waktu sahur bagi membantu mengekalkan tenaga untuk jangka masa yang panjang. Makanan lambat dihadam ini merupakan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

Antaranya termasuklah bijirin penuh seperti beras basmathi, beras perang, oat, barli, dan sebagainya; makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan buah-buahan kering; dan kekacang seperti kacang dal.

Seterusnya kita juga digalakkan untuk mengambil makanan yang mengandungi protein seperti ikan, ayam, daging, telur atau tauhu. Sementara minuman pula, kita digalakkan untuk meminum air kosong secukupnya atau susu dan jus buah-buahan. Pemilihan makanan yang tidak baik atau memudaratkan kesihatan sepanjang Ramadan sebaliknya mendedahkan individu yang berpuasa kepada penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

9.    Mengabaikan Solat Subuh dan mengutamakan Solat Tarawih
Tindakan mengabaikan solat fardu dan sebaliknya mengutamakan solat sunat jelas merupakan kecuaian besar dan amat wajar dibetulkan. Seharusnya solat fardu itulah yang lebih diutamakan kerana ia dituntut untuk dilaksanakan oleh setiap Muslim. Sebagaimana diketahui, solat fardu merupakan kewajipan yang mesti dilaksanakan. 

Sekiranya kita menunaikannya, maka kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan, kita akan menanggung dosa. Namun bagi perkara atau amalan sunat, sekiranya ia dilaksanakan, kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan, tidak menyebabkan kita menanggung dosa. Kelebihan besar yang ada pada solat fardu yang ditunaikan secara berjemaah juga sering diabaikan oleh umat Islam.

Justeru, kita dapat melihat masjid dan surau dipenuhi jemaah ketika Solat (sunat) Tarawih namun masjid dan surau lengang ketika Solat Subuh sedangkan Nabi s.a.w. menyebut dalam Hadith Baginda bahawa individu yang mendirikannya secara berjemaah memperoleh pahala menghidupkan seluruh waktu malam.

10.    Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat fardu
Ini merupakan kesilapan yang sangat besar dan memerlukan tindakan pembetulan, iaitu melalui nasihat serta teguran kepada individu yang melakukannya. Solat merupakan rukun Islam kedua dan tiang agama yang mesti dipelihara. Perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja menyebabkan keislaman seseorang tidak lengkap. Jika dibaratkan sebagai rumah, maka keadaannya senget atau tidak stabil.  Berhubung dengan ibadah puasanya, Allah jualah yang menentukan nilainya.
 
11.    Kurang cergas atau produktif dalam melaksanakan tugas
Ibadah puasa yang dilaksanakan seharusnya menjadi pendorong utama pelaksanaan tugas seharian dengan penuh amanah, cemerlang, dan lebih produktif. Hal ini disebabkan ibadah puasa memupuk dan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pengawasan Allah s.w.t. terhadap setiap gerak-gerinya (ihsan). Selain itu, umat Islam juga perlu menjadikan penglibatan Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda dalam beberapa buah peperangan pada bulan Ramadan sebagai sumber dorongan dan motivasi.

12.    Melakukan pembaziran wang, makanan dan masa
Pembaziran wang, makanan, masa dan apa juga perkara merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama Islam.  Al-Qur’an memberikan amaran keras terhadap sikap keji ini dan menjadikan orang yang boros sebagai saudara syaitan yang kufur kepada Allah S.W.T. (Surah al-Isra’ 17 : 26-27).

Meskipun menyedari kewajipan bertindak menurut semangat dan tarbiyah Ramadan, namun malangnya sebahagian besar umat Islam kelihatan sering melakukan pembaziran wang, makanan, dan masa.  Misalnya ketika memperuntukkan masa dan membeli makanan serta barang-barang lain di pasar atau bazar, sepanjang Ramadan sehinggalah ketika hampir menyambut kedatangan Syawal.


KLIK SINI untuk ke pautan berkaitan.

No comments: