Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum....
Bulan Syawal belum melabuhkan tirai lagi. Jadi, saya masih berpeluang berceloteh mengenai pengalaman berpuasa sejak di zaman remaja dan persekolahan.
Berita baik di bulan Ramadhan
Kalau tidak silap, pada Disember 1995 ada diumumkan bahawa sesi persekolahan akan bermula pada bulan Januari mulai tahun berikutnya. Jadi kerajaan memberikan cuti persekolahan selama 2 minggu pada bulan Disember tahun itu (1995). Sebelum itu, semua sesi persekolahan baru bermula setiap bulan Disember. Maknanya cuti persekolahan akhir tahun adalah pada sepanjang bulan November.
Sememangnya ini adalah berita gembira buat kami, tapi kami terpaksa melalui sesi persekolahan seperti biasa. Ya, kawan-kawan di sekolah lain sedang bercuti dan itu agak mengecewakan. Kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan MRSM bukannya cuti itu tidak diambil tetapi dianjak ke cuti Aidilfitri yang ketika itu jatuh sekitar bulan Februari. Agak hampir dengan cuti Tahun Baru Cina. Lagilah bagus, kerana cuti perayaan itu pun sudah seminggu lebih ditambah pula 2 minggu yang dianjak menjadikan kami seakan bercuti lama. Kami juga tidak kalut untuk berebut bas bersama pelajar-pelajar sekolah lain. Seronok bukan main!
Malam sebelum pulang bercuti ke rumah di Seremban, pihak asrama dengan berbesar hati mengajak semua penghuni asrama meraikannya dengan bunga api dan mercun di halaman asrama.
Balik beraya awal
Sejurus pulang dan menemui rakan-rakan lama di masjid, ramai juga yang terkejut kerana balik beraya agak awal. Pada masa itu, manalah tahu yang cuti begitu boleh dianjak-anjak atau ditolak ke sana sini. Seronok bila tiba waktu berbuka. Dapatlah melepaskan rindu berbuka di masjid bersama kawan-kawan lagi. Bila waktu pagi sehinggalah sebelum berbuka sedikit membosankan kerana kawan-kawan lain pula bersekolah seperti biasa sebelum bercuti Hari Raya dan Tahun Baru Cina.
Seperti biasa, bila melepak bersama kawan-kawan, ada juga bertanya khabar dan bagaimana dengan pembelajaran di sekolah. Soalan yang kerap ditanya, "Periksa dapat nombor berapa?" dan saya akan kata "Tak ada nombor..." Kawan semua tidak faham, hanya terdiam. yelah, mereka di sekolah biasa mestilah tidak faham sistem pemarkahan MRSM. Ditanya lagi, "Kenapa kau cuti awal?" Saya membalas, "Cuti bulan 12 hari tu dibawa ke sini. Jadi aku cuti lama la." Memang terasa seperti hujung tahun pun ada.
Duit raya
Balik kampung ke pantai timur semenanjung menjadi kemestian. Adat orang di negeri bukan pantai timur, beraya sebulan. Maka selepas pulang dari beraya di kampung, masih ramai yang beraya sakan dengan rumah terbuka di sana sini. Buat seketika, kesempatan hujung minggu digunakan untuk beraya di rumah jiran-jiran dan kawan-kawan. Pemberian duit raya pula bukan sedikit, tapi ada kawan-kawan yang mendapatnya sehingga ratusan ringgit. Saya kehairanan, mengapa begitu? Kerana saya sendiri tidak pernah sekali pun mendapat melebihi RM20. Itupun dikira-kira. Bagaimana mereka boleh dapat sebanyak itu? Adakah beraya ke semua rumah di taman perumahan ini yang berjumlah beratus-ratus rumah? Mana mungkin..Hairan..
Saya tidak pernah mendapat jawapannya. Saya sentiasa kecewa bila ada yang tanya berapa banyak duit raya saya dapat. Dengan jumlah yang dapat hanya sebanyak itu, apa pun tak boleh beli. Simpan dalam tabung sahajalah jawabnya. Kawan-kawan pula, dengan duit sebanyak itu barangkali sudah digunakan membeli kasut, baju, katrij permainan video, macam-macam lagi. Saya hanya memerhati, diam tidak terkata, kempunan juga. Adakalanya mahu menangis, cemburu kerana tidak dapat merasa dan mendapat apa yang mereka dapat.
Akhirnya dapat juga merasa dapat banyak duit raya .....
Pada tahun 2009 alhamdulillah, dapat juga merasa duit raya dalam jumlah yang besar buat pertama kali. Rezeki anak la katakan. Berusia belum sampai sebulan waktu itu, ramailah yang datang menghulur. Bila dikira, hanya sedikit sahaja lagi untuk mendapat duit raya empat angka! Bersyukur juga, kerana dalam keadaan ekonomi dan kerja yang tidak menentu ini masih ada lagi yang sudi membantu. Setidak-tidaknya meringankan sedikit bebanan untuk membeli barang-barang yang diperlukan.
No comments:
Post a Comment