MY FOLLOWERS

Sunday, May 11, 2014

Sekadar Luahan - Catatan Perjalanan Tganu-Penang 6-9.5.2014: Day I

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner


Assalamualaikum.....

Hari pertama: 7.5.2014

Sebelum ini penulis ada menulis catatan perjalanan dari Terengganu ke Kedah bagi menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara serta sedikit cabaran yang dhadapi, cuma tidak berpeluang merakamkan foto berikutan bertindak sebagai pemandu yang berkonvoi bersama kenderaan saudara-mara yang lain. Foto dirakamkan hanya ketika berhenti di homestay dan di majlis perkahwinan. 

Kali ini berpeluang sekali lagi ke utara Semenanjung, sebagai peserta rombongan ke negeri pulau mutiara, Pulau Pinang. Rombongan kali ini adalah bersama para penuntut semester akhir jurusan Lukisan Senibina dari Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT). Tidak tergambar keterujaan masing-masing apabila mendengar sahaja berita ini daripada mulut tenaga pengajarnya sendiri. Masakan tidak, semua projek berkaitan sudah disiapkan dan rancangan percutian yang sudah lama tertangguh ini akhirnya terlaksana juga.





Suasana pagi yang damai dan menyegarkan




Percutian ini sebenarnya sudah dirancang oleh pihak kolej agak lama, kira-kira setahun yang lepas tetapi tidak terlaksana berikutan terdapat sedikit kekangan bajet dan keperluan memberi laluan kepada menyiapkan projek milik kerajaan negeri dan yang lain-lainnya yang lebih penting terlebih dahulu. Rombongan percutian ini disertai oleh 20 orang penuntut dan 3 orang tenaga pengajar. Rombongan ini berkumpul di hadapan kolej sebelum bertolak ke Pulau Pinang sekitar jam 8.30 malam. Perjalanan melalui Tepuh dan terus melalui kawasan Sungai Tong, dan melalui kawasan UiTM Machang, Kelantan. Rombongan tiba di Masjid Negeri Pulau Pinang bersebelahan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) sekitar jam 6.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersolat sebelum bersarapan. Sekitar jam 7.15 pagi kami semua kemudiannya bersarapan di kafe berdekatan masjid ini yang turut menempatkan sebuah sekolah. Kami kemudian ke Bukit Bendera jam 8 pagi. 




Rombongan pelajar bersama pensyarah









Untuk naik ke Jalan Tuanku Yahya Petra di atas bukit berkenaan, perlu menggunakan perkhidmatan keretapi yang disediakan. Bagi sebilangan kami yang baru pertama kali naik ke atas Bukit Bendera ini, teruja juga rasanya terutama apabila menaiki keretapi bukit dengan kecondongan sekitar 45-50 darjah. Sambil menanti tiba di lokasi, sempat juga merakamkan beberapa foto pemandangan sekitar Pulau Pinang. Lokasi pertama kami berada pada ketinggian 712 meter dari paras laut, seperti yang ditunjukkan pada papan tanda yang disediakan.  






Sekitar jam 10 pagi, kami semua ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk berjalan-jalan sambil membeli beberapa keperluan di tapak pasar pagi berdekatan. Bukanlah gayat sangat cuma agak gembira sebab sudah lama tidak datang ke sini sejak tamat pengajian di negeri ini tahun 2002 yang lalu. Pembangunan seperti tidak sedikit pun menjejaskan identiti negeri ini yang juga kaya dengan warisan sejarah sejak zaman penjajahan British suatu ketika dahulu. Sepanjang dalam perjalanan, dapat dilihat di mana-mana, unsur kolonial pada bangunan lama masih ada. Bangunan baru pula turut menerapkan serba sedikit ciri kolonial pada beberapa bahagian binaannya. Antaranya salah satu restoran McDonald's di sini yang dibina dengan ciri bangunan kolonial dan bertulis 'Birch House'. 

Di pasar, bukan setakat menjual barangan harian pada harga lebih murah secara longgok, tetapi juga barangan lama dan berbeza berbanding apa yang dijual di pasar di Terengganu. Antaranya seterika lama, pemain piring hitam lama, permainan video lama zaman Micro Genius, pinggan mangkuk lama, barang perhiasan, telefon bimbit lama, cermin mata, serta kamera digital. Sekitar jam 12.00 tengahari barulah kami mendaftar masuk ke hotel bajet yang telah ditempah oleh pihak hotel iaitu Hotel Farin. Hotel ini adalah di Jalan Aziz Ibrahim berdekatan dengan laluan flyover dan terminal perhentian bas di seberang jalan. Sebilik memuatkan 3 orang dengan kemudahan penyaman udara dan tv. 




Di samping barangan keperluan sedia ada, barangan lama turut dijual
 

Sebelah petang, rombongan dibawa pula ke Kompleks Bukit Jambul. Kali ini, kumpulan rombongan kami sudah berpecah menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan menghala ke restoran makanan segera dan kumpulan kami ke tingkat atas sambil melihat-lihat kedai yang menjual pakaian, cenderahati serta telefon bimbit. Berjalan-jalan ke sini bukan setakat untuk makan angin, kami juga berpeluang untuk membeli pakaian serta melawat ke Pesta Buku Habibi yang diadakan di sini dari 18.4.2014 hingga 18.5.2014. Tidak lengkap jika tidak datang ke negeri ini kalau tidak ke restoran nasi kandar. Dengan perut yang sudah memanggil-manggil, kami terus sahaja ke restoran di hujung blok berhadapan kompleks membeli belah ini dan berhadapan dengan stesen minyak Petron. 

Kami akhiri hari pertama percutian ini dengan beristirehat dan aktiviti sendiri pada sebelah malam. Makan minum adalah atas perbelanjaan sendiri terlebih dahulu sebelum pihak kolej melunaskannya dengan memasukkan jumlah ke dalam akaun masing-masing seperti ditetapkan.

No comments: