Kredit kepada: KOL
Gambar ihsan:Yahoo Images
Assalamualaikum....
Nota penulis:
Saya tidak menemui sumber URL asal artikel ini yang pernah disiarkan di sebuah forum sebelum ini beserta maklum balasnya. Namun kisah ini sempat juga saya ambil kerana mempunyai pengajaran tersendiri. Harap maklum...
Satu perkara yang menjadi pengajaran buat Ura dan suami. Walau macam mana moden pun pemikiran kita, dengar kata orang tua-tua. Anak sekecil Umairah tidak boleh dibawa ke hulu ke hilir tanpa pelindung. Lebih-lebih lagi ke tempat-tempat yang baru diteroka (Batu Pahat Wetworld) dan waktu-waktu samar cahaya (hampir ke waktu maghrib). Bagusnya bagi kita yang tua, tapi si kecil masih terlalu mentah untuk menangkis anasir-anasir tersebut. Buat ibu-ibu dan bapa-bapa muda, lebih-lebih lagi mereka yang baru mendapat cahayamata pertama. Ambillah cerita Ura ini sebagai pengajaran.
Sebulan yang lepas Ura diduga dengan kerenah si kecil Umairah yang tidak kerasan tidur tengah malam. Setiap malam, seawal 12.30 tengah malam si kecil akan terjaga minta dikelon dan diagah. Tidak seperti bayi-bayi seusianya, si Umairah semakin kurus dan cengkung terutama disekitar matanya. Susu formula yang diberi, dibuang semula. Tidak pula air masak yang ditogok bagai tidak diberi minum setahun. Dalam sibuk tertanya-tanya kenapa si kecil ini begitu tahan matanya walau tidak tidur sepincing pun sehingga malam menginjak subuh. Tidak dilayan, merengek dan kadang-kadang meraung. Dilayan nanti pakat tertidur depan komputer Ura di pejabat. Terkadang, ketika badan terlalu letih dan mata mengantuk, suami yang menjadi mangsa. Hampir 3 minggu si kecil berkeadaan begitu, sehingga seorang bapa saudara Ura dari Negeri Sembilan datang menjenguk.
Katanya Umairah ini tidak seperti si kecil seangkatannya. Mukanya seperti orang perempuan dewasa. Lucu benar Ura mendengarnya. Anakku yang comel dikatakan perempuan dewasa. Diminta ikut balik ke kampung, ubat-ubatkan katanya. Jangan dibiarkan. Kerana pengaruh kemodenan yang kurang mempercayai pengaruh tangkal dan air jampi, Ura biarkan saja kata-kata nasihat bapa saudara. Seperti mencurah air ke daun keladi, kata-kata tadi Ura tidak endahkan. Sehinggalah minggu berikutnya, ibu Ura dari Kota Tinggi datang dan paksa Ura bawakan si kecil menjenguk moyangnya. Katanya takut usia si moyang yang semakin meningkat, kempunan pula nak tengok si cicit yang comel. Mengalah dengan pujukan ibu, walau hari Sabtu tersebut Ura bekerja separuh hari. Sampai di Segamat, kata ibu, terlanjur sudah dekat marilah menjengah seorang saudara di kampung berdekatan. Tanpa mengesyaki apa-apa, Ura dan suami turutkan juga. Rupanya saudara yang ibu maksudkan itu, orang mengubat. Senyap-senyap tanpa pengetahuan Ura dan suami, si budiman memulihkan Umairah.
Bermalam sehari di rumah moyangnya, Umairah pun dibawa balik ke rumah. Setibanya di rumah, ibu Ura memandikan si kecil dengan sebiji limau nipis. Terdetik dihati kenapa. Tapi seperti dikunci, tidak terkeluar apa-apa pertanyaan pun dari mulut Ura. Selepas dimandikan dan dipakaikan pakaian, si ibu melumurkan si kecil dengan minyak kelapa yang berbau harum (minyak kelapa yang dibuat sendiri) yang dicampur dengan bawang merah dan lada hitam.
Tiba-tiba bila urutan tersebut mencecah ke lutut Umairah, si kecil memekik bagai suara perempuan dewasa. Ya Allah, kenapa dengan anakku ini?! Lama sungguh dia memekik sambil merenung tajam si nenek. Akhirnya selepas 20 minit, si kecil terkulai layu atas pangkuan ayahnya. Apa yang tak kena? Menurut ibu, si kecil ditumpang oleh seorang perempuan yang ikut ayahnya balik. Hah! boleh macam tu? Dalam hati masih 50-50 untuk percaya. Tapi melihatkan si kecil yang kelesuan seorang lepas bertarung, sedikit kepercayaan menyelinap dalam hati.
Selama 3 hari berturut-turut si kecil dimandikan dengan limau nipis tersebut. Urutan minyak kelapa tersebut amat menyiksakan Ura. Tidak tahan naluri keibuan melihat si kecil lesu selepas bertarung menghalau si penumpang. Sehingga sampai ke satu tahap Ura minta si penumpang ambil saja suami yang dikejar-kejar itu. Sekarang Umairah sudah kembali tersenyum. Susu pun tidak ditolak lagi. Tidur malamnya juga sudah lena beralaskan bantal busuknya. Satu perkara yang menjadi pengajaran buat Ura dan suami, walau macam mana moden pun pemikiran kita, dengar kata orang tua-tua. Anak sekecil Umairah tidak boleh dibawa ke hulu ke hilir tanpa pelindung. Lebih-lebih lagi ke tempat-tempat yang baru diteroka (Batu Pahat Wetworld) dan waktu-waktu samar cahaya (dekat-dekat nak maghrib). Memanglah bagus untuk kita yang tua, tapi si kecil masih terlalu mentah untuk menangkis anasir-anasir tersebut.
Buat ibu-ibu dan bapa-bapa muda, lebih-lebih lagi mereka yang baru mendapat cahaya mata pertama. Ambillah cerita Ura ini sebagai pengajaran. Kepada rakan-rakan yang selalu mengambil tahu, terima kasih Ura ucapkan.
No comments:
Post a Comment