Kredit kepada: Telordibasuh, Blog 1, Blog 2
Gambar ihsan: Yahoo Images, Quran.com, Owned
Assalamualaikum...
Asalnya, mendapat idea menulis entri ini setelah melihat entri DI SINI. Menarik juga, walaupun sekadar gambar. Mungkin begitulah juga rupa kita seandainya ditakdirkan Allah s.w.t. untuk sampai ke usia itu. Bila? Siapa akan hidup selama itu? Wallahualam.. itu rahsia Allah belaka.
Bagi umat Islam, bukanlah sesuatu yang pelik bila dikatakan ada di kalangan umat manusia yang pernah hidup melebihi usia 100 tahun. Di zaman awal kewujudan manusia seawal Nabi Adam a.s., lumrahnya ada yang hidup melebihi 1000 tahun.
Kita adalah umat Nabi s.a.w. yang hidup di akhir zaman. Kebiasaannya akan sampai pada umur 60 atau 70 tahun. Yang berumur panjang pun mungkin ada sampai setakat 80 atau 90 tahun tetapi tidak ramai dan jarang sekali yang akan mencecah usia 100 tahun. Bukan bermaksud tiada langsung yang akan mencecah usia ini. Ini sebagaimana yang dikhabarkan menerusi hadis:
"Umur umatku berkisar antara 60-70 tahun. Sangat sedikit di antara mereka yang umurnya melampaui kisaran itu." - Hadis Riwayat At-Tirmidzi 3550, Ibnu Hibban 7/246 dan Ibnu Majah 4236, shahih
Pun begitu, harus diingat, bukan semestinya kita akan hidup selama 60 atau 70 tahun itu, kerana kita tidak tahu bilakah nyawa akan diambil. Sebab itulah, jika diperhatikan daripada apa yang berlaku di sekeliling kita saban hari, ada yang meninggal dunia ketika di usia muda. Segalanya adalah rahsia Allah s.w.t. dan sebagaimana yang telah ditentukanNya. Kita boleh berdoa memohon semoga dipanjangkan usia bagi tujuan menambah pahala ibadat namun masih tiada siapa pun yang dapat menukarkan apa yang dikehendakiNya. Usah disebut apa sebab-sebabnya kematian berkenaan kerana di sini hanya ingin menyentuh mengenai usia secara umum.
Allah berfirman: "Maka bila telah datang ajal, mereka tidak dapat menundanya barang sesaat pun dan tidak pula memajukannya." - Surah al-A'raf: ayat 34
Ketika di usia emas ini, ramai sudah sanak saudara, anak-pinak mahupun sahabat handai yang sudah lama pergi meninggalkan kita. Yang ada dan jika kita masih sempat bersama mereka adalah cucu cicit dan generasi baru. Mungkin kita sendiri sudah tidak mampu lagi mengingat banyak perkara, apatah lagi mampu bekerja berat. Jadi, jika masih ada yang berumur panjang, apakah yang perlu diisi dalam usia itu? Pendapat penulis, sebaiknya diisi waktu ini dengan amal ibadat selain mengajar generasi muda segala ilmu yang bermanfaat lebih-lebih lagi ilmu agama serta memperbanyakkan bersedekah. Bukan sahaja sebagai kesinambungan dalam perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri, malah juga sebagai saluran supaya kita terus mendapat pahala sehinggalah sesudah mati. Ini sebagaimana dinyatakan dalam satu hadis:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." - Hadis Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya
Wallahualam ...
No comments:
Post a Comment