Kredit kepada: Blog Doodles, Unspoken Words
Gambar ihsan: Blog Doodles
Assalamualaikum.....
Saya sendiri ada pengalaman dengan syarikat seperti ini. Pada masa itu, baru habis belajar dan masih mencari kerja. Bermacam tempat saya mohon termasuklah syarikat insurans sebab pada masa itu memang tidak tahu pun apa maksud jawatan seperti penasihat kewangan, financial advisor, eksekutif kewangan, atau seumpamanya. Yang pasti ia dikendalikan oleh pegawai bank yang khas dalam insurans dan yang ini sememangnya bukanlah penipuan sebab ia memang temuduga terbuka untuk menjadi ejen insurans.
Yang menjadi masalah, bila ada syarikat yang entah apa namanya memanggil temuduga tetapi tunjukkan pelan pemasaran seperti MLM dengan janji yang besar terlajak untuk beri keretalah, melanconglah, dan kemudahan semewahnya. Terfikir juga, terasa hairan sebab macam mana syarikat dengan pejabat pun sewa entah dengan siapa, tiada ramai pekerja, tiada uniform khusus, tiba-tiba boleh janji untuk beri ganjaran sebanyak itu. Dari segi kewangan, kalau difikirkan, memang mustahil dan tidak masuk akal. Produk dijual pun tidak tahu. Modal pun tidak tahu. Alih-alih, suruh dapatkan sesiapa untuk labur dengan syarikat minimum USD$5000. Tidak ingat jumlahnya berapa tetapi memang dalam USD. Nama syarikat ini pun saya tidak tahu, kalau tahu pun entah berdaftar entah tidak. Lagi haru! Siapa nak?!
Pengalaman kali kedua, ramai-ramai disuruh masuk dalam bilik dan duduk macam dalam kelas. Kemudian datang seorang dan bersyarah tentang perihal saham dan masing-masing kena cuba buat mock trading di komputer disediakan. Kononnya macam remiser saham yang betul-betul. Hasil daripada sembang-sembang dengan beberapa individu lain yang bersama ketika itu, nampak sangatlah syarikat ini pun macam menipu, macam pengalaman yang pertama dahulu. Dengan bank mana terlibat, bagaimana urusniaga, mana borang rasmi untuk pelabur, pun semuanya tidak tahu. Buatnya ada yang percaya hingga serahkan duit berjumlah ratusan ribu ringgit, alamatnya masuk jerat, maka hilanglah duit itu entah ke mana. Silap-silap, kita juga termakan duit tidak berkat! Akhirnya selepas dua hari, saya tinggalkan sahaja syarikat ini dan terus mencari kerja lain.
Beberapa tahun sudah berlalu, namun penipuan ini masih berjalan dengan bermacam taktik digunakan untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa sambil boleh terus menipu orang ramai. Tidak cukup dengan penipuan Awang Hitam yang entah kali ke berapa, yang versi tempatan pun sama juga. Sentiasa ada pihak mencari jalan untuk menipu dan terus menipu.
Yang ini adalah dipos ke laman Facebook tetapi artikel itu daripada tahun 2014. Lagi teruk, bila yang ini siap tukar nama syarikat berkali-kali. Anda boleh klik pada pautan disediakan untuk selanjutnya dan baca sekali pengalaman-pengalaman orang yang pernah terkena di ruangan komennya.
No comments:
Post a Comment