MY FOLLOWERS

Wednesday, November 4, 2015

Kesihatan - Katarak

Kredit kepada:  
National Eye Institute (NEI), All About Vision, Wikipedia, Mayoclinic, American Optometric Association (AOA), Get Eye Smart, WebMD
Gambar ihsan:Google Images


Assalamualaikum.....




Apa itu katarak?

Katarak ialah sejenis selaput seperti awan yang melindungi lensa mata yang mengaburi pandangan seseorang individu, kebanyakan kes dikaitkan dengan faktor usia dan biasa wujud di kalangan warga tua. Katarak boleh wujud pada sebelah atau kedua belah mata. Ia tidak merebak dari sebelah mata ke sebelah lagi.    (1)

Lensa mata ialah bahagian yang lutsinar pada mata yang membantu memfokus cahaya atau imej pada retina. Retina ialah tisu sensitif cahaya terletak pada belakang mata.    (1)

Pada mata yang normal, cahaya akan melalui bahagian lutsinar pada retina mata. Apabila ia sampai ke retina, cahaya akan ditukar kepada isyarat saraf dan dihantar ke otak. Lensa mestilah tiada gangguan untuk membolehkan retina menerima imej yang tajam dan jelas. Jika ia diselaputi katarak, imej yang sampai akan kelihatan kabur dan akan mengganggu penglihatan seseorang.    (1)

Katarak paling biasa menyebabkan hilang penglihatan di kalangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan menjadi punca utama kebutaan di dunia. Menurut pihak Prevent Blindness America (PBA), terdapat banyak kes katarak di seluruh dunia berbanding glaukoma, kemerosotan makular dan masalah retinopati diabetik.  (2)

Menurutnya lagi, hari ini katarak dialami oleh lebih 12 juta penduduk Amerika berumur 40 tahun ke atas. Dengan usia populasi semakin meningkat di Amerika Syarikat sahaja, dijangkakan lebih 30 juta rakyatnya akan menghidap katarak menjelang tahun 2020.   (2)

Sekitar 20 juta orang secara global menjadi buta akibat katarak. Ia adalah punca 5% masalah kebutaan di Amerika Syarikat dan hampir 60% di sebahagian Afrika dan Amerika Selatan. Kebutaan akibat katarak berlaku antara 10 hingga 40 per 100,000 di kalangan kanak-kanak di negara membangun dan antara 1 hingga 4 per 100,000 kanak-kanak di negara maju. Katarak menjadi penyakit biasa selari dengan usia yang meningkat dan purata separuh warga Amerika Syarikat menghidap katarak menjelang usia 80 tahun.  (3)

Jenis-jenis katarak:
Katarak subkapsular - Terjadi di belakang lensa. Mereka yang menghidap diabetes atau mengambil ubatan steroid dalam dos tinggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat katarak jenis ini. 
Katarak nuklear - Terbentuk di bahagian dalam di nukleus lensa. Jenis ini biasanya dikaitkan dengan peningkatan usia.
Katarak kortikal - Kekaburan warna putih yang seperti menyendal dan bermula di pinggir lensa dan merebak ke tengah. Jenis ini terbentuk di bahagian korteks lensa yang mengelilingi tengah nukleus.   
(2)

Katarak sekunder - Jenis ini terbentuk selepas melalui sesi pembedahan mata akibat masalah yang lain seperti glaukoma. Katarak juga boleh terjadi berpunca daripada masalah kesihatan yang lain seperti diabetes. Ia juga adakalanya dikait dengan penggunaan bahan mengandungi steroid.

Katarak traumatik - Boleh terbentuk selepas sesuatu kecederaan mata, biasanya selepas beberapa tahun. 

Katarak kongenital - Biasanya terjadi di kalangan bayi baru lahir atau ketika mereka masih kanak-kanak, pada kedua-dua mata. Ia sangat kecil sehingga tidak mengganggu penglihatan. Jika berlaku, lensa mata perlu ditukar.

Katarak radiasi - Terjadi selepas terdedah kepada sesetengah jenis radiasi.   (1)


Apa punca katarak?

Lensa ada di belakang iris dan anak mata, berfungsi seperti lensa kamera. Ia menumpukan cahaya pada retina di belakang mata dan imej yang diterima direkodkan. Lensa akan membetulkan fokus pada mata yang membolehkan kita melihat dengan jelas sesuatu imej pada jarak dekat dan jauh. Lensa diperbuat daripada kebanyakan air dan protein. Protein diatur oleh sistem badan dalam jumlah yang tepat supaya lensa jelas dan membenarkan cahaya melaluinya.    (1)

Apabila usia meningkat, protein akan terkumpul dan mula mengaburi lensa mata yang membentuk katarak. Lebih lama dibiarkan, ia boleh membesar dan menutup keseluruhan lensa dan semakin menyukarkan pandangan.    (1)

Pengkaji mengesyaki ada beberapa punca berlaku katarak, seperti tabiat merokok dan diabetes. Boleh jadi juga protein dalam lensa berubah daripada menjadi haus dan air mata, ia mengambil masa bertahun-tahun.    (1)


Simptom dan Tanda

Ia bermula dengan saiz kecil dan mengaburi penglihatan sedikit demi sedikit. Pandangan akan nampak seperti berkabus, kabur, dan suram. Ia juga membuatkan cahaya dari lampu atau matahari nampak sangat terang dan menyilaukan. Kalau memandu pada waktu malam, mungkin cahaya dari kenderaan yang datang dari arah depan akan nampak sangat menyilaukan lebih daripada biasa.   (2)

Jenis katarak yang dihidapi akan mengikut simptom yang dialami dan berapa awal ia terjadi. Bila katarak nuklear terjadi, ia akan menyebabkan penglihatan menjadi semakin baik buat seketika bagi pandangan jarak dekat, dipanggil "second sight." Malangnya ia hanya untuk tempoh jangka pendek dan akan hilang bila katarak semakin merosot. Manakala katarak subkapsular tidak akan tunjukkan sebarang simptom hingga ia terjadi sepenuhnya.  (2)

Jika anda rasa anda menghidap katarak, sila jumpa doktor mata dengan segera untuk membuat pemeriksaan.   (2)


Apa punca katarak?

Lensa dalam mata berfungsi seperti lensa kamera, menumpukan cahaya pada retina untuk paparan imej lebih jelas. Ia juga membetulkan fokus yang membolehkan kita melihat untuk jarak dekat dan jauh. Lensa diperbuat daripada air dan protein. Protein disusun dengan cara yang tepat yang memastikan lensa jelas dan cahaya boleh melaluinya. Apabila usia meningkat, sebahagian protein akan terkumpul dan membentuk katarak. Semakin lama, ia akan membesar dan menutupi lensa seterusnya menyukarkan pandangan. Tiada siapa pun tahu dengan pasti mengapa lensa berubah apabila usia meningkat dan membentuk katarak. Pengkaji di seluruh dunia telah mengenalpasti beberapa faktor yang menyebabkannya terjadi atau dikaitkan dengan katarak. Selain umur, faktor risiko katarak termasuk: 


Radiasi ultraungu dari matahari dan sumber lain
  • Diabetes
  • Hipertensi
  • Obesiti
  • Tabiat merokok
  • Penggunaan ubatan kortikosteroid berpanjangan
  • Ubatan statin bagi mengurangkan kolesterol
  • Kecederaan mata yang terdahulu atau inflamasi
  • Pembedahan mata yang terdahulu
  • Terapi gantian hormon
  • Pengambilan alkohol berterusan
  • Myopia tinggi
  • Sejarah keturunan keluarga
(2)


Satu teori pembentukan katarak menyatakan bahawa kebanyakannya berpunca daripada perubahan oksidatif dalam lensa mata. Ini disokong oleh kajian nutrisi yang menunjukkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi antioksidan boleh membantu mencegah sesetengah jenis katarak.   (2)


Bagaimana ia mempengaruhi pandangan mata?

Katarak disebabkan usia boleh terjadi dengan dua cara:

1.  Pengumpulan protein akan mengurangkan ketajaman imej yang sampai pada retina mata.

Lensa dibentuk kebanyakannya daripada air dan protein. Apabila ada protein terkumpul pada retina, ia mengaburi lensa dan mengurangkan kadar cahaya yang masuk ke retina. Selaput ini akan mengaburi pandangan apabila ia menjadi sangat teruk. Kebanyakan kes katarak disebabkan usia terjadi akibat pengumpulan protein.    (1)

Apabila katarak sangat kecil, kekaburan hanya menjejaskan sebahagian kecil mata sehingga anda tidak akan perasan ada perubahan pada pandangan mata. Ia akan berkembang secara perlahan-lahan dan pandangan mata akan menjadi kabur juga secara perlahan-lahan. Dalam jangka masa panjang, kawasan kabur pada mata akan semakin besar dan saiz katarak juga akan semakin besar. Ketika itu, penglihatan akan semakin sukar dan pandangan akan merosot.    (1)


2.  Lensa bertukar warna menjadi kekuningan/kecoklatan menyebabkan ada tindihan warna coklat pada pandangan

Apabila lensa menjadi semakin berwarna akibat meningkatnya usia, pandangan mata akan dilapisi oleh warna kecoklatan. Pada mulanya, ia sangat kecil dan belum timbulkan masalah. Apabila ia semakin besar, ia akan menimbulkan kesukaran untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca dan kerja rumah yang lain. Perubahan secara perlahan pada lapisan ini tidak menjejaskan ketajaman imej yang diterima oleh retina.    (1)

Jika anda mengalami pengubahan warna, anda akan sukar mengenalpasti warna biru dan ungu. Anda mungkin akan keliru dengan warna pada pakaian dipakai sehingga ada yang tegur mengenainya.    (1)



Bila anda kemungkinan berpeluang menghidap katarak?

Mula-mula sekali, jangan salah anggap bila dikatakan 'berkait dengan umur' atau 'disebabkan usia' bermaksud anda berisiko menghidap katarak pada lewat usia, sebaliknya sesiapa pun boleh menghidap katarak ketika di usia 40an dan 50an. Namun pada pertengahan usia, katarak mungkin ada tetapi pada saiz sangat kecil sehingga tidak mengganggu penglihatan. Hanya selepas memasuki usia 60an barulah ia akan mengaburi pandangan mata.    (1)


Siapa lebih berisiko menghidap katarak?

Risiko menghidap katarak meningkat dengan bertambahnya usia. Faktor lain penyebab katarak ialah:
  • Penyakit; seperti diabetes.
  • Tabiat peribadi; seperti merokok dan pengambilan alkohol.
  • Persekitaran; seperti pendedahan lama terhadap cahaya matahari.   (1)

Apa boleh saya buat untuk lindungi pandangan mata?

Ketika berjalan dalam persekitaran cuaca panas, memakai kaca mata gelap dan topi bertepi lebar akan melindungi diri daripada sinaran ultraungu matahari boleh melambatkan terkena katarak. Dari aspek pemakanan, makan sayuran hijau, buah-buahan dan makanan yang mengandungi antioksidan.    (1)

Jika anda berusia 60 tahun dan ke atas, anda perlu jalani pemeriksaan mata sekali setiap dua tahun. Untuk kes katarak, pemeriksaan profesional kesihatan boleh memeriksa sebarang tanda penyakit berkaitan usia seperti kemerosotan makular, glaukoma, dan sebarang gangguan penglihatan. Rawatan awal boleh menyelamatkan penglihatan anda.    (1)


Apa simptom terjadi katarak?

Simptom biasa berlaku katarak:
  • Penglihatan kabur.
  • Warna dilihat semakin pudar.
  • Silau, sebarang sinaran cahaya terasa terlalu terang, mungkin ada lingkaran cahaya di sekitar cahaya.
  • Pandangan malam merosot.
  • Penglihatan bertindih dan berbilang pada sebelah mata. Bila katarak lagi besar, simptom ini semakin jelas.
  • Perubahan tidak menentu pada kuasa cermin mata atau kanta lekap.

Simptom-simptom ini juga boleh menjadi tanda kepada masalah mata yang lain. Sila buat pemeriksaan dengan pakar mata jika berlaku mana-mana tanda di atas.   (1)


Bagaimana katarak dikesan?

Ia boleh dikesan melalui ujian mata kompresensif melibatkan perkara berikut:

Ujian ketajaman visual - melihat sejauh mana keadaan penglihatan anda pada pelbagai jarak.
Pemeriksaan pengembangan kata (Dilated eye exam) - Titisan ubat akan diberi untuk membesarkan atau mengembangkan anak mata. Lensa pembesaran khas digunakan oleh pakar bagi memeriksa retina dan saraf optik jika ada tanda kerosakan atau masalah lain. Selepas ujian, mata akan kabur selama beberapa jam.
Tonometri - Sejenis alat untuk mengukur tekanan dalam mata. Titisan yang mengebaskan akan dititik dalam mata.    (1)

Pakar yang merawat juga mungkin akan melakukan beberapa lagi ujian lain yang dirasakan sesuai untuk mengetahui tahap kesihatan mata anda.      (1)


Rawatan

Bila munculnya simptom, penglihatan boleh dibetulkan dengan memakai kaca mata baru, bifokus yang kuat, pembesaran, pencahayaan yang sesuai atau alat visual yang lain. Memikirkan tentang pembedahan selepas berlaku katarak bila penglihatan sudah terjejas merupakan masalah yang serius dan boleh mengganggu kehidupan harian. Banyak orang mempertimbangkan penglihatan yang lemah ialah hakikat tidak dapat dielakkan selepas semakin berumur tetapi pembedahan katarak tidak menyakitkan dan mudah, bagi mendapatkan kembali penglihatan.  (2)

Pembedahan katarak sangat berjaya untuk mendapatkan kembali penglihatan. Ia merupakan pembedahan paling banyak dilakukan di Amerika Syarikat. Lebih daripada 3 juta rakyatnya menjalani pembedahan katarak setiap tahun seperti dimaklumkan PBA. 9/10 pesakit yang dibedah berjaya mendapatkan kembali penglihatan yang baik, dengan kadar antara 20/20 dan 20/40.    (2)

Ketika pembedahan, bahagian lensa yang kabur akan dibuang dan digantikan dengan lensa plastik yang lutsinar dipanggil intraocular lens (IOL). Dari semasa ke semasa, IOL jenis baru sentiasa dibangunkan dan dipertingkatkan untuk memudahkan lagi pembedahan dan lensa juga lebih membantu pesakit. IOL jenis Presbyopia membantu pesakit melihat pada semua arah. Jenis lain menghalang sinaran UV dan sinar biru, yang dikatakan pengkaji bahawa ia boleh merosakkan retina.   (2)


Bagi lelaki, mereka masih perlu berjagajaga kerana sesetengah jenis ubat prostat boleh menyebabkan berlaku keadaan dipanggil intraoperative floppy iris syndrome (IFIS) ketika pembedahan katarak.   (2)


Bagaimana katarak dirawat?

Simptom awal katarak boleh dirawat dengan memakai kaca mata baru, dengan pencahayaan lebih baik, anti silau atau lensa pembesar. Jika semua ini tidak berhasil, maka pembedahan adalah peneyelesaiannya. Ia akan memerlukan lensa yang kabur itu dibuang dan digantikan dengan lensa buatan.      (1)

Katarak perlu dibuang jika ia mengganggu rutin harian seperti membaca, memandu atau menonton tv. Anda boleh berbincang dengan pakar tentang manfaat dan risiko berkaitan jika melakukan pembedahan sebelum memutuskan untuk melakukannya. Dalam kebanyakan kes, melambatkan pembedaham tidak akan menyebabkan kerosakan lebih teruk pada mata, maka anda tidak perlulah terburu-buru untuk membuat keputusan.    (1)

Ada juga kes katarak perlu dibuang bagi mencegah pemeriksaan atau rawatan akibat masalah mata yang lain seperti kemerosotan makular atau retinopati diabetik. Jika pakar dapati anda menghidap katarak, mungkin pembedahan tidak diperlukan untuk beberapa tahun. Hanya dengan melakukan ujian mata dengan kerap, anda boleh berbincang dengan pakar mata bila rawatan diperlukan.    (1)

Jika anda pilih untuk melakukan pembedahan, pakar boleh merujuk kepada yang lebih arif untuk membuang katarak. Jika mempunyai katarak pada kedua belah mata, satu mata akan dibedah dahulu. Sebelah lagi akan dibedah biasanya selepas 8 minggu daripada yang pertama.    (1)

Ramai orang yang menghidap katarak biasanya menghidap masalah mata yang lain seperti glaukoma atau kemerosotan makular. Bincang dengan doktor jika anda menghadapi masalah mata yang lain. Ketahui lebih lanjut tentang risiko, manfaat, alternatif dan hasil dan kesan daripada pembedahan katarak.      (1)


Apakah jenis pembedahan katarak yang ada?

Ada 2 jenis pembedahan katarak. Tanya pada doktor mengenai bezanya untuk putuskan mana yang terbaik untuk anda:  

Phacoemulsification, atau phaco - Satu insisi kecil akan disuntik pada sisi kornea mata. Doktor akan masukkan prob kecil dan ia akan menghasilkan gelombang ultrabunyi yang akan melembutkan dan memecahkan lensa untuk membolehkannya disedut keluar. Banyak pembedahan katarak pada hari ini menggunakan kaedah ini yang juga dipanggil pembedahan katarak insisi kecil.   (1)

Pembedahan ekstrakapsular - Doktor akan masukkan insisi lebih panjang pada kornea dan membuang bahagian teras lensa yang kabur itu secara sekeping. Selebihnya akan disedut.    (1)

Selepas lensa asal dibuang, biasanya lensa buatan akan menggantikannya dipanggil intraocular lens (IOL). Ia sejenis lensa jernih dan plastik yang tidak perlukan jagaan dan akan menjadi kekal bersama mata. Cahaya akan difokus pada retina dan menjadikan penglihatan lebih jelas. Ada sesetengah orang tidak boleh memakai IOL kerana mungkin menghidap masalah lain atau masalah ketika pembedahan. Untuk itu, kanta lekap jenis lembut atau kaca mata dengan pembesaran tinggi adakah disarankan.    (1)




Apa risiko pembedahan katarak?

Sebagaimana pembedahan lain, pembedahan katarak juga mempunyai risiko. Seeblum pembedahan dilakukan, doktor mungkin syorkan supaya anda berhenti daripada mengambil sebarang ubat yang boleh meningkatkan risiko pendarahan ketika pembedahan. Selepas pembedahan, anda perlu pastikan tangan bersih ketika menyentuh mata dan hanya menggunakan ubat yang dibenarkan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Jangkitan yang serius boleh menyebabkan kehilangan pandangan.   (1)

Pembedahan katarak boleh meningkatkan risiko penanggalan retina (retinal detachment). Gangguan mata yang lain seperti myopia yang tinggi (nearsightedness), boleh meningkatkan lagi risiko penanggalan retina selepas pembedahan katarak. Satu petanda berlakunya penanggalan retina ialah peningkatan denyaran atau 'flashes' atau rasa ada benda terapung secara tiba-tiba dipanggil 'floaters'. Floaters ini seperti sarang labah-labah atau titik-titik yang seakan terapung dalam ruang pandangan. Jika ada berlaku hal ini secara tiba-tiba, sila berjumpa doktor anda secepat mungkin kerana penanggalan retina ialah kes kecemasan. Jika perlu, boleh terus sahaja ke bahagian kecemasan di hospital. Mata anda perlu diperiksa oleh doktor pakar secepat mungkin. Walaupun penanggalan retina ini tidaklah menyakitkan, tetapi rawatan awal biasanya mampu menyelamatkan anda daripada terus kehilangan pandangan. Lagi cepat anda bertindak, maka peluang untuk dapatkan semula pandangan adalah lebih cerah dan lebih baik. Jika anda dirawat dengan cepat, ada juga kes sebahagian pandangan akan hilang.       (1)

Apa-apa hal pun, berbincanglah dengan doktor mata anda sebelum membuat keputusan sama ada pembedahan itu adalah jalan penyelesaian terbaik buat anda.      (1)


Adakah pembedahan katarak efektif?

Pembedahan katarak adalah salah satu pembedahan paling biasa dilakukan di Amerika Syarikat. Ia juga antara jenis pembedahan yang paling selamat dan paling efektif. Daripada 90% kes, mereka yang sudah dibedah mempunyai pandangan lebih baik selepas itu.    (1)


Sebelum, semasa dan selepas pembedahan

Sebelum pembedahan...

Seminggu atau dua minggu sebelum pembedahan, doktor mungkin lakukan beberapa siri ujian termasuk mengukur lengkungan kornea, saiz dan bentuk mata anda. Maklumat ini penting bagi membantu doktor memilih jenis IOL yang sesuai untuk anda. Mungkin anda dilarang makan dan minum selama 12 jam sebelum pembedahan.    (1)


Semasa pembedahan...

Di hospital atau klinik mata, ubat titik akan dititik dalam mata anda untuk besarkan anak mata. Kawasan sekeliling mata akan dibasuh dan dibersihkan. Pembedahan akan berlangsung sekitar sejam dan hampir tidak sakit langsung. Ramai orang memilih untuk berjaga ketika pembedahan manakala yang lain memilih ditidurkan untuk sesuatu tempoh. Jika berjaga, anda akan dibius untuk kebaskan saraf dalam dan sekeliling mata. Selepas pembedahan, tampalan akan diletakkan pada mata dan anda akan berehat seketika. Jururawat atau petugas akan pantau keadaan anda jika berlaku sebarang masalah seperti pendarahan. Mereka yang dibedah biasanya sudah boleh pulang pada hari yang sama. Jika anda seorang pemandu, anda perlu dapatkan orang lain memandu untuk anda.    (1)


Selepas pembedahan...

Ketidakselesaan dan kegatalan pada mata adalah perkara biasa. Mungkin juga mata akan berair. Mata akan jadi terlalu sensitif pada cahaya dan sentuhan. Jika ini berlaku, doktor akan cadangkan rawatan. Selepas sehari atau 2 hari, keadaan ini akan beransur hilang. Selepas beberapa hari, doktor akan cadangkan ubat titis untuk kurangkan risiko jangkitan dan membantu penyembuhan. Tanya pada doktor bagaimana menggunakannya, berapa kerap dan kesannya yang mungkin ada. Mungkin anda perlu pakai cermin mata gelap untuk melindungi mata anda. Elakkan menggosok atau menekan mata anda.      (1)

Bila di rumah, elakkan mengangkat barang dengan membongkokkan badan dari pinggang. Jangan angkat objek berat. Anda boleh berjalan, naik tangga dan kerja rumah yang ringan. Dalam banyak kes, pesakit boleh sembuh dalam masa 8 minggu. Doktor akan jadualkan pemeriksaan untuk lihat sejauh mana perkembangan penyembuhan anda.    (1)


Bolehkah masalah jadi lebih buruk selepas pembedahan?

Jarang berlaku tetapi tidak mustahil. Masalah biasanya seperti jangkitan, pendarahan, inflamasi (sakit, kemerahan, bengkak), kehilangan pandangan, penglihatan berganda, tekanan mata yang tinggi atau rendah. Dengan mendapat rawatan susulan, masalah ini boleh dirawat dengan berkesan.    (1)

Adakalanya tisu mata yang melindungi IOL akan jadi kelabu dan menjejaskan pandangan. Keadaan ini yang dikenali sebagai selepas katarak (after-cataract) boleh terjadi selepas beberapa bulan atau beberapa tahun selepas pembedahan. Rawatan bagi after-cataract menggunakan laser. Doktor menggunakan laser bagi membuat satu lubang kecil pada tisu mata di belakang lensa bagi membolehkan cahaya melepasinya. Prosedur pesakit luar ini dikenali sebagai kapsulotomi laser YAG. Ia tidak menyakitkan dan jarang menyebabkan tekanan mata atau masalah lain. Sebagai langkah berjaga-jaga, doktor mungkin memberikan ubat titik mata untuk mengurangkan tekanan sebelum atau selepas prosedur.    (1)


Bila penglihatan pesakit akan kembali normal?

Pesakit boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa tetapi penglihatan akan kabur. Mata yang akan sembuh perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan supaya ia boleh fokus dengan betul dan selaras dengan mata sebelah lagi, jika mata sebelah juga menghidap katarak. Tanya pada doktor bila anda boleh kembali memandu kenderaan.    (1)

Jika anda mendapat IOL, anda akan dapati warna kelihatan amat terang. IOL itu jelas berbanding lensa asal yang kekuningan atau kecoklatan. Selepas beberapa bulan menerima IOL, mata akan biasakan diri semula dengan warna dilihat nampak lebih baik. Bila mata sudah pulih, maka mungkin anda perlu kanta lekap atau cermin mata baru.     (1)


Apa boleh dibuat jika sudah hilang penglihatan disebabkan katarak?

Jika anda sudah hilang pandangan disebabkan katarak atau pembedahan katarak, tanya pada doktor pakar mata tentang perkhidmatan berkaitan mata dan apa peralatan yang sesuai yang boleh membantu bagi penglihatan yang masih ada. Tanya berkenaan siapa pakar perlu dirujuk dalam hal ini. Banyak organisasi dan agensi tempatan menyediakan maklumat tentang kaunseling, latihan, dan perkhidmatan lain untuk mereka yang mengalami masalah kekurangan visual. Pusat pengajian perubatan atau optometri mungkin menyediakan perkhidmatan berkaitan masalah pandangan yang kurang.    (1)


Pencegahan katarak

Walaupun terdapat kontroversi menyatakan ia boleh dicegah, beberapa kajian mencadangkan sesetengah nutrisi dan suplemen nutrisi boleh mengurangkan risiko katarak.   (2)

Satu kajian besar profesional kesihatan wanita mengambil masa 10 tahun menunjukkan pengambilan diet tinggi vitamin E dan lutein karotenoid dan zeaxanthin daripada makanan dan suplemen dikaitkan dengan risiko katarak yang berkurang secara signifikan. Sumber makanan terbaik bagi vitamin E seperti biji bunga matahari, kacang almond dan bayam. Sumber terbaik bagi lutein dan zeaxanthin ialah bayam, kale dan sayuran jenis daun hijau.   (2)

Kajian lain menunjukkan vitamin antioksidan seperti vitamin C dan makanan yang mengandungi asid lemak omega-3 boleh mengurangkan risiko katarak. Cara lain ialah memakai cermin mata yang menghalang 100% sinaran UV bila berada di luar rumah.   (2)


Katarak dan diet anda

Soalan yang menerima banyak komen orang awam sejak pengkaji dari Universiti Oxford menerbitkan kajiannya pada Mac 2011 yang membandingkan insiden katarak dengan pengambilan diet.  (2)

Kajian itu yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, memeriksa kaji selidik diet dijalankan ke atas 27,670 orang bukan pesakit diabetes di kalangan umur 40 tahun dan ke atas, dan memantau rekod kesihatan mereka untuk melihat jika dan bila akan berlakunya katarak. Satu kaitan yang kuat menunjukkan ada kaitan antara risiko katarak dengan jenis diet.   (2)


Risiko paling tinggi bagi pemakan daging yang tinggi (yang makan lebih daripada 3.5 auns daging setiap hari), dan menurun dari satu kumpulan kepada yang seterusnya dalam urutan: pemakan daging sederhana, pemakan daging sedikit, pemakan ikan (ikan sahaja, bukan daging lain), vegetarian dan vegan (mereka yang makan sayur dan buah-buahan sahaja). Bagi vegan, mereka mempunyai risiko 40% lebih rendah daripada pemakan daging yang tinggi.   (2)

Adakah maknanya mereka kena berhenti makan daging? Mungkin ya, mungkin tidak. Kajian tidak menjawab semua persoalan. Kalau dikatakan kurang makan daging, mungkin seseorang itu makan banyak sayuran. Mungkin sayuran itu memberikan lebih nutrisi yang membantu mengurangkan risiko katarak. Amalan vegetarian dan vegan membantu ke arah gaya hidup sihat, mengelakkan pencetus risiko yang lain seperti merokok, pendedahan berlebihan kepada matahari. Mungkin ia tidak dapat dielakkan untuk jangka panjang, tetapi amalan hidup sihat boleh membantu anda melambatkan anda daripada terkena penyakit ini untuk satu tempoh yang lama.  (2)


Rujukan lain:
  • Don't Lose Sight of Cataract (NIH Publication No. 94-3463)
  • Cataract: What You Should Know (NIH Publication No. 03-201)
(1)
   


Sumber-sumber rujukan: 
(1)  SINI  |  (2)  SINI  |  (3)  SINI  |  (4)  SINI  |   (5)  SINI  |  (6)  SINI  |  (7)  SINI  |  (8)  SINI  | 



Penyelesaian masalah ini dalam hal ini adalah secara kaedah perubatan moden. Namun ada lagi kaedah lain iaitu menggunakan bahan semula jadi seperti madu asli dan minyak jintan hitam yang digunakan oleh Rasulullah pada zamannya. Dalam hadis juga diceritakan:

"..... Biji jintan hitam ini adalah ubat untuk semua penyakit, kecuali as-sam.' Aisyah bertanya, 'Apa itu as-sam?' Baginda menjawab, 'Kematian.' " (Shahih Bukhari, Bil. 7, Buku 71, No. Hadis 591)

- Dari buku: Rasulullah Is My Doctor, oleh Jerry D. Gray

No comments: