MY FOLLOWERS

Tuesday, April 1, 2014

Sekadar Luahan - Coretan Perjalanan Tganu-Kedah 28-29.3.2014

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Owner


Assalamualaikum.....

Pagi Jumaat, 10 pagi. Perjalanan dimulakan dari Bukit Payung, Kuala Terengganu. Penulis bersama saudara mara akan ke Kedah bagi majlis sambut menantu atau bertandang di sana sempena perkahwinan seorang saudara sepupu di sini, dengan 4 buah kenderaan; Toyota Vios, Naza Citra dan MyVi. Cuaca pagi ini cerah. Perjalanan dari Bukit Payung melalui lebuhraya yang baru dibina di sini terus ke laluan ke Setiu melalui bandar Permaisuri seterusnya ke laluan Sungai Tong. 

Jauh perjalanan melalui Jeli dan Gerik dalam cuaca panas menambahkan lagi cabaran kali ini. Jam 12.30 tengahari, kami berhenti rehat seketika di satu perhentian untuk makan, rehat dan solat. Penulis mengambil kesempatan untuk mandi bagi mengembalikan kesegaran sebelum perjalanan diteruskan. Kedinginan air dari bukit berhampiran membuatkan hilangnya rasa mengantuk dan keletihan. Merentasi Banjaran Titiwangsa selama 2 jam ini tidak sekali pun kelihatan ada tanda-tanda akan hujan, sebaliknya sekadar cuaca mendung yang memayungi kenderaan yang melalui jalan yang seperti ular ini. 

Di satu kawasan sebelum tiba di puncak, sempatlah juga melihat kepulan asap yang datangnya dari bukit di sebelah yang satu lagi akibat pokok-pokok yang terbakar ekoran cuaca panas. Terdapat juga beberapa bahagian pinggir hutan lain di situ yang kering dan adanya kesan terbakar akibat cuaca ini. Perjalanan diteruskan merentasi kawasan Gerik di Perak selepas keluar dari jajahan Jeli, Kelantan dan melalui 2 jambatan di Taman Negeri Royal Belum. 

Disebabkan ada lagi saudara mara yang baru kali pertama menjejakkan kaki di negeri ini, maka mereka berpeluang juga melihat stesen keretapi berhampiran simpang empat ke Pasaraya Aneka. Perjalanan diteruskan sehingga ke Guar Chempedak dan Teroi melalui pusat jualan pertanian serta kolej komuniti sini dan tiba di penginapan homestay jam 6.30 petang di Taman Yan, Kedah. Tiada sebarang aktiviti sebelah malam melainkan berbincang mengenai waktu perjalanan pulang yang diputuskan keesokannya berbanding lusa kerana ada antara mereka yang perlu menguruskan keluarga dan mesyuarat di tempat kerja. Perlu rehat secukupnya sebelum ke rumah pengantin lelaki jam 12.00 tengahari esok.






Pagi Sabtu, 8 pagi. Suasana pagi yang menyegarkan. Tatkala berehat, yang lain pula sibuk berjalan-jalan ke Sungai Petani. Namun kerana kekangan masa, sekadar sempat ke pekan Rabu membeli ole-ole untuk dibawa pulang. Selesai membeli apa-apa yang patut, jam sudah melepasi 12.00 tengahari. Pengantin lelaki dan keluarga sudah terpacak depan homestay menanti yang lain untuk sampai ke homestay sementara kami yang lain bersiap. Segala barangan terus dikemaskan kerana tiada yang akan tinggal lebih lama di sini sebagaimana dibincangkan. Ketibaan di rumah pengantin disambut agak meriah. 






Perjalanan pulang dirancang pukul 2 petang, tetapi sudah terlajak pukul 3 petang. Alasan merancang untuk bergerak awal ini adalah untuk membolehkan kami semua melepasi kawasan jalan di Banjaran Titiwangsa yang penuh berliku itu. Sekiranya dapat bergerak lebih awal, maka kami akan tiba di Sungai Tong setidak-tidaknya jam 6 petang dan ketika itu suasana masih cerah dan akan memudahkan perjalanan; dicampur tolak dengan waktu rehat, jika ada. Namun rancangan tinggal rancangan. Kami mula bertolak pulang jam 3 petang dan sejurus melalui kawasan Gerik di Perak, hujan mula turun dengan lebatnya. Hujan reda sedikit selepas kami melepasi simpang ke MRSM Gerik dan memutuskan untuk berhenti rehat seketika untuk minum dan solat, di Restoran Kari Kepala Ikan Salim berdekatan simpang empat lampu isyarat di sini. Ketika itu jarak untuk ke Jeli sejauh 210 km, manakala ke Kuala Terengganu 311 km lagi. 



 

Sejurus melepasi kawasan hentian di Sungai Rui, hujan mula turun dengan lebatnya sehingga visual mejadi tidak jelas. Dengan jalan licin dan banyak selekoh tajam, semua kenderaan dipandu perlahan. Masing-masing mengawal tekanan minyak dan brek dengan kelajuan antara 50 ke 60km/j. Sempat juga melihat ada kenderaan lain terbabas akibat terlanggar pembahagi jalan dan terseret ke tengah jalan sambil menanti ditunda. Pun begitu masih ada segelintir pemandu bas dan kenderaan sanggup mengambil risiko memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan cuaca berkenaan. Begitu juga keadaannya ketika melalui 2 jambatan berhampiran Taman Negeri Royal Belum, visual tidak jelas di seluruh kawasan dan papan tanda ROYAL BELUM di atas bukit juga kelihatan seperti berkabus. Sungai di bawah juga kelihatan antara nampak dengan tidak. Hanya sesudah memasuki kawasan Jeli sebelum melalui Politeknik Jeli, barulah keadaan semakin reda. 

Visual semakin jelas dan tiada lagi hujan mahupun renyai-renyai apabila melalui kawasan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan MRSM Jeli di sini. Kami berhenti rehat sekali lagi jam 8 malam apabila tiba di stesen minyak Petronas Bukit Bunga. Selesai solat jamak dan membeli ole-ole, kami menyambung perjalanan. Meskipun, sudah selesai dengan cabaran selekoh tajam dan cuaca buruk, cabaran perjalanan ini tidak lengkap jika tiada haiwan melintas. 

Berbanding hari sebelumnya, kali ini kami pulang melalui jalan lain bukan lebuhraya apabila melalui kawasan bandar Permaisuri, Setiu. Kalau semalamnya kami melalui kawasan kampung Air Sejuk, berhampiran Sekolah Sains Air Sejuk selepas keluar dari lebuhraya, kali ini kami masuk ke laluan lain merentasi kampung Bukit Beruntung, Tepuh, Bukit Berangan, Tok Jiring sebelum masuk ke pekan Batu 6. Kami selamat tiba semula di Bukit Payung sekitar tengah malam.


No comments: