Kredit kepada:-
Gambar ihsan: Google Images
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Teringat saya ketika akhir 1985. Keluarga saya berpindah ke tempat yang sangat asing bagi kami, di Negeri Sembilan. Berpindah kerana ikut bapa saya dipindahkan ke sana. Biasalah, sebab arahan daripada pihak atasan. Setelah setahun membiasakan diri dan hidup bermain-main, maka sampai masanya saya masuk ke alam persekolahan bermula di tadika pada usia 6 tahun. Ketika itu, masuk tadika pada usia 5 atau enam tahun adalah biasa. Perasaan saya ketika itu tidaklah takut walaupun ramai kawan dalam kelas sebab tadika saya pada masa itu dekat sahaja dengan rumah ibarat belakang rumah sahaja. Setentang dengan rumah yang menjadi tadika, adalah rumah ustazah tempat belajar mengaji. Ahh, itulah tempat biasa dituju tidak kira waktu tadika atau ketika bermain setiap petang. Tiada bezanya. Kawan-kawan pula tidaklah begitu asing, sebab saban petang balik-balik muka yang sama juga ditemui di taman perumahan kami ketika itu. Begitulah sehingga ke akhir tahun.
Tahun berikutnya, saya masuk darjah 1. Kali ini agak berbeza kerana sekolah sedikit jauh dari rumah dan perlu menaiki kereta untuk ke sana. Ayah saya yang hantarkan pada hari pertama. Kali ini barulah saya rasa takut. Semuanya asing dan begitu menekan. Biasalah budak-budak, mulalah menangis. Dalam kelas, kami dipanggil seorang demi seorang untuk kenal nama. Bila nama saya dipanggil, saya hanya angkat tangan tetapi muka tutup atas meja sebab menangis. Orang lain sudah bawa beg dan buku tetapi saya hanya bawa beg bekalan makanan sahaja sebab ayah saya kata tidak belajar pada hari pertama. Rasanya saya menangis agak lama pada hari itu. Sekali-sekali tengok juga ke luar tingkap. Ramai juga ibu bapa yang tunggu anak mereka. Mungkin untuk pastikan semuanya berkeadaan baik-baik sahaja.
Waktu kelas diisi dengan subjek Pendidikan Seni. Kertas lukisan dan pensel warna dihulur. Saya melukis juga sebab cikgu yang suruh. Melukis juga walaupun dalam keadaan masih mahu menangis dan belum ada mood. Ketika itu saya bersekolah pada sesi petang. Ketika petang sebelum pulang, kami semua berhimpun di tapak perhimpunan. Saya masih takut dan sedikit menangis. Bila disuruh nyanyi lagu Negaraku, tidak pula nyanyi, entah apalah yang ada dalam kepala ini pada masa itu. Seingat saya, selepas semuanya selesai, ayah saya datang dan ambil saya pulang. Barulah menangis sungguh-sungguh waktu itu.
Masa berlalu.. Kini saya dan keluarga juga sudah berpindah semula ke pantai timur, tempat asal kami :-) Saya juga telah berkeluarga. Kali ini giliran puteri sulung saya pula untuk masuk ke tadika. Tidak sebagaimana saya dahulu, puteri saya masuk ke tadika seawal usia 4 tahun. Pagi ini saya menghantarnya. Seawal dari dalam kereta lagi, dia sudah membisu tanpa kata. Mungkin takut kerana tidak pernah kenal dunia yang begitu asing baginya. Mungkin juga kerana tekanan yang tidak dapat diucap dengan kata-kata. Keluar dari kereta dan masuk dalam tadika, dia sudah mula gigit jarinya sekuatnya. Wajahnya berkerut menahan tangis. Tangisnya seperti dipendam dalam-dalam. Bila pintu gril tadika sudah ditutup, barulah terdengar letusan daripada hamburan emosinya. Walaupun saya dan isteri sudah masuk dalam kereta, masih terdengar suara raungannya yang kuat tidak ubah seperti ketika dia sakit perut. Saya dan isteri gagahkan juga hati untuk tinggalkannya sendirian menghadapi dunia barunya, biarkannya belajar berdikari buat pertama kali dan berikan kepercayaan kepada guru tadikanya untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah untuk uruskannya.
Langit masih turunkan hujan dengan lebatnya. Sebelum sampai di rumah, kami singgah sebentar di warung untuk sarapan. Terasa seperti hambar pula, dan kurang berselera pagi ini. Mungkinkah saya juga merasa tekanan? Terasa seperti raungan puteri saya seperti masih terngiang-ngiang di telinga. Saya kemudian segera habiskan minuman dan pulang menemani si hero yang masih tidur. Sesekali dia terjaga, mengisyaratkan untuk tukarkan lampinnya. Ahh, bolehlah saya alihkan seketika perhatian daripada terlalu fikirkan kakaknya. Maklumlah si kakak, sejak dari lahir dan selama usianya sebelum ini tidak pernah berseorangan dan berjauhan walau seketika daripada keluarga. Kalau ada pun, mungkin keluar dengan saudara mara terdekat sahaja. Saya pula tidak ke mana-mana hari ini, jadi bolehlah uruskan dua beradik ini sementara isteri dan ibu mertua keluar sekejap untuk sedikit urusan.
Sekitar jam 12 tengahari, saya ke tadika untuk mengambilnya. Si hero pula ditemani ipar di rumah. Setibanya di tadika, saya perhatikan ada beberapa budak sedang menunggu ibu bapa datang mengambil termasuklah anak saya :-) Sedikit hairan. Tidak pula dia menangis seperti pagi tadi. Kata cikgunya, dia menangis memang kuat tetapi tidak lama. Semuanya seakan tiada masalah bila dia sudah mula dapat seorang kawan. Bila sudah mula dapat bermain dan makan bersama, semuanya jadi baik-baik sahaja. Alhamdulillah...lega hati saya. Pun begitu, mungkin kerana belum biasa berdikari, maka dia lebih banyak diam. Jari masih di mulut. Sekali-sekali saya bertanya, sepatah ditanya, sepatah dijawabnya. Tak apalah...asalkan jawab jer.. :-) Bila masuk sahaja dalam kereta, perlahan-lahan dia mula bersuara dan cerita sedikit tentang kawan barunya, siapa namanya, datang dengan siapa, balik dengan siapa, sudah balikkah dia, soalan yang biasa-biasa sahaja. Mungkin boleh hilangkan rasa tertekannya. Untuk itu, saya ajaknya ke kedai untuk beli air, sekadar memujuknya. Sesampai di rumah dia bermain sekejap dengan adiknya sementara saya ke dapur untuk makan. Sekembali sahaja ke bilik, dia menyambung tidurnya di sebelah adiknya. Sebelah petang, dia sambung bermain lagi dan katanya, esok mahu jumpa kawannya di tadika lagi.
Semoga kali ini semuanya akan baik-baik sahaja.
Semoga kali ini semuanya akan baik-baik sahaja.
No comments:
Post a Comment