Kredit kepada: Syok.org
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum......
Penulis ceritakan semula kisah ini daripada sumber asalnya.
Kisah ini adalah kejadian sebenar yang aku alami sendiri pada tahun 1995 yang lalu, iaitu semasa cuti hujung semester 1 di ITM Arau, Perlis. Ketika itu aku dan rakan-rakan sekuliah seramai 35 orang dihendaki menjalani latihan praktikal ukur kejuruteraan di sana selama tiga minggu. Aku sebenarnya belajar di ITM Shah Alam. kebetulan ketika itu semua pelajar di ITM Perlis semuanya balik kampung. Tinggal beberapa kerat sahaja yang belum pulang.
Pada sebelah siangnya latihan amali ukur di tapak dibuat. Sebelah malamnya, dari jam 9 malam kami dikehendaki masuk ke studio untuk kerja-kerja pemplotan dan sebagainya. Kadang-kadang hingga lewat pagi sampai ada kalanya jam dua pagi barulah kami balik ke bilik masing-masing. Esoknya jam lapan pagi kena keluar pula ke tapak untuk latihan amali.
Aku pula, dalam bab kerja dalam studio memang sedikit malas. Kadang-kadang aku ponteng atau kadang-kadang aku balik awal untuk tidur. Jarak di antara studio dengan hostel itu jauh juga (aku tak ingat dah apa nama hostel yang aku tumpang ketika itu). Ada masanya bila aku balik awal sedikit, aku sengaja tunggu berseorangan di tengah jalan (bawah pokok besar, di tepi padang tidak jauh dari masjid ITM) untuk menyakat kawan-kawan aku yang lain. Kiranya aku pada masa itu, agak beranilah :-) Aku sebenarnya ketika itu sudah pun berumur tiga puluh tahun, sebab itu aku suka kacau rakan-rakan yang lain yang lebih muda daripada aku. Aku seronok tengok kawan-kawan aku lari lintang pukang bila aku sakat mereka.
Akhirnya pada satu malam itu (minggu ketiga) aku rasa sangat mengantuk, ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Aku pun berjalan balik ke hostel, tiba-tiba ada satu suara antara dengar dan tidak dengar memanggil-manggil ke arah aku. Aku berpaling ke arah suara tersebut, kelihatan oleh aku satu lembaga putih yang berambut panjang sehingga mencecah tanah bergerak menuju ke arah aku.
Wajahnya terlindung oleh rambutnya yang panjang mengurai itu. Pada masa itu aku apalagi, serba salah dibuatnya. Hendak lari terasa kaki seperti berat untuk melangkah. Aku terasa kepala aku pula mengembang seperti belon. Aku pun berlari-lari anak ke arah hostel sambil membaca ayat-ayat suci yang mana aku sempat ingat dengan nyaring sekali. Ketika itu, terasa langkah aku sangat lambat sekali. Aku tidak berani untuk berpaling ke belakang lagi. Akhirnya aku sampai di pagar hostel, lalu aku memanggil pengawal keselamatan untuk minta tolong.
Nasib baik aku tidak pengsan, masih steady lagi, tetapi selepas kejadian itu aku tidak lagi berani berjalan berseorangan di malam hari. Pak guard itu marahkan aku sebab berani sangat berjalan berseorangan di tengah malam. Dia sendiri pun tidak berani untuk melalui kawasan yang aku lalu itu. Katanya memang ramai pelajar yang pernah terserempak dengan hantu perempuan itu. Kata pengawal itu lagi, ketika ITM Arau itu baru dibuka, berlaku kejadian budak perempuan bunuh diri kerana malu apabila mengandung anak luar nikah. Mayatnya dijumpai di dalam tangki air di atas bumbung hostel setelah sebulan lamanya.
SUMBER asal artikel ini.
No comments:
Post a Comment