MY FOLLOWERS

Monday, January 7, 2013

Artikel - Kes Buatan Orang :-D

Kredit kepada: Syok.org
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum......


Sudah dua malam aku menginap di rumah Ajis. Kebetulan nenek Ajis sedang menghidap penyakit misteri. Kaki nenek Ajis bengkak dan mengeluarkan nanah.. Sudah puas keluarga Ajis berusaha untuk mengubati penyakit itu, tetapi tidak berkesan. Sudah berkali-kali nenek Ajis dibawa ke klinik. Bermacam-macam ubat sudah dicuba, tetapi keadaan kaki nenek Ajis tidak berubah. Malahan semakin teruk.

Nanah dan lendir sudah tidak terkira banyaknya dikeluarkan. Setiap kali nanah dan lendir kekuningan dikeluarkan, bengkak dikaki nenek Ajis semakin membesar.

Orang tua Ajis sudah kewalahan untuk berusaha menyembuhkan penyakit itu. Akhirnya mereka mencuba cara kampung. Seorang kenalan mereka memanggil Dukun Tolip.

"Orang cakap Dukun Tolip handal orangnya," kata Mat Ali, seorang jiran tetangga yang mengamal sikap cintailah jiran anda. Pak Pin ayah Ajis tidak keberatan. Malam itu Mat Ali akan membawa Dukun Tolip.

"Bagaimana dengan pengerasnya?",tanya Pak Pin.
"Dukun Tolip ikhlas mengubat. Tak berkira sangat. Tak kisahlah Pak Pin nak beri duit atau VCD player atau perabot Itali. Dukun Tolip tidak berkira sangat." jawab Mat Ali.

Malam itu aku menunggu-nunggu kedatangan Dukun Tolip. Aku nak melihat kehebatan Dukun Tolip kerana aku ada tujuan yang tersendiri.

Kalau Dukun Tolip boleh mengubati Nenek Ajis, aku akan meminta jasa baiknya untuk mengubati orang tua aku. Seperti yang dijanjikan, Dukun Tolip tiba di rumah Ajis selepas Isya'. Dukun Tolip berbadan besar serta berwajah garang. Sesuai untuk melawan hantu, sebab hantu pun akan berfikir dua kali sebelum mencabarnya.

"Sudah berapa lama?" tanya Dukun Tolip dengan suara garau. Meriding bulu roma aku mendengar suara Dukun Tolip.

"Dah lama. Mula-mula bengkaknya kecil sahaja, kemudian bernanah. Kami cuba berubat cara moden tapi bengkak semakin besar. Nanah semakin banyak. Tolonglah Tok Dukun ikhtiarkan." Kata Pak Pin.

Dukun Tolip bersila. Kemenyan ditaburkan kedalam tempat bara. Mulut Dukun Tolip terkumat-kamit. Nenek Jais kelihatan gelisah. Seperti ada yang tidak kena. Suasana sungguh saspen. Aku berdebar-debar di sebelah Ajis.

"Ini perbuatan orang," gumam Dukun Tolip memandang muka Pak Pin.
"Minta tolong Tok Dukun pulihkan" jawab Pak Pin.

Kemudian Dukun Tolip meneruskan kerjanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera. Wajah Dukun Tolip merah seperti kena panggang. Peluh mencurah-curah membasahai tubuhnya. Ketika itu kelihatan bengkak di kaki nenek Ajis semakin membengkak, kemudian surut. Turun naik seperti pasaran saham.

Dengan tiba-tiba tanpa disangka-sangka Dukun Tolip menjerit! Kemudian melompat sambil menghunuskan sebilah keris.

"Semayang kau dari sini. Kalau kau datang lagi, aku bunuh kau!!"

Selama setengah jam kemudian Dukun Tolip kelihatan seperti seorang pendekar. Menghunuskan keris sambil bersilat. Betul-betul seperti sedang bertempur tetapi lawannya tidak kelihatan.

"Ambilkan sehelai kain putih!" perintah Dukun Tolip setelah selesai bertarung. Setelah Pak Pin memberikan apa yang diminta, Dukun Tolip membalut kaki nenek Ajis yang bengkak. Kemudian Dukun Tolip minum kopi dengan Pak Pin sambil makan biskut lemak.

Sebelum balik, Dukun Tolip menyuruh Pak Pin membuka balutan tadi. Alangkah terperanjatnya aku bila melihat bengkak di kaki nenek Ajis sudah tidak ada lagi. Kaki nenek Ajis kembali seperti asal.

Dukun Tolip tersenyum bila Pak Pin berkali-kali mengucapkan terima kasih. Bagi aku, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Aku mesti meminta bantuan Dukun Tolip. Aku terus bersemuka dengan Dukun Tolip dan menceritakan masalah yang sedang aku hadapi. Dukun Tolip menganggukkan kepala.

"Malam esok tak boleh sebab tok ada appointment. Tapi kalau sebelah petang tok rasa boleh."

Esoknya Ajis menemankan aku untuk membawa Dukun Tolip kerumah. Masih ada masalah yang harus aku hadapi sebaik saja tiba di rumah nanti. Ayah aku tidak percaya pada dukun. Susah juga aku untuk menerangkan nanti, tapi Dukun Tolip memberikan aku sedikit harapan.

"Jangan beritahu siapa tok. Katakan tok ini saudara Ajis. Jadi ayah kamu tak akan mengesyaki apa-apa. Selepas itu tahulah apa yang tok nak buat" kata Dkun Tolip.

Aku berasa lega. Bukan senang nak mengubati ayah sendiri. Aku tidak mahu ayahku menderita seperti nenek Ajis. Bengkak yang dialami oleh ayah aku masih kecil, tetapi eloklah diubati sebelum bertambah besar.

"Ayah kamu tak bekerja?" tanya Dukun Tolip.
"Dah seminggu ayah saya ambil cuti sakit, tok. Tak boleh banyak bergerak. Asyik meniarap saja."
"Tak apa. Tok tengok nanti. Kamu jangan bimbang."

Rumah aku kelihatan sunyi. Mak aku belum pulang dari kerja dan ayah mungkin sedang tidur. Aku membuka pintu dengan perlahan-lahan. Kelihatan ayah aku sedang tidur di ruang depan. Meniarap dengan hanya mengenakan kain pelikat tanpa baju.

"Masuk perlahan-lahan. Tok nak tengok di mana bengkaknya," kata Tok Dukun merendahkan suara.
Kami bertiga masuk seperti pencuri. Hampir-hampir aku mati lemas kerana menahan nafas. Ayah langsung tidak bergerak. Perlahan-lahan aku dan Dukun Tolip mendekati ayah sementara Ajis berdiri agak jauh dari situ kerana tidak mahu menimbulkan sebarang bunyi.

Setakat ini rancangan kami berjalan lancar. Lagipun aku tahu ayah selalu tidur mati. Tapi sebagai langkah berjaga-jaga, aku tetap berhati-hati.

"Kat mana bengkaknya?" tanya Dukun Lotip berbisik di telinga aku.

Dengan perlahan aku cuba menyingkap kain pelikat yang sedang dipakai oleh ayah aku. Hanya dengan cara itu aku dapat menunjukkan kepada Dukun Tolip di mana tempatnya. Tidak seperti nenek Ajis, ayah aku tidak bengkak di kaki tetapi di kawasan sensitif, tempat 'perlupusan sampah'.

Tangan aku menggigil. Kalaulah ayah terbangun, pasti aku akan kena penendang sulung. Memang pantang ayah, percaya pada bomoh dan dukun. Menurut ayah, semua itu karut belaka. Tetapi aku sudah melihat buktinya dan aku tidak mahu ayah terus menderita kerana kedegilannya.

Akhirnya aku berjaya menyelak kain pelikat dan kemudian terlihatlah bengkak di punggung ayah. Aku terkejut besar. Bukan saja bengkak itu semakin besar, tetapi jumlahnya sudah bertambah. Hari itu sewaktu aku mengintai mak sapukan ubat, aku hanya nampak tiga sahaja tetapi sekarang jumlahnya sudah sekali ganda.

"Ini bengkaknya, Tok Dukun," kata aku perlahan sambil membetulkan semula kain pelikat ayah. Dukun Tolip tidak menyahut. Ketika aku berpaling memandang muka Dukun Tolip, seklai lagi aku terkejut. Muka Dukun Tolip merah menyala.

Matanya bersinar-sinar memandang aku. Dengan tidak semena-mena, Dukun Tolip seperti kerasukkan. Sebuah penendang hinggap di tubuh aku sehingga aku tercampak ke dinding. Dussyyuummm!!!

Aduh! Sakitnya. Barangkali penyakit ayah lebih kuat daripada penyakit nenek Ajis. Kalau tidak mana mungkin Dukun Tolip sampai kerasukkan. Aku tetap menahan kesakitan dan bersabar. Semua ini hanya dugaan untuk menguji kasih sayang aku terhadap ayah. Inilah pengorbanan seorang anak.

"Ini bukan buatan orang, bongok!" tengking Dukun Tolip. Aku tercengang.
"Ini namanya bisul, bahlul. Buang masa aku!!"

Hahahahaha :-D

No comments: