Credits to: -
Gambar ihsan:Google Images
Assalamualaikum...
Kenangan cinta lama. Ada yang berakhir dengan kemanisan, ada yang berakhir dengan penuh kepahitan. Ya, saya akui setiap daripada generasi muda terutama yang berada di institut pengajian tinggi melaluinya. Tidak kiralah sama ada lelaki atau perempuan. Berbagai peristiwa dilalui bersama, walaupun bukan berkepit bersama 24 jam. Lainlah pula jika yang sudah berkahwin, pasti tiada yang menghalang.
Saya juga melalui saat-saat indah perkenalan sebagaimana mereka yang lain. Pada mulanya memang tidak pernah menyangka ada insan lain yang menaruh hati. Siapalah saya ini untuk memiliki pasangan ketika itu? Tiada yang menarik pada diri saya. Saya bukanlah dari keluarga kaya, tinggal di kampung. Bukan dari keluarga berniaga, tetapi dari keluarga pasangan guru..
Saya masih ingat, pada waktu itu saya masih menuntut di UiTM Pulau Pinang. Saya ketika itu di semester 4 pada tahun 2001. Sekitar bulan Februari, pihak hostel mengadakan Festival Kolej selama 3 hari 2 malam. Saat indah ini berlaku pada petang hari kedua sewaktu saya membeli barangan di salah satu booth yang dibuka. Saya tidak menyangka, ada yang menunggu kedatangan saya. "Abang belilah barang yang tu, ada free gift skali. Boleh bagi kat 'dia'.." kata Ina, selaku kawan kepada si 'dia' yang saya belum kenal ketika itu. Saya cuma terkedu, kemudian bertanya kembali "Siapa?" Jawabnya, "Laa...Tak tahu kaa? Kawan Ina yang slalu duk dekat dengan tingkap kat kantin tu laa.." Saya bingung sebentar. "Yang slalu mai dengan Ina tu..Slalu duk situ sebab nak tengok abang la..Tak ingat takpa..tapi malam nanti mai la sini. Nanti Ina tunjuk orangnya.." katanya sambil meminta saya belikan satu bedak berjenama (tidak ingat jenama) yang didatangkan sekali dengan teddy bear sebagai free gift. Saya turutkan sahaja..
Pada malam itu, diadakan pertandingan syair dan sajak. Memandangkan ada kawan saya yang menjalankan tugas belakang tabir, saya meminta untuk berehat sebentar (kononnya)..Terus saya ke booth yang saya pergi petang tadi. Bukan sahaja Ina, tetapi si 'dia' juga turut ada bersama. "Ni laa orangnya.." kata Ina, sambil menunjukkan pada si 'dia' yang duduk di kerusi berhampirannya. Berkulit cerah, manis. Biasalah, anak mami... "Kenapa susah-susah jer tolong belikan?" kata si 'dia' memecahkan kebuntuan saya waktu itu. Saya diam sahaja. "Abang dah makan?" saya ditanya lagi. Kali ini baru saya menjawab, "Sudah..baru jer." Seterusnya perbualan kami berlangsung seperti biasa..
Sehinggalah ke penghujung semester berkenaan, hubungan kami berlalu dalam suasana yang manis. Tiada siapa pun di kalangan kawan-kawan mengetahui hubungan saya dan si dia yang ketika itu mengikuti kursus Pra-Sains semester 1. Hubungan kami seterusnya berjalan agak berliku apabila dia ditawarkan melanjutkan pengajian ke Kolej Jururawat di Kelantan. Hanya setiap kali cuti barulah kami berpeluang bertemu. Selebihnya, kami hanya berhubung menerusi telefon. Apabila hubungan kami masuk ke tahun kedua, saya pula menyambung pengajian ke peringkat Ijazah di Kuala Lumpur pada September tahun 2002. Hubungan kami adakalanya seperti telur di hujung tanduk. Ada sahaja cabaran dan dugaannya. Mungkin kerana sikap masing-masing yang kurang menjaga batas dalam perhubungan setiap kali bertemu menyebabkan Allah memberikan balasan sedemikian. Ada sahaja kesusahan yang menimpa. Teruk juga saya diuji olehNya... Kemanisan dahulu seperti tiada lagi. Berjumpa pun hanya setahun sekali. Sehinggalah pada Jun tahun 2005 ketika hubungan kami berada di tahun ke-4. Saya pada masa itu tinggal sebulan setengah lagi untuk menamatkan pengajian. Seterusnya saya merancang untuk kembali ke Pulau Pinang untuk bekerja dan membina kehidupan bersamanya. Di sinilah saat yang memedihkan bermula..
Pada petang 1.6.2005 itu, saya menerima panggilan daripada si dia. Katanya mahu minta putus. Ya Allah..lemahnya semangat ketika itu. Ada juga perasaan seperti akan pengsan tetapi digagahkan juga hati untuk terus beristighfar sehingga talian diputuskan. Pada malam itu, saya terasa seperti bingung, adakala terasa seperti ...apa entah. Sukar untuk dijelaskan. Yang pasti, keesokan harinya ada kawan sebilik di asrama memberitahu keadaan saya yang seperti zombie, pucat macam mayat! Mereka kata tidak pernah sekalipun melihat saya menjadi seteruk itu. Saya jelaskan pada mereka mengenai hubungan cinta saya yang baru sahaja putus. Bersyukur pada Allah, ada juga kawan-kawan yang sudi membantu memberi kata-kata semangat untuk terus bangkit.
Jadi, beberapa hari kemudian saya mula melakukan solat istikharah memohon petunjukNya. Lebih kurang sebulan masa diambil bagi mendapatkan jawapannya. Alhamdulillah, saya mendapat apa yang dicari walaupun sedikit. Alamat mimpi itu masih jelas sehingga kini. Pedih, tetapi saya semakin dapat menerima perpisahan ini dengan redha. Saya akui, pedihnya masih terasa sehingga ke hari ini meskipun saya sudah dapat melupakan perasaan hati ini pada si dia.
Situasi kini
Kini saya sudah pun mendirikan rumahtangga pada 2008 bersama insan tersayang yang dikenali pada 2006, genap setahun selepas tarikh perpisahan dengan si dia yang terdahulu. Kami mengambil masa selama 2 tahun ini mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan mengikat perhubungan kami. Gambar si kecil yang disiarkan dalam beberapa entri sebelum ini adalah permata hati dan puteri kami, bukti cinta baru saya dan isteri.
Mengenai si 'dia' yang saya tinggalkan dahulu? Ya, saya akui sepatutnya buku lama perlu ditutup terus.... Teringat pula saya sewaktu ke Kelantan sebelum ini bersama keluarga untuk berjumpa pengamal perubatan Islam. Selesai mendapatkan ubat serta penawar, saya mengambil kesempatan untuk bertanyakan ustaz berkenaan mengenai hubungan cinta dahulu. Sekadar memohon pendapat, tiada salahnya.
Cerita lama dibuka kembali dan saya bertanyakan adakan hubungan kami yang putus dahulu ada sebarang kaitan dengan perkara-perkara ghaib seperti sihir, dsb? Ustaz berkenaan terus sahaja membantu berikutan ada sedikitmasa sebelum tetamu lain tiba, dengan membuat sedikit 'scanning'. Alangkah terkejutnya saya apabila dimaklumkan memang terdapat penglibatan unsur sihir yang memutuskan hubungan kami dahulu. Kata ustaz berkenaan, sekitar 3 atau 4 bulan sebelum putus, si dia ada berkenalan dengan seorang lelaki lain. Lelaki tersebut tidak saya kenali, menaruh hati pada si dia sehingga sanggup menghantar sihir. Kata ustaz itu lagi, bukan salah saya atau si dia yang menyebabkan perkara itu berlaku kerana ia membabitkan pihak ketiga. Meskipun terkejut, saya redha andainya itu yang Allah sudah tentukan.
Beberapa hari yang lalu, saya ada melayari Facebook dan saya ada cuba mencari namanya. Tidak tahulah saya kenapa pula datangnya perasaan 'gatal tangan' ketika ini. Barangkali ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan pada saya. Terkejut pun ada, sedikit takut pun ada. Ya, memang dia turut memiliki akaun Facebook sebagaimana yang saya jangka. Sebagaimana dinyatakan dalam statusnya, kini sudah berkahwin cuma belum memiliki cahaya mata. Perasaan saya? Tiada lagi kepedihan seperti dulu...
Hidup mesti diteruskan..
Wallahualam...
1 comment:
Yup.. setuju bro.. hidup mesti diteruskan!
Post a Comment