MY FOLLOWERS

Wednesday, November 30, 2011

Artikel - Persoalan Mengenai Jamak Akibat Kesuntukan Masa

Kredit kepada: email
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum......


Apabila ingin melakukan perjalanan jauh melebihi 2 marhalah, antara perkara yang perlu difikirkan oleh orang Islam ialah bagaimana mengerjakan solat. Lokasi masjid atau surau antara yang dicari. Bukan setakat untuk menunaikan ibadah solat secara jamak, tetapi juga sebagai perhentian untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Pun begitu, jika tidak melakukan sebarang perjalanan atau ada sebab-sebab lain, bagaimana pula penyelesaiannya? Apa penjelasan hadis dan hukum mengenainya?

Petikan soal jawab ini diterima oleh penulis menerusi email yang dikirimkan sedikit masa lalu. Sumber rujukan juga disertakan.


Jamak Kesuntukan Masa

Soalan: Boleh seseorang yang amat tertekan dengan kesuntukan masa, seperti peperiksaan menjamakkan solatnya?

Jawapan:
Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu diterangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak.

Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar.

Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asar.


Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asar, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:

“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.

Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:

“Rasulullah s.a.w solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.

Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.

Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang telah ditetapkan. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar.

Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.

Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).


3 comments:

rozeeta rashid said...

banyak jugak keadaan yang membolehkan solat jamak ye. baru tau. ingatkan cuma waktu perjalanan jauh je. thanks for sharing. =)

EmpayarUtama said...

Tak mahir bab ini cuma pandangan peribadi saja. Jamak kerana perjalanan rasanya tak relevan zaman ini (tapi boleh kerana dah dinyatakan) kerana sepanjang perjalanan dah banyak tempat untuk solat. Zaman nabi dulu naik unta dan terdapat kesukaran semasa perjalanan untuk tiba ke destinasi yang membolehkan wuduk/tayammum seterusnya bersolat.

Alasan hujan juga seperti tidak lagi sesuai kerana masih boleh berjamaah dengan keluarga di rumah. Ini 'contradict' dengan arahan 'jangan melengahkan solat'.

Memang berguna dan praktikal untuk urusan yang tidak dapat ditinggalkan. Jika silap, aku yang silap. Allah lebih mengetahui...

KaK LimAh Si SupiR said...

oooo..kaklimah p0n ingt tyme jalan jauh j blh jamak :P