Kredit kepada: KOL
Gambar ihsan: Yahoo ImagesAssalamualaikum...
NASI lemak secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi rakyat Malaysia. Tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan dibungkus dalam daun pisang serta ditambah dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan.
Jangan lupa segelas teh tarik, teh yang manis bersusu. Teh tarik juga secara kebetulan menjadi minuman tidak rasmi bagi rakyat Malaysia. Tetapi malangnya, mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang baik dari segi kesihatan. Bacalah seterusnya.
Apa yang terjadi kepada nasi putih dalam badan kita?
Sebaik saja ia dimakan, nasi putih akan ditukar menjadi glukosa dan diserap dengan cepatnya ke saluran darah. Sebarang peningkatan gula darah akan memberi isyarat kepada pankreas untuk mengeluar dan melepaskan insulin. Hormon ini akan mengarahkan sel untuk mengusap glukosa.
Tanpa insulin, glukosa akan hanyut terapung-apung di sekitar aliran darah, tidak dapat memasuki sel yang memerlukannya. Diabetes akan muncul apabila badan tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup atau tidak dapat menggunakannya dengan baik.
Nasi putih mengandungi apa yang dikenali sebagai Indeks Glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna ia akan menyebabkan peningkatan paras gula darah dan insulin secara berlanjutan. Karbohidrat yang tidak begitu mudah dihadamkan akan menyebabkan peningkatan gula darah dan insulin yang lebih rendah serta lebih perlahan.
Oleh itu, ia memberi kurang tekanan terhadap jentera pembuat insulin dalam badan kita serta membantu mencegah diabetes jenis 2. Makanan seperti ini dikatakan mempunyai GI yang rendah. Contohnya gandum asli lengkap, beras perang, lain-lain jenis bijirin yang lengkap, dan kebanyakan kekacang.
Sel kita bergantung kepada satu gula tunggal ringkas iaitu glukosa, yang sebahagian besar diperlukan oleh sel berkenaan untuk membina tenaga. Itulah sebabnya mengapa badan kita mempunyai mekanisme yang rumit untuk memastikan paras glukosa dalam aliran darah tidak menurun terlampau rendah atau melambung naik terlampau tinggi.
Glukosa datangnya daripada pencernaan sukrosa (gula biasa) dan juga daripada karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, roti canai, dan lain-lain.
Jenis diabetes yang berlainan
Satu bentuk diabetes akan berlaku apabila sistem imun menyerang dan melumpuhkan buat selama-lamanya sel pembuat insulin dalam pankreas. Ini dikenali sebagai diabetes jenis 1 yang pada suatu ketika dulu dikenali sebagai ‘permulaan juvana’ (juvenile-onset) ataupun ‘diabetes bergantung insulin’.
Satu bentuk lagi suka berlaku dalam badan manusia, dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang menjadi penyakit diabetes sepenuhnya. Ia bermula apabila otot dan sel lain berhenti memberi tindak balas terhadap isyarat ‘buka pintu untuk glukosa’ yang diberi oleh insulin.
Badan bertindak balas dengan membuat lebih banyak lagi insulin, sebenarnya ia cuba mengasak dan memaksa gula darah ke dalam sel. Akhirnya, sel pembuat insulin menjadi lemah dan mengalami kegagalan. Ini dikenali sebagai diabetes jenis 2.
Mereka yang menghidap pradiabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal, tetapi tidak cukup tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes sepenuhnya. Penghidap pradiabetes mempunyai glukosa ketika berpuasa yang terjejas (6.1 hingga kurang daripada 7mmol/l). Pada paras ini ia mengisyaratkan wujud risiko tinggi untuk menghidapi diabetes jenis 2 dalam masa 10 tahun berikutnya.
Sama ada pra diabetes akan berkembang menjadi diabetes jenis 2 sepenuhnya, sebahagian besarnya bergantung kepada individu itu sendiri yang seharusnya mengambil perhatian terhadap berat badan dan kegiatan senaman.
Cara pemakanan bukan saja dapat mencegah pradiabetes daripada menjadi diabetes, tetapi juga dapat mengembalikan semula paras glukosa darah ke julat yang normal.
Bersambung...
1 comment:
walau pun best..tak leh di amal kan selalu...nanti susah lau dpt penyakit...;d
Post a Comment