MY FOLLOWERS

Wednesday, May 13, 2015

Paranormal - Gelagat Setan di Majlis Kenduri

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum....

Menurut cerita yang disampaikan oleh Tok Dahaman, pada suatu hari dia bersama isterinya berjalan bersama-sama untuk menghadiri kenduri di hujung kampung. Malangnya, ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Maka terpaksalah mereka berdua menunggu sehingga hujan berhenti sebelum meneruskan perjalanan. Apabila hujan telah reda, ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Setibanya mereka di suatu simpang jalan, mereka terdengar suara tangisan kanak-kanak.

Setelah dilihat sekeliling, didapati tiga orang kanak-kanak tanpa pakaian sedang menangis di tepi sebatang pokok besar yang telah tumbang. Kata Tok Dahaman, dia merasa sungguh hairan, siapa pula yang meninggalkan anak mereka dalam keadaan sebegitu? Tetapi, dia mula mengesyaki bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu bukanlah manusia biasa kerana didapatinya mereka bertiga berkepala botak, berperut buncit, bermata besar dan memiliki telinga yang capang dan tajam sementara jari-jari tangan mereka amat panjang, begitu juga kaki. Walaubagaimanapun, Tok Dahaman bertanya juga apa sebabnya mereka menangis di tepi jalan.





Menurut salah seorang kanak-kanak itu, rumah mereka telah runtuh disebabkan oleh hujan yang amat lebat sebentar tadi. Tok Dahaman kemudian bertanya, "Di mana rumah...?" Mereka pun menunjukkan kepada pokok besar yang tumbang itu. Sudah sahlah yang kanak-kanak itu adalah anak jin atau syaitan, jelas Tok Dahaman.

Menurut Tok Dahaman, anak-anak syaitan itu telah meminta dia untuk memberitahu kepada ibu bapa mereka yang berada di rumah kenduri mengenai rumah mereka yang telah runtuh itu. Akan tetapi, Tok Dahaman menjelaskan kepada kanak-kanak itu bahawa dia tidak mungkin dapat mencari ibu bapa mereka kerana syaitan tidak dapat dilihat oleh manusia melalui pandangan mata kasar. Lantas anak syaitan itu memberikan Tok Dahaman sedikit minyak untuk disapu di kening. Menurut anak syaitan itu lagi, minyak itu membolehkan pandangan terhadap benda-benda hijab dibuka. Bapa kanak-kanak itu dapat dikenali dengan tengkorak kecil yang digantung di lehernya manakala ibunya pula memakai tulang ayam bersilang di rambutnya. Anak syaitan itu berpesan supaya meminta ibu bapa mereka pulang dengan segera kerana rumah mereka runtuh dan mereka pula dalam kesejukan.

Cerita Tok Dahaman lagi, ketika sampai di rumah kenduri, dia dan isterinya pun memakai minyak tersebut. Tok Dahaman segera menyuruh isterinya mencari syaitan betina itu di atas rumah sementara dia sendiri mencari syaitan jantan di tempat orang lelaki.

Sebaik sahaja menyapu minyak tersebut di kening, mereka melihat begitu banyak syaitan bercampur gaul dengan orang ramai. Ada sebahagian yang sibuk di tempat memasak mengganggu di kawah gulai dengan memasukkan berbagai jenis najis ke dalam segala masakan (kerana orang yang memasak tidak membaca Bismillah). Syaitan-syaitan tersebut ada yang meludah, membuang air kecil dan besar ke dalam piring dan mangkuk. Ada juga yang muntah ke dalam makanan, ada yang bergayut di bahu, ada yang duduk di atas kepala dan riba manusia. Tok Dahaman dan isterinya yang memandang suasana itu menjadi tidak tergamak untuk makan di majlis itu. Orang ramai yang melihat gelagat Tok Dahaman dan isterinya merasa hairan dengan kelakuan mereka.




Menurut Tok Dahaman lagi, dia amat sukar untuk berjalan kerana terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan syaitan kerana mereka lebih sibuk mengalahkan manusia di rumah kenduri. Setelah puas mencari, akhirnya berjumpalah dia dengan bapa syaitan tersebut.

Ketika itu, bapa syaitan itu sedang makan dengan gelojohnya. Tok Dahaman pun bertempik kepadanya serta memberitahu bahawa rumahnya telah runtuh. Bapa syaitan tersebut sangat terperanjat dan bertanya bagaimana Tok Dahaman boleh melihatnya.

Apabila mendengar penjelasan Tok Dahaman, syaitan tersebut pun berlari pulang sambil memijak kepala orang ramai. Bagi pihak perempuan pula, keadaaan menjadi lebih kecoh. Menurut isteri Tok Dahaman, ramai sungguh syaitan betina yang sama-sama makan kenduri dengan orang perempuan bahkan lebih teruk kerana ada di kalangan syaitan betina yang turut datang sambil membawa anak. Kerenah anak-anak syaitan ini memang tidak dapat dikawal oleh ibu mereka. Mereka melompat dari satu talam ke satu talam sambil mencapai makanan dari pinggan atau tangan orang. Ada yang membuang air kecil sambil bergayut di jendela rumah.

Akhirnya ibu syaitan itu ditemui oleh isteri Tok Dahaman di biliki pengantin yang sedang bersolek bersama-sama pengantin perempuan. Isteri Tok Dahaman mengenalinya berdasarkan tulang ayam bersilang yang ada di rambutnya, yang berbau busuk dan kotor. Rupa syaitan betina itu sungguh menggerunkan. Keadaan menjadi kecoh kerana orang ramai melihat isteri Tok Dahaman seperti bercakap dengan cermin tempat bersolek.



Pengajaran

Untuk seharian itu, letihlah mulut mereka menjelaskan kepada orang ramai di situ tentang sebab keanehan sikap mereka pada hari itu. Terpulanglah pada orang sama ada mahu percaya atau sebaliknya. Begitulah halnya, keadaan syaitan yang sungguh menjijikkan jika kita tidak menyebut nama Allah ketika hendak memulakan sesuatu. Tidak kiralah untuk makan, memulakan perjalanan atau mahu masuk ke tandas sekalipun, sebutlah nama Allah sekurang-kurangnya bacalah Bismillah.



Menyentuh mengenai adab ketika makan, terdapat teguran dalam hadis sahih:

Hadis no. 154 (Adab ketika makan)

Daripada Umar bin Abu Salamah, sewaktu aku diasuh oleh Rasulullah s.a.w., tanganku meraba-raba di dalam talam hidangan makanan; maka Rasululllah bersabda kepadaku: "Wahai anak! Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kanan engkau, dan makanlah apa yang terdekat dengan engkau."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Rujukan:
  1. Majalah Iktibar, Edisi Pengenalan, Cetakan Pertama 1999.
  2. 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad, Telaga Biru Publication Sdn. Bhd.

No comments: