MY FOLLOWERS

Tuesday, February 11, 2014

Sekadar Luahan - Kes Baju Lembu

Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
, Owner


Assalamualaikum.....

Asalnya sekadar duduk melepak sambil minum sebelum pulang selepas latihan. Sambil minum, sambil berborak. Kemudian datanglah sebuah keluarga di kedai sama tempat kami melepak, duduk makan beramai-ramai di meja belakang kami. Perbualan kami sedikit terganggu bila salah seorang anak kecilnya mengamuk dan menangis bertalu-talu. Adalah benda yang dia tidak puas hati agaknya. Bersusah-payahlah ibunya di sebelahnya memujuk dan agak lama juga sebelum dia boleh diam. Ekoran ini kawan penulis tanyakan soalan bagaimana agaknya kalau apa yang berlaku di belakangnya itu berlaku dan bagaimana penulis mahu atasinya? 

Bagi penulis yang sudah lalui pengalaman serupa, diceritakan semula pengalaman berkenaan. Bila sudah ada anak kecil, macam-macamlah perangainya. Kadang-kadang bagi kita yang dewasa, kita anggap sesuatu perkara itu kecil sahaja tetapi mungkin benda besar bagi mereka. Contohnya satu pengalaman penulis yang ini. Satu malam, si kakak mengamuk dan menangis sampai terguling-guling, habis baju lain yang dilipat pun dipunggah dan dicampak kerana satu sebab. Mahu pakai baju yang ada gambar lembu (gambar kartun lembu macam lukisan pada kotak susu dijual di kedai). Puaslah dipujuk, namun apa pun tidak menjadi, makin teruk lagi adalah. Bukan setakat baju, kusyen pun habis tunggang langgang. Berkerutlah muka ibunya. Yang tidur pun habis terjaga bertanyakan apa halnya dan minta segera dia dipujuk sebab sudah mengganggu yang lain mahu tidur. 



Sudahnya, si papa mencari juga dalam almari pakaiannya dan belek satu persatu. Kemudian terjumpalah satu baju biru dengan gambar lembu yang dicari. Bila sudah diberi dan dipakai, barulah reda tangisnya. Si ibu pula makin pening, mengeluh sebab sehelai baju. Manakan tidaknya, gambar lembu itu pun bukannya besar, kecil sedikit daripada logo sekolah pada baju sekolah budak-budak! Itu pun sudah hampir pudar sebab sudah pakai banyak kali. Ubat untuk pujuknya? Walaupun jam sudah tunjuk sekitar pukul 1.30 pagi dan cuaca mula hujan rintik-rintik, si papa gagahkan juga diri bawa si kakak ke 7-E untuk beli habuannya. Roti, biskut dan mainan untuk hiburkan hatinya :-) Bila ditanya oleh awek si penjaga kaunter ketika mahu membayar barangan yang dibeli, 'Eh adik, tak tidur lagi?' si kakak diam sahaja tetapi dalam hati si papa berkata 'Sabar jer laa..' 

Mengenangkan pengalaman sebegini, bila berulang lagi yang seumpama ini selepas itu, tahulah si papa bagaimana mahu pujuknya. Pendekatan secara marah-marah sudah tidak digunakan lagi sebab tahu memang tidak jadi apa-apa. Nanti lagi teruk pula. Jadi, pendekatan baru digunakan, ambilnya dukung dan pujuknya. Bukanlah niat memanjakan, cukup sekadar meredakan keadaannya. Bila sudah tenang, barulah boleh buat apa pun. Mahu pakai baju dan ke sekolah, bawa pergi bersiar-siar atau apa sahaja tanpa masalah. Sehingga kini alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Boleh duduk bersama tolong ajar membaca atau buat kerja sekolah, boleh bergurau senda juga. Adakalanya, si adik pun tumpang sekaki :-)  




Para ibu bapa, janganlah bimbang atau emosi sangat sebab apa yang berlaku ini hanyalah sementara. Anak-anak akan semakin membesar, bila sudah besar ia akan berubah secara beransur-ansur. Apa yang dilalui ini mungkin ada sesetengahnya akan ingat sebagai perkara membosankan atau membengangkannya, tetapi sabarlah. Sebab jika anda ambil pengalaman sebegini secara positif, akan sampai masanya nanti anda akan ingatnya sebagai salah satu pengalaman bernilai buat anda dan pasangan :-) 




No comments: