MY FOLLOWERS

Saturday, December 29, 2012

Paranormal - Kisah di SMK Kuhara: Hilang? Ada?

Kredit kepada: Syok.org
Gambar ihsan: Google Images


Assalamualaikum....


Kisah ini dikatakan oleh sumber asalnya sebagai kisah benar. Terserahlah kepada pembaca untuk menilaikannya sendiri sejauh mana kebenarannya. Jika benar, ambillah ia sebagai pengajaran dan peringatan.


Ramai yang tahu, walaupun aku salah seorang bekas pelajar di SMK Kuhara, tetapi sampai sekarang aku masih juga keluar masuk ke sekolah itu. Aku bukanlah guru di sana tetapi mempunyai 2 orang kawan yang menjadi guru di sana. Sekarang mereka sudah menjadi warden. 


Kisah ini diceritakan oleh salah seorang daripada mereka ini, Cikgu Burhan dan ia berlaku pada hari Sabtu lepas. Kisahnya bermula pada Jumaat lepas. Kebetulan Good Friday, Sabah cuti. Satu perkhemahan untuk sidang pengawas SMK Kuhara diadakan. Cikgu ini merangkap pengerusi badan disiplin SMK Kuhara dan guru penasihat untuk perkhemahan ini. Pelajar lelaki duduk di Asrama Putera (ASPURA) manakala yang perempuan tinggal di Asrama Puteri (ASPURI).

Pada hari Sabtu tersebut. Pagi itu semuanya baik-baik sahaja. Sekitar pukul 8 pagi, semua yang menyertai perkhemahan ini dikehendaki memakai pakaian seragam pengawas dan turun ke dewan besar SMK Kuhara. Tiba tiba AJK perkemahan ini memaklumkan dia (Burhan) ada seorang pengawas perempuan HILANG!!! Tingkatan berapa, itu aku sudah lupa. Kawan aku arahkan semua AJK yang terlibat pergi mencari budak perempuan di seluruh sekolah, malah dia juga meminta supaya budak perempuan ini dicari di seluruh bilik dalam ASPURI itu… Cari punya cari tak juga jumpa jumpa. 


Cikgu ini mula cemas, kemudian dia ambil borang kebenaran daripada ibu/bapa atau penjaga dan menghubungi bapa budak ini untuk maklumkan apa yang berlaku dan seperti yang dijangka, cikgu Burhan dilemparkan caci maki oleh bapa budak perempuan ini. Bermacamlah kata kesat dihamburkan. Rupa-rupanya bapa budak perempuan ini memang tidak benarkan dia pergi tetapi guru PK HEM sendiri yang sudah memujuknya awal-awal lagi sehingga diberikan kebenaran. PK HEM, Pengetua dan Polis turut dipanggil dan atas nasihat polis, mereka menunggu sehingga 24 jam. Kalau masih hilang, baru buat laporan. Sementara itu, usaha mencari masih diteruskan. Bapa budak ini dalam keadaan marah-marah turut mencari anaknya di sekitar bandar Tawau….

Pelbagai andaian dibuat. Kawan-kawan yang rapat dengan budak ini dipanggil. Berdasarkan cerita daripada kawan-kawannya, pada pagi itu ada budak di asrama yang pinjam baju seragam pengawasnya dan belum pulangkannya semula, jadi dia malu untuk turun. Dia beritahu kawan-kawannya untuk pergi ke dewan sementara dia kata mahu berehat di bilik. Bila kawan aku ceritakan masalah ini, dia kata panggil sahaja dia ke dewan, tidak mengapa sekalipun tanpa pakaian seragamnya, tetapi bila mahu dipanggil sahaja di bilik asrama, budak perempuan ini sudah hilang!

Puas dicari tetapi masih tidak ditemui. Kawan aku sudah siapkan laporan untuk diberikan kepada Polis tentang kehilangan budak ini. Sekitar jam 12 tengahari selepas azan Zohor, kawan aku yang ketika itu berada di rumah warden mendapat panggilan daripada AJK perkhemahan yang mengatakan budak itu sudah dijumpai. 


Kawanku terus ke ASPURI bersama PK HEM dan beberapa guru lagi untuk berjumpa budak perempuan yang hilang itu. Dia sebenarnya tidak menghilang ke mana-mana! Dia ada di bilik itu juga. Budak perempuan itu sendiri yang beritahu yang dia tidak ke mana-mana. Katanya hanya tidur sekejap kerana penat, dan kata tiada siapa pun yang datang mencarinya!Subhanallah…bayangkan… bukan 3 orang tetapi 6 orang yang menjadi saksi mengatakan mereka sudah mencari budak ini di seluruh aspuri termasuk bilik ini tetapi tidak temui sesiapa. Tiba-tiba, selepas azan zohor dikumandangkan di surau sekolah berdekatan, barulah budak perempuan itu dijumpai di bilik itu juga!

Ada yang cakap budak itu curi-curi keluar sebelum balik apabila menjelang tengahari hari itu tetapi menurut cerita kawan-kawannya, budak perempuan ini adalah seorang yang tidak pernah keluar rumah. Tidak tahu naik teksi, bas sebab selama ini dia agak dikongkong oleh ayahnya. Waktu tu tiada siapa yang datang ambil dia dan bawa keluar dari sekolah dan kalau ikut apa budak perempuan itu sendiri kata… dia tidak ke mana-mana dan hanya tidur di bilik, jadi hanya satu sahaja lagi kemungkinannya. Apakah dia? Terserahlah kepada anda semua untuk fikirkannya!

SUMBER asal

No comments: