Kredit kepada: -
Gambar ihsan: Google Images
Assalamualaikum.....
Manusia tidak boleh berada dalam keadaan terlalu keras atau terlebih lembut atau terlalu emosi dalam semua perkara. Perlu lebih banyak gunakan akal dan sentiasa berada di atas platform ilmu, lebih-lebih lagi ilmu agama dalam menyelesaikan masalah melibatkan semua perkara. Tidak boleh selalu berkeras dan tidak boleh juga selalu sangat berlembut. Ambil contoh, dalam menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak. Jika selalu sangat berkeras, dikhuatiri akan timbul trauma, takut, hilang rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap ibu bapa yang seterusnya akan mencetuskan pula masalah lain ketika di zaman kanak-kanak atau dewasanya. Apa yang berlaku yang dipaparkan dalam akhbar masa kini adalah sebahagian daripada banyak kes yang berpunca daripada pendekatan sikap keras dan lembut yang diambil.
Kesannya nanti anak-anak akan hadapi tekanan, cenderung memberontak dan menghadapi tekanan dalam jiwa. Usah diikutkan sangat kesemua kehendaknya sebab yang nampak realiti kehidupan adalah kita sendiri selaku yang dewasa. Anak-anak belum tahu apa-apa. Jika selalu sangat dipenuhi, secara psikologinya, anak-anak akan merasakan seperti raja. Apa sahaja yang dia mahu dituruti sahaja. Kelak mereka akan jadi pijak kepala dan meninggi suara seolah-olah merekalah diktator dan segalanya. Ibu bapa pula semacam jadi orang suruhan. Maka akan timbullah keadaan anak pukul ibu bapa dan seumpamanya seperti yang pernah didedahkan dalam akhbar. Lebih buruk lagi bila kini sudah ada yang anggap ibu bapa macam anjing dan ada yang bunuh pula ibu bapa sendiri dengan alasan-alasan yang remeh.
Lagi memburukkan keadaan bila mulut yang baru dapat berbicara itu mendapat perkataan yang tidak sepatutnya daripada orang dewasa atau kawan-kawan di sekolah. Pada waktu ini, tiada dosa dicatat. Namun sebenarnya waktu inilah yang sesuai untuk mula mengawal apa perkataan yang baik yang boleh disebut. Beritahunya juga jangan sebut itu ini jika kita tahu ia membawa maksud yang tidak elok. Kawal sejak dari awal sebelum ia merebak dan bertambah parah. Jika bukan ibu dan bapanya yang ambil peranan mengawalnya, siapa lagi? Jika dibiarkan dan menjadi parah, sudahnya nanti ibu bapa itulah yang terpaksa tanggung pula dosa si anak. Dengan kata mudah, segalanya bermula dari rumah dan ibu bapa adalah contoh terdekat untuk diikuti oleh anak-anak.
Dalam membentuk sikap serta jati diri anak-anak, perlu bagi si ibu dan bapa untuk terapkan unsur keras dan lembut ini dalam didikan yang diberi. Keras bukan maksudnya perlu pukul sekuatnya atau marah sepuasnya, tetapi tegas secara berhemah. Pendekatan dari sudut bahasa yang dilontarkan adalah yang paling mudah. Beritahu apa yang tidak boleh dan jangan, kemudian beritahu apa yang lebih baik daripada yang tidak elok itu. Elakkan sekadar beritahu jangan itu dan jangan ini kemudian mengkritik dan merungut kerana dikhuatiri anak akan berasa kecewa, disekat dan mula tidak tahan seterusnya memberontak. Memberitahu apa yang lebih baik dalam sesuatu tindakan adalah satu jalan keluar kepada tindakan anak seterusnya tanpa membuatkannya berasa hati. Pendirian ibu bapa juga berbeza antara satu dengan yang lain. Lain rumah lain cara pengurusannya. Tidak kiralah sealim mana pun orang itu, sekali-sekala jika anak buat perangai, berkeras sedikit adalah perlu. Bukan semua perkara boleh selesai dengan berlembut. Bimbang juga jika suatu hari nanti kita akan hadapi kesusahan dan tidak dapat kawal keadaan. Adakalanya terlalu berlembut akan membuatkan orang sekeliling nampak anda sebagai lemah!
No comments:
Post a Comment