Credits to: -
Gambar ihsan: Yahoo Images
Assalamualaikum...
Terlalu banyak sebenarnya mahu ditulis berkenaan kenangan ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dahulu. Kalaulah kepala saya ini dapat dibuka seperti enjin kereta atau tempurung kelapa sekurang-kurangnya, agaknya orang yang melihat segala isi kandungannya pun akan pening kepala kerana terlalu banyaknya 'bahan' yang ada. Ibarat bilik kebal untuk simpan barang-barang berharga di bank. Sekalipun anda kecilkan skop dan bertumpu hanya pada topik 'kenangan bulan puasa' sahaja pun, rasanya masih terlalu banyak untuk diselongkar dan dibentangkan di sini..Sanggup ker??
Bermain permainan video
Berbanding kawan-kawan yang lain, saya seringkali merasa agak ketinggalan untuk merasai nikmat kehidupan seperti mereka. Apa tidaknya, contohnya; ayah saya tidak belikan basikal hanya kerana peristiwa saya jatuh ke longkang di hadapan rumah. Kalau pergi mengaji, hanya basikal kawan yang saya tumpang. Bila basikal kawan ditimpa masalah, pasti saya akan dipanggil. Saya juga yang kena. Permainan video (zaman dahulu ada Sega, Micro Genius) jauh sekali. Saya tidak berpeluang merasainya, tapi adik-adik saya yang kemudian dapat pula merasa, siap ajak kawan datang bermain sekali di rumah waktu petang, selepas pulang mengaji al-Quran. Saya pula? Bermain permainan video di rumah kawan adalah penyelesaiannya. Sampaikan pernah saya ponteng kelas mengaji selama 2 minggu lebih kerana melepaskan gian bermain permainan video di rumah kawan setiap petang..
Sekadar mengimbas kembali, memang sejak kecil lagi pun, kehidupan saya agak terkawal. Mungkin kerana kenakalan atau kerana sikap ayah yang agak lurus dengan caranya. Itu saya tidaklah pasti. Cuba bayangkan, ketika kecil, saya sanggup bersembunyi malahan tidur di rumah kawan hanya kerana tiada televisyen di rumah. Waktu itu sekitar tahun 1980-an.
Bermain bunga api dan mercun
Di musim perayaan Aidilfitri, bermain bunga api dan mercun itu perkara biasa. Membeli mercun jauh sekali, cuma berpeluang bermain mercun bila ada kawan-kawan atau jiran yang menghulur. Cuma sekali, ayah membawa pulang mercun tembak (yang mengeluar berbagai warna bila ditembak ke langit) yang diberikan oleh saudara di Selangor. Tidaklah merasa seronok sangat, biasa sahaja.
Bila sudah teringin sangat bermain mercun, bersama kawan-kawan saya mendapat peluang. Pernah satu malam, saya bersama kawan-kawan bermain di kawasan perumahan berdekatan masjid Taman Paroi Jaya, Seremban. (Saya menetap di sana waktu itu) Dalam ramai-ramai itu, ada seorang yang membuka serbuk belerang dan ditimbunkan di atas tembok longkang di tepi salah sebuah rumah berhampiran. Belerang agak banyak juga. Lampu jalan yang kurang menerangi membuatkan suasana agak gelap. Tanpa berlengah, seorang kawan menggores mancis dan mencucuh belerang tersebut...dan 'flash' terhasil seketika seperti flash kamera. Kami agak terkejut dan mata menjadi sedikit pedih dan berpinar! (Tak guna betul siapa yang cucuh mancis tu!!)
Agak berbahaya juga, kerana kami duduk agak dekat waktu itu. Alhamdulillah, itu hanya seketika..Mata kembali pulih seketika kemudian. Kami pulang ke rumah seperti biasa sesudah jemaah selesai berterawih.
Pautan sebelumnya:
No comments:
Post a Comment