MY FOLLOWERS

Sunday, August 14, 2011

Sekadar Luahan - Kenangan Bulan Ramadhan (Bhgn 2)

Credits to: -
Gambar ihsan: Yahoo Images


Assalamualaikum...

Kenangan ketika Ramadhan bersambung lagi. Sewaktu saya memasuki darjah 5, masjid di Taman Paroi Jaya sudah mula beroperasi. Maka, ramailah penduduk taman perumahan berkenaan, juga taman perumahan yang berhampiran membanjiri masjid setiap kali tiba waktu solat. Tidak sebagaimana surau yang sebelum ini, kawasan masjid ini lebih luas dan terdapat juga kawasan parkir kenderaan. Apabila masjid ini mula digunakan, surau yang sebelum ini kini dijadikan Sekolah Agama Rakyat. Ramailah budak-budak yang bersekolah sesi pagi datang ke sini untuk kelas mengaji al-Quran pada setiap petang. Ini setakat yang saya ingat berkenaan surau berkenaan sesudah menjadi sekolah agama..Waktu ini saya masih di sekolah rendah.



Bulan Puasa di Masjid

Ramai orang membanjiri masjid berkenaan setiap kali solat Jumaat mahupun ketika berterawih di bulan Ramadhan. Selalunya, parkir kenderaan di dalam kawasan majid akan penuh sehingga melimpah ke luar kawasan masjid. Jalan lereng bukit menghala ke stadium juga turut dipenuhi deretan kereta hadirin yang datang berterawih. Kesesakan trafik berlaku setiap malam sepanjang Ramadhan. Bagaimana dengan budak-budak nakal yang sebelum ini di surau? Semestinya kali ini masjid pula menjadi tempat kami dengan kenakalan kami. Bermula dari berbuka puasa hinggalah pulang ke rumah selepas terawih, berada di masjid bersama kawan-kawan seangkatan memang best!

Berbanding di surau dahulu, berbuka puasa di masjid ini lebih meriah. Meja untuk jamuan berbuka disediakan untuk hadirin lelaki dan perempuan. Maka ramailah yang datang, seawal jam 6.30 atau 6.45 petang lagi. Biasanya saya dan kawan-kawan datang dengan tangan kosong sahaja. Menu untuk berbuka juga lebih banyak pilihannya. Sekiranya tidak habis ketika berbuka, akan adalah yang kembali duduk semula di meja sama ada untuk menjamu kuih-muih atau minum air sementara menunggu masuk waktu Isyak. Yang budak-budak?? Lagi best... bukan saya seorang, tetapi bersama kawan-kawan akan cari beg plastik untuk 'tapau' kuih-muih yang masih ada dan bawa pulang ke rumah. Kami lakukannya selepas solat Maghrib. Selalunya banyak juga yang berbaki.

Saya akan kembali ke masjid sesudah bawa pulang kuih-muih yang diambil dari masjid. Itu secara kebiasaannya tetapi adakalanya saya melecong juga ke tempat lain. Ke mana ye? Biasanya ke kedai atau ikut kawan-kawan melepak sambil bermain mercun. Ye la, mak ayah tak tahu pun...hahaha :-D



Sekiranya berada di masjid sekalipun, bukannya solat terawih dikerjakan tapi lebih banyak bermain dan mengganggu kawan-kawan. Kali ini bukan lagi dalam masjid tapi di luar. Kerana pakcik garang yang sebelum ini ada di surau dahulu masih 'mengganggu' budak-budak lagi. Anti betul dengan pakcik tu...Kali ini, barulah ada mengganggu budak-budak perempuan. Bukan budak-budak lelaki sahaja yang bermain-main, budak perempuan pun turut sama. Senang kata 2x5 juga!! Kalau bukan main mercun, kami bermain 'pepsi cola' ramai-ramai dalam bulatan di kawasan masjid. Kalau tidak, riuh rendahlah kawasan masjid dengan kebisingan kami bermain kejar-kejar dalam kawasan masjid. Itupun kalau ramai yang ada. Kawan-kawan pun ada masanya tidak datang dan melepak bersama. Mestilah suasana agak membosankan. Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, lagilah membosankan. Maka saya pun berpeluanglah menjadi budak baik buat seketika...hehehehe...

Sekiranya tidak turut serta berjemaah solat terawih (maklumlah, budak-budak...) saya dan beberapa orang kawan suka melepak di tepi tiang menara masjid sambil mendengar kawan bercerita. Macam-macamlah cerita didengar. Ada sekali, kawan saya bercerita mengenai kisah-kisah seram. Adalah untuk beberapa malam. Sehinggakan pernah ketika dia bercerita, ketika kami sedang khusyuk mendengar ceritanya, ada yang datang menyergah dari belakang. Dan apa lagi, dia yang bercerita tapi dia pula yang terkejut lebih! Yang lain pun terkejut juga tapi tidaklah sampai terjerit 'maakkk!!' Kami pulang ke rumah bila jemaah selesai solat witir.


Pautan sebelumnya:
Kenangan Bulan Ramadhan (Bhgn 1)

No comments: