MY FOLLOWERS

Sunday, June 19, 2016

Sekadar Luahan - Catatan Panahan 2016 Bhgn 3

Kredit kepada: TAC
Gambar ihsan: -




Assalamualaikum.....


TAC di Minggu PKS, Taman Syahbandar Kuala Terengganu 19.5.2016-25.5.2016



Kali ini TAC dijemput menyertai karnival dipanggil Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diadakan di Taman Syahbandar Kuala Terengganu. Karnival ini diadakan dari 19.5.2016 hingga 25.5.2016. Karnival ini yang telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman telah diadakan bersama Minggu OTOP Thailand adalah anjuran kerajaan negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), dengan kerjasama kerajaan Thailand. Sekitar 110 gerai jualan dibuka ditempatkan di bawah dua kanopi besar berdekatan stesen bas Astaka dan pasaraya Hock Kee Seng di situ. Karnival ini memberi peluang kepada usahawan tempatan bukan sahaja untuk mencuba produk-produk baru keluaran usahawan tempatan tetapi juga produk dari Thailand. Antara yang membuka gerai ialah gerai Ruhaini bt Mohamad, A'nad Fish Cracker, Coway, TM Point, Zam Royo, Takaful Ikhlas, AIA Public Takaful, PrudentialBSN Takaful, Perodua, Gerobox Gorgeous, dan banyak lagi.






TAC membuka gerai bersebelahan gerai servis kenderaan dan gerai Perodua dari arah Astaka. Sebagaimana karnival, TAC juga mengikut waktu operasi karnival dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Selain sewaan yang memberi peluang kepada orang ramai mencuba aktiviti memanah, gerai ini juga menjual peralatan dan keperluan memanah seperti busur Jati Tunggal, arm guard, anak panah, buku serta baju. Busur dijual secara pakej bersama 2 anak panah dan tali, dengan harga RM189. Manakala pakej kedua ialah busur disertakan tali, 2 anak panah, arm guard dan kertas sasaran, dengan harga RM250.




Insiden pada malam itu.... terpanah panah lain..


Antara yang menarik...

Biasanya pada sebelah pagi, suasana agak sepi dengan kunjungan orang ramai. Mungkin juga sebab di awal karnival, ia jatuh pada hari persekolahan. Keadaan akan mula rancak sedikit selepas tengahari dan malam. Keadaan sama juga pada hari minggu. Maka adalah sedikit masa untuk berkunjung sekejap ke gerai-gerai yang ada untuk melihat produk yang dipasarkan.

Pada sebelah petang, rakan seangkatan TAC mempergiatkan promosi dengan memanah pada jarak di luar kanopi bagi menarik orang ramai ke tempat sewaan memanah. Hasilnya agak memuaskan bukan sahaja dapat menarik yang dewasa malah juga kanak-kanak.

Selain itu kanopi TAC juga dikunjungi warga asing yang menjadi penuntut di IPT tempatan serta pasangan OKU (bisu). Berdasarkan ceritnya, mereka juga sudah lama berpengalaman memanah bersama kumpulan kembara memasuki hutan belantara.



Pasangan OKU mencuba cabaran yang disediakan


Berehat menunggu ketibaan nasi  :-)






Antara produk dijual ialah penapis air, serunding, keropok, sate, ikan bakar, nasi kerabu, kebab, pakaian, terapi garam bukit, produk kecantikan dan kesihatan, sabun, syampu, barangan elektrik, takoyaki, dim sum, barangan hiasan, pakaian haji dan kopiah, memanah, servis membaiki kenderaan, serta perkhidmatan gunting rambut.

Selain itu di pentas persembahan juga diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan fesyen muslimah dan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Kazim Elias. 




Warga asing pun mencuba   :-)



Itu dia.... bila cabaran disahut!



Menjelang dua hari terakhir karnival, TAC juga membuka peluang kepada para ahli dan orang ramai menyertai permainan Cabaran Memanah Jati Tunggal. Peserta perlu memanah tali guni dan botol plastik yang digantung bagi mengutip mata. Pemenang dikira berdasarkan rekod tertinggi dan hadiah disediakan berupa piala pusingan dan pingat.



No comments: