Credits to: KOL, Pengantin, Family
Gambar ihsan: Family
Salam...
Berpasangan atau dalam perkataan lain yang biasa kita dengar - COUPLE. Setiap kali kita mendengarnya, pasti akan terlintas di fikiran mengenai sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilamun asmara. Saling mengungkap kata-kata sayang serta rindu, kemudiannya akan memasuki alam perkahwinan. Lalu kenapa harus dipersalahkan? Bukankah cinta itu suatu fitrah bagi setiap anak Adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?
CINTA - fitrah bagi setiap manusia yang dicipta oleh Allah s.w.t. dengan membawa fitrah (instinct) untuk mencintai lawan sejenisnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
"Dijadikan indah pada (pasangan) manusia, kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu), iaitu wanita-wanita, anak-pinak dan harta benda yang banyak yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup di dunia. (Ingatlah) Di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
- Surah Ali Imran: ayat 14
Berkata Imam Qurthubi: "Allah s.w.t. memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya., juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita."
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah)
Dalam hadis lain turut disebut peringatan yang sama.
Hadis no. 278 (Godaan wanita)
Daripada Usamah bin Zaid r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku tidak meninggalkan selepasku suatu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana cinta merupakan fitnah bagi manusia, maka Allah s.w.t. menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang yang beriman di syurga dengan bidadarinya.
Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim, Nasal, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).
Allah berfirman: "Di dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik rupa parasnya."
- Surah al-Rahman: ayat 70
Namun, Islam tidak membiarkan ftnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telah mengatur dengan tegasnya bagaimanakah cara untuk menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara dua insan yang berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.
bersambung...
Rujukan:
- 300 Hadis Bimbingan, Ustaz Zahazan Mohamad & Ahmad Hasan Mohd Nazam, Telaga Biru Sdn Bhd., Cetakan Pertama Januari 2007.
- Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Terbitan Yayasan Restu, Cetakan Kedua 2006.
No comments:
Post a Comment