MY FOLLOWERS

Monday, March 9, 2015

Hidupan Liar - Peristiwa Menarik 2014

Kredit kepada: Grind TV
Gambar ihsan: Grind TV



Assalamualaikum.....



Seekor beruang betina cuba menyelamatkan anaknya yang melepasi penghadang di satu kawasan lebuhraya. Seorang pemburu tornado, Ricky Forbes,yang sedang memandu di Kootenay National Park memberhentikan kenderaannya untuk merakamkan detik yang menarik itu dan menyifatkannya sebagai satu situasi paling menarik pernah disaksikannya. 





Seorang jurufoto hidupan liar, Lawrence meletakkan kamera berserta tripodnya di kawasan British Columbia Rocky Mountains, dalam cubaannya untuk merakamkan foto beruang grizzly menangkap ikan. Namun lain pula jadinya apabila seekor beruang berkenaan keluar dari kawasan sungai itu dan menghampirinya. Dia kembali ke kenderaannya untuk mengambil kamera lain dan mula merakam. Hasilnya beliau berjaya merakamkan aksi 'jurukamera' lain  :-) 



Seorang nelayan di Australia berjaya seekor ikan dan mendapati ia ada seekor katak masih hidup dalam tekaknya. Katak berkenaan adalah seekor katak pokok berwarna hijau yang baru dimakan oleh ikan tersebut. Ikan ini ditangkap selepas ia memakan umpan pancing berkenaan. 


KLIK SINI untuk lebih banyak kisah menarik.

Seni & Kreativiti - Karya Gelombang Ray Collins

Kredit kepada: Grind TV
Gambar ihsan: Grind TV



Assalamualaikum.....


Ray Collins ialah seorang jurufoto dari Thirroul, New South Wales, Australia, meluangkan masanya untuk mendapatkan imej bagi detik-detik menarik seperti gelombang arus di lautan dan juga di kawasan perlombongan. 

Beliau turut memenangi anugerah Nikon Surf Photo of the Year 2015 dalam satu pertandingan fotografi luncur.









KLIK SINI untuk artikel penuh.

Hiburan - Anime Cosplay Akira Hoshi

Kredit kepada: Flickr
Gambar ihsan: Flickr



Assalamualaikum.....


Kebetulan terjumpa satu laman di Flickr.













KLIK SINI untuk lebih banyak foto.

Artikel - Ambulans Neng Nong Neng Nongg! :-D

Kredit kepada: Om Fabulous
Gambar ihsan: Google Images

 

Assalamualaikum.....




Perkataan "ambulance" diambil daripada perkataan Latin "ambulare" yang membawa maksud "to walk". Kemudian, terbit "hôpital ambulant", istilah Perancis yang pada dasarnya bermaksud "mobile hospital". Pada peringkat awal, "ambulance" tidak membawa maksud seperti apa yang digunakan sekarang. Secara umumnya, ia merujuk kepada suatu struktur perubatan sementara yang boleh bergerak dengan mudah terutamanya bagi merujuk kepada hospital perubatan bergerak tentera.


"Ambulance", dalam Bahasa Inggeris dikesan kali pertama muncul sekitar 1798, juga merujuk kepada suatu struktur perubatan sementara. Kenderaan pengangkutan perubatan bergerak juga dikenali sebagai ambulans di Perancis sekitar waktu ini. Seorang warga Perancis, Dominque-Jean Larrey memperkenalkan perkhidmatan "flying ambulance" yang direka untuk membawa keluar para askar yang tercedera dari medan perang untuk rawatan semasa perang. Tidak seperti praktik sebelumnya yang menunggu sehingga pertempuran berakhir. Menjelang pertengahan abad ke-19, "ambulance" dikembangkan penggunaannya untuk merujuk kepada sebarang kenderaan yang digunakan untuk membawa askar yang tercedera di medan perang ke hospital tentera.



KLIK SINI untuk ke pautan penuh kecemasan.....

Artikel - Mandi Wajib

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....




Sedikit info yang dikutip dari Facebook.

Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanahair kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

“Akibatnya, mandi majibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul,” tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur .

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun-rukunnya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.




Rukun mandi wajib ada 3 perkara. Pertama, niat. Kedua, menghilangkan najis di badan. Ketiga, meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: “Sahaja aku mengangkat hasar besar kerana Allah Taala.” Atau ” Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan. Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala." Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah. Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke-2, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke-3, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu-bulu dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yang boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yang diwarnakan pula selain inai, inilah yang merumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana? Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yang berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah).

Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai laut dan tasik. Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.

Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok-eloknya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.




Artikel - Kedudukan Hadis 9/10 Rezeki Dari Perniagaan

Kredit kepada: FB
Gambar ihsan: Google Images



Assalamualaikum.....




Hadith ini adalah di antara hadith yang popular dan sering digunakan oleh sebahagian masyarakat kita terutama dalam bidang perniagaan. Seperti yang telah kita sedia maklum - atau belum - , kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith tidak hanya diukur dengan popularitinya semata. Memang ada hadith yang sahih dan popular...tetapi dalam masa yang sama juga terdapat hadith-hadith dhaif malah palsu tetapi ia popular dan sering digunakan di mana-mana.

Apabila kita mengetahui hakikat bahawa populariti tidak menjamin kesahihan, (kaedah ini juga diakui dalam kajian lain) maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidiki kesahihan sesuatu hadith dan tidak hanya bergantung kepada kemasyhuran atau popularitinya sahaja.

Maka dari manakah asal datangnya hadith ini? Di antara disiplin dalam menyebutkan hadith -sebagaimana diketahui dalam kajian hadith- ialah menyatakan sumber atau asal sesebuah hadith. Ia membantu dalam proses seterusnya iaitu menilai sama ada ia sahih atau tidak.


SUMBER ASAL HADITH '9/10 REZEKI'

Berdasarkan pencarian dan dibantu oleh kajian-kajian terdahulu, hadith ini disebutkan dalam beberapa lafaz berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Didapati hadith ini disebut oleh Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam bukunya yang terkenal iaitu Ihya' Ulumiddin. Menurut cetakan yang ada pada saya iaitu cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, tahun 2001, ia disebut dalam jilid 2, muka surat 59 dalam Kitab Aadaab al-Kasb wa al-Ma'asy, Bab pertama 'Fadhl al-Kasb wa al-Hatth 'Alaih (Kitab adab-adab mencari rezeki dan pendapatan, bab kelebihan mencari rezeki dan galakkan ke atasnya). Tetapi ini tidak bermaksud Imam al-Ghazali 'meriwayatkannya' kerana beliau tidak menyebutkan sanad (rantaian periwayat) terhadap hadith ini. Maka yang lebih tepat ialah Imam al-Ghazali 'menyebutkannya' di dalam buku Ihya' Ulumiddin. (saya menasihatkan sahabat-sahabat yang menulis tentang hadith agar berhati-hati dengan perbezaan antara 'menyebutkan' da 'meriwayatkan' atau 'mengeluarkan' - ذكره, رواه, أخرجه )

Bagi yang pernah membaca buku Ihya' Ulumiddin, mereka pasti akan tahu bahawa terdapat seorang ahli hadith yang digelar al-Iraqi (wafat 806H) yang telah menyemak dan memberikan ulasan terhadap hadith-hadith yang ada di dalam buku Ihya' Ulumiddin. Apa yang beliau lakukan ialah atas permintaan pencinta ilmu untuk mengetahui kedudukan dan sumber asal hadith-hadith di dalam buku tersebut. Malah kebanyakan cetakan Ihya' Ulumiddin dimuatkan bersama komentar dan ulasan al-Iraqi ini dalam bentuk nota kaki di bawah teks asal Ihya' Ulumiddin.


KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'

Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.

Maksud al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'.


KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI

Apa yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan muka surat yang telah disebut di atas - ialah:

Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi. Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w. Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian. Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i. Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih'. Ia perlukan banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal' pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud kedhaifan.


SUMBER LAIN

Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :

a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net (fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.

b) Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.

c) Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini, hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.

d) Buku Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H) (cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun 2003) - di dalam jilid pertama, muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.


KESIMPULAN PENTING

  1. Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.
     
  2. Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting - berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.
     
  3. Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga didapati menilainya sebagai dhaif.
     
  4. Untuk menyatakan bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun, hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri.
     
  5. Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.
     
  6. Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.
     
  7. Pandangan ini hanyalah sekadar kemampuan saya dan artikel ringkas ini diharapkan dapat dinilai dan diterima dengan adil. Jika berlaku kesilapan dan kekurangan, harap dapat diberi maklum balas secepat mungkin kepada penulis - sama ada dengan pm kepada nickname alitantawi di laman web al-ahkam.net atau dengan alamat e mail pemudaiman@yahoo.com


DIAMBIL DARI AL-AHKAM.NET